👑~ XLIX : 49 ~👑
Bunyi desiran kain labuh meleret di atas karpet merah menggemakan koridor tersebut. Zarina melangkah laju, tangannya memegang sebakul buah-buahan. Matanya terlihat fokus bagi cepat menuju ke destinasinya yakni, dewan latihan pahlawan.
"Selamat pagi Cik Puan Zarina." Tegur dayang-dayang yang lalu-lalang di situ.
Zarina hanya membalas teguran-teguran tersebut dengan senyuman dan anggukan. Dia mahu bergerak pantas serta menyimpan nafas, jadi lebih baik dia tidak berbicara yang mana mampu membuatkannya lebih cepat penat.
Kepalanya dipenuhi dengan pelbagai kata-kata dan bicara yang ingin dia ucapkan pada Aryan. Banyak berita yang harus disampaikan yang bakal memastikan Aryan untuk pulang dengan selamat. Rabiha akan bernikah tidak lama lagi bersama Andika! Aryan tidak boleh lupakan itu.
"Satu lagi untuk beri Aryan serba salah, beritahu dia yang Rabiha masih belum bernikah lagi. Cincin sudah di jari, tetapi majlis belum ada lagi!" Ujar Fazia sebelum tertawa kuat sambil bercekak pinggang.
Rabiha sempat menampar bahu Fazia perlahan dengan wajah menyampah. "Tidak baik tau begitu. Aryan hanya melakukan kerjanya, ini tanggungjawabnya. Tidak baik buat dia rasa serba salah." Marahnya tegas.
Fazia hanya tersengih-sengih bak kerang busuk. Keluhan kecil Zarina lepaskan. Betul kata Rabiha, tidak baik sekiranya kita sengaja mahu membuatkan seseorang itu berasa serba salah terhadap kerja yang dipilihnya. Ini pilihan Aryan, bak kata Shafhan.
Langkah Zarina semakin laju apabila dia sudah hampir ke destinasinya. Pintu dewan pahlawan dibuka dengan penuh tenaga. Dia bersedia untuk bertemu dengan pandangan mata-mata pahlawan yang bakal merenungnya dengan pelik.
Angin berderu laju, meniup selendang yang dipakai Zarina. Kosong. Dewan latihan pahlawan tersebut kosong tidak berpenghuni.
Tanpa membuang masa, Zarina berlari pula ke kandang kuda yang menempatkan semua kuda milik para pahlawan dan juga keluarga diraja. Setibanya di sana, hanya kuda-kuda milik keluarga kerabat Angin Putih sahaja yang tinggal di situ. Zarina hampir terduduk, terkejut dengan kenyataan itu.
Tangannya memaut tiang kandang tersebut dengan kuat. Ya Allah, dugaan apakah ini?
"Ina cari Aryan ke? Kumpulan pahlawan sudah bergerak selepas Subuh tadi supaya cepat sampai ke Damai Kundang." Tidak menoleh ke belakang pun sudah Zarina tahu bahawa yang berbicara itu ialah emaknya, Makcik Zakiyah.
Berderai jatuh air mata Zarina dari anak matanya yang bundar. Jika beginilah nasibnya, dia hanya mampu berdoa agar Aryan pulang dengan selamat dan bersama-sama dengan mereka untuk menyambut kemenangan Angin Putih nanti. Ya, mereka harus menang.
"Aryan tu antara pahlawan terhebat yang pasukan Angin Putih ada. InsyaAllah pahlawan negara kita bersama negara sekutu akan memenangi perang ini. Allah ada dengan orang-orang yang benar." Ujar Makcik Zakiyah.
"Pastilah! Jika tidak, Aryan balik nanti Ina tumbuk dia." Sempat Zarina berjenaka seraya mengelap air matanya menggunakan lengan baju.
°°°°°°°°°°
Bersenandung kecil, Aleya memerhatikan sahaja keadaan yang agak kucar-kacir di bandar Lembayung Merah itu. Warga istana yang terlibat, pahlawan-pahlawan yang bersenjata termasuklah yang berkuda, semuanya sedang berlari-lari menuju ke sempadan Lembayung Merah untuk ke Damai Kundang. Para penduduk melihat keadaan tersebut dengan mata yang membulat dan wajah terkejut. Yalah, tidak semua orang tahu bahawa akan ada peperangan yang berlaku.
Kononnya mahu memastikan rakyat untuk tidak panik. Namun jika keadaannya sudah begini, rakyat pun pastinya panjang akal dalam memahami apa yang terjadi.
"Dengar cerita, Lembayung Merah dan Sutera Kuning akan berkerjasama dengan Tasik Kelabu. Habislah negara-negara sana." Suara seorang lelaki menangkap gegendang telinga Aleya.
"Tengok dulu. Pahlawan Angin Putih kuat, Bahtera Biru pula penyumbang senjata terbesar. Apa hamba fikir yang mereka tidak akan berperang mati-matian juga?" Balas seorang wanita pula di situ.
Aleya menjulingkan matanya ke atas tanda menyampah. Sudah tidak tahu itu, diam-diam sahaja. Tidak perlu berbicara dan memandai-mandai membuat cerita. Tidak seperti dia, sememangnya masuk dan keluar istana sesuka hati, pelbagai cerita yang dapat dia dengari secara terus daripada keluarga diraja sendiri.
Setelah berpuas hati dengan apa yang dia dapat lihat hari itu, Aleya kembali ke istana dengan langkah yang laju. Senyuman sinis tidak lekang daripada bibirnya. Lihatlah Angin Putih, hanya kerana seorang rakyat Lembayung Merah, negara engkau bakal binasa.
Jika Shafhan dikahwinkan bersama Aleya, tidakkah akan bahagia negara tersebut?
Ini tidak. Sudahlah dayang, rakyat biasa pula itu, selepas itu disatukan bersama seorang putera yang sempurna dari segi rupa, akhlak, ilmu, kekuatan dan sebagainya. Untuk berkahwin bukankah harus sekufu? Seorang yang berpestij dan kaya, dikahwinkan dengan orang yang biasa-biasa. Tidakkah sudah melanggar segalanya?
Para pengawal yang menjaga kawasan istana tersebut segara membongkokkan sedikit tubuh mereka setiap kali Aleya melalui di hadapan mereka. Aleya terasa bangga dengan pencapaian ini. Meskipun dia dipaksa untuk hidup bersama dengan putera Lembayung Merah, sekurang-kurangnya dapatlah dia merasa kehidupan diraja dan berangan kehidupannya adalah bersama Shafhan. Dan dengan kehidupan ini juga, dia dapat membalas dan mendatangkan rana pada perampas kekasih hatinya. Aleya menari kecil dan berpusing-pusing di sekitar koridor, menunjukkan kegembiraan hatinya.
Berdilusi, itulah apa yang dapat dilihat oleh Tengku Aisy yang kebetulan sedang melalui kawasan tersebut. Jika bukan kerana dia putera di sini, sudah lama dia berlari keluar dari negaranya sendiri. Semua orang di negara ini gila-gila gamaknya.
"Haih." keluh Tengku Aisy di situ. Fail di tangan dipeluknya kuat dengan kaki yang kini melangkah ke singgahsana istana itu.
Tangga istana dituruni perlahan-lahan. Pelbagai perkara sedang bermain dalam kepalanya kini. Sedih, marah, cemas, semua sedang dirasakannya sekarang ini. Negaranya terlibat dengan peperangan yang dia sendiri tidak mahu terjadi. Sudahlah dia juga merupakan salah seorang pemimpin, jika apa-apa yang berlaku, di akhirat nanti dia turut akan dipersoalkan.
Tengku Aisy meraup mukanya dengan keluhan kesal. Ya Allah, penatnya menjadi seorang putera. Meskipun bukan dia yang memerintah negara, apa-apa keputusan yang terjadi pasti melibatkannya juga. Ini bermakna terdapatnya pelbagai cara untuk dia hentikan semua ini.
Jika tiadalah Tengku Aidan mahupun Cik Muda Aleya itu, pasti lebih mudah untuk dia mempengaruhi ayahandanya untuk tidak menyertai peperangan tersebut dan mengubah cerita tentang pernikahan Shafhan dan Zarina. Namun bukan dua orang itu sahaja menjadi halangannya, malah Tengku Rhaidan dan Tengku Rhaina yang menjadi orang tengah ayahandanya dan Raja Narendra turut menyibuk sama.
"Eh, tak sertai perang pun tu pun nak risau-risau ke? Kita mesti menang punyalah. Tak perlu tunjuk risau sangat." Sibuk Tengku Aidan yang sedang berpeluk tubuh dan bersandar di dinding berdekatan dengan koridor tangga. Pandangan matanya seperti sedang mengejek keadaan Tengku Aisy.
Menjeling adiknya, Tengku Aisy tidak menghentikan perjalanannya ke singgahsana. Mengesan ketidakselesaan abangnya itu, Tengku Aidan segera mengekori dari belakang.
"Kau nak buat apa dengan fail tu? Tunjuk dekat ayahanda supaya pasukan kita berundur? Jangan haraplah." Ujar Tengku Aidan lagi, sengaja menambah bara.
Tengku Aisy mengeluh kuat. Failnya itu diberikan pada Tengku Aidan secara tiba-tiba, membuatkan putera kedua itu terkejut dan tergesa-gesa menangkap fail tersebut. Terkebil-kebil dia memandang putera sulung negara mereka itu.
"Kau bagi fail ni dekat ayahandalah macam itu. Aku tak nak ada apa-apa dengan negara ini buat masa sekarang. Aku mahu berhijrah ke tempat lain sekejap. Aku harap kau seronok dapat gelaran 'putera mahkota' selepas ini." Balas Tengku Aisy, geram. Mahkota di kepalanya diangkat dari kepala dan diletakkan ke atas kepala adiknya. "Jaga diri baik-baik, aku tak sayang kau."
"Aku pun tak sayang kau juga." Ucap Tengku Aidan bongkak setelah dia sedar dari terkejutnya. Sambil melihat Tengku Aisy berjalan pergi meninggalkannya, sambil itu Tengku Aidan membetulkan mahkota di atas kepalanya itu. "Sekali kau keluar dari benua negara Melayu mahupun Lembayung Merah, kau bukan siapa-siapalah Aisy." Sambungnya lagi.
Dengan senyuman senget, Tengku Aisy menoleh ke belakang. "Aku pergi sekejap je, nanti aku baliklah semula. Bila ayahanda sedar diri nanti, boleh jadi dia sendiri yang akan kembalikan mahkota itu pada aku. Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya, Aidan." Jawabnya sebelum menghilang di sebalik pintu besar berwarna emas.
Berdiri seorang diri di situ, Tengku Aidan mengeluh panjang. Eh Tengku Aisy ini, beban dia dilepaskan pada adiknya pula. Nasiblah.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro