👑~ LII : 52 ~👑
Kehadiran tiga orang putera di bahagian barat Damai Kundang menimbulkan bingit pahlawan-pahlawan di situ. Semuanya teruja dengan kehadiran putera mereka terutamanya ketua pahlawan negara masing-masing. Pahlawan yang berada di dalam khemah lekas menjengulkan kepala mereka ke luar, pahlawan yang sedang berlatih pula melanggar satu sama lain apabila sibuk menoleh-noleh, dan pahlawan yang sedang menunggang kuda lantas berpatah ke arah datangnya tiga orang putera itu.
Jika mahu tahu, pahlawan-pahlawan Angin Putih dan Sahmura Ungu berada di barisan belakang, menyediakan segala kelengkapan dan peralatan yang akan digunakan oleh mereka nanti. Selain itu, mereka juga mendirikan tempat berteduh sekiranya cuaca tidak mengizinkan. Pahlawan-pahlawan Bahtera Biru pula berada di barisan tengah, bergelut dan berlatih dengan satu sama lain seperti tiada hari esok. Mereka juga tidak lepas daripada memegang senjata di tangan, dan senjata-senjata yang digunakan canggih-canggih belaka. Di hadapan sekali, barulah dapat dilihat pahlawan-pahlawan Kemuning Hijau yang bertungkus-lumus mendirikan kubu dan menggali parit di sekeliling tempat mereka.
"Putera Shafhan Iyyad, Putera Ahmed Bakhri, Putera Hijazi Rasydan." Tegur Pahlawan Rizman yang sedang mengelap tangannya pada sapu tangan. Dia tersenyum lebar apabila mendapat khabar kedatangan putera-putera itu.
"Assalamualaikum!" Tengku Ahmed memberikan salam. Semua yang berada di situ menjawab dengan penuh bersemangat.
Shafhan menjadi orang pertama yang melompat turun dari kudanya. Dia segera dikerumuni para pahlawan yang ingin bersalaman dan bertegur sapa dengannya. Seperti biasa, Shafhan memurahkan senyuman. Dia bersalam-salaman dengan semua pahlawan yang mendekatinya. Apabila tiba giliran Aryan, Shafhan memeluk pemuda itu erat-erat.
"Semua baik-baik sahaja?" Soal Shafhan pada Pahlawan Rizman setelah bersalaman dengan ketua pahlawan itu.
Pahlawan Rizman tersenyum tawar. "Begitulah tuanku, baik-baik itu biasa-biasa sahaja rasanya. Berdebar itu wajib tuanku, ini kerana ini merupakan kali pertama patik memimpin kumpulan pahlawan untuk berperang. Kita sudah berdamai selama lapan abad." Luahnya sambil memandang pahlawan-pahlawan yang berada di hadapannya itu.
Sebahagiannya pasti mempunyai keluarga, isteri dan anak-anak. Sebahagiannya pula masih muda dan belum berkahwin. Hati Pahlawan Rizman tidak mampu untuk melihat anak-anak didikannya bakal bertumpah darah dalam beberapa waktu lagi. Namun demi menjaga kesejahteraan negara, dia tahu bahawa pahlawan-pahlawan di situ akan melakukan apa sahaja.
Tengku Hijazi yang kebetulannya mendengar perbualan itu menepuk bahu Pahlawan Rizman beberapa kali bagi menyalurkan semangat buat lelaki itu. Pahlawan Rizman merupakan antara ketua pahlawan yang muda berbanding ketua pahlawan negara-negara lain. Mereka sedar bahawa memberikan tanggungjawab ini agak berat buatnya.
"Pahlawan Rizman! Sini kejap boleh?" Panggil seorang pahlawan remaja dari jauh. Tangannya dilambai-lambaikan bagi menarik perhatian.
"Patik pinta diri dulu." Ujar Pahlawan Rizman sebelum berlalu pergi. Dia tidak mahu berada di antara dua putera itu lagi kerana ia akan menambahkan kekok.
Pahlawan itu menyangka, semuanya akan selesai setelah pelan Tuanku Shahir untuk menangkap perbuatan Dayang Aliya yang mencuri masuk ke Angin Putih itu berjaya. Namun mereka hanya merancang. Dia tidak menyangka pula yang peperangan seperti ini akan berlaku. Seharusnya, mereka masukkan sahaja si Aliya itu ke dalam penjara Angin Putih.
Andai mereka berbuat begitu sekali pun, adakah cerita-cerita mengenai hubungan Shafhan dan Zarina tidak akan sampai ke negara sana?
Pahlawan Rizman mengusap dahinya. Jika terlalu banyak berfikir, dia akan mula sakit kepala. Dan dari situ, sakit itu akan mengganggu segala kerjanya. Dia mula membaca zikir Bismillahillazi berkali-kali dan bertawakkal agar Allah mengurangkan mudarat pada dirinya.
Dari jauh, Shafhan dan Tengku Hijazi melihatkan sahaja pemergian ketua pahlawan itu. Tengku Ahmed pula sudah hilang di sebalik keramaian kerana dia sudah ditarik ke sana dan ke sini oleh para pahlawan yang ada. Benar-benar gemar bersosial putera Bahtera Biru yang seorang itu.
"Bakhri ni ajak kita untuk dia tinggalkan kita dan pergi berborak-borak dengan orang lain ke? Ada budak nak kena luku ni nanti karang." Omel Tengku Hijazi di situ perlahan.
Shafhan yang mendengar omelan itu tertawa. "Memang begitulah gayanya. Kita yang tak pandai bersosial ditinggalkan tercongok dekat sini. Pahlawan lain pun tak nak datang dekat sebab tak tahu nak borak apa, kan?" Ujarnya dengan senyuman senget.
Tengku Hijazi tergelak kecil dan menggunakan tangan untuk menutup mulutnya. Benar sekali, mereka terasa seperti tunggul yang berdiri di tengah-tengah keramaian apabila tiada penasihat diraja yang hadir menemani. Mereka hanya berdiri dan memerhatikan sekeliling manakala pahlawan-pahlawan yang lalu-lalang pula pasti akan tertunduk-tunduk apabila berjalan berdekatan dengan mereka.
"Apa kata nanti kita ambil satu hari untuk menyamar jadi rakyat biasa dan berseronok di luar sana?" Cadang Shafhan pada saudaranya itu.
Wajah pelik Tengku Hijazi hadiahkan padanya. "Borak macam orang bercinta pula. Saya yang dah kahwin ke kamu ni? Siapa ajar supaya pandai cadang benda merepek ni?" Soalnya dengan senyuman terhibur.
Shafhan tersengih. "Merepek apanya? Seronok apa, sekali-sekala kita keluar jalan-jalan tanpa dikerumuni atau ditegur sesiapa. Pastu beli-belah tanpa dapatkan apa-apa secara percuma, masuk gerai makan tanpa orang berasa takut dan banyak lagilah. Dengan cara tu, tiada sesiapa tahu yang kita telah mencemar duli." Sarannya lagi bersama tangan yang digerakkan ke sana sini bagi menjustifikasikan kata-katanya.
"Banyak baca novel ni. Mesti pengaruh si Zarina yang hantu buku tu." Kata Tengku Hijazi sambil menyenggol siku Shafhan.
"Eh, ya tak ya juga kan?" Sahut Shafhan seperti baru tersedar akan sesuatu. Tengku Hijazi yang berada di sisinya pula sudah menggeleng-geleng.
Sedang semua yang berada di situ seronok berbual dan menyediakan segala kelengkapan, bunyi dentuman dari kejauhan mengejutkan mereka yang berada di situ. Keadaan menjadi sunyi seketika kerana semua orang sedang memerhatikan dan mencari arah datangnya bunyi tersebut. Tidak lama kemudian, bunyi itu hadir lagi namun lebih dekat dengan tempat mereka.
"Tuanku! Sutera Kuning telah memulakan serangan di tengah itu!" Seorang pahlawan yang berada di barisan hadapan berlari-lari ke belakang dan memberitahu dengan penuh panik.
Tengku Ahmed sudah membulatkan mata sebelum matanya menggerenyet menahan marah. "Jika itu cara mereka untuk takutkan kita, memang tidaklah. Tetapi jika itu cara mereka menyerang kita tanpa apa-apa pemberitahuan, itu memang tidak guna." Tuturnya tidak berlapik.
Dua bekas sarung yang berada di kiri dan kanan paha Tengku Ahmed menjadi penunjuk bahawa dia akan bergerak ke hadapan. Namun sebelum itu, dia akan bergerak ke arah saudara-saudaranya itu terlebih dahulu.
"Mereka sudah mula menunjukkan kepala. Kita kena sedia untuk berperang." Ujar Tengku Ahmed sambil mara ke arah Shafhan dan Tengku Hijazi. "Saya akan pimpin di hadapan nanti."
"Hah? Bahaya tu Bakhri!" Kata Tengku Hijazi, risau. Tangannya mencapai lengan kiri Tengku Ahmed.
Tengku Ahmed tidak menghiraukan Tengku Hijazi. Matanya mencerlung ke arah Shafhan yang berada di sisi Tengku Hijazi.
Putera itu masih muda. Muda lagi daripada mereka berdua dan mempunyai seorang isteri yang menunggu di istana. Memandangkan peperangan ini terjadi akibat pilihan bonda dan ayahandanya, Tengku Ahmed tidak boleh membiarkan adik saudaranya berada di situ bersama mereka. Itu tidak adil, kerana Shafhan tidak meminta perkara ini untuk terjadi sekalipun.
"Shafhan, kamu kena balik." Arah Tengku Ahmed, memegang tangan kanan Shafhan dengan keras. "Balik."
"Habis itu saudara berdua-"
"Balik! Saya tidak mahu kamu di sini." Tegas Tengku Ahmed berkata. Tangannya sudah menuding ke arah mereka datang tadi.
Shafhan memandang kedua-dua orang saudaranya itu dengan rasa berat hati. Tidak akanlah dia perlu meninggalkan Damai Kundang begitu sahaja? Tidak bersifat kepahlawanan langsung!
"Baliklah Shafhan. Kamu pergi tengok Zarina dekat istana. Pahlawan Aryan sudah berada di sini, tekanannya tidak perlu ditambah. Balik, Shafhan." Pesan Tengku Hijazi dengan lebih lembut.
Akhirnya, Shafhan mengambil keputusan untuk pulang juga. Dia mengalah dan mengeluh perlahan. Tangannya segera ditarik dari pegangan Tengku Bakhri. Elok sahaja dia mahu mendekati Jaguh, dia tersadung pada sebatang kayu dan jatuh tersungkur. Serbannya pula tercabut dan bergolek-golek di atas tanah.
"Tuanku!" Jerit pahlawan-pahlawan Angin Putih yang membantunya untuk bangun. Jaguh pula meringkik-ringkik seperti bersimpati dengan keadaan tuannya itu.
"Aduh, Shafhan ni..." Tengku Ahmed sudah menepuk dahi. "Boleh pula dia jatuh tergolek dekat situ. Sakit dapat, malu pun dapat." Sambungnya lagi seraya meraup muka.
Tengku Hijazi melihat sahaja Shafhan yang berterima kasih pada pahlawan-pahlawan yang membantunya dengan wajah semerah padma. Pemuda itu lekas menunggang Jaguh dan bergerak pantas meninggalkan Damai Kundang dengan semangat yang jitu.
Ada-ada sajalah perangai si Shafhan tu.
"Shafhan dah balik, senang nak buat kerja." Ujar Tengku Ahmed dan mencapai bekas sarung pada paha kanannya. Sepucuk terakol dikeluarkan dan dipusing-pusingkan pada tangannya. Tanpa membuang masa, dia segera berjalan ke hadapan diikuti dengan pahlawan-pahlawan Bahtera Biru yang bersenjata.
"Dia mahu main bom ya, tahulah serangan Bahtera Biru nanti macam mana." Kata Tengku Ahmed sambil melepaskan satu tembakan di udara menggunakan terakolnya, menandakan peperangan bermula.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro