👑~ VIII : 8 ~👑
Zarina menyidai cadar dan pakaian dengan penuh asyik. Memandangkan tiada sesiapa di situ, dia bersenandung perlahan.
Kejadian petang semalam membuatkan dia tersenyum kecil.
[Imbas semula]
"Selama dua puluh tahun, Tuan Putera Shafhan tidak pernah kembali ke istana melainkan keluarganya sendiri yang berangkat ke sana. Tujuan tuan putera berada di negara Sahmura Ungu adalah untuk mempelajari ilmu agama. Senang kata, belajar pondok."
"Tapi royal punya style gitu." Terang Tuah diakhiri dengan gaya. Selepas itu, dia terus sahaja menekup mulutnya setelah sedar yang dia sedang berbual dengan seorang petugas istana.
Zarina tertawa kecil. "Tiada apalah. Hamba faham." Balasnya, mengangguk.
"Kenapa Dayang Ina ingin tahu?" Soal Tuah dengan sengihan. "Dayang Ina berminat dengan Tuan Putera Shafhan... kah?"
"Eish, mana ada." Jawab Zarina pantas. "Sudah diberi kesempatan oleh Tuan Andika untuk bertanya tentang tuan putera, hamba ambillah kesempatan itu untuk mengenali insan yang hamba akan jaga kebajikannya."
Meskipun wajahnya ditayangkan biasa, hati yang tidak dapat dilihat orang itu berdetak hebat. Hampir-hampir sahaja niatnya itu dihidu oleh orang terdekat sang putera.
"Terima kasih kerana sudi memberitahu. Hari sudah semakin gelap, jadi hamba pulang dulu ya." Pinta Zarina kemudian keluar dari bahagian belakang bangunan. Risau sekiranya ada yang terlihat dia dan Tuah berdua-duaan di situ.
[Tamat imbas semula]
"Aku kena berubah." Monolog Zarina. Sehelai kain kosong dia ambil kemudian diletakkan ke atas kepala.
"Kot ya pun nak pakai tudung Zarina oi, janganlah guna tuala orang letak atas kepala." Tegur Makcik Zakiyah yang kebetulannya sedang melalui kawasan itu.
Serta-merta Zarina meletakkan kain tersebut ke tempatnya semula dan menyambung kerja. Aduh, itulah, buat lagi benda pelik-pelik. Kan sudah malu sendiri.
Makcik Zakiyah mengeluh kecil sebelum melangkah ke arah anaknya. "Nanti minta tips Rabiha kalau betul kau nak pakai tudung. Mak punya tudung ada sikit saja jadi tak boleh nak bagi pinjam." Pesannya tiba-tiba.
"Hmm yalah mak. Terima kasih." Balas Zarina acuh tidak acuh. Dah kalau namanya emak, tahu saja isi hati dan perasaan anaknya itu.
Dalam diam-diam, Tuah dan Andika mengintai dari jauh perbuatan Zarina dan Makcik Zakiyah yang sedang berbual rancak.
"Lah, emak dan anak rupanya. Patutlah petugas istana dan pengawal istana selalu hormat dekat makcik tu. Untuk cuba ambil hati emak kepada bidadari istana, kan?" Tebak Andika.
Tuah mengangguk laju. "Aku pun perasan tentang tu." Balasnya kemudian menyambung sesi mengintai.
"Tuan hamba penasihat berdua, sedang melakukan apa?" Tegur seseorang yang pelik dengan keadaan dua orang penasihat tuan putera berperangai seperti seorang penyangak.
Tuah dan Andika lantas berpaling ke belakang. Kelihatan seorang gadis sedang terkebil-kebil memandang mereka berdua.
"Ah, Dayang Aliya. Ada apa hadir ke sini?" Soal Tuah sambil membetulkan keadaan bajunya.
"Tiada apa. Hanya rasa hairan dengan keadaan tuan hamba berdua yang terhendap-hendap sejak tadi." Balas Aliya diiringi jongketan bahu.
Andika berdehem perlahan kemudian berkata. "Oh Ya Allah, hamba lupa yang hamba harus ke bangunan Beliung Dua. Tuah, ayuh ikut hamba. Ada banyak perkara yang harus diuruskan."
Selepas itu, kedua-dua pemuda itu berlalu pergi meninggalkan Aliya keseorangan di situ. Aliya yang ingin tahu apa yang mereka intaikan itu terus sahaja bergerak ke hujung dinding.
Dari sudut matanya, jelas kelihatan Zarina sedang berbual bersama dengan emaknya.
"Perempuan ni lagi..."
°°°°°°°°°°
Shafhan berjalan menelusuri lorong-lorong istana yang sudah lama dia tinggalkan ini. Sambil itu, beberapa dokumen penting di tangan dibaca sekilas-sekilas.
"Banyaknya..." Bisiknya sendirian.
Sedang dia membaca dengan khusyuk, seorang wanita sederhana tinggi melepasinya tanpa memberikan salam mahupun ucapan hormat. Shafhan segera menoleh dan melihat susuk wanita itu dari belakang.
"Dayang Ina?" Sebutnya perlahan namun dapat didengari oleh wanita itu.
Zarina segera menoleh ke belakang tatkala mendengar namanya disebut. "Ya?"
Terus sahaja wajah manis wanita itu menjadi pucat. Dia sedar bahawa dia sudah melakukan kesalahan besar di situ.
"Ah, maafkan patik!" Pohon Zarina kuat kemudian membongkokkan dirinya. "Selamat tengah hari, Tuan Putera Shafhan." Sambungnya lagi dengan suara yang agak menggeletar.
Shafhan hanya tersenyum nipis sambil menghayunkan tangannya tanda tidak mengapa. "Selamat tengah hari."
Tersengih-sengih Zarina melihat jejaka idaman yang berdiri di hadapannya kini. Sempurna setiap sudut, walaupun tuan putera itu langsung tidak memandangnya.
"Assalamualaikum." Tutur Shafhan kemudian berlalu pergi, menyambung perbuatannya yang tergendala tadi.
"Wa- Waalaikumussalam." Balas Zarina dengan hati yang berbunga-bunga. Buat pertama kalinya, dia dapat mendengar suara sang putera yang memang khusus ditujukan padanya.
Apabila Shafhan sudah melangkah jauh, Zarina menjerit kecil pada diri sendiri terhadap pencapaian yang tidak disangkanya.
Manakala di seberang sana pula, Shafhan menutup wajahnya menggunakan helaian kertas yang mengandungi dokumen yang banyak itu. Merah wajahnya menahan malu.
Berani pula dia menegur seorang wanita tanpa apa-apa hal penting.
°°°°°°°°°°
Dalam perjalanan untuk menuju ke kamarnya, Zarina menyanyi gembira. Dia segera berlari-lari bagi mencari kelibat sahabatnya, Rabiha.
"Rabiha!" Panggil Zarina yang mana menyebabkan Rabiha mengerutkan dahi padanya. Kemudian, dia segera berdehem perlahan lalu berkata. "Ehem, Dayang Rabiha. Maafkan hamba kerana mengejutkan tuan hamba."
"Ada apa Ina?" Bisik Rabiha, hairan melihat Zarina yang sedikit berbeza berbanding hari-hari lain. "Seronok semacam sahaja?"
Zarina tersenyum gembira. Prihatin sungguh ya sahabatnya yang seorang ini?
"Hamba ingin berubah. Ayuh, teman hamba ke pasar bagi mencari selendang." Ajak Zarina.
Pada mulanya, Rabiha sekadar memandang kosong ke arah Zarina. Beberapa minit kemudian, barulah dia sedar akan apa yang sedang diperkatakan oleh sahabatnya itu.
'Alhamdulillah...' Bisik hati Rabiha yang sejuk mendengar permintaan sahabatnya itu.
Rabiha segera mengangguk laju. "Boleh! Ayuh kita ke kamar dahulu bagi mengambil hud."
Kedua-duanya menuju ke kamar sambil menyilangkan tangan satu sama lain dengan gembira sekali. Para petugas istana yang memandang mereka disapa mesra.
Pintu kamar dibuka pantas. Mereka berdua menuju ke katil masing-masing bagi mengambil barang.
"Eh? Apa ini?" Soal Zarina hairan. Tangannya memegang seutas rantai yang dijumpainya di dalam beg bajunya.
Rabiha menoleh ke arah Zarina yang berada tidak jauh darinya. "Hm? Kenapa Ina?"
"Ada-"
Tok! Tok!
Pintu kamar diketuk dari luar. Zarina dan Rabiha saling berpandangan apabila tiada sesiapa pun yang melangkah masuk. Jika begini, bermakna orang yang mengetuk pintu itu bukanlah seorang Dayang Istana.
"Ya, kenapa?" Rabiha akhirnya bersuara.
"Kalung milik Tuan Puteri Shahmina telah dilaporkan hilang. Kami, pengawal khas istana ingin menyiasat keadaan di dalam." Tutur seorang lelaki dari luar.
Sekali lagi, Rabiha dan Zarina memandang satu sama lain sebelum pandangan mereka jatuh ke tangan Zarina yang sedang memegang elok seutas rantai bertakhtakan berlian putih.
Eh?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro