Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

👑~ IX : 9 ~👑

"Ampun tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun. Patik bersumpah bahawa patik langsung tidak melakukannya, duhai tuanku." Zarina membongkokkan dirinya pada Tuanku Shahir dan Permaisuri Imarah. Sudah sakit belakangnya kerana berdiri dalam keadaan yang sama selama sepuluh minit.

Berkali-kali dia memohon ampun kepada pasangan itu termasuklah Shahmina yang memandang jijik dari sisi. Hati Zarina hancur, apabila diperlakukan sedemikian.

Sudah sekian lama dia berkhidmat untuk istana ini dengan senyuman dan tawa, akibat satu kesalahan yang masih belum ada buktinya telah menyebabkannya kesakitan yang tidak terhingga. Sekiranya dia dibuang kerja, apa lagi yang harus dilakukannya?

"Jika bukan Dayang Ina yang melakukannya, maka siapa? Mengapakah kalung beta berada di dalam bagasi milik Dayang Ina? Bukankah itu sudah kukuh asbab kehilangan?" Suara Shahmina memetir di situ.

Air mata yang sudah bergenang Zarina tahan kuat-kuat daripada jatuh ke atas lantai. Ya Allah, apakah dosanya sehingga dia difitnah sebegini?

Suasana menjadi sunyi apabila tiada seorang pun yang berani bersuara. Sehinggalah, pintu dibuka secara tiba-tiba sehingga menerbitkan gema di kawasan tersebut. Terus sahaja semua yang ada di situ berpaling ke arah sang gerangan yang baru sahaja berlari masuk.

"Assalamualaikum tuanku, patik ada berita yang ingin disampaikan. Kalung milik Tuan Puteri Shahmina telah dijumpai berdekatan dengan telaga Taman Angin Mawar. Warnanya putih, bukan? Eh, Dayang Ina-" Aryan menghabiskan kata-katanya dalam nada terkejut dengan keberadaan Zarina.

Zarina yang masih membongkokkan diri di hadapan keluarga diraja itu dihampirinya. Bahagian kolar belakang baju wanita itu ditarik agar Zarina lekas berdiri tegak. Tidak kira siapa pun di hadapannya kini, Aryan tidak akan benarkan orang yang dia sayangi dihukum begitu sekali.

"Maaf bertanya, mengapa Dayang Ina berada di sini?" Soal Aryan dengan wajah serius. Matanya mencerlung ke arah Shahmina yang berdiri di belakang bonda dan ayahandanya.

Shahmina pada mulanya membalas cerlungan pahlawan itu. Namun, selepas lama membalas pandangan, dia mula berpaling ke arah lain dengan dahi yang sudah berpeluh sejuk akibat ketakutan. 

"Dayang Ina telah dipanggil menghadap apabila kalung milik Tuan Puteri Shahmina berada di dalam pegangannya sewaktu pegawai khas ingin memeriksa bilik para dayang." Balas seorang penasihat yang sedang berdiri tegak di sisi Tuanku Shahir.

Aryan mengerutkan dahinya hairan. Dia segera menoleh ke arah Zarina yang mana wajahnya sudah merah seperti sedang menahan tangis.

"Bagaimana kalung itu terdapat di dalam pegangan tuan hamba?" Tanya Aryan.

"Hamba terjumpa kalung tersebut sewaktu hamba kembali ke kamar untuk mengambil hud di dalam bagasi. Sewaktu hamba mengeluarkan kalung itulah, pegawai khas hadir mengetuk pintu kamar." Balas Zarina tanpa memandang Aryan. Wajahnya dikekalkan serius dan tiada perasaan.

Hanya anggukan faham Aryan berikan sebelum melangkah ke hadapan dan melutut di hadapan keluarga diraja itu. Tangannya dihulurkan ke atas bagi penasihat yang menjaga dapat mengambil kalung yang dihulurkan.

Penasihat yang bertugas menghampiri Aryan lalu mengambil kalung tersebut. Dia meletakkan kalung yang baru didapatinya itu di atas sebuah meja yang terdapat di tengah-tengah kedudukan Tuanku Shahir dan Permaisuri Imarah.

Selepas itu, dia meminta kalung yang berada di dalam pegangan Shahmina agar dapat menyiasat kualiti dan keaslian kedua-dua rantai itu. Matanya ligat memerhati dua barang kemas itu.

"Kedua-duanya adalah asli." Akhirnya, kata-kata yang terbit dari bibir penasihat itu mengejutkan mereka semua.

"Asli? Jikalau begitu, bagaimana Dayang Ina mempunyai kalung tersebut?" Soal Shahmina, lantang. Sungguh dia tidak puas hati dengan keputusan tersebut.

Semua memandang ke arah Zarina yang masih berdiri tegak di situ. Bagi menjawab persoalan itu, Zarina sekadar menggelengkan kepalanya bagi menandakan bahawa dia tidak tahu.

"Maafkan beta, Dayang Ina atas salah faham. Dayang Ina, dipersilakan keluar dan meneruskan kerja. Begitu juga dengan pahlawan Aryan." Tutur Puan Imarah, kesal sekali. Dia berdiri sambil menundukkan sedikit kepalanya pada Zarina dan Aryan atas kesalahan yang telah dilakukan.

Zarina dan Aryan sekali lagi membongkokkan diri kemudian melangkah keluar dari singgahsana itu bersama. Sebaik sahaja pintu tertutup, Zarina yang hampir rebah disambut oleh Aryan yang sempat memegang lengan Zarina yang berlapik.

"Ina? Ina? Awak okey tak?" Soal Aryan, resah. Sebagai sahabat yang menemani Zarina dari kecil, dia amat risau sekiranya sesuatu terjadi pada wanita itu.

"Zarina!" Panggilan dari Rabiha yang sedari tadi menunggu di hujung lorong kedengaran. Dia segera berlari-lari ke arah Zarina yang baru sahaja disandarkan ke dinding oleh Aryan. 

Rabiha memegang wajah Zarina yang teresak-esak menangis sendiri. Kemudian, dia sempat menoleh ke Aryan pula.

"Hasilnya?" Tanya Rabiha. Jantungnya berdetak laju memikirkan keadaan sahabatnya itu.

"Hasilnya, Ina dituduh sebarangan. Kedua-dua kalung yang dijumpai itu asli." Jawab Aryan dengan nada yang marah namun ditahan.

Rabiha kembali semula berpaling ke arah Zarina. "Ini bermakna, ada dalang di sebalik kejadian ini." Katanya sendiri.

"Baiklah Aryan, saya akan bawa Ina ke kamar. Terima kasih kerana hadir tepat pada masanya." Ujar Rabiha lalu menarik Zarina agar berdiri. Tangan Zarina ditarik supaya mengikuti langkahnya.

Anggukan kecil Aryan berikan sambil matanya memerhati kedua-dua wanita itu hilang memasuki lorong-lorong istana.


°°°°°°°°°°


"Ina, awak nak ke pasar tak?" Tanya Rabiha tanpa menggunakan bahasa istana, memandangkan tiada sesiapa di kamar tersebut melainkan mereka berdua.

Zarina tidak menjawab malah hanya menundukkan kepala. Hatinya gusar setiap kali kejadian tadi bermain di mindanya.

"Sudah kita berjanji dengan nama Allah bahawa kita tidak melakukannya, janganlah kita risau kerana hanya Dia  yang mengetahui segalanya. Ina, ayuh kita cari selendang yang awak mahukan. Kali ini, berikan saya peluang untuk belanja awak pula." Tutur Rabiha lembut yang mana telah berjaya menarik perhatian Zarina.

Senyuman manis Rabiha berikan buat Zarina tatkala sahabatnya itu menoleh ke arahnya. Tanpa melengahkan masa lagi, Zarina segera berdiri dan mencapai bakul kegemarannya untuk dibawa bersama. Hud yang telah tersedia di atas katil disarungnya ke tubuh.

Dengan ucapan syukur buat Ilahi di dalam hati, Rabiha bangkit mengikuti Zarina yang sudah keluar berlari.


°°°°°°°°°°


Setiap gerai yang menjual selendang dilalui Zarina namun, tiada satu pun yang berjaya menarik minatnya memandangkan kebanyakannya dijual dengan harga yang mahal. Sehinggalah tibanya langkah mereka di bahagian hujung pasar, kelihatan seorang wanita tua sedang tersenyum ke arah mereka berdua.

"Eh, Dayang Ina dan Dayang Rabiha! Lama sudah tidak kita bertemu. Apa khabar?" Sapa wanita tua itu iaitu Puan Maimunah, seorang bekas ketua organisasi dayang istana.

"MashaAllah! Dayang Munah?! Alhamdulillah, sihat belaka. Tuan hamba pula bagaimana?" Rabiha yang perasan akan sapaan itu terus sahaja bertegur mesra.

Puan Maimunah tersengih panjang tatkala panggilan itu masih digunakan lagi untuknya. 

"Aih, Dayang Munah apanya nak oi, hamba sudah habis berkerja. Sekarang ini, hanya menjual selendang untuk membantu keluarga yang tidak jauh di hujung Angin Putih sana tu." Ujar Puan Maimunah sambil melipat beberapa helaian selendang. "Ha, ada yang berminat?"

Terus sahaja Zarina meluru ke arah gantungan selendang yang pelbagai jenis. Matanya bagaikan bersinar melihat jenis kain yang digunakan.

"Selendang seperti inilah yang hamba inginkan! Tidak nipis dan panjang." Kata Zarina seraya membelek setiap helaian yang berjaya membuatnya rambang mata.

Puan Maimunah memandang hairan terhadap perwatakan Zarina sebelum menoleh ke arah Rabiha. Melihatkan riak wajah hairan itu, Rabiha memberikan senyuman bermakna kepada Puan Maimunah.

Dengan mudahnya, Puan Maimunah memahami maksud tersirat di sebalik senyuman itu. Alhamdulillah, sudah terbuka hati wanita yang sentiasa dipandang tinggi ini.

"Cantiknya selendang sutera ini Dayang Munah..." Ujar Zarina kemudian melihat tanda harga yang tergantung. "...Harganya juga cantik yang amat."

"Benar, kainnya sutera asli disebabkan itulah mahal jadinya. Ada seorang bangsawan dari negara Sahmura Ungu memberikannya pada hamba. Hamba mengambil keputusan untuk menjualnya kerana hamba kurang selesa jika untuk dipakai di kepala." Terang Puan Maimunah, terhibur dengan reaksi Zarina.

Selepas beberapa minit berlalu, Zarina mengambil keputusan untuk membeli tiga helai selendang atas saranan Rabiha. Sewaktu Puan Maimunah memasukkan selendang yang dibeli Zarina itu ke dalam beg kertas, sekali lagi selendang sutera itu dijeling Zarina.

"Hamba lihat, Dayang Ina bagaikan gemar sungguh dengan selendang itu. Mahu hamba belikan?"

Serta-merta Zarina dan Rabiha menoleh ke arah pemilik suara. Kelihatan seorang gadis molek sedang tersenyum manis ke arah mereka.

"Dayang Aliya? Ah, tidak mengapalah." Balas Zarina malu-malu kucing apabila perbuatannya itu dilihat orang.

Aliya mendekati gerai selendang tersebut kemudian mencapai sehelai selendang sutera yang tergantung. Dihulurnya selendang tersebut kepada Puan Maimunah.

"Campur ini sekali, hamba belikan buat Dayang Ina." Alya berkata dengan senyuman manis.

Puan Maimunah mengangguk faham sebelum memasukkan selendang tersebut ke dalam beg kertas. Selepas membuat kiraan, Rabiha dan Aliya menghulurkan wang sebagai bayaran.

Sambil itu, Zarina yang tercegat di belakang pula hanya mampu menekup mulutnya tanda terharu. Syukur di dalam hati, kerana Allah telah mengurniakannya teman yang baik.

"Ha, kan cantik-cantik selendang yang ada. Jom kita ke istana dan bantu Dayang Ina mencuba semuanya! Pasti Dayang Ina terlihat lebih jelita dengan selendang ini." Riang sekali Aliya bersuara sambil menarik tangan Zarina agar pantas menuju ke istana.

Rabiha yang mengekori di belakang sekadar tersenyum nipis. Namun, hatinya berasa kurang enak setiap kali gadis itu berada di hadapan mata.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro