Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

👑~ XLVII : 47 ~👑

"Apa maksud awak yang kita akan berperang? Awak akan sertaikah? Kita masih muda, perjalanan masa hadapan awak masih panjang!" Suara Zarina memenuhi koridor yang membawa mereka ke taman belakang istana pada petang itu. Langkahnya laju, cuba untuk menyaingi kaki panjang milik Aryan.

Mentang-mentang warga istana tidak ramai di situ, Zarina suka hati menggunakan bahasa biasa untuk berkomunikasi dengan Aryan. Lagi pun Zarina itu sudah menjadi penduduk tetap, tidak akan ada sesiapa pun yang bakal menghalaunya dari istana ini. Zarina bukan lagi bertaraf yang sama atau lebih rendah, malah lebih tinggi daripada Aryan sendiri.

"Saya cakap apa yang saya cakap, Ina. Awak kawan baik saya, jadi awak dapat tahu dahulu. Jangan bocorkan lagi, kita masih belum ada capai kata putus lagi. Rabiha, Fazia dan Nafiz belum tahu lagi." Jawab Aryan dengan wajah serius. Matanya melilau ke setiap tempat bagi memastikan tiada sesiapa yang mencuri dengar.

Zarina kini berlari-lari anak. Tangannya terpaksa menarik persalinannya yang labuh menyapu lantai bagi mempercepatkan langkah. Langkah Aryan itu besar dan panjang-panjang, seperti tidak sabar untuk beredar dari situ. Namun Zarina tidak betah untuk membiarkan sahabatnya itu berada dalam dunia sendiri seorang-seorang.

"Baiklah." Balas Zarina dengan anggukan. 

Mereka tiba di taman tersebut dengan bunyi kasut masing-masing. Angin sepoi-sepoi bahasa lantas menampar wajah, memberikan kedamaian pada mereka yang berada di luar pada ketika itu. Di taman tersebut, kelihatan beberapa dayang sedang menyapu dedaun kering yang gugur di atas rumput. Segelintir pahlawan juga dapat dilihat sedang meluangkan masa bersama beberapa orang pembantu istana.

"Kita ambil tempat duduk di sana, mari." Ajak Zarina sambil menuding ke arah sebuah meja batu kosong yang dilindungi dengan atap ukiran kayu jati. Tanpa menunggu balasan Aryan, Zarina melangkah cepat-cepat ke hadapan. Tidak berbicara apa-apa, Aryan sekadar menurut.

Keberadaan mereka berdua berjaya menarik perhatian warga istana yang berada berdekatan. Mereka saling memandang dan berbisik-bisik antara satu sama lain. Eh, tidak akanlah tidak pernah lihat dua sahabat ini bersama sebelum ini?

"Haih, mulalah itu. Nanti sebar cerita pasal saya tak jaga diri bila tak ada Shafhanlah, apalah." Bebel Zarina yang hanya dapat didengari oleh mereka berdua.

Aryan tersenyum senget. Walhal mereka tidak tahu, Aryan sudah berdepan dengan Shafhan sendiri agar menjaga Zarina ke mana-mana. Dia dijadikan sebagai pahlawan khusus Zarina tanpa sesiapa ketahui kecuali dia dan Shafhan sendiri. 

Dia juga sempat memberikan beberapa amaran pada Shafhan agar menjaga Zarina dengan baik. Namun Shafhan tidak terkejut atau memarahinya, putera itu sekadar tersenyum faham dan memberikan segala kata-kata semangat untuk meyakinkan Aryan. Aryan lega, kerana dia dapat berbual dengan suami Zarina seperti rakan sahaja meskipun dia hanyalah seorang pahlawan di istana itu.

"Biarlah mereka. Manusia kan kurang gemar tengok orang lain bahagia."  Aryan berkata sebelum melabuhkan punggung ke atas salah sebuah kerusi batu di situ.

Zarina mengambil tempat di hadapannya. Meja batu memisahkan mereka berdua.

Belum sempat Zarina membuka mulut, seorang dayang muncul ke meja mereka secara tiba-tiba bersama sedulang minuman. Tanpa berbicara, dayang itu meletakkan sebuah cawan di hadapan Zarina dan sebuah lagi di hadapan Aryan. Air teh dituangnya dari teko ke dalam cawan-cawan tersebut sebelum meletakkan teko tersebut di atas meja. 

Selepas itu, dia meminta diri dan berjalan pergi. Zarina dan Aryan tercengang di situ.

"Dari manakah dayang itu datang?" Tanya Aryan, terkejut. Matanya merenung setiap gerak-geri dayang tersebut. Sudahlah tidak berbicara apa-apa, senyum pun tidak, pergi dan datang seperti angin pula itu.

"Entah." Jawab Zarina lalu mengalihkan pandangannya daripada dayang itu ke arah Aryan. "Tapi itu kan Dayang Nadhira, dia memang begitu. Orang panggil dia dayang hantu, sebab dia suka muncul dan pergi tiba-tiba. Namun jangan risau, dia baik." Sambungnya lagi kemudian menghirup tehnya.

Aryan mengerutkan dahinya ke arah Zarina. "Saya tidak cakap pun yang dia jahat." Tukasnya.

Mereka meluangkan masa di situ dengan menghirup teh masing-masing sambil menikmati angin yang menghembus lembut. Pohon-pohon yang mengelilingi menyumbang kedamaian hati.

Namun hati Zarina tidak tenang, disertai jiwa Aryan yang sedang bergelora. Masing-masing sedang memendang sesuatu dan akan ada salah seorang daripada mereka yang bakal meluahnya terlebih dahulu. Dan Zarina merupakan orangnya.

"Jadi, awak akan ikuti peperangan itu?" Soal Zarina dalam nada yang tidak dapat dikenalpasti. "Awak tahu kan perkara ini terjadi akibat hubungan saya dengan Shafhan? Saya tidak akan membiarkan awak keluar ke medan perang kerana kami." Ujarnya, memegang cawan dengan erat.

Keluhan kuat Aryan lepaskan. Dia sudah dapat agak yang reaksi seperti inilah yang dia akan dapat. Hatinya kuat, mengatakan bahawa dia perlu melakukan perkara ini untuk menyelamatkan keluarganya di Angin Putih.

"Kalau ya, apa awak akan buat?" Tanya Aryan dalam nada sarkastik.

Jelingan maut Zarina berikan pada Aryan. Pemuda ini, sengaja mahu memprovoknyakah? 

"Saya halang awak daripada pergi berperang." Zarina membalas.

"Awak bukan puteri, malah tiada hak untuk menghalang saya daripada berbuat apa-apa." 

Wajah Zarina berubah kepada bengang. "Awak ingat saya tidak tahukah? Tapi fikirlah sikit keadaan di sini! Awak tidak fikirkan sayakah? Mereka yang lainkah? Keluarga awak?" Tutur Zarina lagi, bersuara tinggi. Tangannya menghempas meja, memandang Aryan dengan tajam.

Namun Aryan masih berwajah tenang, seperti sedang berfikir apa yang harus dia perkatakan. Peperangan ini bukanlah hanya untuk suka-suka, ia juga berkenaan hubungan Zarina dan Shafhan yang dikatakan telah mencemar darah diraja. Dan Aryan bakal mempertahankan masjid yang dibina mereka sepenuh raganya.

"Ini untuk kebahagiaan awak juga." Jawab Aryan.

"Kebahagiaan saya? Awak itu yang akan pergi, bukan saya! Saya mahu lihat awak selamat di sini di dalam istana. Awak tidak boleh membuat keputusan melulu seperti ini!" Marah Zarina.

Aryan mengeluh kuat lagi, lalu berdiri menghadap Zarina dengan riak wajah yang sukar untuk ditafsir. Cawan tehnya dibiarkan di atas meja, tidak berusik. "Ina, awak tahu tak perkara ini bukan sahaja akan mengganggu awak. Ia akan mengganggu kesejahteraan kita yang tinggal di Angin Putih." Tuturnya.

Zarina kini turut berdiri, mendongak memandang Aryan dengan wajah serius. "Bukan ramai lagikah pahlawan lain? Malah para pengawal kita juga kuat-kuat belaka. Hanya kerana seorang pahlawan tidak ikut, tidak akanlah kita kalah. Awak jangan tinggalkan saya, Aryan." Ujarnya.

"Siapa kata saya pergi berperang untuk mati? Saya pergi untuk kita menang! Untuk pertahankan tanah air kita. Rugilah jika selama ini menjadi pahlawan hanya untuk meronda kawasan Angin Putih sahaja. Saya tidak akan berpaling dari peperangan, itu bukan cara kita sebagai umat Islam." Aryan berkata keras, membuatkan Zarina melangkah sedikit ke belakang.

Pandangan tajam yang layu sedikit demi sedikit diberikan Zarina pada Aryan. "Jadi, peperangan ini pasti akan mengambil tempat di Damai Kundang bukan? Tempat yang asalnya merupakan tempat peperangan yang kini usang dan lapang?" Katanya dalam nada mengejek.

Anggukan sekali Aryan berikan tanpa mengalihkan tentangan mata mereka. "Ya. Dan awak tak boleh halang saya. Apa jadi sekali pun, semuanya atas ketentuan Allah." 

Zarina merengus geram kemudian mengalihkan pandangan mereka. "Saya tak redha, saya tak akan redha dengan keputusan awak ini. Perang ini tidak akan membawa apa-apa jika hanya kerana hubungan saya dan Shafhan. Kebahagiaan saya konon. Kalau awak nak saya bahagia, awak tak akan sertai benda ini! Saya benci awak!" Gertaknya. Selepas itu, Zarina lekas meninggalkan Aryan di situ dan menuju ke dalam istana semula.

Aryan mendongak ke langit, mengerdipkan matanya yang terasa panas. Dia menarik nafas dalam dan melepaskannya perlahan-lahan. Sabar. Dia sudah dapat mengagak yang perkara ini akan berlaku. Namun dia mahu Zarina faham apa yang akan berlaku dan mengapa perkara ini berlaku.

Istana Angin Putih itu ditenung Aryan pula. Jika Shafhan yang datang kepadanya sendiri sekali pun, keputusannya tidak akan berubah. Biarlah dia bersama mereka yang lain di medan perang. Hanya kerana dia rapat dengan keluarga diraja, tidak bermakna dia mendapat keistimewaan untuk tidak menyertai aktiviti apa-apa. Itu tidak adil.

Manusia ini sama dan setaraf. Hanya iman yang membezakan kita.



°°°°°°°°°°

Baiklah, saya akan mengusahakan peta negara-negara Melayu ini ya! Akan ambil masa juga, but I will try for my beloved readers XD

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro