Bab 8
MASUK saja ke dalam kereta Medina, wanita itu terus dipeluk erat. Tangisan dilepaskan dengan semahunya.
Medina tidak berkata apa-apa, hanya tangan yang naik mengusap kepalanya. Wanita itu seakan-akan mengerti yang dia memerlukan masa dari ditanya dengan pelbagai soalan.
Setelah tangisannya reda, dia melepaskan pelukan. Kepala dilentokkan ke dada kerusi dan wajah sedia menghadap ke arah Medina.
"Dia dah lupakan aku, Dina..." Aulia membuka kata. Air mata yang berbekas di pipi dilap dengan tisu.
"Maksud kau? Eiman?"
Hanya kepala yang mengangguk sebagai jawapan.
Bulat mata Medina memandang Aulia. Bibirnya turut ternganga. Tak menyangka, lelaki yang kelihatan bersungguh-sungguh menyayangi Aulia, kini berubah hati dalam sekelip mata?
"Apa dia dah buat kat sana? Dia menggatal dengan perempuan lain?" Hati Medina mula mendidih panas.
"Aku tak tahu. Dia hilang macam tu aje. Mesej aku tak jawab tapi dia baca. Aku call pun dia rejected. Mula-mula memang aku cuba sabar. Fikir yang mungkin dia busy kat sana. Tapi kalau busy, takkan sempat check WhatsApp? Ni berita baru lagi yang aku dengar, dia nak stay kat sana setahun atau dua. Tak pun tiga tahun, itupun aku dengar dari mulut Aidit!" jelas Aulia kecewa.
Dan penjelasan Aulia itu mengundang rasa geram dalam hati Medina.
"Dia dah kenapa? Dah kena santau kat sana? Sebelum terbang ke sana, bukan main berjanji nak cepat balik ke sini. Ni tak sampai dua bulan, dah buat keputusan untuk stay kat sana bertahun-tahun? Dasar lelaki! Hanya tahu berjanji."
"Aku terasa dibelakangkan dalam hal ni. Padahal setiap hari aku tunggu dia call atau mesej aku. Tapi akhirnya, aku dapat tahu berita ni daripada orang lain. Aku ni tak penting ke bagi dia, Dina? Sampai hal macam ni pun dia tak bagi tahu aku?"
"Aku rasa macam nak tumbuk Eiman tu la!" bentak Medina. Sakit benar hatinya bila ada lelaki yang cuba mempermainkan hati wanita lagi-lagi wanita itu terdiri daripada kawan baiknya.
"Aku dah tak tahu apa sebenarnya hubungan aku dengan Eiman. Kekasih atau hanya seorang kawan." Berat keluhan yang terlepas dari bibir Aulia.
Sungguh, ketika ini dia tidak tahu siapa dia dalam hati Eiman. Kalau benar Eiman sayangkan dia, kenapa tak berbincang dengannya dulu? Jika diberi penjelasan yang munasabah, mustahil dia tak bersetuju. Lagi-lagi kalau melibatkan keluarga. Setahun dua, apalah sangat, dia masih mampu menunggu.
Apa yang penting, Eiman tetap setia padanya sepertimana dia setia pada lelaki itu. Jangan sesekali biarkan dia menunggu sesuatu yang sia-sia.
"Kau putus ajelah dengan dia tu, Lia. Kalau aku... Memang aku dah tak percayakan lelaki macam tu," cadang Medina.
"Bukan mudah untuk aku buat keputusan macam tu, Dina. Aku sayangkan dia sangat-sangat." Walaupun kecewa tetapi untuk memutuskan hubungan yang ada ini, tak semudah yang Medina kata.
"Tapi dia tak fikirkan kau pun dalam hal ni. Buat keputusan tanpa berbincang dengan kau dulu. Dia ingat kau tu tunggul ke apa kat sini?" Medina meluahkan rasa tak puas hati.
"Kalau dia bagi aku penjelasan yang munasabah... Aku akan bagi dia peluang untuk kami teruskan hubungan ni. Bagi aku, mungkin kali ni dia buat kesilapan dan manusia tu tak lari dari buat silap. Tapi kalau dia masih berdiam diri seolah-olah aku ni tak wujud dalam hidup dia... Aku akan lepaskan dia. Mungkin betullah, perpisahan yang dia minta." Di hujung kata, menitis deras air mata jatuh ke pipi.
Medina mengeluh berat namun dia tak akan menghalang andai Aulia masih mahu meneruskan hubungan bersama Eiman.
Bagi orang yang tak mengalami apa yang Aulia rasa, mungkin senang nak cakap apa saja. Samalah seperti dia yang hanya tahu berkata-kata.
Saat WhatsApp Aulia berbunyi, serentak mata mereka beralih ke arah beg tangan Aulia.
"WhatsApp kau..."
"Aku tahu," jawab Aulia malas tetapi dia tak ada hati hendak membacanya.
"Tak nak baca ke? Kut-kut parents kau."
Apabila Medina menyebut orang tuanya, perasaan malas tadi digagahi jua. Beg tangan diselongkar dan telefon bimbit dicapai. Ada berpuluh notifikasi di WhatsApp, sebahagiannya daripada group rakan sekerja tetapi ketika mata terpandang nama Eiman, hatinya berdegup. Cepat-cepat dia menurunkan telefon bimbit itu ke atas riba. Tiba-tiba saja dia rasa tak bersedia hendak membaca mesej daripada Eiman itu.
"Kenapa?" soal Medina dengan wajah yang berkerut. Wajah Aulia kelihatan menggelabah.
"Eiman mesej aku."
"Haaa... Dah tu kenapa tak baca?"
"Aku takut."
"Nak aku bacakan?" Ketika Medina hendak mengambil telefon bimbit Aulia itu, cepat-cepat Aulia menjauhkannya.
"Tak apa. Biar aku yang baca."
"Okey. Ni nak stay kat sini sampai tengah malam atau balik ke kondo? Kau dah makan ke belum ni?" Hampir setengah jam mereka berada di dalam kereta, nak menunggu sehingga selesai masalah, memang sampai ke pagi tak selesai-selesai.
"Balik kondo aje. Aku tak ada selera nak makan. Kau dah makan?"
"Belum tapi tak apa. Aku makan Maggi aje nanti."
Tangan Medina disentuh, pandangan yang Aulia berikan kepada wanita itu juga lembut. Sungguh, dia terharu.
"Thank you, Dina sebab sudi ambil aku kat sini. Sanggup nak makan Maggi malam-malam macam ni."
"Hesy... Janganlah cakap macam tu. Alah... Makan Maggi sekali-sekala tak apa kut. Takkanlah naik sampai lima kilo? Dah-dah... Kau pergi baca mesej Eiman tu. Selesaikan hal ni supaya kau tak sakit hati dan kecewa lama-lama." Tangan Medina sudah berada di gear untuk memulakan perjalanan mereka.
Teragak-agak Aulia mengangkat kembali telefon bimbitnya. Mesej daripada Eiman itu dibuka dan ketika membaca perkataan pertama daripada Eiman, air matanya mula bergenang.
I'm sorry. Aidit bagi tahu I, you dah tahu tentang keputusan I baru-baru ni. It's hard for me to explain everything to you but all I can say is... I have to stay here. For a while. - Eiman
Itu saja yang dititipkan oleh Eiman? Setelah berhari-hari dia menanti panggilan atau mesej daripada lelaki itu? Laju jemarinya membalas kembali mesej Eiman itu.
Kenapa baru sekarang nak bagi tahu I? Kenapa I perlu tahu daripada orang lain? You kat mana selama seminggu lebih ni? Kenapa mesej-mesej I tak dibalas? Kenapa semua call I, you rejected? - Aulia
Persoalan yang bermain dalam fikirannya selama ini, diluahkan tanpa bertangguh. Dia tidak mahukan penjelasan yang panjang lebar, cukup sekadar menjawab segala pertanyaannya. Hampir lima minit dia menunggu, akhirnya Eiman membalas kembali mesejnya.
Kenapa baru sekarang? Sebab I cuba fikirkan cara yang terbaik untuk bagi tahu you. - Eiman
I tak sangka pun Aidit akan bagi tahu you. Sebab I sendiri yang nak bagi tahu you. - Eiman
Still here, kat Auckland. I tak pergi mana-mana. Cuma banyak sangat yang terjadi kat sini sampai I terpaksa abaikan mesej and your calls. - Eiman
Boleh diterimakah alasan Eiman itu? Dalam banyak hari, takkan satu panggilan atau mesej tak mampu dijawab oleh lelaki itu?
You dah ada orang lain kat sana? - Aulia
Tembak Aulia. Tidak ada sebab lain yang membuatkan Eiman berubah secepat ini kalau bukan kerana ada wanita lain.
It's only you, Aulia Delisya! - Eiman
Sinis bibir Aulia terukir. Dalam telefon memang senang untuk berkata-kata. Lagi-lagi dia di Malaysia, Eiman pula di Auckland.
Just tell me the truth, Eiman. Senang. You pun tak akan terbeban lagi dengan hubungan kita. - Aulia
You percaya atau tak, terpulang. And terpulang juga kalau you nak tunggu I atau pun tidak. I tak akan paksa you. Keputusan untuk stay lama kat sini pun because I have to. I had no choice. - Eiman
Berkerut dahi Aulia membaca balasan mesej daripada Eiman itu. Dia rasa ada sesuatu yang berbeza dari kata-kata yang titipkan oleh lelaki itu.
Apakah?
Seketika kemudian, Eiman menitipkan pesanan kepadanya lagi.
Will always love you. - Eiman
Membaca empat patah perkataan itu membuatkan Aulia berasa sedikit lega. Bukan dia mendambakan kata-kata itu tetapi itulah Eiman yang dia kenali. Lelaki itu tak pernah lupa untuk menitipkan kata rindu atau cinta kepadanya.
Dan kata-kata itu dibiar sepi tanpa balasan. Hatinya masih curiga. Jawapan yang Eiman berikan itu belum cukup kuat lagi untuk dia mempercayai seratus peratus. Tak semena-mena dia teringatkan Benjamin. Kalau dia menghubungi lelaki itu, mahukah Benjamin memberitahu hal sebenar kepadanya?
"Eiman cakap apa?" soal Medina setelah lama mendiamkan diri. Wajah Aulia juga dikerling sekilas sebelum memandang kembali ke jalan raya yang sudah pun sesak itu.
"Dia kata, dia terpaksa stay kat sana. Bukan sebab perempuan lain. Dia masih sayangkan aku."
"Kau percaya cakap dia?"
Aulia menelan air liur bila ditanya sebegitu. Percayakah dia? Hatinya masih berasa ragu. Bimbang andai dirinya dipermainkan sedangkan Eiman enak-enak bercinta dengan orang lain di sana.
"Cuba kau selidik daripada abang dia. Manalah tahu, jawapan dia tak sama dengan apa yang Eiman bagi tahu kau." Medina memberikan cadangan apabila Aulia hanya diam membisu. Dia mengerti apa yang Aulia rasakan. Pasti wanita itu berasa ragu. Dia sendiri merasakan jawapan yang Eiman berikan itu tak cukup kukuh untuk lelaki itu mempertahankan diri sendiri.
"Aku pun fikir perkara yang sama. Nak call abang dia. Tapi aku risau, kalau abang dia cuba nak pertahankan Eiman nanti."
"Tak apa. Cuba dulu."
"Esok aku call dia," putus Aulia.
"Apa pula esok? Sekaranglah!"
"Dah pukul dua pagi kat sana, Dina." Bulat mata Aulia memandang teman serumahnya itu.
"Biarlah. Kalau lama lagi kau tunggu, hati kau takkan tenteram. Lebih baik kau call sekarang. Pedulikan kalau kat sana dah pukul dua atau apa sekalipun."
Lama Aulia berfikir dan akhirnya, nombor telefon Benjamin dihubungi. Hatinya terasa berdebar. Dia dan Benjamin memang tak sehaluan.
"Helo..." Suara garau itu menyapa.
"Eidlan... Sa... Saya Aulia." Aulia gugup.
"Apa kau nak? And stop calling me Eidlan." Keras nada itu bersuara.
"I'm sorry sebab call awak tengah malam..."
"Ni dah bukan tengah malam tapi dah pukul dua pagi," pintas Benjamin.
"Ya, saya tahu. I'm sorry. Tapi saya nak tanya awak..."
"Pasal Eiman?" Sekali lagi Benjamin memotong kata-kata Aulia itu.
Aulia mengeluh perlahan.
"Ya. Awak tahu tak kenapa dia kena stay lama kat situ?"
"It's because of family matters. Kalau kau jenis perempuan yang berhati perut, tak payah persoalkan kenapa dia perlu stay lama kat sini."
Aulia mengetap bibirnya. Sakit pula hatinya mendengar kata-kata Benjamin itu.
"Kenapa bukan awak aje yang stay kat sana? Kenapa perlu Eiman?"
"Like I said, it's because of family matters. Aku atau Eiman akan stay kat sini."
Aulia pejamkan mata saat jawapan yang Benjamin berikan itu menyapa ke telinganya.
"Kalau kau betul-betul sayangkan Eiman, tunggu sampai dia balik ke Malaysia. Kalau tak, lupakan dia. Dia pun tak payah nak susahkan diri untuk setia pada kau," sambung Benjamin lagi dan kemudiannya...
Tik!
Panggilan ditamatkan tanpa ucapan selamat tinggal.
Aulia mendengus dan bibir diketap untuk sekian kalinya. Berbicara dengan Benjamin memang tak pernah diakhiri dengan sesuatu yang menggembirakan.
"Alhamdulillah... Dah sampai," ucap Medina setelah parkir di sebelah kereta Aulia. Wajah dikalih ke tepi untuk memandang sahabatnya itu.
"So, macam mana?" soalnya apabila sedar wajah Aulia kelihatan kelat.
"Sebab hal keluarga. Dia cakap, kalau betul aku sayangkan Eiman, tunggu sampai Eiman balik ke Malaysia."
Terangguk-angguk kepala Medina.
"Betullah tu. Kalau kau masih sayangkan dia, tunggu. Kalau tak, lupakan dia. Senang. Kau pun tak terseksa. Tapi semua tu terpulang pada kau. Dia terpaksa stay kat sana pun disebabkan keluarga. Mungkin ada sesuatu yang terjadi kat sana. Sebab tu dia malas nak bagi tahu in detail. Kut-kut dia tak nak kau susah hati."
"Mungkin," jawab Aulia perlahan.
Jika ditanya padanya, sayangkah dia pada Eiman? Dia akan jawab, kerana sayanglah dia cuba menerima. Kerana sayang juga dia akan terus bertahan dan kerana sayang juga, dia akan terus menunggu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro