👑~ X : 10 ~👑
Pintu istana Angin Putih dibuka seluasnya bagi menyambut kedatangan tetamu terhormat dari pelbagai negara. Majlis besar-besaran telah diadakan oleh ahli keluarga diraja Angin Putih bagi menunjukkan bahawa kepulangan Tengku Shafhan Iyyad memberikan makna yang besar buat mereka.
"Dayang Aliya tidak bersama kita hari ini?" Soal Zarina yang berdiri di barisan yang telah ditetapkan buat petugas istana yang bertugas pada hari itu.
Dayang Istana yang bertugas khas di samping Tuan Putera Shafhan akan berdiri di bahagian kanan istana dalam pakaian dayang yang telah ditetapkan. Jika dipanggil sahaja baru mereka bergerak.
"Tidak. Dayang Aliya mengalami sakit perut yang agak teruk pada hari ini. Maka dengan itu, dia sedang berehat di kamar setelah berjaya menelan sebiji pil yang diperbuat daripada arang." Balas Rabiha yang berdiri di sebelah Zarina.
Zarina mengangguk faham namun riak risau tidak dapat disembunyikan daripada wajahnya. Sungguh dia amat mengambil berat akan dayang muda yang seorang itu.
"Jangan risau Dayang Ina, InsyaAllah Dayang Aliya akan sembuh dengan secepat mungkin. Lagi pun, senyumlah untuk hari ini. Jelas kecantikan Dayang Ina dengan selendang sutera itu." Sempat lagi Rabiha memuji kejelitaan Zarina.
Tersenyum Zarina mendengarkan pujian itu. Tudung sutera yang dibelikan oleh Aliya itu diusap kainnya dengan penuh lembut.
Kini, dewan sudah mula dipenuhi keluarga kerabat bagi memulakan majlis. Mereka semua sudah mula berjalan-jalan, berbual dan menjamah makanan.
Walaupun begitu, Zarina sudah tidak senang duduk apabila dua pasang mata acap kali mengerling ke arahnya. Boleh teka siapa? Pastilah putera kerajaan Bahtera Biru yang sentiasa menarik perhatian para gadis dan putera kerajaan Kemuning Hijau yang tajam pandangan matanya.
Seorang bersifat periang dan menawan manakala seorang lagi pula bersifat beku dan tidak dapat diramal. Siapakah yang bakal Zarina pilih?
Tiada siapa.
Kerana putera yang sedang bertakhta di hatinya bukan seorang yang bakal menjeling seseorang dengan sengaja.
Sedang Zarina mengelamun sendiri, dua orang putera itu bangkit dari duduk mereka. Kedua-duanya berjalan serentak ke arahnya dengan riak wajah serius.
"Dayang Ina, hamba telah dipanggil oleh Tuan Andika untuk ke sana. Hamba pinta diri dulu ya." Tutur Rabiha tanpa menyedari keadaan sahabatnya yang sudah gelabah itu. Mahu tidak mahu, Zarina sekadar mendiamkan diri sebagai tanda yang dia tidak kisah dengan perginya sahabatnya itu.
Tengku Ahmed Bakhri sudah melajukan langkahnya sebaik sahaja Rabiha melangkah pergi dari sisi Zarina. Tidak jauh darinya pula, Tengku Hijazi Rasydan hadir dengan riak yang sukar ditafsir.
Apa yang menakutkan Zarina sekarang ini ialah Tengku Hijazi yang datangnya dari Kemuning Hijau kerana dia telah menolak pinangan putera itu. Habislah, habislah!
Zarina mula menggigil sendiri. Mahu larikan diri, dia tidak tahu mahu ke mana dan tiada arahan untuknya bergerak. Akhirnya, dia sekadar berpaling ke arah lain dan berpura-pura tidak perasan akan kehadiran dua orang putera itu.
"Dayang Ina~" Suara Tengku Ahmed sudah mula memanggilnya.
Untuk gadis dan wanita lain, mungkin akan cair dengan panggilan itu tetapi tidak bagi Zarina. Tekaknya sudah mula berasa mual.
Dalam sekelip mata sahaja, kedua-dua putera itu sudah berdiri di hadapan Zarina sebelum kedua-duanya saling memandang dengan riak terkejut.
"Saudara Hijazi? Wah, sudah lama tidak kita bertemu. Assalamualaikum dan apa khabar?" Tegur Tengku Ahmed ramah sekali sambil menghulurkan salam.
Tengku Hijazi memandang huluran itu kemudian menyambutnya. "Waalaikumussalam. Khabar baik. Harap saudara dan keluarga turut berada dalam keadaan yang baik-baik sahaja." Balasnya sepatah-sepatah.
Zarina sekadar melihat interaksi antara kedua-dua putera yang hadir dari dua negara berlainan itu. Pastilah mereka kenal, jikalau tidak apa guna menjalin hubungan antara negara?
"Oh, Dayang Ina! Beta benar-benar rindu akan Dayang Ina setelah hampir beberapa bulan tidak berjumpa. Kali terakhir sewaktu di pekan, bukan?" Petah Tengku Ahmed berkata-kata. Walaupun sedikit janggal, Zarina tetap mengukir senyuman dan mengangguk-angguk.
Tengku Hijazi menonton kemesraan antara dua insan yang sedang berdiri di hadapannya kini. Sedikit rasa cemburu terbit di hatinya tanpa diminta.
Apabila Tengku Ahmed mula berbual mesra dengan Zarina, Tengku Hijazi memotong perbualan mereka dengan menyoal. "Maaf bertanya Dayang Ina, namun, mengapa pinangan beta Dayang Ina tolak?"
Diam. Zarina terdiam manakala Tengku Ahmed tersentak dengan soalan yang diujakan itu.
"Saudara sudah cuba untuk meminang Dayang Ina? Dan, Dayang Ina menolak? Mengapa?" Tanya Tengku Ahmed dalam nada terkejut. Matanya membulat melihat Zarina dan Tengku Hijazi.
Tengku Hijazi menarik nafas dalam kemudian menjawab. "Keluarga beta mementingkan keistimewaan keturunan maka dengan itu, setiap wanita yang berambut perang pasti akan dipinang. Tetapi sekarang ini, hanya Dayang Ina sahaja yang mempunyai keistimewaan tersebut."
"Pinangan yang dihantar adalah cadangan bonda. Mendapat tolakan bukanlah perkara biasa tetapi, beta faham dengan balasan tuan hamba. Beta... Bukan seorang yang akan memaksa." Sambung Tengku Hijazi lagi.
'Budiman sungguh.' Fikir Zarina. Tengku Hijazi juga memiliki rupa paras yang menarik. Tambahan lagi ketinggiannya yang ideal serta tubuh badan yang tegap kerana handal dalam berlawan. Tetapi mengapa? Mengapa wanita biasa ini yang dipinangnya?
Terangguk-angguk Tengku Ahmed setelah mendengar jawapan itu. Dia berpaling pula kepada Zarina yang ralik meneliti riak Tengku Hijazi. "Rambut perang... Eh! Dayang Ina, jelita sungguh tuan hamba dengan selendang itu." Pujinya setelah sedar akan perbezaan yang ada pada wanita itu.
"Junjung kasih buat Tuan Putera Ahmed Bakhri." Ujar Zarina, sedikit menunduk sebagai tanda hormat.
Bagaikan baru sahaja tersedar akan perubahan itu, mata Tengku Hijazi membulat seketika tatkala memandang Zarina sebelum mengalihkan pandangannya ke tempat lain. Wajahnya yang hampir terlihat merah itu ditutup dengan belakang tangan.
"Tuan Putera Ahmed Bakhri dan Tuan Putera Hijazi Rasydan, tuan putera berdua telah diseru oleh Tuan Putera Shafhan Iyyad yang berada di hujung sana." Tuah tiba-tiba sahaja muncul dari belakang kedua-dua putera itu.
Tengku Ahmed dan Tengku Hijazi segera mengangguk faham dan berlalu pergi. Zarina menghela nafas lega sebelum matanya lekas menangkap riak Tuah yang tersengih sambil menunjukkan ibu jarinya.
Hah, nampak sangat kerja si Tuah ni. Namun begitu, Zarina mengucapkan syukur kerana telah menerima bantuan secara tidak langsung.
Baru sahaja Zarina kembali berwajah serius, beberapa orang puteri pula menghampirinya. Alamak, siapa pula mereka ini?
"Dayang Ina, bukan?" Soal salah seorang daripada tiga orang puteri tersebut. Bertudung labuh bewarna ungu, bertahi lalat manis di bahagian dagu.
Zarina mengangguk mengiyakan sebagai jawapan.
"Ah, nama beta Adawiyah Safa. Panggil sahaja Puteri Safa. Dan, beta hadir dari negara Sahmura Ungu. Mereka ini pula adik-adik beta, Puteri Saadah dan Puteri Sakinah." Jelasnya apabila melihat Zarina yang sedikit terkulat-kulat dan kelu di situ.
Minda Zarina bagaikan baru sahaja berfungsi dengan baik. Oh, mereka inilah puteri-puteri negara Sahmura Ungu. Buat pengetahuan semua, Sahmura Ungu tidak memiliki putera kerana kesemua anakanda milik raja dan permaisuri Sahmura Ungu ialah berjantina perempuan.
"Wah, Dayang Ina rupanya! Jelita sungguh jika dilihat di hadapan mata. Selama ini, beta hanya mendengar cerita dari mulut ke mulut." Tutur Puteri Sakinah yang baru sahaja berumur belasan tahun. Seorang yang memiliki mata yang cantik, bertudung litup bewarna indigo.
Malu-malu kucing Zarina apabila dipuji sedemikian. Tidak henti-henti pujian yang diberi sejak dia berdiri di sini.
"Alamak, ayahanda sudah panggil." Ucap Puteri Saadah pula tatkala penasihatnya hadir memberitahu. "Maaf ya Dayang Ina, semoga beta mempunyai masa dan ruang untuk berbual bersama tuan hamba lagi." Sambungnya lagi kemudian meminta diri bersama kakak dan adiknya.
Lega. Kini, Zarina kembali berdiri tegak di situ tanpa bersuara lagi.
Mata-mata para dayang yang lain dibiarkannya. Biarlah mereka mahu berkata apa, kerana bukan dia yang memanggil para kerabat untuk berbual bersamanya. Oleh itu, jangan rasa bersalah dengan sesuatu yang tidak kita lakukan.
'Mana Rabiha ni?' Getus hati Zarina yang sudah pun mula gelisah kerana sebelahnya kosong tanpa penghuni.
Zarina tertunduk lemah bagi mencari kekuatan diri. Secara tiba-tiba, sepasang kaki berkasut kulit berhenti di hadapan Zarina. Entah mengapa, Zarina bagaikan terpaku tanpa mengangkat kepala.
"Hmm?" Pemilik kaki itu bersuara garau. "Perginya tidak diberitahu, gemar mengambil tindakan melulu. Andai kembali semula ke negara beta, akan tuan hamba menanggung akibatnya..."
"...Cik muda."
Zarina lantas mengangkat kepalanya setelah suara itu menghabiskan ayatnya. Kelihatan seorang lelaki sedang berjalan pergi. Wajahnya tidak dapat dilihat, hanya susuk belakangnya sahaja yang boleh dilirik.
"Cik muda? Siapakah? Aku bukannya bangsawan." Zarina bermonolog sendiri dengan kerutan yang jelas di dahi.
Siapakah lelaki itu dan adakah dia sudah tersilap orang?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro