Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

👑~ LIV : 54 ~👑

Bunyi dentuman dapat didengari di serata tempat. Bunyi dentingan pedang, tarikan busur panah, lontaran lembing dan derapan ladam kuda memenuhi serata tempat. Bukan itu sahaja, jeritan dan erangan manusia turut menghiasi Damai Kundang.

Tasik Kelabu telah berpihak pada Sutera Kuning dan Lembayung Merah. Ini bermakna pertumpahan darah yang berlaku adalah lebih ekstrem dan melampau. Tiada belas kasihan yang ditunjuk oleh para pahlawan berbaju kelabu gelap yang memegang tombak di sekitar kawasan perang itu.

Di hujung utara kawasan tersebut, Tengku Ahmed sedang berjuang bersama pahlawan-pahlawan Bahtera Biru dan Sahmura Ungu. Senjata bersepah di atas tanah termasuklah darah manusia yang terpercik di serata tempat. Tengku Ahmed terduduk di atas tanah, matanya memandang dua orang putera yang melihatnya tanpa perasaan.

Tubuh-tubuh para pahlawan yang sudah tidak bernyawa bergelimpangan di merata tempat. Hanya tinggal beberapa orang sahaja yang mengiringi Tengku Ahmed dan dua orang putera lagi di hadapannya itu.

Mata Tengku Ahmed bergerak pada seorang putera muda di sisi Tengku Aidan. Itulah Tengku Haiman, putera bongsu negara Tasik Kelabu yang turut turun untuk berjuang bersama rakyatnya. Wajahnya kosong, maka Tengku Ahmed tidak boleh membaca reaksi putera itu.

"Menyerah sajalah Bakhri, pertahankan perbuatan saudara engkau itu hanya akan memakan diri." Ujar Tengku Aidan, meletakkan mata pedangnya pada dagu Tengku Ahmed.

Pahlawan-pahlawan lain sudah mula mahu bergerak ke hadapan namun Tengku Ahmed mengangkat tangannya bagi menghentikan pergerakan mereka. Biar dia sendiri yang berunding dengan putera itu.

"Dan serahkan hak perkahwinan seseorang pada keluarga kau? Jangan harap." Balas Tengku Ahmed.

Kata-katanya itu membuatkan Tengku Aidan menghiris kulit Tengku Ahmed sedikit bagi mendatangkan sakit. Tengku Ahmed sekadar mendecit pedih tetapi tidak mengalihkan pandangannya pada Tengku Aidan. Tangan putera Bahtera Biru itu bergerak-gerak di atas tanah seperti sedang mencari sesuatu. Apabila tangannya berjaya mencapai 'sesuatu' itu...

Bang! Satu tembakan tepat terkena pada bahu Tengku Aidan.

"Argh!!" Tengku Aidan menjerit kesakitan. Dia jatuh terjelepok ke belakang, pegangannya pada pedang terlepas kerana sibuk memegang bahunya yang kini berlumuran darah.

Tengku Ahmed berdiri dan meniup sepucuk istinggar yang berjaya dicapainya tadi. Dia menghalakan muncung istinggar tersebut ke arah Tengku Haiman pula. Putera muda itu terketar-ketar berdiri di sisi Tengku Aidan yang kesakitan di atas tanah.

Gaya Tengku Haiman seperti mahu berlari dari situ namun dia tidak mahu meninggalkan Tengku Aidan sendirian. Meskipun wajahnya terlihat tidak beriak, Tengku Ahmed tahu bahawa dia sedang ketakutan.

"Mana adil, aku guna pedang, kau guna senjata menembak! Kemajuan tak membawa apa-apa kebaikan pada kau pun!" Marah Tengku Aidan lalu mencapai pedangnya semula dan berdiri.

Senyuman sinis Tengku Ahmed berikan. Serta-merta semua pahlawan yang bersedia di belakangnya tadi bergerak setapak ke hadapan. 

Istinggar yang dihalakan pada Tengku Haiman oleh Tengku Ahmed langsung tidak berganjak. Dia membiarkan asap yang keluar dari istinggar tersebut dijadikan sebagai satu amaran.

"Maju tak maju, ini Bahtera Biru." Kata Tengku Ahmed, senang hati.

Bang!


°°°°°°°°°°


"Ya Allah!" Jeritan Shafhan bergema di sekitar kawasan hutan. Belakangnya terhentak di atas lantai hutan akibat terjatuh secara mendadak. Dia memegang perut, sebilah pisau dapat dirasakan menikam abdomennya. Darah mula mengalir keluar dengan banyak.

"Shafhan!" Tengku Aisy yang sedang menahan tetakan pedang Tengku Rhaidan segera berlari ke arah Shafhan. Dia menggelecet ke atas tanah dan melutut di sebelah Shafhan yang sedang berbaring.

Jelingan maut dilemparkan pada Aleya yang berdiri kaku di situ. Gadis itu seperti tidak percaya dengan apa yang telah berlaku. Adakah dia sendiri yang menikam putera itu?

"Kau, apa Shafhan buat dekat kau sampai kau kena buat macam ni dekat dia? Kau yang menolak takdir tuhan, kau yang nak mengamuk kenapa?!" Tengking Tengku Aisy.

Aleya tersentak ke belakang. "Jika-" Katanya kemudian menarik nafas dalam. Otaknya sedang ligat mencari buah fikiran. "Jika patik tidak boleh mendapatkan Putera Shafhan, tiada siapa boleh dapatkan baginda!" Sambungnya lagi, masih cuba untuk mempertahankan diri.

Tengku Rhaina sudah menggulingkan matanya menyampah. Dia mula bertanya pada diri sendiri, mengapalah dia berpihak dengan gadis yang tidak matang ini. Nasib baik comel dan berharta, tidak adalah ralat sangat untuk berkawan dengannya.

"Apa masalah kau ni?!" Pecah suara Tengku Aisy menjerit. "Kau, aku akan masukkan kau dalam rumah sakit jiwa. Kau tengoklah nanti. Aku tak kisah apa adik aku cakap, kau tunggu." Ugutnya lalu berdiri.

Tengku Aisy meletakkan jari telunjuk dan ibu jarinya ke bibir kemudian bersiul kuat. Tidak lama selepas itu, segerombolan pahlawan Kemuning Hijau dan Lembayung Merah yang bersekongkol dengannya segera mengepung tiga orang insan di situ.

"Beta nak kalian semua tangkap perempuan gila ni dan bawa dia ke Lembayung Merah semula." Arah Tengku Aisy sambil menuding ke arah Aleya. "Dan ambil putera dan puteri ni, bawa mereka ke Damai Kundang untuk dilemparkan pada kesibukan peperangan. Mana tahu, terbunuh sekali." Arahnya lagi pula sambil memberikan pandangan jelik pada Tengku Rhaina dan Tengku Rhaidan.

Tanpa membuang masa, kesemua pahlawan tersebut melakukan apa yang disuruh. Tengku Rhaina dan Tengku Rhaidan menjerit-jerit meminta agar dilepaskan. Mereka berdua juga menengking pahlawan-pahlawan di situ dan menyatakan kedudukan mereka serta pangkat mereka sebagai putera dan puteri Sutera Kuning.

Aleya pula tidak berbicara. Dia seperti terkena kejutan yang teramat. Apabila ditarik dan diikat, dia hanya menurut sahaja.

Setelah selesai memerhatikan semuanya, Tengku Aisy mengembalikan perhatiannya pada Shafhan semula. Pemuda itu terlihat separa sedar, bibirnya seperti mula merah disimbahi darah.

"Jangan tidur, kau jangan tidur." Marah Tengku Aisy sambil menepuk pipi Shafhan berkali-kali. "Kau sabar jap." Dia mula mendukung Shafhan, dan meletakkannya ke atas Jaguh yang setia menunggu.

Selepas itu, Tengku Aisy melompat pula ke atas Jaguh dengan handal sekali. Tali kolar Jaguh dilibas sebelum kuda itu meringkik kuat dan berlari ke arah Angin Putih dengan pantas.


°°°°°°°°°°


Bulu putih milik Jelita kini dicemari merah, Aryan yang menunggang di atasnya tidak kurang juga nasibnya. Tangan kanannya menggeletar memegang pedang yang semakin lama semakin terasa beratnya. Nafasnya turun naik. Matanya memerhatikan sekeliling.

Pahlawan-pahlawan berkuda yang menyerangnya tadi berjaya dia kalahkan bersama pertolongan Pahlawan Rizman dan beberapa pahlawan lain yang berada berdekatan. Aryan mengeluh kesal, menggunakan tangan kirinya untuk menolak rambutnya ke belakang. Sarung kepalanya sudah entah ke mana, penampilannya kini benar-benar terdedah.

Manusia-manusia yang sudah tidak bernyawa memenuhi tanah, termasuklah kuda-kuda berperisai yang tidak berdosa. Aryan terasa seperti ingin muntah, dia sempat menekup mulutnya bagi menahan diri.

"Aryan." Panggil Pahlawan Rizman, menyebabkan Aryan menoleh. "Okey tak?" Soalnya.

Anggukan kecil Aryan berikan. "Okey, okey." Jawabnya sambil menarik nafas kencang.

Aryan turun dari kudanya, mengambil sebuah sarung kepala milik seorang pahlawan yang tidak bernyawa. Selepas itu, dia berjalan ke arah Pahlawan Rizman sambil diekori Jelita dari belakang. Tangannya menyapu-nyapu sarung kepala tersebut agar bersih dari debu.

"Sanggup pakai mayat punya." Pahlawan Rizman berseloroh.

Tersengih, Aryan mengembangkan sarung kepala tersebut untuk dipakai. "Nak tak nak, kena pakai Pahlawan Rizman. Bahaya sekarang ni." Katanya dan meletakkannya pada hadapan muka sebelum disarung.

"Uk-" Aryan tiba-tiba mengeluarkan suara yang tersekat di kerongkong. Pegangannya pada sarung kepala tersebut longgar, membuatkan sarung kepala tersebut jatuh ke tanah. Dia menunduk ke bawah, sebilah pedang dapat dilihat tembus ke perutnya dari belakang.

Matanya bertemu dengan Pahlawan Rizman yang terkejut memandangnya, sebelum ketua pahlawan itu jatuh dari kudanya pula. Apabila bebola mata Aryan mengikuti tubuh lelaki yang jatuh itu, dia dapat melihat sebatang anak panah terkena tepat pada jantungnya.

"Pah- Pahlawan Rizman!" Aryan mahu menjerit tetapi suaranya keluar serak-serak basah. Dia jatuh terduduk, darah membuak-buak keluar dari mulut.

Belum sempat pahlawan itu menoleh untuk melihat gerangan yang menikamnya, pedang tersebut di tarik keluar dari tubuhnya semula. Mata Aryan membulat sebelum darah tersembur dengan banyak sekali. Dia menjerit kuat akibat kesakitan yang teramat.

"Pahlawan Aryan!" Sayup-sayup suara Tengku Hijazi kedengaran dari jauh. Putera itu berlari-lari ke arah Aryan sambil menarik anak panahnya dengan tegang.

Tap! Tepat tembakan putera itu mengena dahi pahlawan Sutera Kuning yang senyap-senyap menikam Aryan dari belakang.

Tap! Sebatang anak panah dilepaskan lagi bagi menjatuhkan pahlawan Lembayung Merah yang menembak Pahlawan Rizman dari jauh.

Tengku Hijazi segera duduk di sisi Aryan dan mencabut serbannya untuk diletakkan pada perut Aryan. Serban hijau muda tersebut kini dipenuhi cecair merah. "Pegang ni." Arahnya sebelum bergerak ke arah Pahlawan Rizman pula.

Putera itu membetulkan posisi Pahlawan Rizman di atas tanah. Nadi pahlawan itu dicarinya kemudian mengambil masa untuk merasakan denyutan yang seharunya ada. Keluhan kecewa Tengku Hijazi lepaskan lalu menunduk kesal ke atas tubuh Pahlawan Rizman.

"Innalillahiwainnailaihirojiun..." Ucap Tengku Hijazi, sebak.

Aryan tersedu, menahan tangisnya apabila mendengar ucapan Tengku Hijazi. Mendengarkan itu, lekas Tengku Hijazi duduk di sebelahnya pula.

"Aryan, bertahan Aryan. Shafhan mahu awak pulang dengan selamat." Pinta Tengku Hijazi yang turut menekan serban tersebut agar menahan lebih banyak darah daripada keluar.

"Sa- saya tak sempat min- minta maaf pada Za- Zarina." Aryan mula bersuara. "Beritahu Ina dan pu- putera Shafhan, saya- saya minta maaf- sebab tak dapat.... Tunaikan... Hasrat dia..." Perlahan-lahan, matanya terpejam tanpa dipinta.

Pap! Tengku Hijazi menampar pipi Aryan dan mengarahkan untuk dia membuka mata.

Pap! Pap! Pap!

"Aryan, bangun!"

Pom! Satu dentuman dari jauh kedengaran. Tengku Hijazi mengangkat kepalanya bagi melihat keadaan sekeliling. Dia meluaskan pendengarannya. Lama kelamaan, sorakan-sorakan dan lolongan dapat dia dengari.

Ah, itu bukan letupan disebabkan bom. Itu merupakan tanda bahawa peperangan ini telah tamat. Dan, mereka telah pun menang.

Tengku Hijazi mendongak ke langit. Dia mengucapkan syukur oleh kemenangan yang diberikan oleh Illahi. Apabila dia menunduk ke bawah semula, dia dapat melihat wajah Aryan yang kini pucat lesu. Benar, mereka menang. Tetapi berbaloikah?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro