Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

👑~ LVIII : 58 ~👑

"Jadi, macam itulah ceritanya." Tengku Ahmed mengakhiri ceritanya sambil mendepakan tangannya ke khalayak ramai.

Bukanlah khalayak ramai, cuma warga istana lain yang dijemputnya untuk ke istana Bahtera Biru bagi menyampaikan perkara yang berlaku. Jadi, pasti sudah boleh agak siapa yang ada di situ, bukan? 

Termasuklah Tengku Hijazi yang membuat wajah menyampah di sebalik tangan Tengku Ahmed yang didepakan. Kenapalah dia duduk di sebelah putera itu, fikirnya.

"Saudara tembak Tengku Haiman?" Tanya Shafhan, terkejut. Tengku Ahmed mengangguk bangga. "Lepas itu apabila tiba di Tasik Kelabu untuk melawat, saudara dihalau?" Soal putera Angin Putih itu lagi. Anggukan laju Tengku Ahmed berikan bersama senyuman.

"Bangga pula dah, bila kena halau." Tutur Tengku Hijazi, mengeluh.

"Yelah, kira macam saya berjaya sakitkan hati mereka! Bangga sangat selalunya kan. Negara terkuatlah, negara paling hebatlah, paling ditakutilah... Sekali saya tembak putera bongsu mereka, tahu nak marah-marah. Belum lagi saya ke Lembayung Merah untuk lawat si Aidan tu. Tak pasal-pasal saya pula ditembak semula sebagai balasan dendam. Lain kali, jangan main-main dengan penyumbang senjata terbesar. Negara saya kan yang buat senjata, mereka ingat mereka siapa. Hahaha!" Ujar Tengku Ahmed lalu tertawa besar. Dia berpeluk tubuh, gembira dengan segala pencapaiannya.

Keluhan kuat Shafhan lepaskan. "Kalau betul kena tembak, macam mana?"

"Worth it." Balas Tengku Ahmed dengan slang orang putihnya. Dia bersandar pada kepala kerusi dengan senyuman puas hati.

Tengku Hijazi sudah mendongak ke atas, wajahnya memaparkan bahawa dia sedang menahan sabar. Nafasnya cuba diaturkan agar terlihat tenang. Memandangkan dia yang paling tua di situ, dia harus bersikap matang dan tidak marah-marah.

Tapi sikap si Tengku Ahmed Bakhri ni memang mendatangkan geram. Kalau kena dekat dia sahaja tidak mengapa, namun ini akan menjadi hal antara negara pula. Tidakkah bahaya?

Di sekeliling tiga putera itu, terdapatnya mereka yang lain mendengar sama. Masing-masing menunjukkan reaksi yang berlainan. Zarina, Rabiha dan Fazia duduk di sebuah sofa yang terletak tidak jauh di belakang Shafhan. Nafiz bersama Andika dan Tuah berada di kiri kamar dan berdiri. Bertentangan dengan mereka yakni di bahagian kanan kamar, adanya Shahmina, Puteri Safa, Puteri Saadah dan Puteri Sakinah di situ.

Ya, para puteri Sahmura Ungu turut berada di situ untuk mendengar cerita si putera ketiga Bahtera Biru itu. Semua dijemput Tengku Ahmed semata-mata untuk meluangkan masa bersama. 

"Macam seronok je guna senjata, saya nak belajar jugalah." Ujar Puteri Sakinah tiba-tiba.

Puteri Saadah dan Puteri Safa lekas menoleh ke arah adik bongsu mereka dengan wajah terkejut. 

"Kamu muda lagi, tidak boleh." Larang Puteri Saadah, menggeleng-geleng.

"Kanda boleh tunggang kuda siap memanah lagi! Kenapa saya tak boleh?" Rungut Puteri Sakinah dengan cebikan.

Kemudian, mereka berdua berbalah sesama sendiri. Puteri Safa pula sempat menjeling Tengku Ahmed yang menjadi punca utama perbualan itu tercetus. Putera Bahtera Biru itu melarikan pandangan, tidak berani untuk membalas jelingan itu.

"Saya cuma harap yang semua ini sudah berakhir. Kita dah boleh buat kenduri besar-besaran." Saran Shahmina sedikit kuat bagi mengatasi perbalahan yang berlaku di sisinya.

Rabiha dan Fazia memandang satu sama lain sebelum menoleh ke arah Zarina dengan senyuman gembira. Zarina pula hanya tersenyum malu, menundukkan kepalanya ke bawah.

Namun bagi pihak lelaki, Shafhan tidak terlihat gembira. Tangannya berpeluk tubuh dengan wajah yang dimasamkan. Dia sudahlah sibuk dengan hal negara, ditikam tanpa dipinta, masa untuk berehat pun tidak dapat dinikmati sepenuhnya dan kini sudah ada perkara lain yang perlu difikirkannya? Tidak bolehkah membiarkan dia dan Zarina hidup bahagia seperti ini sahaja?

"Tengok tu, si Shafhan tu." Bisik Tengku Ahmed pada Tengku Hijazi sambil melirik ke arah Shafhan. "Sudahlah ambil bakal isteri kita, pastu nak masam-masam muka."

"Eh, bila masa 'isteri kita' ni? Memang tidaklah saya nak berkongsi isteri dengan saudara." Balas Tengku Hijazi bernada marah. Wajah Tengku Ahmed yang dekat dengannya ditolak-tolak.

Tuah dan Andika yang mencuri dengar perbualan itu menekup mulut bagi menahan tawa mereka. Nafas kuat mereka akibat menahan tawa membuatkan Nafiz menoleh hairan ke arah dua orang penasihat diraja itu.

"Selain kenduri Putera Shafhan, bukankah kita masih menunggu pernikahan Tuan Andika dan Dayang Rabiha?" Nafiz sengaja menyatakan perkara itu, membuatkan dua penasihat diraja itu berhenti tertawa di sebelahnya. 

Mata Andika membulat, memandang Rabiha yang menutup muka tidak jauh darinya. Nak larikan cerita daripada Zarina dan Shafhan, mereka pula menjadi mangsa.

"Kita lepaskan kenduri Putera Shafhan dulu. Lepas itu, baru patik dan Rabiha akan fikirkan." Laju kata-kata itu meluncur dari bibir Andika. Wajahnya memerah menahan malu.

Shafhan mengeluh di tempatnya. Dia menoleh ke belakang, menangkap mata Zarina. Keningnya dijongketkan seperti menyatakan persoalan.

Zarina menjongketkan bahunya tanda tidak kisah. Jika itu apa yang harus dilakukan sebagai tradisi, dia akan menurut. Lagi pun, sudah pasti tiada peperangan yang akan berlaku lagi, bukan?

"Baiklah, nanti kalau sudah bincang bersama ayahanda dan bonda, saya akan edarkan kad jemputan majlis perkahwinan kami nanti." Shafhan memberi kata putus yang mana membuatkan seluruh kamar itu dipenuhi dengan sorakan. "Kita nak jemput kerabat tiga negara lain itukah?" Soalnya pula.

"Boleh je, kalau nak cari pasal." Balas Tengku Ahmed, pantas.

"Pantang ada peluang." Kata Puteri Safa sambil menepuk dahinya.

Shahmina tersengih tatkala mendengarkan cadangan itu. "Bolehlah kanda, kita jemput sahaja semua orang. Saya teringin juga nak jumpa Tengku Rhaina tu kalau hidup lagi." Katanya.

"Hidup je dia walaupun si Aisy pergi hantar dua orang itu masuk medan perang. Menjerit-jerit jugalah kena serang. Nasib baik dilindungi pahlawan-pahlawan masing-masing." Sahut Tengku HIjazi sebelum tersenyum kerana terhibur apabila teringat akan kejadian itu.

Shafhan membuat wajah berfikir. Jari telunjuknya diketuk-ketuk pada dagu. Idea yang bernas. Mahu juga dia lihat wajah manusia-manusia yang menentang keluarganya sebelum ini.

"Boleh, saya akan buat kad cantik-cantik." Setuju Shafhan, tersenyum senget.


°°°°°°°°°°


Kad berwarna putih perak itu ditenungnya lama-lama dengan dahi yang berkerut. Siap dihiasi reben merah berkilauan lagi. Tengku Aidan yang berada di atas katil kamar rawatannya itu mengetap bibir geram. Adakah ini cara Shafhan membalas dendamnya?

"Nak pergi tak?" Soal Tengku Aisy, mengusik. Dia duduk di bingkai tingkap kamar yang terbuka, kakinya dihayun-hayunkan ke luar. Inilah caranya untuk mencuri masuk ke dalam istana Lembayung Merah sejak dia telah menjadi petualang bebas tanpa memegang apa-apa jawatan di kerajaannya.

"Kepala hotak kau nak pergi. Si Ahmed Bakhri tu tembak aku, kau tahu? Ingat apa? Mereka menang, kita nak terus berdamai? Kita yang mulakan perang ini dulu kan? Tak malu ke?" Bertalu-talu Tengku Aidan membalas dengan suara yang meninggi.

Tengku Aisy mencebikkan bibirnya. "Ha, tahu pun malu. Kau tahanlah malu tu dengan ayahanda sampai bila-bila. Kalau tak malu, pergilah. Dapatlah tengok dayang yang kau culik tu kahwin dengan orang lain." Balasnya sama nada.

Pak! Tengku Aidan mencampakkan sampul yang dironyoknya ke arah Tengku Aisy. 

"Kau dahlah masukkan tunang aku dalam hospital sakit jiwa!" Jerit Tengku Aidan.

"Kau ingat aku nak bagi ke adik aku hidup dengan orang gila macam tu? Kau layak dapat yang lebih baik walaupun perangai kau macam ni!" Marah Tengku Aisy semula. "Insaflah dinda oi, bunga bukan sekuntum." Sambungnya lagi kemudian membuat tabik hormat sebelum melompat turun dari tingkap tersebut.

Tengku Aidan memandang sahaja bingkai tingkap yang telah kosong itu. Keluhan kuat dia luahkan. Biarlah Raja Khaizuran iaitu ayahandanya sahajalah yang pergi. Lebih baik dia berpura-pura sakit buat masa yang lama untuk duduk di sini.

Haih, sendiri cetuskan perang, sendiri kalah. Buat malu saja.

Agak-agak apa perasaan Sutera Kuning jika mereka dijemput?


°°°°°°°°°°


"Bedebah!" Maki Raja Narendra. Reben kuning keemasan itu dicarik-cariknya geram manakala surat jemputan itu dikoyak-koyakkan dengan bersungguh-sungguh. Pelbagai kata-kata kesat dilampiaskannya di singgah sana itu.

Para pengawal yang menjaga hanya mampu mendengar bebelan raja itu. Mereka sekadar bermain mata dengan satu sama lain bagi menunjukkan rasa menyampah mereka.

"Ayahanda, nak pergi boleh tak?" Soal Tengku Rhaina yang berlari-lari ke arah singgahsana. Gaun labuhnya diseret di atas lantai tanpa hirau.

Raja Narendra menjegilkan matanya pada anak perempuannya itu. "Tak boleh!" Gertaknya, bengis.

Namun nada itu tidak berjaya membuatkan Tengku Rhaina mengalah. Gadis itu mendengus lalu berpeluk tubuh. "Mana adil! Kita sudahlah tak selalu dapat pergi kenduri!" Katanya, keras.

"Tak perlulah, Rhaina. Buat malu kita saja." Tegur Tengku Rhaidan yang baru sahaja tiba di hadapan singgahsana tersebut.

"Alah, Rhaidan takut nak pergi sebab takut kena serang dengan Shafhan. Siapa suruh ugut nak ambil Shahmina?" Sibuk Tengku Rhaina dengan riak jengkel.

Mendengar pergaduhan antara dua orang anaknya itu, telinga Raja Narendra terasa berdesing dengan amarah. Matanya mencerlung tajam, tidak sudah-sudah anak-anaknya itu bising padanya. "Sudah! Kamu berdua ini selalu malukan ayahanda! Pergi kamar kamu sekarang, dan jangan keluar sampai dapat arahan! Pergi!" Laungnya, menggegarkan hampir seluruh bangunan.

"Semua salah Rhaidan, kan kita dah kena hukum!" Jerit Tengku Rhaina pada kembarnya sebelum bertindak untuk memukul bahu putera itu. Selepas itu, dia meninggalkan kawasan singgahsana untuk menuju ke kamarnya.

Tengku Rhaidan terpinga-pinga di situ. Eh, tiba-tiba dia kena salah pula?

Tanpa membuang masa, putera itu turut menuju ke kamarnya tanpa bicara apa-apa.


°°°°°°°°°°


Bersandar pada kepala katil kamar rawatan, Tengku Haiman mengusap-usap kad jemputan yang dihiasi reben kelabu bersinar itu. Tidak dia sangka, keluarganya turut dijemput untuk ke majlis perkahwinan putera sulung Angin Putih meskipun keluarganya bersubahat dan bertindak untuk membantu Sutera Kuning dan Lembayung Merah.

Kad tersebut telah kemek di serata bahagian kerana dia merupakan orang terakhir untuk menerima surat jemputan tersebut. Putera bongsu itu mengeluh kecil, sudahlah dia yang diarahkan untuk turun ke medan perang, ditembak pula itu, selepas itu dipulau seluruh keluarga.

Nasiblah hidup dalam keluarga kerabat Tasik Kelabu, memulaukan orang itu merupakan perkara paling biasalah dalam diri masing-masing. Mereka juga tidak biasa bergaul dengan negara lain. Memang mereka dikenali dengan sifat aneh itu.

Apalah nasibnya, terlibat dengan kegiatan seperti itu. Dia harap, dia juga dapat membebaskan diri sepertimana Tengku Aisy yang kini berbaju putih. Benar, dia tidak berjumpa dengan putera itu namun biasalah, cerita-cerita dan ura-ura daripada rakyat bakal sampai juga ke telinga pemerintahnya.

Baju kelabu yang dipakainya itu ditenung seketika. Diusap-usap pula bagi menghilangkan kedutan yang ada. Di bawah baju itu pula, dapat dia rasakan tekstur balutan yang memenuhi tubuhnya.

Mungkin dia akan mencuri keluar untuk ke kenduri itu? Jika diserang pun, dia tidak kisah. Dia pernah ditembak oleh Tengku Ahmed sendiri. Kena tembak... Tak adalah sakit sangat, kan?

Keluhan kecil dia helakan. Entahlah, dia sendiri tidak tahu mahu fikir apa.

Apa yang penting, Tasik Kelabu boleh kembali memencilkan diri seperti biasa.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro