👑~ VII : 7 ~👑
Dua minggu berlalu, akhirnya tibalah masanya untuk warga istana bersedia dengan kehadiran tetamu di istana tersebut dalam masa lima hari lagi. Sekali lagi, pagar istana bakal dibuka bagi menunjukkan pendamaian dan sifat tangan terbuka.
"Dayang Ina, tolong hamba."
"Dayang Ina ke sana boleh?"
"Sini Dayang Ina!"
"Dayang Ina!"
"Dayang Ina!"
"Aaahh!" Zarina menjerit di taman yang kosong itu. Kepalanya serabut mendengarkan panggilan yang pelbagai itu setiap kali dia melangkah ke dalam bangunan.
Dia menarik nafas dalam sebelum menghelanya perlahan. Sungguh, dia perlu menenangkan diri sekarang ini. Sebuah kerusi yang berada tidak jauh daripadanya dijadikan sasaran untuk duduk.
Dalam kesunyian itu, satu suara merdu kedengaran tidak jauh dari Zarina. Kepalanya tertoleh-toleh bagi mencari pemilik suara tersebut.
Tidak lama kemudian, terlihatlah susuk insan yang bersamanya di situ. Jantungnya bagaikan terhenti tatkala si buah hati berada di hadapan mata.
"Tuanku Shafhan." Sebut Zarina sebelum cuba untuk menyembunyikan diri di sebalik kerusi. Gerun sekiranya dia dijumpai kerana tidak melakukan kerja.
Namun, apabila difikirkan semula, apa kata beramah mesra dengan putera itu? Zarina kan sudah dikenali ramai, jadi tidak hairan jika dia cuba berbual bersama.
"Tak apa Zarina, kau boleh! Kalau tak, macam mana nak berurusan nanti?" Zarina berbisik pada diri sendiri. Segala kekuatan dikumpulnya lalu berdiri dan mula melangkah.
"Tuanku~!" Satu suara lunak yang hadir dari arah lain menghentikan langkah Zarina. Matanya laju melirik ke arah datangnya suara tersebut.
Shafhan yang sedikit terkejut dengan panggilan itu segera berpaling ke belakang. Bibirnya menguntum senyuman sebelum menundukkan pandangan ke arah bunga-bunga yang berada di atas rumput.
"Tuanku kenal patik?"
"Err, kenal. Dayang Aliya, bukan?" Balas Shafhan tanpa memandang gadis itu.
Aliya tersenyum gembira. Tangannya yang dari tadinya disorokkan di belakang tubuh kini dibawa ke hadapan. Sekuntum bunga ungu dihulurkan buat tuan putera.
"Nah."
"Te- Terima kasih." Balas Shafhan sedikit kekok kemudian mengambil bunga tersebut.
Aliya tertawa tatkala melihat perwatakan jejaka itu. Selepas itu, dia segera meminta diri setelah tiada lagi perkara yang ingin dilakukan.
Hilang sahaja gadis itu dari pandangan, Shafhan mula menggaru kepalanya yang tidak gatal. Bunga yang dipegangnya itu dipandang hairan dan diteliti dengan penuh asyik.
Zarina yang melihat dari jauh pula hanya mampu memandang kaku. Hilang sudah semangatnya untuk menegur si pujaan hati.
Hatinya membara apabila mindanya terbayang-bayang akan wajah manis Aliya. Sudahlah baru hadir ke sini, sudah berani beramah mesra sesuka hati.
Tidaklah bermaksud Zarina bukan seorang yang peramah, namun tidak pernah lagi dia bertemu seseorang secara berhadapan dengan sempoi sekali. Segalanya memerlukan formaliti. Itulah prinsip rakyat Angin Putih.
"Dayang Ina?" Suara seseorang menyapa Zarina dari belakang. Dirinya terkejut bukan kepalang.
Hampir sahaja dia terjatuh ke atas lantai tetapi tangannya yang bersarung sempat ditangkap oleh sang pemanggil. Kus semangat. Kalau jatuh tadi, naya sahaja.
"Eh?" Zarina segera berdiri tegak dan menguruskan penampilan dengan pantas sekali. "Selamat bertemu, Tuan Andika." Tuturnya, dengan wajah yang sangat merah kerana malu.
"Apa yang tuan hamba lakukan di sini? Setahu hamba, semua dayang sedang berkerja keras menghias istana." Tutur Andika, terus terang.
Zarina sudah hilang kata. "Hamba... Hamba-" Sungguh, otaknya tidak mampu untuk berfungsi sekarang ini.
Andika mula melihat sekeliling dan mencari punca yang menyebabkan Zarina harus bersembunyi sebegini. Matanya kini tertancap pada Shafhan yang berada tidak jauh dari mereka.
Apa lagi, sengihan pun tersungging di bibir.
"Tuan Putera Shafhan!" Panggil Andika, lantang.
Hampir menangis Zarina di situ kerana malu yang teramat. Jejaka di hadapannya ini sudah kenapa? Sengaja mahu membuka aibnya-kah?
"Andika?" Shafhan segera menoleh hairan. Niatnya ke taman ini untuk berseorangan. Tidak pula disangkanya bahawa ada tersembunyinya peneman.
Laju sahaja putera itu melangkah ke arah Andika dan Zarina. Tanpa pengetahuan semua, Zarina sudah berzikir macam-macam bagi menenangkan hatinya.
"Mahu apa?" Tanya Shafhan kepada sahabatnya itu tanpa memandang Zarina. Tangannya masih memegang kemas bunga itu.
Andika tersenyum kecil. "Boleh patik pinta bunga itu?" Pintanya, sopan sekali.
Shafhan menganggukkan kepalanya seraya menyerahkan bunga tersebut. "Boleh sahaja. Ambillah."
Andika mengambil kuntuman bunga tersebut dari pegangan Shafhan kemudian memberikannya pada Zarina. Zarina sedikit terkejut dengan pemberian yang tidak disangkanya itu.
Membuntang mata Shafhan melihatkan tindakan penasihatnya itu. "Apaka-"
"Untuk pengetahuan Dayang Ina, tuan putera bakal hadir ke taman ini untuk menguatkan hafalannya. Maka dengan itu, jangan hairan sekiranya tuan putera bersendirian di sini tanpa hamba dan Tuah." Potong Andika sambil tersenyum kecil.
Zarina mengangguk laju tanda faham. Bunga yang didapatinya itu dipegang erat-erat.
"Andika, sudah-sudahlah itu. Ayuh ke dalam. Beta masih ada kerja yang perlu dilakukan." Ajak Shafhan sedikit segan dengan kata-kata Andika. Sudahlah bunga yang dipegangnya tadi diberikan pula pada dayang yang dikenali ramai itu.
Tanpa membuang masa, Andika meminta diri untuk mengekori Shafhan. Sebelum melangkah pergi, dia sempat berbisik kepada Zarina. "Jika ingin tahu dengan lebih lanjut, bertemulah dengan Tuah di kutubkhanah istana."
°°°°°°°°°°
Bunga yang didapatinya tadi disimpan ke dalam bakul kegemarannya itu. Tanpa berlengah lagi, Zarina bergegas ke tempat yang ingin ditujunya.
Pintu kutubkhanah dibuka perlahan-lahan lalu kepala dijengulkan ke dalam bagi mencari seseorang. Terlihat sahaja jejaka itu, dia segera melangkah masuk.
"Tuan Tuah." Panggil Zarina sedikit berbisik. Tuah yang perasan akan kehadiran wanita itu segera menoleh.
"Tuan Puteri Shahmina, patik pinta diri sebentar ya." Tutur Tuah kepada seseorang yang dilindungi oleh beberapa buah rak buku. Namun apabila mendengarkan panggilan itu, Zarina sudah dapat meneka siapa yang berada di sebaliknya.
Terkedek-kedek Tuah mendekati Zarina agar suasana yang sunyi itu dapat dikekalkan.
"Mengapa duhai Dayang Ina?" Soal Tuah, hairan dengan kehadiran wanita itu.
"Sebelum hamba menyatakan hasrat hamba, boleh hamba bertanya mengapa Tuan Tuah bersama Tuan Puteri Shahmina di sini?" Bisik Dayang Ina, ingin tahu.
Tuah menggigit bibirnya sekejap kemudian mendekati Zarina dan berbisik semula. "Begini, tuan puteri sering menarik tangan hamba sejak hamba tiba di istana ini. Katanya, ingin meluangkan masa bersama bagi mengeratkan hubungan. Tetapi, hamba tidak tahu apakah sebabnya."
'Hmm, pantang nampak yang kacak.' Getus hati Zarina yang sudah masak dengan perangai puteri sulung itu.
Hanya anggukan faham dan wajah kasihan Zarina berikan pada Tuah. "Err, hamba faham. Bertabahlah ya, duhai tuan penasihat yang kacak lagi arif." Ujarnya berjenaka.
Tuah sekadar tersengih apabila dipuji sebegitu.
"Tuan Tuah, boleh hamba bertanya tentang Tuan Putera Shafhan?"
"Berkenaan apa ya?"
"Tuan Andika beritahu sekiranya ingin mengetahui lebih lanjut tentang tuan putera, perlu bertanya dengan Tuan Tuah."
Tuah terus sahaja menepuk dahi kuat. Aduhailah Andika, ingin juga menyusahkan dirinya meskipun Andika tahu tentang putera itu melebih dirinya.
"Tuah?" Suara Shahmina mula memanggil.
"Sebentar ya, tuanku." Jawab Tuah lekas.
Zarina terkebil-kebil melihat Tuah yang kian berubah riak wajahnya. Jelas kerimasan terpapar pada auranya.
"Tuan Tuah." Zarina mencari perhatian jejaka itu.
Tuah menoleh semula ke arah Zarina yang sedari tadi menunggu bicaranya.
"Jika berkesempatan, petang ini jemput hadir ke bangunan Beliung Utama. Di situ, para petugas dan dayang istana akan berkumpul untuk minum petang." Saran Zarina, manis sekali.
Kemudian, Zarina meminta diri tanpa menunggu jawapan Tuah. Tanpa berlengah lagi, kakinya melangkah keluar dari kutubkhanah itu.
"Aduhai..." Tuah menjadi serba salah.
°°°°°°°°°°
Hari semakin senja, namun tiada pun kelibat penasihat yang ditunggu. Zarina yang sedang mengemas teko dan cawan berasa sedikit sedih kerana mengharapkan sesuatu yang sudah pasti tidak akan hadir.
'Ini aku cakap pun tak datang, lagi-lagi nak harapkan cinta tuan putera yang sempurna tu tanpa buat apa-apa.' Zarina bermonolog sendiri di dalam hati.
"Dayang Ina, hamba pergi dahulu ya." Ujar Rabiha yang sudah siap-siap mengemas barangnya. Zarina tersenyum dan mengangguk.
Selepas beberapa minit berada di dalam ruang berehat itu, Zarina mula bergerak ke luar. Memandangkan tiada orang lain yang berada di situ, tiada secebis senyuman pun terukir di bibirnya.
Hatinya remuk akibat terlalu berharap.
"Psst, Dayang Ina!" Panggil seseorang dari jauh.
"Huh?"
Tercari-cari dayang yang seorang itu akan punca suara. Sudahlah hampir masuk waktu Maghrib, ada yang mahu mengganggunyakah?
"Sini." Tuah memunculkan diri apabila tiada manusia yang dilihatnya berada di situ. Dayang Ina yang agak terkulat-kulat itu dihampirinya dengan berhati-hati.
"Maafkan hamba kerana hadir lambat. Tuan Puteri Shamina inginkan hamba menghantarnya sehingga pulang ke kamar." Tutur Tuah, jujur. "Haih, hamba ini penasihat Tuan Putera Shafhan. Bukannya penasihat orang lain." Sambungnya lagi sedikit perlahan.
Zarina tersenyum kecil. Ayat terakhir itu jelas ditangkapnya.
"Jadi...? Hamba datang ke sini kerana...?" Sengaja Zarina meletakkan persoalan pada akhir katanya.
Tuah mengangguk yakin. "Hamba akan beritahu serba sedikit tentang Tuanku Shafhan. Tetapi bukan di sini."
"Baiklah."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro