Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

👑~ LVII : 57 ~👑

Siling putih yang menghiasi bilik rawatan tersebut direnung lama-lama. Matanya terkerdip-kerdip perlahan melawan kantuk disebabkan oleh ubat-ubatan yang disuntik ke dalam tubuhnya. Tangannya terasa berat apabila diangkat untuk mengusap perut yang berbalut. Pedih, terasa seperti baru sahaja ditikam di situ.

Kerutan di dahi jelas terserlah apabila memorinya memainkan peranan. Kejap, memang dia ditikam pun.

Dia segera bangkit bagi melihat sekeliling. Namun perbuatannya itu menyebabkan dia mengerang kesakitan apabila jahitan pada lukanya terasa ditarik-tarik. Selepas itu, dia dapat merasakan sepasang tangan sedang menolak bahunya agar dia kembali berbaring ke atas katil semula.

"Sabar kanda, awak tak boleh bangun lagi." Satu suara lembut menerpa gegendangnya. Shafhan kenal akan suara itu. Jantungnya yang berdegup kencang sebentar tadi kini menjadi tenang apabila pegangan pada bahunya tidak dilepaskan.

Shafhan mengangkat tangan kanannya perlahan-lahan sebelum dia meletakkan tangannya itu ke atas tangan insan yang memegang bahunya. Pemilik tangan yang dipegang itu kaku seketika seperti terkejut dengan perbuatan itu. Senyuman kecil Shafhan ukirkan.

Tangan yang memegang bahunya ditariknya perlahan untuk dibawa ke bibir. Kucupan kecil diberikan pada tangan cantik itu.

"Kalau saya tarik tangan saya dan marah awak sebab saya ada wudhuk, apa awak nak buat?" Soal suara tersebut lalu tertawa. Dari pegangan tangan sahaja Shafhan dapat merasakan getaran itu.

"Mm, tak boleh buat apa." Balas Shafhan dengan mata yang terpejam. "Awak ambil wudhuk lagi pun, awak masih kena jaga dan pegang saya juga."

"Ish, mengada." Ujar suara itu terhibur. "Awak tahu tak, sudah dua hari awak tak sedarkan diri?"

Mendengarkan itu, Shafhan terus segar-bugar. Matanya terbuntang memandang Zarina yang menunduk memandangnya. Wanita itu dapat dilihat sedang duduk di sisi katilnya. Kemudian, matanya dilarikan ke arah sebuah katil hospital yang berada di sebelahnya pula. Keadaan katil tersebut seperti mempunyai penghuni namun kosong.

"Sayang, awak tidur sini juga ke?" Soal Shafhan.

Zarina memasamkan wajahnya. "Awak salah satu penyebab saya dibawa ke sini." Tuturnya sambil menuding ke tangannya yang lain. Terdapatnya infusi titisan intravena yang dicucuk pada tangan itu.

"Salah satu? Apa lagi yang- Argh!" Kata-kata Shafhan terhenti apabila cubaannya untuk duduk tidak berjaya oleh sebab kecederaan yang dialami. Zarina lantas menepuk bahu suaminya itu berkali-kali sebagai balasan kerana degil.

"Jangan degil!"

"Mana ada degil! Tak suka baring, nak duduk."

"Tak payah, nanti berdarah lagi perut tu macam mana? Ingat senang ke nak dapatkan ubat waktu-waktu pascaperang macam ini?"

"Dah kalau duduk je, macam mana saya nak ke kamar mandi? Saya nak bersiram, buang air, ambil wudhuk, gosok gigi, cuci muka-"

"Itu lain! Dua hari awak tak sedarkan diri ni, siapa yang bersihkan badan awak hah?"

"Ohh, jadi awaklah bidadari yang pegang-pegang tubuh saya dalam mimpi saya tu?"

Zarina menampar dahinya sendiri. Ya Allah, kurniakanlah dia kesabaran. Kalau Allah berikan kekuatan, memang bertambah cedera si Shafhan ini dipukulnya. 

"Awak ni, nak uji kesabaran saya ke?" Soal Zarina dalam nada serius. Suaranya kini rendah, memandang Shafhan dengan renungan tajam.

Shafhan tersentak. Dia memandang Zarina lama sebelum takut-takut mengalihkan pandangannya ke arah lain. Kesabaran isterinya itu jangan dicabar, apatahlagi mereka masih belum mengenali satu sama lain dengan lebih dalam lagi. Masih panjang masa untuk mereka memahami perwatakan masing-masing.

"Tahu pun." Ujar Zarina, geram. Dia bangun dan mengambil beberapa buah bantal dari katilnya sebelum kembali ke katil Shafhan. Bantal-bantal tersebut diletakkan di bawah kepala dan di belakang Shafhan bagi membantu putera itu untuk bersandar.

Shafhan mengembalikan pandangan matanya pada Zarina. Wanita itu kini merenung tangannya yang memiliki parut-parut yang sepatutnya tidak ada di situ. Tangan itu diusap-usap isterinya sebelum pandangan matanya disambut.

"Shafhan, dua hari lepas- Saya- Kami semua-" Suara Zarina tersekat-sekat seperti sedang menahan tangis. "Saya-" Dia menarik nafas. "Aryan dah tak ada, awak." Akhirnya, itu apa yang diberitahu terlebih dahulu.

Seperti menjatuhkan bom yang besar, Shafhan terpana di situ. Matanya membulat memandang Zarina yang sudah berlinangan air mata. Wajah isterinya itu disentuh cepat sebelum menyeka air mata yang mengalir di pipi putih itu.

"Ina-" Pertuturan Shafhan tersekat di kerongkong. "Innalillahiwainnailaihirojiun." Ucapnya.

"Saya tahu ramai lagi yang meninggalkan kita tapi Aryan... Dia kawan baik saya." Zarina mengadu, memegang tangan Shafhan yang masih berada di pipinya. "Putera Hijazi kata dia minta maaf sebab kami bergaduh hari itu. Saya yang patut minta maaf! Saya yang guris hati dia. Saya tak sempat pun nak cakap apa-apa dekat dia. Lepas tu dia- dia... Dia tinggalkan saya!" Ujarnya lalu menangis teresak-esak.

Hati Shafhan hancur apabila mendengar tangisan isterinya itu. Air mata mula bertakung di matanya. Dia tidak rapat dengan Aryan, tetapi dia tidak boleh bayang sekiranya sahabat baiknya sendiri pergi begitu sahaja apatahlagi dengan cara perpisahan yang tidak baik. Dia pasti, dia akan menyesal seumur hidup.

Namun Shafhan tidak boleh membiarkan Zarina memiliki perasaan seperti itu. Isterinya tidak boleh menyalahkan dirinya terhadap apa yang telah terjadi.

"Saya cakap yang saya tak redha dia pergi sertai peperangan itu. Saya tengking dia, saya marah dia. Tapi dia tak marah saya balik pun walaupun dia berkeras." Adu Zarina lagi.

Shafhan menggosok-gosok pipi isterinya itu menggunakan ibu jari. Dia tidak tahu untuk mengatakan apa kerana dia takut akan mengundang amarah Zarina dan menambahkan rasa penyesalan pada hati wanita itu. Biarlah dia mendengar apa yang dibicarakan Zarina sebelum berfikir untuk memberikan jawapan.

Tangisan Zarina tidak henti-henti menitis ke selimut yang menyelimuti Shafhan. Wanita itu teresak-esak sendirian manakala Shafhan menahan air matanya daripada mengalir di pipi. Namun mata putera itu penuh, bila-bila masa sahaja takungan itu akan pecah.

"Semoga Aryan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Syahid tu, Ina." Bicara Shafhan, memandang isterinya dengan air mata yang sudah pun berlinangan.

Anggukan kecil Zarina berikan. Tangan suaminya dikembalikan ke atas selimut semula.

"Awak nak tahu..." Zarina mula mengubah cerita. Dia mendongak ke atas dan mengerdip-ngerdipkan matanya seketika. "Masa awak balik dalam keadaan macam tu dua hari lepas, mereka kata saya menggila untuk pergi dekat awak." Ujarnya terhibur. Senyuman kecil mula terbit di bibirnya.

"Lepas itu, mereka yang lain beri kata-kata semangat dekat saya. Lepas itu juga, saya dapat tahu yang kita menang. Saya pergi tunggu dekat depan untuk nantikan kepulangan pahlawan-pahlawan kita. Awak tahu apa saya dapat? Mereka beri saya baju perisai Aryan yang berdarah-darah tu." Cerita Zarina lalu mengemam bibirnya. Kemudian, dia menghabiskan ceritanya. "Saya tak sedarkan diri terus. Bangun-bangun je saya dah ada sebelah awak."

Shafhan memejamkan matanya. Menahan marah pada diri sendiri atau sedih dengan keadaan, dia sendiri tidak tahu. Fikirannya pusing memikirkan pelbagai perkara. Pedih hatinya apabila banyak perkara yang berlaku pada isterinya padakala dia tidak sedarkan diri.

"Saya bangun petang tu, saya terus kena sergah dengan keluarga saya, kawan-kawan saya, keluarga awak, semualah. Terkejut saya tau." Beritahu Zarina lagi. "Lagi pun, mereka datang pun untuk lihat awak juga sebab awak dah stabil dan saya dah sedar."

Tidak berkata apa-apa, Shafhan sekadar merenung anak mata Zarina dalam-dalam. Usai, tangannya digamit-gamit seperti mengarahkan Zarina untuk menunduk.

"Hm?" Zarina menundukkan kepalanya. Adakah Shafhan ingin membisikkan sesuatu?

Selepas itu, dia dapat merasakan satu kucupan lembut hinggap di dahi. Kemudian pada hidungnya, sebelum sekilas pada bibirnya. Kepalanya yang berselendang itu diusap-usap Shafhan dengan penuh kasih sayang. 

Wajah Zarina membahang seperti mahu terbakar. Adakah Shafhan baru sahaja melakukan perbuatan itu?!

"Rezeki Allah bagi, saya dikurniakan seorang isteri yang tabah dan sabar. Ina kuat, berkemungkinan lebih kuat daripada saya. Semua yang berlaku pasti ada hikmahnya. Jangan kenang yang lepas, kita iringi mereka dengan doa selagi mampu. Apa yang penting, jangan lupakan mereka yang telah meninggalkan kita. Tapi pastikan yang kita mampu bergerak ke hadapan tanpa meratap." Tutur Shafhan dengan senyuman kecil.

Zarina lekas menyembunyikan wajahnya di dada Shafhan manakala putera itu tertawa besar dan memeluk bahu isterinya ketat-ketat. Siling putih itu dipandang lagi tetapi kini Shafhan tidak lagi berasa kosong. Zarina pula sibuk mendengar degupan dan irama jantung suaminya itu.

Kesepian menghambat suasana, memberikan ketenteraman pada mereka sementara. Sehinggalah...

"Assalamualaikum Cik Puan Zarina, boleh hamba masuk? Hamba mahu periksa keadaan Putera Shafhan." Satu suara kedengaran dari luar disertai ketukan pintu.

Zarina tersentak, Shafhan pula mendengus kuat tanda geram. Dia baru sahaja nak menikmati masa mereka berdua.

"Alamak, saya lupa nak beritahu mereka yang awak dah sedar." Bisik Zarina, mengangkat kepalanya bagi memandang Shafhan.

Shafhan memasamkan wajahnya. Dia menoleh ke arah pintu. Pelukan pada bahu Zarina semakin erat.

"Tak boleh!" Jerit Shafhan suka hati.

"Kanda!" Terkejut Zarina bersuara sambil menepuk dada suaminya, marah. 

Tiada suara yang menyahut di sebalik pintu tersebut buat beberapa saat sebelum satu jeritan kuat kedengaran dari luar. "Putera Shafhan dah sedar!"

Bertambah-tambah kuat dengusan Shafhan. Dia sudah menampar dahi menunjukkan kekesalan. Pastilah selepas ini akan lebih ramai yang datang ke kamar rawatannya. Tidak adalah masanya untuk bersama sendirian dengan Zarina.

Pipi isterinya itu dikucup sekali lagi sebelum dia membetulkan diri bagi menerima tetamu. Zarina pula bangkit dan mengemaskan pakaiannya untuk perkara yang sama.

"Jangan masam-masam. Senyum sikit." Tegur Zarina pada Shafhan.

"Tak nak! Biar mereka tahu yang saya tak sudi untuk berjumpa dengan mereka." Jawab Shafhan, degil.

Zarina menggeleng kecil lalu bergerak ke pintu bilik itu. Suka hatilah Shafhan, janji bahagia.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro