👑~ XLIII : 43 ~👑
Hari yang ditunggu-tunggu telah pun tiba, keadaan istana sungguh gegar-gempita. Umpama memahami apa yang akan berlaku, suasana negara Angin Putih benar-benar tenang dengan cuaca yang redup dan angin sepoi-sepoi bahasa yang menemani. Para petugas istana kini sibuk berlari ke hulur ke hilir, menyiapkan segala apa yang perlu.
Para pengawal berada di posisi dan bangunan yang telah ditugaskan, pahlawan pula sudah diarahkan untuk berkawal dan meronda, manakala para dayang dan pembantu istana menyibukkan diri dengan segala persiapan dan hiasan di dalam istana. Namun begitu, hanya enam orang petugas istana sahaja yang diberikan pengecualian daripada terlibat sama. Dan salah seorang daripada mereka sedang disolek cantik oleh puteri sulung kerajaan Angin Putih.
"Ina, cantiknya awak!" Puji Fazia sambil menyatukan kedua tangannya. Wajahnya bersinar dengan keterujaan, memandang Zarina dengan penuh takjub.
Zarina kini berpakaian seperti puteri salju, disertai selendang yang dihiasi mata-mata manik. Lambang angin putih memainkan peranan besar pada pakaiannya pada hari itu. Veil jernih terletak kemas di atas kepalanya.
"Ya Allah, saya yang bertunang dahulu, dia yang akan kahwin dahulu. Saya tak sangka, kawan saya sudah mahu bernikah!" Rabiha berkata gembira, menggenggam tangan Zarina kuat-kuat. Sedari tadi dia berada di sisi sahabatnya itu, merenung segala perbuatan Shahmina bagi menghiasi wajah Zarina. Tidak dia sangka sama sekali, sahabatnya yang menolak cinta semua insan yang meminatinya hanya dengan alasan kerana dia telah jatuh cinta dengan seseorang yang sifatnya fiksyen sahaja akan bernikah. Namun Allah itu Maha Kaya, munculnya seorang pemuda yang memenuhi segala keinginan Zarina.
"Tidak mengapa." Sambut Andika, tidak jauh dari mereka. Rabiha segera menoleh ke arah sang pemilik suara. "Nanti kita pula." Sambungnya lagi, mengekalkan pandangan mata dengan tunangnya itu sebelum memberikan kenyitan manja.
Rabiha sekadar menggulingkan bebola matanya, menyembunyikan wajahnya yang kian memerah. Andika pula terkekek-kekek ketawa sendiri sehinggalah dia diam akibat disiku oleh Tuah yang berada di sisi.
Di sudut dinding yang berdekatan dengan pintu, kelihatan Aryan dan Nafiz sedang menonton segala apa yang berlaku di dalam kamar itu dengan penuh terhibur. Mereka berdua tersenyum simpul dengan keriuhan yang berlaku. Shahmina tidak kurang juga dengan mulutnya yang berkata macam-macam tanpa berlapik.
Pandangan Aryan jatuh pada Zarina yang dari tadinya tidak membuka bicara. Wajah wanita itu terlihat tenang dan manis dengan senyuman. Pandangan matanya jauh, seperti sedang memikirkan perkara yang serius. Dalam diam, hati Aryan seperti dipenuhi rama-rama, membuatkannya lemas dan mengalami sakit yang bakal mengeluarkan air mata. Hatinya pedih apabila memikirkan bahawa dia akan melepaskan sahabatnya itu ke tangan lelaki yang lain.
Adakah dia tidak layak sama sekali? Mengapa bukan dengan dirinya Zarina dinikahkan?
Atau adakah selama ini dia berasa takut ditolak sehingga tidak mahu mencuba nasib sama sekali? Kini, dia harus menanggung perih dan menerima realiti bahawa Zarina, rakan sepermainannya dari kecil, bakal disatukan dengan putera yang bakal mentadbir tanah airnya iaitu Putera Tengku Shafhan Iyyad. Pemuda terbaik dan budiman yang pernah Aryan temu dalam hidupnya. Dia yakin, Zarina berada di bawah jagaan insan yang baik.
Cinta Shafhan kepada Zarina adalah kerana Allah. Adakah cintanya tidak jatuh pada kategori yang sama?
"Aryan." Suara Nafiz menggamit Aryan semula ke alam realiti. Pahlawan itu menoleh ke arah sahabatnya, tetapi pembantu istana itu langsung tidak memandangnya. Matanya masih merenung hadapan, melihat suasana meriah di hadapan mereka itu dengan wajah sayu. "Lepaskan." Sambung Nafiz lagi.
Sebak, itu apa yang dirasakan oleh Aryan tatkala mendengar suara Nafiz yang lembut dan memujuk itu. Dia tahu apa yang cuba Nafiz sampaikan. Dia tidak berhak untuk tidak redha ke atas apa yang akan berlaku, namun hanya Allah sahaja yang tahu isi hatinya pada ketika itu.
"Lepaskan." Ucap Nafiz sekali lagi dalam nada berbisik pula.
Insan yang menjadi watak utama hari itu pun turut berkecamuk sama mindanya, disebabkan itulah dia sekadar mendiamkan diri dan berniat untuk melihat sahaja apa yang akan berlaku. Zarina seperti berada di dua dunia, memikirkan sama ada gembira atau duka akan menjadi pilihannya.
Istikharah sudah dilakukan, hatinya kuat mengatakan bahawa jodohnya Shafhan. Dia tidak mahu berdalih-dalih dan syak-wasangka lagi kerana Allah sudah menetapkan yang terbaik untuknya. Namun begitu, mindanya menerawang ke arah perbualannya bersama Shahmina dan mereka yang lain pada beberapa minggu yang lepas.
"Lagi pun, perempuan tu dah balik kan tadi? Ada perkara yang lebih penting yang mahu saya bincangkan.Dan semua ini saya boleh kata, semua sebab perempuan itu." Tutur Shahmina dalam nada serius dan wajahnya terlihat marah.
Zarina memandang kedua orang sahabat yang bersamanya kini. Mata Rabiha dingin, seperti mengatakan bahawa dia akan menyertai perang jika perkara ini melibatkan Aleya. Manakala Fazia pula jelas mengetap bibirnya, matanya tajam merenung Shahmina.
"Lembayung Merah banyak pertikaikan pilihan bonda dan ayahanda. Jika kita sebut Lembayung Merah, pasti Sutera Kuning akan terlibat sama dalam penyebaran informasi ini. Saya risau yang perkara yang kita elak selama ini akan berlaku. Tujuh negara Melayu ini sudah lama berdamai, saya tidak mahukan perang." Shahmina berkata jujur dengan riak yang sukar untuk ditafsir.
Suasana terasa kekok tiba-tiba. Masing-masing sedang cuba untuk memproses apa yang baru sahaja diperkatakan oleh puteri itu tadi.
"Perang?! Jika Putera Shafhan kahwin dengan Ina nanti akan ada perang?!" Fazia memecahkan suasana kekok itu terlebih dahulu dengan suaranya yang nyaring.
Anggukan yang sedikit teragak-agak diberikan oleh Shahmina kepada mereka bertiga. "Tiga daripada tujuh negara ini merupakan negara terkuat dalam kumpulan negara-negara Melayu. Mereka sangat mementingkan darah daging dan keturunan diraja, tidak mahu ada yang bercampur sekalipun kecuali ada sebab tertentu. Sebagai contoh, Kemuning Hijau yang mencari mereka yang rambutnya perang agar mengekalkan warisan keturunan mereka itu." Shahmina menyambung ceritanya. "Oleh itu, mereka akan memerangi orang yang melanggar landasan itu. Atas sebab 'Allah menyuruh kita kahwin dengan yang sekufu'."
"Ya Allah, tidak akanlah..." Rabiha berkata perlahan, tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Tangannya dibiarkan di hadapan wajah seperti ingin menutup mulutnya tetapi tidak kesampaian.
Zarina memandang Shahmina dengan mata yang membulat. Dia sudah menjadi serba tahu tentang perkara ini sejak kedatangan Aleya dalam istana ini namun, dia tidak sangka bahawa Shahmina akan membuka cerita begitu sahaja. Hubungan antara negara adalah sulit agar tidak menakutkan para penduduk dan merosakkan jalinan ukhuwah antara rakyat negara lain.
"Jadi saya mahu kita semua berjaga-jaga agar tidak ada perkara buruk yang berlaku. Sentiasa ada dekat satu sama lain dan menjaga kesejahteraan istana. Saya tidak mahu ada yang diculik, terbunuh atau apa-apa yang buruk sekalipun selepas majlis pernikahan dan sebelum majlis perkahwinan untuk hebahan hubungan ini." Pesan Shahmina yang mana menyebabkan mereka di situ tergamam.
"Baik." Laju sahaja Zarina membalas.
Mata Zarina terasa berair. Dia berasa lemas dalam pilihan yang diberi. Benar, hatinya berbunga-bunga untuk dikahwinkan dengan lelaki idamannya. Tetapi jika nasib seluruh negara akan berubah atas sebab keputusannya, adakah ia berbaloi?
"Allah ada." Shahmina bersuara sambil menepuk bahu Zarina berkali-kali dari tempatnya yang berdiri di belakang Zarina. Wanita itu akhirnya memandang cermin, matanya tertancap pada wajah Shahmina yang lembut tersenyum. "Jangan risau, Allah ada."
Ketukan pintu pada kamar tersebut mengejutkan semua yang berada di dalam. Terjengul kepala seorang pengawal dengan senyuman nipis di muka pintu. "Ada sepuluh minit lagi sebelum majlis bermula." Ujarnya.
°°°°°°°°°°
"Aku terima nikahnya, Zarina Elisya Binti Muhammad Zainal dengan mas kahwinnya senaskhah Al-Quran."
Selepas ucapan sah oleh saksi, Shafhan berjaya menghalalkan Zarina hanya dengan satu lafaz. Tangisan terharu dan sorakan para petugas istana yang menonton sama memenuhi dewan kecil tersebut. Keluarga-keluarga diraja yang dijemput hadir pula mengucapkan tahniah dan memberikan pelukan serta salam kepada saudara-saudara mereka.
Tengku Ahmed hanya mampu melihat dari jauh dan menahan rekahan jiwanya yang membesar. Tatkala Zarina menyalam tangan Shafhan dan Shafhan menunduk bagi mencium dahi Zarina, Tengku Hijazi mengusap lengan Tengku Ahmed berkali-kali bagi menenangkan sahabatnya itu. Bukan putera Bahtera Biru itu sahaja yang patah hati, dia turut merasakan perkara yang sama.
Iyalah, dia dahulu yang yang menghantar pinangan namun ditolak begitu sahaja. Tetapi tidak mengapa, dia sedar akan tempatnya. Adalah yang lebih baik bakal hadir mengisi kekosongan hati.
Hidup ini tidak seharusnya berpaksikan jodoh sahaja, masih ada banyak hikmah dan asbab yang boleh dicari jika dilihat dari sudut positif. Allah tahu dia masih belum bersedia untuk menerima komitmen itu.
Kini, Tengku Ahmed pula yang menggenggam lengan Tengku Hijazi kuat-kuat seperti cuba untuk menyalurkan semangat yang tidak dapat dilihat. Masing-masing saling berpandangan dan cuba untuk menjadi tongkat kekuatan satu sama lain. Mereka harus kuat demi Shafhan kerana perkara yang akan berlaku selepas pernikahan ini adalah lebih berat.
Lagi pun, yang hadir dalam majlis ini hanyalah insan terpilih sahaja. Para petugas istana pula sudah berikrar setelah diarahkan agar mengunci mulut dan tidak menyebarkan perkara ini agar tidak terlepas ke orang luar. Betul, perkahwinan perlu dihebahkan agar tidak menimbulkan fitnah namun kerabat Angin Putih masih belum mahu mengambil risiko. Biarlah mereka berfikir sebelum bertindak terlebih dahulu.
"Anak bapa!" Suara Pakcik Zainal kedengaran di sebalik kebisingan itu. Lelaki tua itu memeluk Zarina erat-erat dengan tangisan di wajah. "Jaga diri baik-baik tau. Allah sayang kamu. Jangan buat Shafhan marah, jangan gaduh..." Bebelnya lagi dengan pelbagai perkara yang tidak masuk akal.
Zarina pula naik segan dengan perbuatan bapanya itu. Matanya memandang Makcik Zakiyah seperti ingin meminta pertolongan, namun wanita tua itu sekadar membiarkan.
"Bapa, Ina akan duduk dalam istana juga macam biasalah. Orang kerja sini pun kan selama ni. Bapa fikir Ina akan pergi mana?" Ujar Zarina, sedaya upaya menolak bapanya agar melepaskan pelukan. Shafhan di sebelah pula tersenum nipis melihatkan adegan itu.
Tengku Ahmed dan Tengku Hijazi ketawa sendiri di tempat mereka. Di seberang sana pula, tiga beradik kerabat Sahmura Ungu turut melakukan perkara yang sama.
Suasana meriah ini perlulah diamati sepenuhnya sebelum perkara yang mendatang bakal memburukkan keadaan. Kita hanya merancang, namun Allah-lah sebaik-baik perancang. Perkara yang baik dan buruk, semuanya Allah yang beri. Kita hanya perlu menerima dan bersabar.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro