Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

👑~ L : 50 ~👑

Angin sepoi-sepoi bahasa menghiasi petang dengan alunan burung yang berkicauan. Daun-daun yang memenuhi rumput di taman belakang istana menjadi sapuan Rabiha sambil bersenandung kecil. Tidak jauh darinya, kelihatan Andika sedang berdiri sambil memerhatikan keadaan sekeliling bersama sebuah fail kayu di tangan. Meski penasihat diraja itu berada di situ dengan tujuan untuk membuat pemerhatian kawasan istana, niatnya hanyalah untuk memerhatikan Rabiha dari jauh. Setiap kali Rabiha mengerling ke arahnya, dia akan berpura-pura menulis sesuatu pada failnya.

Fazia pula mengintai dari koridor tingkat atas. Eh dua orang manusia ini, mahu bercintan-cintun sila ke tempat lain. Sambil mengelap tembok pemisah antara koridor dan kawasan terbuka, Fazia membuat wajah ingin muntah. Benar, Rabiha dan Andika tidak membuat apa-apa yang menarik perhatian pun namun sebagai pemerhati, dia berasa menyampah.

"Jangan tengok orang kalau tangan tidak berjalan." Satu suara menegur dari sisi. Fazia terkejut, dia lantas berpaling ke arah Nafiz yang sedang menolak troli makanan. "Apa yang seronok sangat tengok orang kalau hamba ada di sini?" Sambungnya lagi.

Mencebik geram, Fariha mencampak kain yang dipegangnya itu ke wajah Nafiz. "Hamba sudah beritahu yang berikan hamba masa untuk berfikir. Jangan membuat andaian yang tidak pasti." Tegurnya. Benar, Nafiz sudah menyampaikan hajat untuk meminangnya sebelum ini namun Fazia tidak merasakan apa-apa. Mereka hanya sahabat, tidak lebih dari itu.

Dia tidak menyangka pula akan ada seseorang menyukai wanita seperti dirinya. Bersikap seperti lelaki dan kasar.

"Hmm, tawaran masih dibuka." Ujar Nafiz dengan senyuman walaupun kepalanya dihinggap kain lap. "Fikirkanlah masak-masak. Jika terasa sukar, lakukanlah solat istikharah. InsyaAllah, akan ada sesuatu yang Allah tunjukkan pada tuan hamba." Pesannya sebelum berjalan pergi bersama trolinya.

Fazia merehatkan kedua belah tangannya pada tembok koridor. Matanya memerhatikan gelagat Rabiha dan Andika yang kini sedang bertegur sapa. Mindanya sudah berfikir macam-macam. Terasa pelik pula apabila dinasihati oleh seorang pemuda yang ingin meminangnya. Adakah itu satu tanda bahawa Nafiz sudah mendapat jawapannya? Dia beristighfar panjang.

"Dayang Fazia! Dayang Leha panggil!" Laung Dayang Nadhira dari jauh. Fazia tersentak kemudian berpaling lekas ke arah suara itu. Setelah memastikan Fazia mendengar laungannya, Dayang Nadhira mengangguk sekali lalu berjalan pergi.

Keluhan perlahan Fazia lepaskan. Zarina sudah berkahwin, Rabiha pula sudah bertunang. Dia? Termenung sajalah.

Selangkah demi selangkah, Fazia meninggalkan koridor tersebut bagi berjumpa dengan Dayang Leha. Setelah kelibatnya menghilang, Nafiz kembali memunculkan diri di sebalik dinding. Dia tersenyum nipis.

°°°°°°°°°°

"Macam ini ke caranya?" Soal Shahmina sambil menunjukkan dadu-dadu kentang yang dipotongnya pada Cik Muda Nina. Tukang masak diraja itu memandang Shahmina dengan pandangan kosong. Dia meminta potong nipis-nipis untuk dijadikan kerepek, ini kalau berdadu potongannya sudah jadi apa?

"Ya Allah, ini baru jadi puteri. Kalau sudah jadi isteri, patik tidak tahulah." Keluh Cik Muda Nina di situ. Memandangkan dia lebih tua daripada Shahmina dan sudah berkhidmat untuk istana Angin Putih buat masa yang lama, dia memang tidak kisah sekiranya apa yang ditegur bakal mengguris Shahmina. Dia sudah menjaga makan minum keluarga itu buat berdekad lamanya.

Lagi pun, puteri sulung itu sendiri yang meminta ketua tukang masak itu untuk mengajarnya memasak. Padakala gadis itu mengusulkan permintaan tersebut, Cik Muda Nina tersenyum bangga dengan perubahan itu. Sudah lama dia memerhatikan Shahmina, dia sedar bahawa gadis itu sedang perlahan-lahan berhijrah.

Namun jika begini bantuannya di ruang masakan, Cik Muda Nina hanya mampu menepuk dahi sahaja.

"Eh, apa salah beta?" Tanya Shahmina, hairan. Dia memandang potongan kentangnya dengan pandangan pelik. Apa salahnya?

Dari belakang, Shahmina dapat mendengar satu keluhan panjang. Mendengarkan itu sahaja sudah membuatkan gadis itu panas hati dan menggulingkan matanya.

"Cik Muda Nina kata potong nipis-nipis, bukan potong dadu! Tidak faham bahasakah?" Bicara Tengku Ahmed, berpeluk tubuh. Dia sedang enak bersantai di kerusi yang terletak tidak jauh dari mereka.

"Eh, diamlah!" Marah Shahmina sambil mengangkat pisau di tangannya itu ke udara. "Datang rumah orang duduk diam-diam. Tak payah perlekehkan orang."

"Puteri Shahmina." Tegur Cik Muda Nina, sedikit keras. Shahmina lekas mengunci mulutnya. Sekiranya bangsawan itu menegur, diamlah kamu sebelum kamu didiamkan.

Tengku Ahmed tersenyum menang. Dia bersandar pada kepala kerusi, meletakkan kedua belah tangan di belakang kepala, dan mengangkat kedua belah kakinya ke atas para dapur. Selepas itu, dia berkata. "Rumah saudari, rumah beta juga. Kita kan bersaudara."

Bertambah-tambah api kemarahan Shahmina. Jika ada puteri-puteri lain bersama, pasti ucapan pemuda itu manis bak madu kepadanya. Tetapi apabila mereka bersendirian, boleh terbakar istana akibat pergaduhan mereka. Sejak Zarina disatukan dengan Shafhan, bertambah-tambah menjengkelkan perangai saudaranya itu.

"Beta rasa kan, kita kena panggil saudara Hijazi ke sini. Baru sopan sikit putera kita yang seorang ini." Ujar Shahmina pada Cik Muda Nina dalam nada yang kuat agar didengari oleh Tengku Ahmed. Andai Tengku Hijazi turut datang melawat, tahu pula bersopan-santun.

Atau mungkin cinta pemuda itu ditolak lagi? Pasti sebab itulah dia berkelakuan luar dari kebiasaan. Shahmina cuba bersangka baik.

"Oh, Bakhri?" Permaisuri Imarah tiba-tiba memunculkan diri di muka pintu untuk ke ruang masakan.

Tergopoh-gopoh Tengku Ahmed memperbetulkan kedudukannya. Mujur elok sahaja. Jika terjatuh, memang menjadi bahan jenaka dan tawa Shahmina. Tahu pun malu dengan ibu saudara sendiri.

"Bonda Ima." Panggil Tengku Ahmed sambil menggosok tengkuknya. "Saya saja datang melawat." Katanya meski tidak ditanya apa-apa.

Permaisuri Imarah tersenyum nipis. "Tidak mengapa, kamu boleh datang bila-bila sahaja. Cuma, berani ya kamu hadir ke sini berseorangan? Sekarang ini kan musim peperangan. Risau jika kapal kamu ditembak apabila kamu pulang nanti." Ujarnya, tidak berlapik.

Tengku Ahmed sudah terlopong. Cik Muda Nina pula bergerak ke tempat lain bagi meneruskan kerjanya di belakang. Maka tinggallah seorang Shahmina yang sedaya-upaya menahan tawanya agar tidak terlepas. Reaksi Tengku Ahmed lawak sungguh!

"Ehem, jangan risau bonda Ima." Lekas Tengku Ahmed berdehem-dehem. "Saya di sini adalah untuk memudahkan saya ke Damai Kundang esok hari bersama penasihat-penasihat saya. Kami akan turun padang sekali. Niat saya hadir ke sini adalah untuk mengajak Shafhan sekiranya dia mahu melawat kawasan." Jelasnya serius.

Kini, giliran Shahmina pula untuk terlopong dengan kata-kata saudaranya itu. Tidak dia sangka, serius juga ya pemuda ini. Namun itu tidak pelik sama sekali, kerana Bahtera Biru merupakan pembekal senjata terbesar di benua tanah-tanah Melayu. Pasti Tengku Ahmed amat handal dalam menggunakan apa-apa senjata.

Malah dia sendiri pernah mendengar, Tengku Ahmed pernah melatih pahlawan-pahlawannya sendiri!

"Tak jumpa Shafhan?" Soal Permaisuri Imarah.

"Tak jumpa pula, bonda Ima. Saya sudah teroka satu istana. Batang hidung pun tidak nampak." Balas Tengku Ahmed, sedikit sedih.

Permaisuri Imarah mengusap dagunya tanda berfikir. "Hmm," senandungnya perlahan.  "Kamu sudah cari di kutubkhanah? Boleh jadi dia ada di sana bersama Tuah atau Andika. Jika tiada di situ, boleh jadi dia berada di pejabatnya pula." Cadangnya.

Mengerutkan dahi, Tengku Ahmed terlihat seperti sedang memikirkan sesuatu. "Saya sudah ke pejabat. Tapi belum lagi ke kutubkhanah. Tidak terfikir pula untuk ke situ." Akuinya sambil menepuk dahi.

Shahmina mengambil peluang ini untuk mengusik. "Itulah, tidak rajin baca buku. Mana mahu berfikir dan terfikir?"

Tanpa membuang masa, Tengku Ahmed segera melompat turun dari duduknya. Shahmina dijelingnya tajam tanpa apa-apa balasan memandangkan Permaisuri Imarah berada di situ. Dia lantas melangkah ke luar ruang masakan, namun tidak lepas daripada menjeling Shahmina sehinggalah dia hilang daripada pandangan.

Melihatkan itu, Shahmina tertawa besar. Selepas itu, dia kembali ke papan pemotongnya. Segala potongan kentangnya sudah hilang secara tiba-tiba. Apabila melihat ke sisi, dadu-dadu kentangnya sudah pun dicuci oleh Cik Muda Nina.

"Bonda ingatkan Shahmina nak buat kerepek, kenapa kentangnya bentuk dadu?" Soal Permaisuri Imarah apabila mendekati anak perempuannya sambil mengintai segala perbuatan Cik Muda Nina.

Ah, itu rupanya apa yang ditegur Cik Muda Nina tadi. Shahmina menarik nafas dalam dan menghelanya perlahan. Masih banyak perkara yang perlu dia pelajari untuk pandai memasak seperti Zarina.

Bercakap tentang Zarina, Shahmina langsung tidak nampak batang hidung kakak iparnya itu. Di manakah dia?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro