👑~ VI : 6 ~👑
"Hujung bulan ini, kita akan hias istana untuk jamuan besar-besaran. Yeke mak?" Soal Zarina sambil enak memeluk penyapu seraya menyandarkan diri ke batang pokok.
"Iyalah. Memandangkan Tuan Putera Shafhan dah balik, jamuan akan diadakan untuk menyambut kepulangannya. Tapi, untuk golongan kerabat sahajalah." Balas Makcik Zakiyah sebelum meneguk air bagi menghilangkan kepenatan.
Zarina berdiam diri seketika. Tangannya diletakkan ke dagu bagi menunjukkan aksi berfikir. "Jika begitu, ahli keluarga kerabat diraja dari negara-negara lain akan hadir ke sinilah kan?" Soalnya lagi.
"Ha, yelah." Jawab Makcik Zakiyah kemudian meneruskan kerja, menyapu dedaun luruh yang memenuhi lantai kebun.
Terpempan Zarina dibuatnya. Dari bersikap tenang, kini bersikap resah. Wajahnya pula sudah berubah riak.
"Alamak...!"
"Kenap-"
"Kalau macam ni, Ina akan bertemu dengan putera-putera negara lain. Masalah utama ialah Tuan Putera Ahmed Bakhri. Masalah kedua, pinangan yang Ina tolak oleh kerabat Kemuning Hijau. Apa yang perlu Ina lakukan ni, mak?!" Zarina bersuara gelisah dengan kaki yang tidak henti-henti berlari ke sana ke sini.
Makcik Zakiyah sekadar melihat gerak-geri anaknya itu dengan wajah blur. "Kau fikir kau tu popular sangat ke, Ina?"
"Mak!" Jerit Zarina sebelum berlari ke arah emaknya. "Ina nak letak jawatan, boleh?"
"Banyaklah kau!" Sekali mendapat tamparan maut Makcik Zakiyah buat Zarina.
Zarina mencebik geram. "Hmm, kalau Ina letak jawatan, tak adalah rezeki nak jumpa Tuan Putera Shafhan." Omelnya sendiri.
Pak!
Sekali lagi, Makcik Zakiyah memukul anaknya itu tetapi dengan lebih lembut. Haihlah anak, suka benar berangan sendiri.
"Itu yang kau fikir? Dahlah, pergi masuk dalam. Tolong orang dengan hiasan dalaman untuk jamuan itu nanti." Tutur Makcik Zakiyah bagai menghalau anaknya itu. Terkebil-kebil Zarina memandang emaknya.
"Ish, yalah!" Desis Zarina lalu melangkah pergi. Penyapu yang dipegangnya itu disandarkan pada batang pokok.
Berderap-derap daun kering yang berterabur di atas rumput itu dipijaknya bagi menunjukkan ketidakpuasan hatinya itu.
°°°°°°°°°°
"Dayang Ina." Satu suara garau mengejutkan Zarina yang sedaya upaya mempercepatkan langkah menuju ke ruang utama istana. Cepat-cepat dia menstabilkan diri daripada tersadung.
"Ya?" Zarina berpaling ke belakang.
Dua orang jejaka yang dapat dicamnya dipandang hairan. Kenapa gaya mereka bagaikan menunggunya dari tadi sahaja?
"Hamba berdua merupakan penasihat Tuan Putera Shafhan. Nama hamba, Tuah. Ini pula Andika." Perkenal Tuah, ramah sekali. Andika yang berdiri di sebelahnya tersenyum kecil sambil menganggukkan kepalanya.
"Oh..." Zarina mengangguk faham. "Jadi, apa hajat tuan hamba memanggil hamba?"
Tuah tersengih seketika dengan kepala yang digaru meskipun tidak gatal. "Errr... Begini, boleh hamba pinta Dayang Ina menghantarkan santapan buat Tuanku Shafhan di biliknya?"
"Boleh saja." Balas Zarina, ikhlas sekali. "Tetapi, mengapa bukan tuan hamba berdua yang melakukannya?" Soalnya pula dengan hairan.
Tuah yang baru sahaja ingin berbicara terus sahaja ditutup mulutnya oleh Andika. "Hamba berdua telah diarahkan untuk mencari sesuatu di pekan nanti. Maka, tiada kesempatan bagi hamba untuk berbuat demikian." Dalihnya seperti menyembunyikan sesuatu.
Tanpa memikirkan apa-apa, Zarina bersetuju sahaja dengan apa yang telah diarahkan. Iyalah, dia hanyalah seorang dayang istana. Darjatnya tidak setinggi penasihat yang sentiasa berada di sisi sang putera.
Oh indahnya, jika dia yang berada di sisi baginda!
Apabila sudah habis angan-angannya yang sementara itu, Zarina menuju ke ruang masakan dengan pantas sekali. Hilang sahaja kelibat wanita itu, Tuah dan Andika menghela nafas lega.
"Kau kenapa halang apa aku nak cakap?" Marah Tuah yang mana sudah hilang bahasa bakunya itu.
Andika menggeleng garang lalu bersuara. "Kau, kalau bercakap suka terlepas. Biar aku saja yang cakapkan. Senang kerja."
"Hmph!" Tuah segera berpaling membelakangi sahabatnya itu. Sempat lagi tu, berperangai kebudak-budakan.
Keluhan kecil Andika lepaskan tanda mengalah. "Aku harap betullah apa yang diperkatakan rakyat jelata tentang Dayang Ina. Jika benar dia seorang yang baik, pasti Shafhan tetap akan memandang."
°°°°°°°°°°
Setibanya di tempat yang ingin dituju, Zarina menuju ke ruang masakan dengan senang hati. Seperti tahu-tahu kehadiran wanita itu ke ruang masakan, pekerja yang bertugas sudah bersiap sedia dengan hidangan yang dipinta.
Dengan sepenuh hormatnya, Zarina menunduk hormat kepada tukang masak yang telah banyak berjasa dan menjaga perut warga istana dengan baik sekali.
Berbunyi-bunyi troli yang menjadi penampung hidangan dan dulang makanan. Sambil menyusuri ruang-ruang istana yang terbuka, Zarina menyanyi kecil.
"Dayang Ina!" Panggil seseorang dari arah belakang. Mendengarkan suara yang serba lunak itu, Zarina sudah dapat meneka sang gerangan yang memangggil.
"Ya, Dayang Aliya?" Balas Zarina tanpa berpaling. Perjalanannya diteruskan bagi menyelesaikan tugas.
Aliya mendekati Zarina kemudian memeluk tubuh dayang itu dari belakang. Sifatnya yang keanak-anakan itu sentiasa menghiburkan hati Zarina.
"Dayang Ina mahu ke mana?" Tanya Aliya serta cuba mengintai hidangan yang sedang dibawa.
"Oh, hamba mahu ke bangunan Beliung Tiga bagi menghantarkan makanan ini ke kamar tugas milik Tuan Putera Shafhan." Jawab Zarina, jujur dengan senyuman.
Suasana yang ceria itu berubah serta merta. Aliya tidak berkata apa-apa sebelum tangannya memegang tangan Zarina yang sedang menggenggam penolak troli. Wajah yang tadinya riang kini berubah kepada riak serius.
"Boleh hamba tolong hantarkan kepada Tuan Putera Shafhan? Dayang Ina masih ada banyak tugasan untuk diselesaikan, bukan? Daripada hamba ini, berdiri bosan sahaja." Kata Aliya, senada. Mahupun begitu, wajahnya masih cuba untuk dimaniskan bagi mendapat simpati Zarina.
Zarina mengerutkan dahinya tanda pelik. Sudah kenapa dengan dayang yang seorang ini?
"Tapi, ini tugas hamba-"
"Tidak mengapa. Akan hamba jelaskan buat yang bertanya. Terima kasih." Ujar Aliya kemudian merampas pegangan troli tersebut dari tangan Zarina. Walaupun sedikit terkejut, Zarina masih cuba untuk mengekalkan riak biasa.
Tak! Tak! Tak!
Zarina hanya mampu melihat tugasnya itu diambil oleh orang lain. Punah harapannya untuk melihat cinta hati yang dianggapnya sejati.
"Dayang Ina!" Suara Shahmina menerpa dari arah tangga. Berbunyi-bunyi kasutnya melangkah turun.
"Tolong kemas kamar beta. Aish, itu pun mahu diarahkankah?" Sambung Shahmina dengan nada marah sebelum berjalan pantas melepasi Zarina yang tercegat di situ.
Kemain lawa pemakaian sang puteri. Ada urusan pentingkah sehingga bergaya sebegitu sekali?
Zarina membongkokkan diri tanda faham. Dia segera melangkah ke bilik Shahmina yang berada di sayap kanan istana.
Dari kejauhan, Aliya tersenyum nipis. Rancangan pertamanya kini sudah berjaya.
Tidak lama lagi, rancangan kedua bakal dilaksanakan dengan penuh usaha.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro