👑~ XLII : 42 ~👑
"Mahu hantar tidak pasukan pahlawan kita ke sana? Angin Putih ini semakin menjadi-jadi sungguh. Sudah dikatakan, keluarga diraja tidak boleh mencemarkan darah dan keturunan mereka dengan rakyat biasa. Kita ini mulia, mereka itu sekadar duduk di bawah menunggu arahan kita." Raja Narendara bersuara lantang di ruangan santai yang terdapat di Bangunan Sulaman, Istana Sutera Kuning.
Raja Khaizuran dan Tengku Aidan sudah berubah wajah, menunjukkan bahawa mereka sudah termakan dengan kata-kata Raja Sutera Kuning itu. Tengku Aisy pula menggeleng perlahan, meraup wajahnya kesal. Apalah manusia ini jika berada dalam pandangan tuhan? Sungguh tidak layak menyatakan bahawa mereka lebih mulia daripada sesiapa sedangkan mereka jua dicipta daripada tanah dan akan dikembalikan dalam keadaan yang sama jua.
Melainkan mereka itu pilihan Allah, maksum dan tiada dosa.
"Boleh sahaja jika kita mahu menghantar tentera kita ke sana tetapi kita harus ingat jua. Angin Putih bukan sekadar Angin Putih. Negara mereka itu nampak sahaja aman dan harmoni tetapi jika dilalui pasti bertemu onak dan duri. Mereka punyai pahlawan dan pengawal yang handal, apatah lagi jika digabungkan dengan negara-negara yang lain." Tutur Tengku Aidan dengan petah. Aleya di sebelah dipandangnya sekilas sebelum memandang semula ke hadapan.
Tengku Rhaidan dan Tengku Rhaina yang sempat melihat adegan 'manis' itu berbisik-bisik sendiri. Menyibuk tepi kain orang sungguh.
"Hah, mereka itu negara-negara kecil. Kita ini besar dan jika digabungkan, akan lebih besar. Belum lagi kita usulkan cadangan kita ini pada Tasik Kelabu. Pasti meriah pertumpahan darah nanti di sekitar kawasan perang." Balas Raja Narendra dengan bongkak. Kepalanya didongakkan ke atas sedikit, menunjukkan keangkuhannya.
Keluhan kuat Tengku Aisy lepaskan, menyebabkan semua memberikan perhatian kepada putera mahkota Lembayung Merah itu. "Kecil jika digabungkan boleh menjadi besar. Jangan lupa, Bahtera Biru itu merupakan pusat perdagangan terbesar dan banyak menyumbang kepada kekayaan negara-negara Melayu. Bukan itu sahaja, Kemuning Hijau telah banyak menyumbang dalam sektor pertanian, menyebabkan kita masih belum hilang punca makanan dan sumber kehidupan. Belum lagi jika dibicarakan Sahmura Ungu yang tidak lain tidak bukan merupakan negara lombong sahmura terbesar-"
"Sudah. Ayahanda tahu tentang semua itu. Tetapi sumbangan-sumbangan itu tidak penting. Apa yang penting sekarang ini adalah menegakkan keadilan terhadap apa yang salah. Kekayaan itu tidak dilihat di mata Allah, negara-negara itu hanya secebis sahaja pada pandangan-Nya." Potong Tengku Rhaidan sambil berpeluk tubuh. Dia bersandar pada kerusi, mencerlung Tengku Aisy dengan tajam.
Pipi Tengku Aisy memerah, malu akan teguran itu. Pastilah dia tahu bahawa keluarga diraja maklum akan kehebatan setiap negara tetapi dia ingin menekankan sesebuah topik yang penting sebelum peperangan dilakukan. Ekonomi negara-negara Melayu akan merudum sekaligus berpecah-belah yang akan menyebabkan kemurkaan yang Maha Esa.
"Keadilan tetap keadilan, Tengku Shafhan tidak berhak dimanjakan oleh bonda dan ayahandanya begitu. Boleh pula katanya Dayang Ina itu pilihan Raja dan Permaisuri? Tidak malukah disatukan dengan orang biasa?" Tengku Rhaina pula bersuara, tidak mengendahkan ucapan Tengku Aisy dan Tengku Rhaidan sebentar tadi.
Rengusan nafas Tengku Aidan dapat didengari, seperti dia ingin melepaskan tawa. Lekas semua memandang ke arahnya. "Aduhailah kalian ini. Dayang Ina itu baik dan jelita, siapa sahaja tidak tertawan? Bahkan beta pernah tertawan jua, hampir sahaja menculiknya ke Lembayung Merah. Tetapi apakan daya, perangai tidak serupa wajah, dia melawan beta." Tuturnya dengan cebikan.
Aleya lantas memberikan jelingan paling tajam pada Tengku Aidan. Wah, wah, wah, memuji wanita lain di hadapan bakal isteri sendiri. Sudah itu pula, wanita yang pernah cuba dibunuh oleh Aleya sendiri sewaktu dia menyamar menjadi seorang dayang di situ.
Lelaki, wanita sahaja dilihatnya. Tidak seperti Shafhan yang sentiasa menundukkan pandangan. Langsung tidak sesuai bersama Zarina yang sentiasa dilihat orang itu. Wanita yang baik ialah wanita yang tidak melihat dan tidak dilihat. Ini apa? Semua melihatnya. Jadi, salah siapa sekarang ini jika bukan dia yang menggoda?
"Lawan saudara Aidan? Berani betul lawan seorang putera." Tengku Rhaidan berkata dengan wajah yang terkejut dan jelik sekali. Pelbagai persepsi sudah jatuh pada wanita Angin Putih itu.
"Dia hanya mempertahankan diri." Tukas Tengku Aisy dalam nada marah.
"Kamu ini, mengapa mahu pertahankan dayang itu?" Suara Raja Khaizuran menggegarkan ruangan tersebut. Nafasnya turun naik akibat marah. Dari tadi dia melihat sahaja Tengku Aisy yang asyik membangkang. Anakandanya yang seorang ini sudah kenapa?
Tengku Aisy akhirnya mengeluh kuat, meraup wajahnya sebelum menjeling setiap seorang yang berada di dalam kamar itu dengan jelingan maut. Semua yang memandang kini mengunci mulut, merasa sejuk sehingga ke tulang.
"Penatlah bercakap dengan orang tidak berfikir sebelum bertindak ni. Allah bagi rezeki jadi pemimpin tapi perangai tak serba bikin. Lebih fikirkan pandangan orang daripada pandangan agama dan menggunakan agama untuk tutup aib sendiri. Lebih rendah daripada sampah." Tutur Tengku Aisy, dingin sekali. Dia kemudiannya bangkit berdiri dan meninggalkan ruang tersebut.
Keadaan sunyi seketika, menerbitkan rasa kekok di situ. Namun, kekoknya tidak lama apabila Tengku Aidan tertawa besar dan terbahak-bahak sehingga membuatkan semua yang berada di situ berasa pelik.
"Lantaklah si Aisy tu. Sudahlah, beta mahu keluar." Selamba Tengku Aidan bersuara kemudian turut berdiri. Dia melangkah ke pintu, tidak menoleh ke belakang lagi.
Raja Khaizuran sudah menepuk dahi manakala Aleya pula ternganga besar. Dia ditinggalkan begitu sahaja? Apa tempatnya di dalam keluarga ini?
Sedang semua mengalami kejutan dengan apa yang telah berlaku, Raja Khaizuran bertindak dengan berdehem perlahan bagi menarik perhatian semua orang. Sebaik sahaja Raja Narendra melihatnya, dia tersenyum nipis. "Saudara mahu ke Angin Putihkah? Mungkin pendapat saudara dapat mengubah fikiran mereka?" Cadangnya.
Raja Narendra sekadar mencebik kecil dan menjongketkan bahu. "Entahlah, mahu ke sana pun sudah susah. Dari Sutera Kuning yang hampir hujung dunia ini, agak sukar untuk berulang-alik. Lagi pun, mereka itu keras kepala. Malas mahu berbicara." Balasnya.
Tengku Rhaidan dan Tengku Rhaina saling berpandangan. Bukan mereka tidak tahu bahawa ayahanda mereka ini gerun untuk bertemu dengan keluarga di negara di bahagian sana itu.
Angin Putih terletaknya di atas garisan sejuk bumi, sentiasa dingin dan selalu berangin sehingga kadangkala ditimpa ribut. Bahtera Biru, peneraju utama dalam industri perkapalan dan perdagangan atas sebab kedudukan mereka yang dikelilingi laut. Kemuning Hijau pula negara yang dipenuhi hutan dan flora, negara paling indah kepada mereka yang pernah menjejakkan kaki ke bumi dan negara-negara Melayu.
Itu belum masuk lagi Sahmura Ungu, negara yang menyumbang besar pada sektor perlombongan sahmura di antara mereka semua. Negara ini juga merupakan pusat terbesar sekolah-sekolah pondok kepada para pendidik dan pelajar.
Jika mahu menyumbatkan Lembayung Merah dan Sutera Kuning ini, apalah sangat mereka ini? Lembayung Merah itu panas sepanas-panasnya, tetapi banyak membantu dalam sumber galian seperti arang dan emas. Tidak kurang juga dengan gelaran negara yang memiliki pemandangan matahari terbenam yang paling cantik. Mereka kaya, tetapi tidak sekaya Sutera Kuning. Sutera Kuning ialah pengedar kain terbanyak untuk membuat pakaian dan sebagainya. Bukan itu sahaja, mereka merupakan negara yang paling dominan serta berkuasa dalam negara-negara Melayu dan lantang dalam memberikan peraturan agar diikuti semua orang.
"Negara kita ini benar-benar dibenci semua orang ya, Rhaidan? Sebab tu ayahanda takut?" Bisik Tengku Rhaina seperti menyatakan fakta. Mereka berdua ini sudahlah selalu mendengar gosip-gosip manusia, pastilah tahu benar tentang ketidaksukaan rakyat pada dua negara ini.
"Hmph, buat apa mahu takut jika dibenci orang? Ayahanda itu takut tidak mampu melawan sahaja. Maklumlah, katanya Angin Putih itu 'degil'. Tetapi jika dilihat, bukankah kita juga sama sahaja?" Bisik Tengku Rhaidan semula. Matanya melilau melihat dua orang raja yang sibuk berbicara seperti keputusan Angin Putih itu merupakan masalah dunia.
Anggukan kecil Tengku Rhaina berikan sebelum pandangannya beralih pada Aleya yang sudah tidak senang duduk. Puteri itu sekadar mengeluh kecil dan menghampiri Aleya, mengambil tahu tentang ketidakselesaan rakyat Lembayung Merah itu. Dia menghulurkan tangan.
"Mari, beta bawakan tuan hamba ke kereta kuda." Ajak Tengku Rhaina dengan senyuman manis, bersimpati dengan Aleya.
Aleya menyambut huluran tersebut dengan lekas. Dia benar-benar ingin keluar dari situ. Segalanya menakutkan dan memberikan aura kuasa yang tidak enak. Apa yang sudah dia libatkan diri ini?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro