👑~ XLV : 45 ~👑
Mentari pagi menjelma, menandakan bahawa hari baharu telah pun tiba. Warga istana kini sudah mula berjaga dan kembali melakukan rutin harian. Pahlawan sudah berkawal di sekitar Angin Putih dan berkawad, pengawal telah mengambil posisi masing-masing di dalam istana manakala para pembantu istana dan dayang-dayang pula menjalankan tugas mengikut jadual masing-masing.
Zarina bangkit dengan cepat dari perbaringan. Matanya melilau kiri dan kanan sebelum lekas melompat turun dari katil. Mindanya masih kabur dengan kantuk yang dirasai.
"Ina?" Suara seseorang memanggil namanya membuatkan dia terkejut dan kaku di tempatnya. "Nak pergi mana tu?" Soal suara itu lagi.
"Kerja. Saya kena bantu pihak masakan beli bahan dekat pasar." Balas Zarina tanpa memandang empunya suara. Kepalanya digaru-garu seketika sebelum dia perasan akan keberadaannya. Kamar yang didudukinya ini luas dan suara tadi merupakan suara seorang lelaki. Dia lantas menoleh.
Terlihat Shafhan sedang tersenyum lembut ke arahnya bersama sebuah buku di tangan. Namun senyumnya hilang apabila Zarina menjerit tiba-tiba.
"Hei, hei! Jangan jerit! Kan kita solat Subuh sama-sama tadi?" Tanya Shafhan penuh risau. Dia sudah mula berdiri dan mendekati Zarina. "Itulah, lain kali jangan tidur lepas Subuh sayang oi." Lancar sahaja pemuda itu berkata seperti sudah biasa dengan keadaan seperti itu.
Pipi Zarina memerah apabila dia mula sedar dengan keadaannya kini. Tangannya yang sedang berusaha untuk membuka ikatan pakaian seragamnya yang tergantung pada almari lekas terbantut. Bila diingat semula...
Kata 'sayang' itu umpama mudah sahaja meluncur dari bibir Shafhan. Zarina memegang pipinya, merasakan anggota itu membahang. MashaAllah, adakah ini rasanya apabila sudah ada cinta yang halal?
"Awak siap, pakai pakaian yang elok-elok sikit. Nanti ikut saya." Tutur Shafhan lalu meletakkan buku yang dipegangnya ke atas meja. Selepas itu, dia menuju ke tandas bagi melunaskan hajat.
Sebelum Shafhan sempat masuk ke tandas, Zarina bertanya hairan. "Ikut awak pergi mana?"
"Sudah menjadi isteri saya, awak kena tahu macam mana saya bekerja dan apa yang saya buat. Pastikan awak selesa ya, sebab nanti kita akan banyak bergerak dan berjalan." Pesan Shafhan kemudian menghilangkan diri di sebalik pintu.
Zarina terkulat-kulat di situ sendirian. Mindanya memainkan peranan untuk panik dan memikirkan pelbagai perkara. Berbagai-bagai informasi yang sedang dia cuba untuk proses memandangkan hari ini hari pertama untuk dirinya meluangkan masa secara terus bersama Shafhan. Dia sudah ke hulur-hilir bagi mencari persalinan yang selesa.
Semoga hari ini baik-baik sahaja untuk pengantin baru itu.
°°°°°°°°°°
Geram, itu apa yang dirasakan oleh Shahmina pada pagi itu sewaktu dia sedang bersarapan seorang diri di ruang santap. Selalunya, dia akan membuat masalah dan mengadu pelbagai perkara pada dayang-dayang di situ apabila dia bertemu dengan Zarina di pagi hari. Adakalanya dia akan meminta nasi goreng pattaya hasil masakan Zarina sendiri.
Jika dulu, memang hari-harinya tidak puas sekiranya tidak memburukkan Zarina. Ada sahaja yang bakal difikirkan bagi menyusahkan dayang yang seorang itu.
Kini jangan risau, dia sudah insaf dengan perangainya yang tidak serba bikin sebelum ini. Apa yang dia lakukan sekarang hanyalah gurauan semata dan caranya untuk berkomunikasi dengan warga istana agar terlihat lebih mesra.
Hatinya terasa panas, namun dia tidak tahu mengapa. Matanya mengerling keadaan sekeliling, melihat siapa yang ada bersamanya. Dua orang adiknya itu tidak ada bersamanya maka hanya Rabiha dan Fazia sahaja yang ada menemani. Namun lagak dua orang dayang itu terlihat kekok, tidak seperti biasa.
Ah, dia sudah tahu siapa dalangnya.
Shafhan, Tengku Shafhan Iyyad yang sudah berjaya mencuri Zarina daripada mereka.
Bam! Meja santapan bergegar dengan penumbuk Shahmina. Rabiha dan Fazia pula sudah tersentak di tempat mereka berdiri. Kus semangat.
"Tuan puteri, kenapa ini?" Tanya Rabiha, risau.
"Shafhan tu!" Tiba-tiba Shahmina menjerit. Wajahnya ketat menahan marah.
Fazia sudah cemas. "Tuan Putera Shafhan? Mengapa? Ada sesuatu yang telah berlakukah?!" Soalnya, cuba menenangkan Shahmina yang bakal meletup di situ.
Sudu yang berada di dalam pegangan, Shahmina genggam kuat-kuat. Matanya masih merenung hadapan, umpama mahu menembusi sesiapa sahaja yang berada di hadapannya. Patutlah dia berasa sunyi! Tiada insan yang mahu dikacaunya hari ini.
"Shafhan curi Ina daripada beta!" Laung Shahmina, geram. "Sudahlah, beta mahu cari mereka." Sambungnya lagi lalu meninggalkan makanannya yang terletak di atas meja. Lekas dia melangkah keluar dari ruang santap bagi memulakan agendanya.
Fazia dan Rabiha sudah saling berpandangan. Entah apa yang bermain dalam fikiran puteri itu, ia tidak terlihat berbahaya. Tetapi merisaukan juga kerana gayanya seperti mahu menjalankan kes pembunuhan.
"Nampaknya ada orang cemburu." Bisik Rabiha pada Fazia. Wanita itu tersengih sahaja melihat laluan yang baru sahaja dilalui oleh Shahmina tadi. Nampaknya, Zarina meninggalkan kesan yang dalam pada puteri itu tadi.
"Aduhailah, kita ini lagi bosan tanpa Ina. Tidak ada pun merungut." Fazia berbisik semula. Lengannya ditampar Rabiha akan cakap lepasnya itu. Ada pula berkata demikian.
Keluhan kecil Rabiha lepaskan tanpa dapat ditahan. "Tidak apalah, Ina pun memang duduk dalam istana sahaja. Kita akan berjumpa dengan dia bila-bila masa pun boleh. Tunggu masa saja." Balasnya dengan senyuman kecil.
°°°°°°°°°°
Melalui koridor-koridor dan bangunan-bangunan yang membentuk istana Angin Putih ini, Zarina merasakan seperti dia sedang berada di dimensi lain apabila dia tidak memakai pakaian seragamnya seperti orang lain. Dia malah mendapat tahu laluan-laluan yang dia tidak pernah tahu wujud. Dirinya ditegur oleh dayang sekeliling seperti biasa, namun dengan lebih hormat dan pandangan tinggi.
Zarina terkesan dengan keadaan itu. Dia tidak mahu kehidupannya berubah begitu sahaja.
Jadi setiap kali ditegur, Zarina pasti membalas semula. "Layan saja hamba macam biasa, hamba pun pernah bekerja dengan tuan hamba sebelum ini." Tuturnya yang pastinya disertai dengan tawa mesra.
Dan perbuatan itu langsung tidak ditegur oleh Shafhan yang berjalan di hadapannya. Putera itu sekadar tersenyum, memahami dengan apa yang dilakukan oleh Zarina. Wanita itu punyai hak, bukannya dia yang menentukan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh isterinya itu. Oleh itu, setiap kali wanita itu berbicara bersama rakan sekerjanya, dia tidak akan memandang dan berpura-pura tidak sedar.
Hanya zikir sahaja meniti di bibir agar dia tidak mendengar apa yang dibualkan oleh para wanita di situ. Fikirannya kini dipenuhi kerja yang perlu dia lakukan sebentar lagi.
Setibanya di hadapan sebuah pintu, Shafhan berhenti secara tiba-tiba. Zarina pula setia berdiri di belakangnya, mengintai sedikit ke hadapan bagi menantikan Shafhan untuk melakukan perkara seterusnya. Beberapa saat kemudian, pemuda itu berpaling ke belakang dengan gaya yang serba-salah.
"Shafhan, awak okey?" Soal Zarina dengan kerisauan yang jelas menghiasi wajah polosnya.
"Errr, kamar ini kamar saya bila bekerja. Boleh dikatakan sebagai pejabatlah. Tapi..." Shafhan membiarkan ayatnya sedikit tergantung dan memandang ke belakang sebelum ke arah Zarina semula bersilih ganti.
"Tapi...?" Sambut Zarina, mendongak memandang Shafhan yang lagatnya seperti anak yang ditangkap oleh ibunya ketika membuat kesalahan.
Shafhan menggaru kepalanya yang tidak gatal. "Tapi kamar ini bersepah. Awak, umm, jangan terkejut ya." Balasnya sebelum berpaling semula bagi membuka pintu tanpa menunggu jawapan Zarina.
Zarina sudah menutup mulutnya dengan tangan bagi menyembunyikan tawanya. Risau sungguh Shafhan itu terhadap pandangan Zarina. Dia tidak kisah pun, selagimana dia boleh bantu untuk membersihkan kamar itu, dia akan bantu.
Macamlah dia tidak biasa mengemas kamar-kamar di situ. Terutamanya kamar milik Shahmina dan Shafiy. Dua orang kerabat diraja itu benar-benar gemar menyepahkan bilik masing-masing untuk keselesaan diri sendiri. Tapi itulah al-kisahnya, menyusahkan orang lain pula.
Tombol dipulas, pintu dikuak. Shafhan melangkah dahulu ke dalam, diikuti Zarina dari belakang. Keadaan kamar itu dilihat mereka dari kiri ke kanan.
"Kemas sahaja?" Ujar Zarina dalam nada berbisik.
Shafhan berasa pelik. Seharusnya, mejanya itu dipenuhi dengan fail-fail dan dokumen-dokumen berkenaan Angin Putih. Bukan itu sahaja, kertas kerja juga harus bersepah di setiap pelosok kamar, memeriahkan kamar dengan timbunan-timbunan kertas bak binaan bangunan.
Namun kini berbeza, kertas-kertas yang bertimbun tidak dapat dilihat dan digantikan dengan kotak-kotak yang berlabel. Fail-fail yang sentiasa digunakan pula kemas tersusun di dalam almari cermin. Pena-pena di atas meja terletak elok di dalam bekas dan tidak berselerak di atas meja seperti selalu.
Siapakah gerangan yang mengusik?
"Oh, Assalamualaikum!" Suara Andika yang ceria mengejutkan mereka berdua di situ. Kelihatan penasihat diraja itu sedang mencangkung di sebalik timbunan kertas di hujung kamar tersebut.
"Hm?" Suara lain pula menyambut dari sebalik rak buku. Kepala Tuah terjengul ke sisi rak, memandang insan-insan yang baru tiba. "Selamat datang, Putera Shafhan, Cik Puan Zarina." Jemputnya.
Lantas watak Shafhan berubah, dia melangkah ke dalam dengan penuh gah dan royalti. Dia terlihat profesional lalu mampir ke arah meja kerjanya.
"Kenapa kemas?" Soal Shafhan senada.
"Eh, tidak ada terima kasihkah?" Balas Andika dengan soalan yang membuatkan Shafhan bengang. Penasihat diraja itu tersengih apabila dia sedar yang dia berjaya membuatkan sahabatnya yang seorang itu panas hati.
Zarina sekadar menonton sahaja melalui muka pintu yang masih belum tertutup. Terhibur, pagi-pagi lagi sudah terhibur.
"Alah kau, kamar kerja sendiri pun tak boleh kemas, pastu tanya-tanya pula." Sibuk Tuah yang berada di belakang rak buku. Mentang-mentang wajahnya tidak boleh dilihat, suka-suka sahaja dia berbahas demikian di hadapan Shafhan.
Shafhan ternganga. Memandang Zarina dan dua orang sahabatnya itu berulang kali. Tuah dan Andika ini, memang berniat untuk memalukannya di hadapan isterinyakah?!
"Haish," sebut Shafhan, jengkel. "Junjung kasih buat dua orang penasihat beta." Tuturnya dengan penuh kemanisan palsu. "Hah, puas hati?!" Tiba-tiba auranya berubah pula.
Sunyi menghambat suasana. Tiada sesiapa yang bersuara.
Tawa yang ditahan Zarina akhirnya pecah, melihatkan gelagat tiga sekawan itu. Tuah dan Andika sudah tersenyum menang manakala Shafhan pula terpinga-pinga di mejanya. Wajah Zarina dipandangnya dengan penuh terkejut.
"Sudahlah." Kata Zarina kemudian menutup pintu di belakangnya. "Awak kata saya perlu ikut awak untuk buat kerja, ini ke kerjanya? Berbalah dengan kawan-kawan awak di pagi hari?" Soalnya dalam nada terhibur.
Kini Andika pula tertawa geli hati apabila wajah Shafhan yang asalnya mahu terlihat profesional segera berubah kepada malu-malu kucing. Putera itu terlihat segan dengan rutinnya terutamanya apabila kini dia sudah punyai pasangan yang bakal melihat setiap gerak-gerinya. Melainkan Zarina melakukan kerja lain sewaktu Shafhan menjalankan tugasnya, itu lain cerita.
"Bu-Bukan macam itu." Jawab Shafhan, termangu-mangu. Dia akhirnya mengeluh kesal lalu merebahkan diri ke atas kerusi tanda mengalah. Matanya mencerlung ke arah Andika dan Tuah yang sibuk memerhatikan setiap reaksinya. "Ha, mahu apa? Kalau ada hutang beritahulah." Marahnya pula.
"Eh cik abang ini, mentang-mentang sudah ada buah hati, garang-garang pula." Bebel Tuah di situ namun tidak dapat didengari oleh Shafhan dan Zarina yang terletak jauh darinya. Hanya Andika sahaja yang memasang telinga terhadap setiap suara yang ada.
"Entahnya." Sahut Andika dengan jelingan pura-pura pada Shafhan yang tidak sedar akan perbuatan itu.
Pak! Segumpal kertas dibaling ke arah Andika oleh Tuah. Mereka saling berpandangan, Andika berwajah terkejut manakala Tuah berwajah ketat.
"Kau pun sudah ada tunang, mahu cakap orang. Menyampahlah macam ini." Bising Tuah sebelum melangkah ke arah pintu. Tanpa berkata apa-apa, dia bergerak keluar.
Zarina yang sedang berbual dengan Shafhan menoleh ke arah pintu dengan hairan apabila terdengar akan bunyi pintu ditutup. Selepas itu, dia terdengar Shafhan berkata bagi menjawab persoalannya. "Biasanya pagi-pagi, Tuah akan menemani Shahmina apabila dia dipanggil. Tapi saya rasa dia akan ke khutubkhanah bagi menyiapkan segala kerjanya."
Kertas-kertas yang bertimbun di atas meja kini ditarik sehelai demi sehelai oleh Shafhan dan membacanya. Kerusi kosong yang berada di hadapan meja pula menjadi sasaran Zarina bagi memerhatikan Shafhan.
Andika sekadar memerhati apa yang berlaku, dan tersenyum sendirian apabila terlihat Shafhan yang malu dengan tenungan Zarina terhadapnya. Gelengan kecil dia berikan sebelum bergerak ke arah pintu untuk keluar jua bagi menemani Tuah.
Elok sahaja Andika memulas tombol pintu, hatinya terasa sesuatu yang tidak enak. Dia menunggu buat seketika seperti menjangkakan sesuatu. Tidak lama kemudian, bunyi tapak kaki berlari mula kedengaran dan Andika melekapkan telinganya pada muka pintu.
"Daya- Ina mana?!" Satu suara menjerit dari luar.
"Uish, apa benda tu?" Soal Shafhan yang menoleh cepat ke arah pintu disertai Zarina.
Hanya jongketan bahu sahaja yang dibalas Andika sebelum bergerak ke luar. Dia melihat kiri dan kanan lalu berlari pantas ke tempat yang ingin dituju. Jika dijumpai oleh Shahmina itu, habislah dia bakal ditanya macam-macam.
"Di sana itu, Ina mana?!"
Andika memecut laju tanpa menoleh lagi.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro