Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

👑~ V : 5 ~👑

"Dayang Ina..."

Rabiha hanya mampu melihat Zarina yang keadaannya seperti separuh nyawa sudah diambil oleh entiti yang tidak diketahui. Dayang istana yang sering tersenyum dan gembira itu kini kelihatan tertekan dan murung.

Hari ini, sudah berapa kali dia melihat sahabatnya itu tersadung, tersilap hantar makanan malah boleh pula dia menjerit tatkala Dayang Leha sedang memberikan taklimat pergerakan mereka sewaktu kehadiran sang putera nanti. 

Rabiha sudah sedia maklum tentang Zarina setelah sahabatnya itu meraung dan mengadu kepadanya tentang cinta hatinya itu. Kalau bukan kerana cintanya itu diletakkan sepenuhnya pada 'seorang' watak novel, pasti keadaan ini tidak akan terjadi.

"Haih, inilah manusia apabila dibutakan cinta dunia." Gumam Rabiha sendiri sambil menepuk bahu Zarina berkali-kali.

Zarina tidak menghiraukan kata-kata sahabatnya itu. Dia sedar tentang itu, namun kesedihan yang dirasainya itu tidak dapat dihentikan dalam sekelip mata. Bak kata orang putih, sukar untuk move on.

"Ina, jika benarlah cinta hati awak itu wujud, sekarang ini juga dia muncul, tahu?" Tutur Rabiha sedikit geram dengan tingkah laku Zarina. "Seorang watak novel, hanyalah rekaan manusia. Jangan sesekali menaruh harapan sepenuhnya." Pesannya lagi sebelum tersenyum kecil.

Tiada jawapan yang hadir dari bibir mungil Zarina. Dayang istana yang seorang itu sekadar menundukkan kepala, melihat lantai.

Satu jeritan kuat dari bahagian luar pintu istana menghambat Zarina semula ke alam realiti. Dia segera membetulkan kedudukan dan postur badan.

Tibalah masanya untuk seluruh warga istana menyambut kepulangan pemegang takhta kerajaan Angin Putih yang seterusnya iaitu putera sulung negara ini.

Pintu dibuka oleh pengawal yang menjaga dengan penuh bersemangat. Derapan tapak kaki yang melangkah masuk menimbulkan debar pada diri masing-masing yang berdiri di sisi jalan.

"Selamat pulang, Tuan Putera Shafhan." Tutur semua petugas istana serentak sambil melakukan tunduk hormat. Itulah apa yang sudah diarahkan oleh ketua organisasi dayang dan pembantu istana mereka.

Zarina mengangkat kepala dengan wajah yang cuba dimaniskan. Matanya tercari-cari kelibat yang dijemput oleh mereka itu.

Tanpa dipinta, seorang jejaka tinggi lampai memunculkan diri dari sebalik iringan pengawal dan penasihat yang menjaga. Pemakaiannya amat segak serta memiliki wajah yang tampan.

Namun, bukan itu yang dilihat Zarina. Apa yang mengejutkannya adalah perwatakan jejaka itu. Matanya langsung tidak melihat para wanita yang berderet menyambutnya. Dia hanya menunduk malu malah bibirnya tidak kering dengan senyuman dan zikir yang meniti.

Sungguh, jejaka idaman hati!

"MasyaAllah." Puji Zarina, perlahan. Hatinya yang tertutup buat sekian lama kini terbuka sedikit demi sedikit.

Sebaik sahaja pergerakan kumpulan putera raja itu berlalu pergi, Rabiha segera menoleh ke arah Zarina. Kelihatan sahabatnya itu pegun memandang ke satu arah.

"Ina?" Tegur Rabiha, hairan.

Zarina mengemam bibirnya sebelum menutup wajahnya menggunakan kedua-dua tangan. Selepas itu, dia memegang bahu Rabiha dan berkata.

"Sahabatku, hamba rasa hamba sudah jatuh cinta!"


°°°°°°°°°°


Dalam perjalanan menuju ke singgahsana, Rabiha dan Fazia hanya memandang Zarina yang wajahnya ceria setelah berhari-hari suram berduka. Perjalanan mereka dari ruang membasuh kain terasa lama dengan perbualan yang dimulakan oleh Zarina sendiri.

"Andai tuan hamba berusaha, hamba yakin, pasti tuan putera terpikat jua." Tutur Fazia, bersemangat sekali. Rambutnya yang pendek itu dibetulkan bagi kelihatan kemas.

Zarina tersenyum gembira ke arah Fazia. "Benar. Jika sudah jodoh, tidak akan ke mana ya? Hamba akan cuba tarik perhatian dia. Tak nak pikat, sebab nanti bahaya!" Balasnya.

Rabiha tertawa melihat gelagat Zarina. Tergeleng-geleng kepalanya apabila slang baku Zarina kini hilang sedikit demi sedikit kerana gembira yang teramat. Mujur sekali tiada pembantu istana lain selain mereka bertiga sahaja di situ.

Cita-cita Zarina itu terlalu tinggi? Hmm, pernah dengar tentang takdir?

"Kenapa ya Tuanku Shahir dan Permaisuri Imarah memanggil kita untuk menghadap, ya?" Tanya Rabiha, menyelit perbicaraan kedua-dua rakan sekerjanya itu.

Jongketan bahu Fazia hadiahkan buat Rabiha menandakan bahawa dia tidak tahu. Sebenarnya, dia bukannya dipanggil sekali namun sekadar mahu mengelat daripada menyambung kerja. Itulah Fazia, dayang istana yang sering dicop sebagai 'tomboy' dan suka melakukan kerja sendiri.

Bagaimana dia menjadi seorang dayang istana pun, tiada sesiapa yang tahu.

"Mungkin untuk bertemu sang putera?" Zarina membuat tebakan. Wajahnya berseri-seri memikirkan angan-angannya itu.

"Mungkin juga, bukan?" Balas Rabiha, tersenyum nipis. Jikalau tidak, apakah hal penting itu sehinggakan mereka dipanggil sebegini? Sebagai antara dayang yang tersibuk, mereka tidak akan dipanggil tanpa musabab penting.

Tibanya di hadapan gerbang yang menyambungkan haluan mereka ke suatu ruangan singgahsana bahagian dalam, ketiga-tiga dayang itu disambut mesra oleh beberapa orang pengawal yang tidak dikenali mereka.

'Siapa?' Getus hati Zarina, hairan. Setahunya, semua pengawal di istana ini sudah dikenalinya.

Tuanku Shahir bersama kesayangannya, Permaisuri Imarah tersenyum manis tatkala terlihat kehadiran Zarina dan Rabiha meskipun disertai Fazia. Di belakang pasangan itu, kelihatan Shahmina, Shafiy dan Shaima sedang berdiri dengan penuh tertib.

"Kita tunggu sebentar, ya?" Tuanku Shahir berkata dengan sopan sekali. Ketiga-tiga dayang yang baru hadir ke situ mengangguk patuh.

Derapan tapak kaki dari hujung singgahsana membuatkan mereka semua berpaling ke arah tersebut. Seorang pemuda berpakaian diraja mampir ke arah bonda dan ayahandanya manakala dua orang dalam pakaian segak mengikuti langkahnya.

Sangka Zarina, kedua-dua pemuda yang mengikut itu pasti merupakan penasihat utama.

"Ayahanda, Bonda." Suara lembut itu terbit dari bibir jejaka idaman itu. Senyuman ikhlas terhias jelas di wajahnya.

Zarina hanya mampu memegang dada dan memejamkan mata. Dirinya bagaikan ingin menjerit melihatkan 'watak' kegemarannya itu berada di hadapan mata.

Tuanku Shahir mempersilakan kehadiran anakandanya itu ke perbincangan rasmi tersebut. Dua orang penasihat yang mengekori turut berjalan mengikuti langkah sang putera.

Sebaik sahaja Shafhan berdiri di belakang bonda dan ayaandanya, Shafiy serta Shaima segera memeluk kaki abang kesayangan mereka itu. Tersedu-sedan kedua-duanya menangis gembira kerana sudah sekian lama tidak bertemu dengan sang abang.

Shafhan membalas pelukan adik-adiknya itu yang mana turut menahan diri daripada mengeluarkan tangisan. Tanpa disedari, Shahmina di sebelah sekadar menggeleng malu.

"Baiklah, hari ini beta akan mengemukakan cadangan beta dan tuan permaisuri, mengenai pergerakan petugas istana yang baharu serta jawapan mengapa kalian dipanggil ke sini. Jika ada daripada tuan hamba semua yang tidak berpuas hati, jangan segan untuk mengangkat tangan dan menanyakan soalan." Tuanku Shahir membuka mulut.

Sambil mendengar ucapan raja itu, Zarina sempat menjeling ke arah barisan manusia yang tidak dikenalinya. Semuanya dalam pakaian diraja namun ada sedikit kelainan di situ. 

Beberapa pekerja baharu ditugaskan ke sini? Hairan.

Jika semuanya pengawal dan petugas istana, itu tidak apa. Namun, ada seorang dayang baharu turut berada di situ.

Mengapa perlunya seorang dayang baharu? Bukankah setiap tahun sudah dihadkan jumlah pekerja dan had umur untuk menjadi seorang dayang istana?

"Berkenaan ini, Dayang Zarina dan Dayang Rabiha-"

Zarina tersentak tatkala namanya disebut. Perhatiannya segera dipusatkan ke arah yang bersuara.

"Hamba berdua bakal ditugaskan untuk bangunan Beliung Tiga yang mana bakal menjadi tempat khas buat putera sulung beta. Bukan itu sahaja, hamba berdua akan bekerjasama bersama dayang baharu kita, Dayang Aliya." Ujar Tuanku Shahir, serius.

Melihatkan riak Zarina yang sedikit bingung, Permaisuri Imarah lantas bersuara. "Dayang Ina, jangan risau. Hamba akan tetap bertugas seperti biasa sebagai inang dan masih diberikan masa untuk bertugas di sini. Cumanya, sedikit tambahan tugas buat dayang terbaik kita." 

"Baik, tuanku." Balas Zarina, sedikit menunduk. Kedua-dua tangannya diletakkan di perut manakala tubuhnya dibongkokkan sedikit sebagai tanda hormat.

Perbincangan pada hari itu sedikit sebanyak menggembirakan hati Zarina. Jika dapat tugasan baharu, itu bermakna bertambahlah sedikit gaji miliknya. Tambahan itu, dapatlah dia mencuci mata.

Hal ini demikian kerana, sang putera bakal dijumpainya sentiasa!

"Beta harap semua yang terlibat dapat membahagikan tugas dengan baik dan bermesyuarat antara satu sama lain. Jika ada masalah, hadir menghadap beta ya. Junjung kasih diberi buat semua yang berada di sini." Akhirnya, Tuanku Shahir menamatkan sesi hari itu.

Pasangan kerabat diraja itu bergerak ke lorong yang disediakan untuk mereka meneruskan urusan istana disusuli ikutan Shahmina, Shaima dan Shafiy.

Suara orang berbual semakin lama semakin kuat sebaik sahaja kelibat raja dan permaisuri hilang dari pandangan. Masing-masing melihat satu sama lain dan berbincang rancak.

Seorang gadis menghampiri Zarina dan Rabiha yang sedang berbisik-bisik. Terjengket-jengket dia berjalan sambil mengangkat sedikit kain pakaiannya itu.

"Da- Dayang Ina, kan?" Soalnya, teruja.

Zarina segera menoleh kemudian tersenyum mengangguk. Gadis itu menekup mulutnya menggunakan tangan. 

"Wah, inilah Dayang Ina yang dikenali seantero Angin Putih. Bukan itu sahaja, tuan hamba juga dikenali di serata negara lain. Hamba, Dayang Aliya! Selamat berkenalan." Katanya lantang seraya menghulurkan tangan sebelum disambut oleh Zarina untuk bersalaman.

Rabiha tersenyum kemudian bercekak pinggang. "Bertambah lagi peminat tuan hamba, ya?" Selorohnya.

"Ada-ada sajalah!" Jawab Zarina, malu-malu kucing.

Sedang ketiga-tiga dayang itu memulakan sesi perkenalan, tiga orang jejaka dari suatu sudut melihat tepat ke arah dayang-dayang istana tersebut.

"Itukah Dayang Ina? Indah sungguh dirinya." Salah seorang daripada penasihat Shafhan berbisik kepada rakan sekerjanya.

Rakannya itu mengangguk setuju. "Budi pekertinya sungguh memikat. Andai sahaja rambutnya itu ditutup seperti Dayang Rabiha, pasti lebih bertambah keindahannya." Balasnya pula.

Shafhan sekadar mendengar perbualan itu sebelum berpaling dan menutup kedua-dua mata penasihatnya itu. "Tuah, Andika, tolong jaga mata itu." Tegurnya keras.

Tuah dan Andika tersentak dengan kejadian itu buat seketika. Mereka tidak menjawab kerana di hadapan mereka kini ialah seorang putera raja.

Namun apa yang rakyat biasa tidak tahu adalah, mereka bertiga sering bergurau dan bergelak ketawa ketika bersendirian kerana mereka sudah pun bersahabat dari kecil.

Itulah yang dikagumkan oleh Tuah dan Andika. Tuan Putera Shafhan hadir bukan kerana ingin memerintah mereka, namun menghulur tangan untuk bersahabat dengan ikhlas.

"Umm Tuanku, ampun beribu-ribu ampun. Patik memohon tuanku mengalihkan tangan tuanku ini." Pinta Tuah, sedikit janggal.

Shafhan segera melepaskan tangannya. "Ah, maaf."




Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro