👑~ LVI : 56 ~👑
Sebuah bilik perbincangan yang kosong menjadi tempat berkumpul. Rabiha dan Fazia duduk di sebuah meja yang berada di tengah-tengah bilik tersebut, masing-masing meluahkan tekanan dengan cara tersendiri. Bertentangan dengan mereka, Andika dan Nafiz asyik sekali berbual dan bertukar cerita tentang apa yang telah berlaku di medan perang.
Tuah pula berada di hujung dinding, berpeluk tubuh dan melayan penyesalan yang bertandang di hati kerana tidak menemani Shafhan ke Damai Kundang. Bukan itu sahaja, bilik itu juga dipenuhi bunyi kasut tinggi yang dipakai Shahmina oleh sebab puteri itu asyik mundar-mandir tidak jauh dari mereka semua.
"Tidak pasal-pasal dua orang itu kena duduk dalam bilik rawatan sekali. Seorang Zarina, seorang lagi Putera Shafhan. Apalah nak jadi." Keluh Fazia, menekup wajah.
"Kenapa awak dan Tuah tak teman Putera Shafhan?" Soal Rabiha pada Andika.
Andika meraup mukanya tanda tertekan dengan soalan itu. Namun dia tidak marah, dia sekadar menarik nafas dalam dan melepaskan perlahan bagi menenangkan diri. Setelah itu, dia memandang Rabiha dengan pandangan redup.
"Saya dan Tuah perlu menyelesaikan segala kertas kerja yang bertimbun-timbun di pejabat Shafhan. Sejak dia sudah menikahi Ina, kami tak dapat nak ada dekat dengan dia selalu. Lagi pun, perang masih belum mula kan sepatutnya, memang tak sangka pula yang Shafhan akan pulang berdarah. Putera Hijazi dan Putera Ahmed kan ada sekali." Jelas Andika, serius.
Rabiha merengus kecil, dia merehatkan kepalanya ke atas meja. Sungguh, dia tidak langsung menjangkakan segalanya akan berlaku dengan pantas. Shafhan tercedera, Zarina pitam akibat terkejut yang teramat manakala Aryan pula...
Andai takdir berlaku dengan cara lain, pasti Aryan akan ada bersama mereka di dalam bilik ini dan susah hati bersama-sama. Tetapi kini tidak lagi. Aryan sudah tidak bersama mereka.
Rabiha tidak boleh membayangkan riak ibu bapa Aryan yang datang ke dewan pahlawan untuk mengambil segala barang milik Aryan. Emak Aryan menangis semahu-mahunya, bapanya pula sedaya upaya cuba untuk menenangkan wanita itu.
Ada baiknya juga Zarina tidak bersama mereka waktu itu. Jika tidak, pasti lebih banyak perkara lain yang akan berlaku. Sama ada mereka akan berpelukan dan menyatakan kata-kata semangat pada satu sama lain atau sebaliknya. Dia tidak mahu Zarina dipersalahkan atas sebab peperangan ini.
"Benda... Dah jadi. Kita tak boleh nak buat apa." Perlahan Shahmina berkata, berdiri di sebelah meja perbincangan tersebut. Kedua belah tangannya direhatkan ke atas meja dan dia memandang rakyatnya seorang demi seorang.
"Kita menang pun, tak rasa macam menang. Pahlawan yang pulang kepada kita jumlahnya lebih sedikit berbanding pahlawan Bahtera Biru, Kemuning Hijau dan Sahmura Ungu." Ujar Nafiz pula.
"Pahlawan kita memang sikit pun." Sibuk Tuah sambil berpeluk tubuh di sudut dinding itu. "Tapi pahlawan kita bertambah sedikit apabila mereka yang mara ke hadapan terlebih dahulu. Lagi pun, ini kan perang kita. Tiga negara lain itu hanya membantu sahaja."
Tiada sesiapa yang menjawab kata-kata itu. Benar, bilangan pahlawan Angin Putih memang lebih sedikit berbanding dengan negara-negara lain oleh sebab negara mereka yang kecil. Namun dengan bantuan negara-negara lain, mereka menang seperti seharusnya demi mempertahankan hubungan Zarina dan Shafhan.
Pengorbanan itu adalah perkara biasa yang akan berlaku bila-bila masa sahaja. Tetapi, tidak ada sesiapa yang dapat menceritakan cara pemergian Aryan. Insan yang membawa jasad Aryan pulang pun tidak tahu. Jika mereka dapat menemukan seseorang yang bersama Aryan di medan perang tersebut, pasti pelbagai perkara akan mereka tanyakan.
Atau sebenarnya memang ada... Tetapi mereka sahaja yang tidak tahu siapa?
"Tiada sesiapa yang tahu apa yang terjadi pada Aryan ke?" Rabiha bertanya dalam nada sedih. Dia ingin mengetahui informasi itu terlebih dahulu sebelum Zarina sedarkan diri. Jika dia ditanya, lebih mudah untuk dia jawab sendiri nanti.
"Ada." Satu patah daripada Andika sahaja sudah membuatkan semua orang menoleh ke arahnya kecuali Tuah. "Saya ada dapat surat dari Kemuning Hijau. Salah seorang daripada kerabat sana akan datang ziarah bila-bila masa sahaja."
Shahmina mengusap dagunya tanda berfikir. "Menurut saudara Bakhri, dia hanya mengajak Shafhan sahaja ke Damai Kundang. Siapa lagi yang ke sana bersama mereka?" Soalnya, hairan.
"Nanti kita lihat siapa yang akan datang." Balas Tuah lalu mengambil tempat di sebelah Shahmina yang telah pun duduk di atas kerusi.
Kini, semua yang berada di situ sekadar merenung meja dan membuat hal masing-masing. Aura di dalam bilik perbincangan itu juga tidak enak, dipenuhi kelam dan resah. Keenam-enam manusia itu termenung sendiri dan mengenang nasib.
Tok! Tok!
"Masuk!" Jerit Shahmina apabila ketukan pada pintu kedengaran.
Seorang dayang berselendang putih membuka pintu itu dengan wajah yang risau. Apabila melihat keadaan bilik tersebut yang murung, bertambah-tambah risau riak wajahnya.
"Kenapa Ama?" Soal Fazia pada Dayang Amatullah yang tercegat berdiri di situ. Semua memberikan pandangan pelik pada dayang yang tiba-tiba mengganggu layanan jiwa mereka.
"Ampun tuan puteri kerana saya mengganggu tapi-" Dayang Amatullah tidak menghiraukan Fazia malah memandang Shahmina sebagai tanda hormat. "Tuanku Shahir telah memanggil semua yang berada di sini untuk ke kamar rawatan." Panggilnya.
Shahmina lantas berdiri sehingga terjatuh kerusi yang didudukinya itu ke belakang. Bunyi hentakan kerusi itu juga kuat, memeranjatkan semua yang mendengar. Jantung mereka semua kini berdegup laju seperti baru sahaja menyertai pertandingan lumba lari.
"Tentang Shafhan? Zarina?" Soal Shahmina dengan mata yang membulat.
"Dua-dua. Ayuh lekas ke sana!" Ajak Dayang Amatullah. Setelah semuanya berdiri untuk mengekorinya, dia bergerak keluar dengan tergesa-gesa.
Sementara menunggu seorang demi seorang berlari ke luar dari bilik tersebut, Fazia dan Rabiha berdiri di belakang bagi menunggu giliran mereka.
Fazia mendekati Rabiha. Dia berbisik perlahan sambil cuba menahan tawa agar tidak didengari. "Kalau Shafhan mati kan, nauzubillah, kira macam dua watak kegemaran Ina mati sekali kan? Ingat tak waktu Ina sedih masa watak dalam novel dia tu mati?"
Mata Rabiha membulat seperti bola ping pong. Kepala sahabatnya itu dipukul perlahan. "Ya Allah, mulut tu! Jangan cakap benda bukan-bukan!" Marahnya.
"Aduh! Sakitlah Rabiha."
"Itu baru saya pukul, belum saya sepak lagi."
°°°°°°°°°°
Hujan separa lebat membasahi bumi Damai Kundang, membersihkan segala darah dan sisa-sisa yang tertinggal di sana. Pondok-pondok yang dibina sebagai tempat berteduh kini rapuh dan runtuh ditiup angin. Timbusan-timbusan tanah yang menutup jasad dan haiwan yang terbunuh menghiasi tanah rata tersebut.
Tengku Ahmed berdiri di tengah-tengah kawasan lapang itu tanpa dipayungi apa-apa. Dari jauh, penasihatnya sekadar memerhatikan sahaja segala perbuatan putera itu. Entah apa yang sedang difikirkan oleh putera itu, dia tidak mahu mengganggunya.
Lumpur membasahi kasut yang berwarna biru muda tanpa dihiraukan pemiliknya. Tengku Ahmed mendongak ke langit, merasai rintihan tangis sang bumi terhadap segala yang berlaku. Hatinya turut merintih sama, terasa bungkam dengan peperangan yang telah pun berakhir.
"Alhamdulillah ya Allah, atas kuasa Engkau kami menang." Bisik Tengku Ahmed pada langit. "Semoga keadilan berpihak pada kami semula, sesungguhnya Engkau Maha Adil lagi Maha Penyayang."
Selepas itu, dia mengangkat tangan dan berdoa sungguh-sungguh agar keamanan negara-negara Melayu bertahan lama dan tidak akan ada lagi peperangan seperti ini. Shafhan didoakan agar sembuh dengan cepat, Zarina didoakan untuk terus bersabar dan redha terhadap semuanya. Manakala buat pahlawan-pahlawan yang telah bertarung nyawa untuk negara, semoga syurga buat mereka.
Apabila Tengku Ahmed terlihat lebih tenang dan mengusap wajahnya, penasihat putera Bahtera Biru itu bergerak sedikit ke hadapan. "Tuan Putera Bakhri, ayuh kita pulang. Ayahanda tuan putera bakal risau jika jatuh gering akibat hujan ini." Pesannya, berpura-pura tidak perasan akan mata Tengku Ahmed yang merah seperti baru sahaja lepas menangis.
"Okey, jom." Tutur putera itu sebelum sibuk menumpang payung yang dibawa oleh penasihatnya itu. Tadi disuruh bawa payung sendiri tidak mahu, dia menyibuk pula payung orang lain. Basah-basah pula itu.
"Esok beta mahu ke Tasik Kelabu, mahu tengok apa jadi pada putera yang beta tembak itu." Kata Tengku Ahmed pada penasihatnya dengan senyuman senget. Penasihatnya pula sekadar menggeleng, malas mahu melayan kerenah putera jagaannya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro