👑~ LI : 51 ~👑
"Awak." Panggil Zarina sewaktu hanya dia dan Shafhan sahaja yang berada di ruang santap pagi itu. Memandangkan tiada sesiapa yang bangun lagi, mereka meluangkan masa bersama-sama. Selepas solat tahajud sahaja, mereka terus ke situ bagi mencari makanan yang ada untuk mereka jadikan kudapan pagi sebelum Subuh.
Shafhan yang sedang mengupas sebiji epal terus sahaja menoleh ke arah Zarina yang merenungnya sedari tadi. "Ya sayang?" Balasnya.
Mendengarkan itu, Zarina menarik nafas dalam kemudian melepaskannya perlahan. Dia masih baru dengan panggilan itu dan hatinya berbunga-bunga setiap kali dia mendengarnya. Jantungnya terasa ingin meletup setiap kali Shafhan menggunakan panggilan itu padanya.
"Kalau Angin Putih tak menang peperangan ini, macam mana?" Soal Zarina, memandang Shafhan dengan wajah sedih.
Epal yang telah dikupas itu Shafhan hulurkan pada Zarina. Isterinya itu mengambilnya meskipun sedikit teragak-agak. Kemudian, dia tersenyum nipis. "Kita masih ada Sahmura Ungu, Bahtera Biru dan Kemuning Hijau untuk memenangi peperangan ini. Jadi, sayang tak perlu risau–"
"Bukan." Potong Zarina, keras. Shafhan terkejut, memerhatikan pandangan mata Zarina yang tajam itu. "Saya rasa awak faham apa yang saya katakan. Misal kata, kita semua kalah pada Lembayung Merah, Sutera Kuning dan Tasik Kelabu. Apa akan jadi? Adakah kita akan bercerai? Atau awak ada jalan lain untuk ini?"
Shafhan mendiamkan diri seketika seperti sedang memproses bait-bait kata isterinya itu. Hatinya sedikit terasa jika memikirkan nada Zarina yang digunakan kepadanya. Gaya wanita itu seperti tidak mempercayai pertimbangannya. Lagipun, bukan Shafhan yang menyebabkan peperangan ini, tiada siapa menjadi penyebab melainkan Lembayung Merah dan Sutera Kuning yang suka menjaga tepi kain orang.
"Sayang ingat ini salah saya ke?" Tanya Shafhan, bernada lembut. Dia menyengetkan kepalanya sedikit bagi melihat Zarina yang kini mengunyah epal.
Berpaling ke tempat lain, Zarina tidak menjawab. Shafhan mencuba sekali lagi.
"Sayang tak nak kahwin dengan saya ke?" Soalan Shafhan itu mampu menerbitkan reaksi daripada Zarina. Wanita itu terpempan, seperti terkejut dengan soalan yang tidak dijangka itu. Selepas itu, Zarina menggelengkan kepalanya laju tanda menafikan.
"Ini sebab Aryan ke sayang?" Shafhan bertanya lagi. Apabila melihat Zarina menoleh ke arahnya, dia sudah tahu apa penyebab isterinya itu bersikap sebegitu. Namun Zarina tidak menjawab. Pandangan matanya kini jatuh pada meja yang berada di hadapan mereka itu.
Shafhan mengambil masa untuk menenangkan dirinya dan menyusun ayat di dalam kepala. Ini isterinya, dia harus berhujah dengan kata-kata lembut agar dia tidak terasa hati. Zarina masih muda, masih banyak yang harus dia pelajari dalam dunia beraja ini. Mungkin Shafhan boleh meminta Shahmina untuk meluangkan masa bersama wanita itu untuk mengajarnya ilmu kepimpinan beraja?
"Kalau sayang nak tahu, saya sudah ada pelan tau untuk buat apa sekiranya apa yang kita ingini tidak terjadi. Tapi doa banyak-banyak, semoga pihak kita menang kerana saya yakin yang kita berada di pihak yang benar." Terang Shafhan, mendekati Zarina. "Andai kita kalah, memang tidak akanlah saya mahu bercerai dengan sayang. Saya cintakan awak, ingat jatuh cinta ini mudah ke? Disebabkan cinta saya ini kerana Allah, saya nak kita lari supaya tidak ada sesiapa yang boleh ganggu masjid yang telah kita bina separuh jalan ini." Bisiknya.
Dengan wajah yang sudah memerah, Zarina menundukkan kepalanya. "Tapi jika kerana cinta awak pada saya itu menyebabkan negara saling berperang dan manusia saling berbunuhan, adakah ia berbaloi?" Soalnya pula.
Keluhan kecil Shafhan luahkan sebelum dia mengucup dahi Zarina sekali.
"Kita jangan terlalu melihat pada 'jika' atau 'kalau'. Masa depan itu Allah yang pegang jadi jangan terlalu risau. Andai terlalu memikirkan, kita yang akan berasa susah hati sekaligus mendatangkan tekanan yang tidak diingini. Ina sayang, kita kena banyakkan berdoa dan bertawakkal." Pesan Shafhan dengan senyuman.
Beberapa saat kemudian, azan Subuh berkumandang di sekitar Angin Putih. Shafhan bangkit dari duduk, menghulurkan tangannya pada Zarina untuk disambut.
"Jom solat Subuh, lepas itu kita keluar naik kuda nak?" Ajak Shafhan.
Zarina memandang Shafhan segan-segan. Kemudian, dia mengangguk perlahan dan mengangkat tangannya untuk menyambut huluran Shafhan. Melihatkan itu, Shafhan lekas menarik tangannya semula, menyebabkan Zarina termangu-mangu.
"Tak boleh pegang, nanti batal wudhuk!" Ujar Shafhan lalu berlari keluar dari ruang santap.
Bengang dengan gurauan itu, Zarina bangun dan mengejar Shafhan dari belakang. Telekungnya berterbangan seperti pontianak mencari mangsanya. "Awak cium dahi saya tadi tak batal wudhuk ke hah?! Tengku Shafhan Iyyad, siap awak!" Laungnya geram.
°°°°°°°°°°
Seekor kuda hitam diusap Zarina berkali-kali. Bulunya dan ringkikannya mengingatkan Zarina pada kuda putih milik Aryan, Jelita. Kuda hitam ini pula kuda jantan, dinamakan sebagai Jaguh dan dimiliki oleh Shafhan sendiri. Sementara menunggu ketibaan Shafhan yang menukar persalinannya agar lebih sesuai dengan aktiviti mereka nanti, Zarina mengelus-elus bulu Jaguh dengan fikiran yang penuh melankolik.
Bunyi derapan tapak kaki menarik perhatian Zarina. Dia menoleh bagi melihat Shafhan yang datang mendekat. Pemuda itu memakai kemeja-T dan menyarungkan sehelai jaket kulit di luar. Dia juga berseluar hitam dan memakai sepasang but tinggi bagi menambahkan ketampanannya sebagai seorang putera. Zarina melihat atas bawah. Kacak sungguh suaminya ini. Tetapi hanya satu benda yang sedikit mengganggu pemandangan.
Serban putih di kepalanya itu memang tidak boleh diletak tepikah?
"Jaguh tak gigit tangan awak ke? Dia biasa tak suka kena pegang-pegang kecuali saya." Tutur Shafhan, berdiri di sebelah Zarina yang masih merenungnya.
Zarina mencebik sambil menoleh ke arah Jaguh di hadapannya. "Kalau awak nak tahu, Jelita pernah gigit saya tau dulu. Tahu saya buat apa? Saya gigit dia balik." Jawabnya bersahaja.
"Jelita?" Soal Shafhan sambil menggosok tengkuknya. Dia masih terkejut dengan cerita Zarina tetapi dia cuba untuk menenangkan diri. Ganas sungguh isterinya yang seorang ini.
"Jelita, kuda Aryan." Balas Zarina kemudian menepuk-nepuk punggung belakang Jaguh. "Saya tak pernah tunggang kuda." Sambungnya lagi, bercekak pinggang.
Tersenyum sungging, Shafhan memberikan Zarina sebuah topi keledar untuk dipakai. Gembira hatinya apabila melihat Zarina yang tidak sabar-sabar untuk meluangkan masa bersamanya. Iyakah mahu meluangkan masa? Entah-entah mahu tunggang kuda sahaja, fikir Shafhan.
"Alah, kena pakai helmet juga ke? Rosaklah selendang saya." Rungut Zarina sambil meneliti topi keledar tersebut. Sungguh tidak sesuai untuk dirinya yang digelar sebagai bidadari istana.
"Kenalah pakai. Ini semua untuk keselamatan awak." Kata Shafhan sebelum naik ke belakang Jaguh. Selepas itu, dia membantu Zarina pula untuk duduk di belakangnya. Meskipun sedikit terkial-kial kerana memakai kain, kelincahan Zarina menjayakan dia untuk memanjat kuda itu.
Zarina memasamkan wajah. Mudahlah putera itu berkata begitu. Dia memakai serban, bukannya topi keledar. Sekurang-kurangnya wajah kacaknya itu dapat dipaparkan pada seluruh warga Angin Putih. Iya tak?
°°°°°°°°°°
Angin Putih sangat sibuk pada waktu pagi kerana kesibukan para penduduk yang bergerak ke sana-sini. Para petani, penternak, nelayan dan penjual akan memenuhi jalan untuk ke tempat kerja masing-masing. Zarina terasa asing kerana dia tidak lagi memakai seragam istana yang menunjukkan bahawa dia merupakan seorang dayang di istana negara itu. Dia kini memakai persalinan yang lebih megah dan cantik bagi menunjukkan dirinya sebagai isteri seorang putera Angin Putih.
"Dayang Ina, Assalamualaikum!" Tegur beberapa orang lelaki yang kebetulan menyaingi mereka berdua.
"Waalaikumussalam." Balas Zarina dengan anggukan.
Tiba-tiba aura yang dirasakan di situ menjadi lain. Tubuh Shafhan yang dipegangnya pada ketika itu terasa kaku. Dia mengintai ke hadapan, ternyata putera itu sedang tersenyum pada lelaki-lelaki tersebut dengan mata yang membara amarahnya.
Lelaki-lelaki yang menegur Zarina di situ tersentak. Mereka lantas tertunduk pasif, menunjukkan ketakutan mereka pada Shafhan. Shafhan bukanlah seorang yang garang malah dia dikenali dengan kemesraannya pada rakyat Angin Putih. Tetapi jika amarahnya sampai, jangan main-main.
"A- Ampun tuanku beribu-ribu ampun!" Pohon seorang lelaki sebelum yang lain mengikuti kata-katanya. Mereka menyatukan tangan masing-masing dan tertunduk memohon kemaafan. "Hamba semua tidak sengaja!" Sambungnya lagi bagi menunjukkan bahawa mereka tidak perasan akan kehadiran putera itu.
Ah sudah, mereka sudah membuat adegan drama pula di tengah-tengah jalan. Zarina sudah menepuk dahi.
"Cik Puan Zarina ya. Isteri beta bukan seorang dayang lagi. Ingat tu." Pesan Shafhan sepatah-sepatah dengan keras. Lelaki-lelaki itu terangguk-angguk.
Kemudian, Jaguh berjalan pergi, membawa pasangan itu beredar dari situ. Apabila mereka berdua sudah cukup jauh, Zarina dapat mendengar jeritan-jeritan marah daripada penduduk-penduduk lain terhadap sekumpulan lelaki itu.
Keluhan kecil Zarina lepaskan. Apalah mahu jadi hari ini.
"Dinda selalu kena seperti itukah setiap kali keluar dari perkarangan istana?" Soal Shafhan pada Zarina. Dahinya berkerut-kerut menahan marah.
Zarina mengetatkan pelukannya pada Shafhan dari belakang. Kepalanya direhatkan pada belakang badan suaminya itu. "Iya, selalu sangat. Bukan dengan rakyat kita sahaja, malah dengan rakyat negara lain. Belum lagi putera-putera dari negara lain." Jawabnya.
Shafhan mengetap bibirnya. Disebabkan sifatnya yang sentiasa menjaga mata dan menunduk ke bawah, dia benar-benar tidak tahu situasi yang dihadapi oleh Zarina. Jika begitu, pasti Zarina sering diganggu setiap kali bonda dan ayahandanya melakukan sambutan besar di istana dan memanggil wakil diraja negara masing-masing. Ini tidak boleh jadi.
Sedang mereka meronda kawasan pasar, seorang putera dapat dilihat sedang berlari-lari ke arah mereka dengan lambaian mesra. Dia tiba di sisi Jaguh dengan senyuman gembira.
"Ha, sini pun kamu saudara Shafhan!" Ujar Tengku Ahmed termengah-mengah. "Dari tadi beta cari."
"Ada apa saudara Bakhri?" Tanya Shafhan, hairan. Kepalanya ditelengkan sedikit.
Tengku Ahmed melirik ke arah Zarina yang berada di belakang Shafhan seketika. Melihatkan itu, Shafhan bertindak dengan menggerakkan tubuhnya sedikit agar melindungi isterinya daripada tatapan saudaranya itu. Tengku Ahmed terus bedehem-dehem.
"Beta hadir ke sini untuk mengajak saudara untuk ke Damai Kundang bagi melihat persediaan dan sebarang kekurangan di sana. Beta juga telah mengajak saudara Hijazi. Kita akan berjumpa di sana." Kata Tengku Ahmed, serius.
Pasangan yang berada di atas kuda itu saling berpandangan. Mereka seperti sedang berkomunikasi dengan bahasa isyarat yang tidak Tengku Ahmed ketahui.
"Jika tidak mahu, tidak mengapa. Beta hanya mengajak untuk turun padang bagi melihat situasi di sana." Sambung Tengku Ahmed lagi sambil menggenggam-genggam tangannya menunjukkan gelisah.
Tepukan dua kali Zarina berikan pada bahu Shafhan. Perbuatan itu membuatkan Shafhan memandang Tengku Ahmed semula dengan anggukan sekali. "Boleh. Tapi beta mahu hantar Zarina dahulu ke istana." Tutur putera itu.
"Baiklah. Beta akan tunggu di sempadan sana ya." Balas Tengku Ahmed sambil menuding ke arah kawasan sempadan Angin Putih dan Damai Kundang.
Selepas itu, hanya debu-debu tanah sahaja yang ditinggalkan akibat larian Jaguh. Di situ, Tengku Ahmed menggigit bibir apabila melihat posisi pasangan itu. Argh, cemburunya!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro