👑~ LX : 60 ~👑
Tiga bulan kemudian...
Pusara itu disiram dengan air mawar bersama doa-doa yang meniti di bibir. Zarina memandang ke arah batu-batu yang memenuhi pusara Aryan dengan pandangan sayu. Air matanya mengalir membasahi pipinya tanpa dipinta. Sungguh, hatinya masih belum sembuh dengan luka yang mencemari hatinya sejak tiga bulan lepas.
Shafhan berada di sisinya tidak lepas daripada menggosok belakang Zarina agar diberikan kekuatan. Dia menitipkan kata-kata semangat buat Zarina dan pelbagai jenis nasihat.
Jangan meratap, jangan sedih berlebihan dan jangan terlalu memikirkan.
Manusia yang masih di muka bumi ini masih panjang perjalanannya, masih mempunyai masa untuk mendapatkan pengakhiran yang baik. Seperti yang sudah mereka lihat, kematian Aryan adalah syahid, maka Zarina tidak harus lagi menyesal dengan perkara yang lepas.
"Ina minta maaf, Aryan." Pohon Zarina sambil memegang batu nisan di pusara tersebut.
"Aryan tahu, Ina." Sahut Shafhan sambil mengusap belakang Zarina.
Di belakang mereka pula, Tuah memayungi dua orang penting di Angin Putih itu. Dia tidak berbicara apa-apa, hanya melihat sahaja segala yang berlaku di hadapannya. Namun itu tidak menghalang dia daripada menitip doa dari dalam hati untuk semua pahlawan yang sudah pun kembali ke Maha Esa.
Setelah hampir satu jam berada di situ, Tuah mula berdehem perlahan bagi menarik perhatian pasangan itu. Setelah mendapat perhatian, dia berkata. "Tuan putera, cik puan, kita harus bergerak ke istana untuk persiapan."
"Baiklah." Balas Shafhan lalu berdiri. Dia menarik tangan Zarina untuk turut bangkit bersamanya. "Ayuh, kita pulang?"
Zarina menyeka air matanya yang kian kering. "Baiklah, ayuh kita pulang." Jawabnya.
Setelah itu, mereka bergerak ke pagar keluar dari kawasan perkuburan tersebut. Tuah mengetuai perjalanan mereka bagi menuju ke kereta kuda. Shafhan dan Zarina pula mengikuti dari belakang sambil berpegangan tangan.
Sebelum memanjat masuk ke dalam gerabak dengan tangan yang masih dipegang Shafhan, Zarina sempat berkata. "Saya tak sabar nak tengok Rabiha pakai kebaya putih."
°°°°°°°°°°
Nafiz berpeluk tubuh, memerhatikan persalinan yang diperagakan Andika hari itu. Keningnya kejap dijongket, kejap berkerut, semua kerana melihat Andika yang tidak senang duduk dan asyik ke hulur ke hilir. Macam ada sesuatu yang kurang di situ... Tetapi apa ya?
Tidak diminta namun ditunggu-tunggu, pintu kamar persiapan tersebut dibuka Tuah dari luar. Dia melangkah masuk ke dalam bersama Shafhan di sisi. Masing-masing memaparkan wajah hairan apabila melihat Andika.
"Macam ada yang kurang dekat Tuan Andika, tetapi apa ya?" Soal Nafiz, mengusap dagunya.
Keluhan kecil Tuah lepaskan. Dia mara ke sebuah sofa dan mengambil sehelai samping yang elok terletak di penyandar. Selepas itu, dia melemparkan samping tersebut ke arah Andika yang tidak sedar akan kehadiran sahabatnya itu.
"Tahulah gelisah tapi jangan lupa pakai samping! Buat malu je nanti Rabiha tengok. Apa nak jadi suami orang macam ni?" Tegur Tuah, garang. Terkejut Andika dengan sergahan itu. Sudahlah samping tersebut melekat di songkoknya.
"Oh, patutlah rasa macam pelik." Balas Andika, tersengih. Cepat-cepat dia menyarung samping tersebut. Sudahlah gopoh gayanya, mana tidak mengundang marah Tuah yang sememangnya sudah panas hati sedari tadi.
"Mehlah sini aku tolong!" Laung Tuah lalu membantu Andika untuk melipat sampingnya. Geraknya kasar, seperti benar-benar marah dengan kecuaian sahabatnya itu.
Nafiz mengeluh kecil, memandang ke arah Shafhan dengan wajah hairan. "Tuan Tuah ni, gaya macam dia pula yang nak bernikah. Kenapa marah sangat hari ini?" Dia bertanya.
"Entahlah Pembantu Nafiz." Balas Shafhan dengan cebikan. "Mungkin dia penat kot. Pagi tadi teman beta dan Ina ke kubur. Lepas itu, dia perlu bersiap cepat-cepat untuk ke majlis ini. Kemudian, Andika pula masih belum bersedia. Sebab itu rasanya dia marah-marah." Jelasnya.
Terangguk-angguk Nafiz mendengar penjelasan itu. Oleh itu, dua orang pemuda itu hanya melihat sahaja perbalahan antara dua orang penasihat diraja itu. Entah apa yang digaduhkan, mereka tidak mahu masuk campur.
"Janganlah marah-marah! Nanti aku susah nak ucap akad nikah betul-betul sebab gementar. Dah, diam kau Tuah." Marah Andika apabila sudah rimas dengan bebelan Tuah.
"Eh, kaulah diam! Songkok pun senget, nak marah-marah orang pula." Tukas Tuah, menolak songkok Andika kuat-kuat sehingga terbenam ke kepala pemuda itu. Hilang terus mata Andika daripada pandangan orang.
Nafiz meraup wajahnya. Jika songkok itu mampu terbenam begitu, ini bermakna bahawa ia telah pun koyak sedikit pada bahagian tepi. Songkok tu keras kot, tak akanlah boleh diperlakukan begitu sahaja.
"Weh! Koyak songkok aku. Aku cekik kau nanti kang!" Jerit Andika, bertungkus-lumus menarik songkok tersebut daripada terus tersekat pada kepalanya. Tuah di hadapannya pula sudah tergelak-gelak melihat kejadian itu. Geli hati sungguh melihatnya.
Haih, Shafhan sudah berdoa banyak-banyak agar dikurniakan kesabaran.
"Saya harap hari istimewa saya tak macam ni nanti." Luah Nafiz, separa berbisik.
"InsyaAllah, tak lama lagi tu, Nafiz." Ucap Shafhan, tersenyum. "Dahlah, jom kita keluar. Biarlah mereka ini, pandai-pandai urus diri. Malas beta mahu masuk campur." Ajaknya kemudian berjalan keluar dari kamar tanpa berpaling.
Terhibur dengan ajakan itu, Nafiz mengikuti Shafhan dari belakang bagi menuju ke surau.
°°°°°°°°°°
"Saya dapat rasakan yang Andika sedang melakukan perkara yang agak bebal dekat bahagian dia sana tu." Tiba-tiba Rabiha bersuara sewaktu Zarina sedang meletakkan kerongsang pada selendangnya. Fazia turut berada di sisi sambil membetulkan lipatan selendang agar terlihat kemas.
"Huh, dah jodoh kan? Pasti ada telepati." Ujar Fazia tanpa mengangkat kepala. Perhatiannya dipusatkan pada tugas di tangan.
"Yalah. Nanti dia dan Nafiz pun macam itu juga." Tutur Zarina tiba-tiba, membuatkan Fazia menarik nafas bising.
Terus sahaja wajah Fazia membahang. Setahunya, tiada sesiapa yang mengetahui bahawa dia telah menerima lamaran Nafiz. Cincin tunang pun dia tidak pakai demi menyembunyikan hubungan mereka. Apakah?
"Hah? Macam mana awak tahu?!" Soal Fazia dengan suara kecil. Jelas dia terkejut.
"Mak awak cerita pada mak saya, mak saya cerita pada mak Rabiha, dan mereka cerita pada kami. Jeng! Kami pun tahu juga." Jawab Zarina yang tersengih. Dia mula memasukkan jarum-jarum pada selendang Rabiha untuk memastikan ia tidak bergerak.
Rabiha tergelak kuat. Sejambak bunga di tangan sempat dipukul pada paha Fazia. "Itulah, lain kali jangan main rahsia-rahsia. Mulut mak-mak ini laju saja. Kan kami sudah tahu." Katanya, geram.
Fazia memuncungkan bibirnya tanda merajuk. Dia langsung tidak menjawab kata-kata sahabat-sahabatnya itu. Nampaknya, rahsianya sudah terbongkar. Tidak dapatlah dia berpura-pura bujang memandangkan dua orang sahabatnya itu sudah pun berpunya.
"Bila tarikh nikah?" Tanya Rabiha, masih tidak mahu menjatuhkan topik itu.
"Dalam empat bulan lagi? Tak pasti. Tanyalah Nafiz sendiri. Hmph!" Fazia berpaling. Tangannya disilangkan setelah menjawab soalan itu. Menyampah betul!
Senyuman senget tersungging pada bibir Zarina yang melihat. Ada-ada sajalah sahabat-sahabatnya ini.
Dia bersyukur kerana dikurniakan sahabat yang baik. Yang pastinya ada sewaktu susah dan senang, serta membantunya sepanjang pekerjaannya sebagai dayang di istana ini. Sudah lama mereka berkhidmat bersama-sama. Tidak dia sangka bahawa mereka akan bersara tidak lama lagi kerana bakal meneruskan kehidupan bersama pasangan masing-masing pula.
Zarina sudah berkahwin, Rabiha bakal bernikah dan Fazia telah bertunang. Kamu? Bila lagi?
"Dah siap ke belum yang dekat dalam tu?" Satu suara kedengaran dari luar sebelum pintu terbuka dan terjengul kepala Dayang Leha. "Bahagian lelaki nak sampai dah. Hamba sudah dengar suara Tuan Andika dan Tuan Tuah jerit-jerit dari luar surau. Entah apa yang digaduhkan." Bebelnya.
"Kan hamba sudah cakap." Rabiha berkata dengan senyuman menang. Kalau tak buat perkara pelik, bukan Andikalah itu.
"Dahlah, jom kita keluar. Hamba tak sabar ni." Ujar Zarina dengan senyuman.
Rabiha dan Fazia lekas bangun dari duduk. Dayang Leha pula sudah melangkah ke dalam dan memeluk tangan Rabiha untuk dibawa ke luar. Pelbagai soalan dan cerita yang dibicarakan Dayang Leha pada Rabiha yang mendengar.
"Dayang Fazia! Boleh tolong hamba bawa troli ini ke belakang? Banyak benda nak bawa ke tetamu ni." Seorang dayang memanggil sebaik sahaja Fazia melangkah keluar dari kamar tersebut. Lekas Fazia menurut permintaannya untuk melarikan diri dari situasi janggal itu.
Tersenyum puas, Zarina memerhatikan sahabat-sahabatnya. Mereka semakin lama semakin matang. Segala perkara yang berlaku semenjak kemunculan Shafhan dalam dirinya mematangkan mereka semua.
Sambil berjalan menuju ke tempat berkumpulnya semua orang, Zarina bersenandung kecil. Dia kemudiannya berdiri di sisi ruang masuk bagi mengamati keadaan sekeliling.
"Ha, dinda, termenung apa tu?" Suara yang dikenalinya tiba-tiba terdengar dari belakang. Bau wangian suaminya itu menusuk ke lubang hidung. "Rindu kanda?" Soal suara itu.
"Yalah, kanda. Isteri mana yang tak rindu suaminya?" Jenaka Zarina, menoleh ke arah suaminya yang hadir sendirian. Dari jauh, dia dapat lihat Andika dan Tuah masuk ke kawasan surau melalui pintu lain manakala Nafiz pula bergerak ke bahagian belakang surau.
Shafhan tidak membalas, dia memeluk Zarina dari belakang. Memandangkan tiada sesiapa yang berada berdekatan dengan mereka, Zarina meletakkan tangannya ke atas tangan Shafhan yang berada di hadapan perutnya itu. Tangan itu mengusap-usap lembut pada perut yang menjadi rumah sementara buat permata mereka.
"Tak sabar nak jumpa dengan anakanda si pencuri hati kanda ini." Bisik Shafhan pada telinga Zarina.
Zarina tertawa sendiri di situ. Matanya melilau melihat keadaan meriah surau tersebut. "Dinda pun, sayang. Tujuh bulan lagi untuk jumpa dia. Siapa saja yang tidak sabar untuk jumpa permata si pencuri hati tuanku, kan?"
Kedua-duanya tersenyum bahagia. Semoga hari yang indah ini membawa berkat kepada semua yang hadir. Benarlah apa yang dikatakan orang, Allah itu Maha Adil lagi Maha Penyayang. Siapa yang bersabar, dialah yang beruntung.
Dan kini, Zarina mendapat bahagianya. Percaturan Allah itu indah.
Percayalah.
~ Tamat ~
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro