👑~ XLVI : 46 ~👑
"Andai bulan menghilang pada malamku,
Gelap menemani memayung syahdu,
Himpunan duka umpama menyeru,
Pisahnya jiwa daripada satu."
"Wah, petang-petang ini bersastera ya tuan hamba?" Pahlawan Rizman menegur tatkala dia bertemu dengan Aryan di sempadan Angin Putih dan Lembayung Merah. Pemuda itu terlihat sedang merenung ke arah jeti yang berada tidak jauh darinya dengan pandangan jauh. Wajahnya terlihat kosong seperti memendam perasaan yang tidak dapat dibicarakan.
Aryan tersenyum nipis tanpa memandang ketua pahlawan itu. Matanya merenung jauh ke arah luasnya lautan yang terbentang di hadapannya. Warna jingga mula mewarnai langit dan menghiasi seluruh negara-negara Melayu itu dengan penantian malam. Tujuh negara berbeza, namun dipayungi langit yang sama.
Helaan nafas Aryan berikan sebelum menoleh ke arah Pahlawan Rizman yang masih berada di atas kudanya. Lelaki itu menghadiahkan senyuman buat Aryan apabila anak muda itu memandangnya.
Dia tahu, Aryan sedang berduka dengan pelbagai perkara.
"Ayuh pulang? Hari sudah senja dan hamba sudah mendapat mandat dan titah baharu pada tengahari tadi." Kata-kata Pahlawan Rizman berjaya menarik perhatian Aryan yang masih berkira-kira untuk pulang ke istana.
Pemuda itu lantas melompat ke atas Jelita yang meringkik perlahan. Kuda itu sedari tadi menunggu tuannya itu untuk membawanya pulang. Sudahlah berjam-jam berdiri tanpa sebab di hujung negara ini, selepas itu termenung keseorangan. Kuda pun boleh bosan jika ditinggalkan di situ tanpa buat apa-apa tahu tidak?
Namun kuda merupakan makhluk yang memahami, Jelita seringkali dilihat menyondolkan kepalanya ke bahu Aryan bagi menenangkan pahlawan itu.
"Mandat dan titah baharu? Apakah ia?" Tanya Aryan hairan sambil mengarahkan Jelita untuk mengekori Pahlawan Rizman. Mereka kini berkuda beriringan bagi menuju ke istana Angin Putih yang jauh di hujung sana.
Pahlawan Rizman mengangguk kecil. Wajahnya terlihat resah dengan gelora hatinya yang tidak membantu pada ketika itu. Tanggungjawabnya sebagai ketua pahlawan itu berat. Dengan adanya titah baharu ini, dia tahu akan ada yang terkorban daripada anak-anak di bawah jagaannya itu.
Melihatkan riak Pahlawan Rizman itu, Aryan cuba untuk berseloroh bagi menyelamatkan keadaan. "Pahlawan Rizman jangan macam-macam, hamba belum kahwin ni."
Tatkala hanya senyuman tawar Pahlawan Rizman berikan pada Aryan, pemuda itu tahu apa yang akan dia dengari. Sudah lama kerajaan Angin Putih menantikan kejadian ini, atas segala aktiviti yang telah diarahkan untuk para pahlawan lalui. Mereka harus bertugas dua kali ganda dan berlatih lebih daripada biasa.
Ada sesuatu yang besar yang bakal mereka hadapi dalam masa akan datang.
"Baiklah Pahlawan Rizman. Hamba memahami." Balas Aryan apabila Pahlawan Rizman tidak berbicara apa-apa. Sekadar memberi jawapan dengan reaksi muka sahaja. Nampaknya, mereka akan membicarakan hal ini di dalam istana yang memastikan keberadaan mereka lebih selamat.
°°°°°°°°°°
Memandangkan tiada tugas mustahak yang perlu dilakukan pada ketika itu, Tengku Aisy menyusuri koridor-koridor istana Lembayung Merah dengan senang sambil bersenandung kecil. Dia baru sahaja menyelesaikan solat Zohor dan kini dia perlu kembali semula ke kamarnya untuk meneruskan aktivitinya.
Sedang dia melalui sebuah kamar yang terbuka pintunya, suara Tengku Aidan kedengaran di dalam bersama dua suara yang lain. Nampaknya, putera dan puteri dari Sutera Kuning ada di dalam istana itu bersama mereka.
Tengku Aidan berbicara tenang bersama Tengku Rhaidan. Mereka bertukar-tukar cerita diselangi gelak tawa Tengku Rhaina. Pada mulanya, perbualan mereka hanyalah biasa-biasa sahaja. Lama kelamaan, ia menjadi semakin serius. Oleh itu, Tengku Aisy mengambil keputusan untuk mencuri dengar dengan bersembunyi di sebalik pintu kamar tersebut.
Mujur dia tidak memiliki penasihat yang sentiasa mengekorinya ke mana-mana.
"Saudara ada dengar, berkenaan pernikahan Tengku Shafhan dan Dayang Zarina? Beta sudah dengar ura-ura dan cerita-cerita di sempadan negara. Benarlah apa yang kita tebak selama ini. Angin Putih sudah berani mencampurkan darah Diraja dengan masyarakat biasa." Ujar Tengku Rhaina.
Tengku Aisy dapat merasakan jantungnya terhenti seketika. Perutnya terasa memulas. Jika benar apa yang diperkatakan oleh gadis ini, Angin Putih dalam bahaya. Dan sekiranya Tengku Rhaina sudah membuka cerita, pasti berita ini sudah sampai ke pendengaran Raja Narendra.
"Ada dengar. Cik Muda Aliya sudah mengkhabarkan perkara ini pada beta. Ayahanda sudah memulakan pelannya. Apa yang beta tahu, perang akan berlangsung tidak lama lagi." Balas Tengku Aidan dengan senyuman sinis.
Keluhan kuat Tengku Rhaina berikan. "Kenapa mesti perang? Beta tidak dapat berjumpa lagi dengan Dayang Zarina itu." Katanya, mencebik.
"Hobi. Perang itu satu hobi, Rhaina. Bagi menunjukkan kekuasaan dan mendapatkan harta dari negara lain. Bukankah itu sejarahnya dahulu?" Jawab Tengku Rhaidan, tersenyum senget.
Benar, tujuh negara di dalam benua yang sama, seringkali berperang antara satu sama lain pada zaman dahulu kala. Hobi, penunjukan kuasa, berebut harta dan sebagainya, banyak pertumpahan darah telah berlaku secara suka-suka. Namun kini, segalanya telah damai atas perjanjian yang dilakukan oleh keluarga diraja dari setiap negara.
Negara yang paling damai antara semua adalah Angin Putih, atas sebab negaranya yang kecil dan penduduknya yang tidak banyak konflik. Selepas itu, disertai Bahtera Biru yang kaya dengan pelabuhan dan Kemuning Hijau yang merupakan sumber pertanian. Tiga negara ini diperintah oleh saudara dekat atau ahli keluarga mereka sendiri.
Sahmura Ungu juga negara yang pasif namun agresif pembangunannya. Meskipun terletak sedikit jauh daripada tiga negara itu, Sahmura Ungu tetap mampu menjalinkan hubungan yang kuat. Empat negara ini pasti akan bersatu sekiranya peperangan berlaku.
Tetapi jika dilihat dari sudut kekuatan, Lembayung Merah memiliki rakyat bersikap keras kepala dan ramai penduduknya jadi, negara mereka ini akan mendapat kemenangan dengan lebih mudah. Jika disekalikan dengan negara Sutera Kuning, bertambah-tambah keganasan peperangan nanti.
"Hei, bukankah ayahanda ada persoal tentang Tasik Kelabu? Sekiranya Tasik Kelabu di pihak kita, tidakkah sudah pasti kemenangan dalam pegangan kita?" Tanya Tengku Rhaina pada abangnya.
"Hm, nampaknya kita akan ke Tasik Kelabulah ceritanya." Itu sahaja jawapan yang diberikan oleh Tengku Rhaidan.
Tengku Aisy terkedu di tempatnya. Satu-satunya negara yang tidak punya cerita oleh kerana terlalu menjaga rakyat mereka dan kedaulatan negara mereka. Tasik Kelabu itu digeruni malah sukar untuk mencapai sebarang komunikasi. Ya Allah, apa yang akan berlaku ini?
"Bahtera Biru banyak senjata, merekalah negara yang paling maju daripada kita semua. Itu macam mana pula?" Tengku Aidan pula berkata.
"Itu boleh bincang lain. Kalau ada pelan, semua benda boleh jadi dengan mudah." Tutur Tengku Rhaidan dengan penuh bongkak.
Tanpa membuang masa, Tengku Aisy beredar dari situ. Dia harus berjuang ke jalan yang benar dan memberitahu tiga orang putera dari tiga negara itu terlebih dahulu.
°°°°°°°°°°
Soooo, patutkah saya lukiskan peta? Atau kalian dapat membayangkan kedudukan negara-negara tersebut. Nak lukis macam interesting tapi tapi takut tak jadi huwaa. Btw, terima kasih tau kerana masih membaca! Have a nice day duhai warga istana!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro