Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 7

BERHATI-HATI Aulia memandu Mercedes-AMG A45 itu. Sambil memandu, bibir turut terkumat-kamit membaca doa. Dia tidak mahu kereta itu rosak atau calar ketika dalam jagaannya. Dan kerana tidak mahu terbeban dengan tanggungjawab, dia sanggup menghantar kereta itu ke Brews & Bites Café sebaik saja habis waktu bekerja.

Namun sebelum bergerak ke kafe, dia sempat menitipkan pesanan kepada Eiman. Biar Eiman tahu, sungguhpun lelaki itu masih bersikap yang sama seperti hari-hari sebelum ini; di mana mesejnya hanya dibaca tanpa dibalas, dia masih teringatkan lelaki itu.

Berat keluhan yang terlepas dari bibir Aulia. Kerana selama seminggu dia membiarkan Eiman dengan kerenah sendiri tetapi selepas seminggu pun Eiman masih bersikap yang sama. Sehingga membuatkan dia berfikir yang bukan-bukan.

Cepat-cepat kepalanya menggeleng, cuba menidakkan apa yang berlegar dalam fikirannya ketika ini. Mustahil dalam sekelip mata Eiman berubah hati. Baru beberapa minggu lelaki itu berada di Auckland, takkanlah janji yang diungkapkan sebelum berangkat ke sana sudah dilupakan?

Eiman harus tahu, bukan senang untuk dia memberikan sekeping hatinya kepada orang lain. Dan apabila hatinya sudah diserahkan, ia akan tetap berada pada orang yang dia pertanggungjawabkan. Tiada siapa yang inginkan hatinya dilukai, begitu juga dengan dirinya. Kerana itu dia mengharapkan agar hubungan yang terjalin ini akan kekal sehingga ke akhirnya.

Ya, dia tahu. Tempoh perkenalan mereka masih baru lagi. Malah belum sampai setahun lagi tetapi itu tak bermakna hatinya senang untuk melupakan andai perpisahan yang Eiman minta daripadanya.

"Astagfirullahalazim... Apa aku fikir ni?" Dalam resah, Aulia berkata sendiri. Sebelah tangan menongkat dahi dan sebelah tangan lagi kejap memegang stereng kereta. Sakit kepalanya memikirkan tentang 'kehilangan' Eiman itu.

Hati teringin hendak bertanya kepada Benjamin tetapi malangnya, dia tidak tahu nombor telefon lelaki itu. Harap-harap ketika dia berjumpa dengan Aidit nanti, lelaki itu dapat memberitahu nombor telefon Benjamin.

Sebaik saja kereta diparkir di tempat letak kereta, Aulia menarik nafas dalam sebelum melangkah keluar. Dia bukan takut hendak berdepan dengan Aidit tetapi tak tahu kenapa hatinya rasa kurang enak. Sekali lagi kepalanya menggeleng. Cuba menghentikan fikirannya dari terus melayang dan berfikir yang bukan-bukan.

Saat pintu kafe ditolak, Sam selaku manager di kafe itu terus menghadiahkan senyuman kepadanya.

"Welcome, Cik Aulia."

Aulia turut membalas senyuman Sam itu.

"Is Aidit working today?"

"Yeah, he's in the kitchen."

"Can I talk to him? Sekejap aje."

"Sure. Duduklah dulu, Cik Aulia. Nak minum?"

Sekilas mata Aulia menjeling ke arah jam tangan.

"Saya sekejap aje ni."

"Tak apa. Minum sekejap aje." Tanpa menunggu balasan daripada Aulia, Sam terus mengarahkan salah seorang barista untuk membancuhkan Hazelnut Macchiato with Marshmallow Rim untuk Aulia.

"Thank you. Baru nak sebut yang tu," ucap Aulia bersama senyuman. Tak sangka Sam sudah tahu salah satu minuman kegemarannya di kafe itu.

"Cik Aulia duduk dulu, ya? Saya panggilkan Cef Aidit."

Aulia mengangguk tetapi sesaat kemudian, nama Sam dipanggil lagi.

"Ya?" tanya lelaki itu.

"Kalau Aidit sibuk, biarkan dia settle kerja-kerja dia dulu. Saya boleh tunggu," beritahu Aulia. Dia datang ke situ bukan untuk mengganggu kerja Aidit. Dia sendiri tahu kesibukan lelaki itu setelah Eiman berangkat ke Auckland.

"Baik, Cik Aulia."

Aulia melangkah ke meja yang menjadi 'favourite spot' setiap kali datang ke kafe itu. Dan ketika punggung mencecah kerusi, tak semena-mena rindunya kepada Eiman membuak-buak. Bahkan, kenangan saat menanti Eiman keluar bersama hidangan bagaikan menderu-deru masuk dalam ingatan. Mata dipejam seketika. Cuba meredakan emosi yang tiba-tiba menguasai dirinya itu.

"Lia..."

Kelopak mata segera terbuka apabila namanya diseru. Di hadapannya, berdiri seorang lelaki yang berpakaian double breasted jacket berwarna hitam. Aulia tersenyum hambar. Betapa dia mengharapkan Eiman yang berdiri di hadapannya ketika ini dan bukannya Aidit namun bila teringat niat asalnya ke situ, laju tangannya mengambil kunci kereta Benjamin dari dalam beg tangan.

"Saya ke sini nak bagi kunci ni. Kereta Eidlan ada kat luar tu." Kunci kereta dihulurkan kepada Aidit setelah lelaki itu menanggalkan toque dari kepala.

Berkerut dahi Aidit namun kunci kereta itu tetap diambil dari tangan Aulia.

"Eidlan?"

"Aduh... Lupa. Benjamin."

Kerutan di dahi Aidit masih jelas kelihatan.

"Oh, okey. Tapi kenapa awak bagi kunci ni kat saya?"

"Eiman tak bagi tahu ke yang dia minta awak yang jaga kereta Benji ni?"

Pantas Aidit menggelengkan kepala. Eiman atau Benjamin sekalipun tidak pernah meminta untuk dia menjagakan kereta Benjamin itu.

"Eiman kata hari tu, nanti dia akan call awak. Sebab saya tak berani nak jaga kereta ni. Saya risau kalau-kalau kereta ni rosak kat tangan saya. Nanti Benji marah pula."

"Sepanjang Eiman kat sana, memang dia tak pernah mention pasal kereta Benji. Mungkin dia dengan Benji nak awak yang jaga kut," telah Aidit.

"Hesy... Tak naklah! Saya serahkan kat awak aje. Nanti saya bagi tahu Eiman."

Aidit tersenyum.

"Kena jaga elok-elok ni. Dahlah kereta Benji."

"Haaa... Tahu pun! Sebab tu saya malas nak jaga. Nak drive ke sini pun tadi kena berhati-hati."

Dari senyuman, kini menjadi tawa kecil. Geli hati Aidit mendengar kata-kata Aulia itu. Seketika kemudian, dia memandang sekeliling, pelanggan yang ada masih pelanggan yang sama. Tidak mengapa rasanya andai dia duduk sekejap. Lagipun Danish ada di dapur untuk menerima pesanan daripada pelanggan.

"So, kalau awak yang bawa kereta Benjamin ke sini, nanti awak balik macam mana?"

"Naik teksi aje nanti."

Aidit melayangkan pandangan ke luar kafe, ternyata hari sudah gelap. Kerisauan mula terpancar di wajahnya.

"Dah malam, Lia. Bahaya. Kalau awak nak, saya hantar awak balik nanti. Tapi terpaksalah awak tunggu sampai saya habis kerja."

Perlahan kepala Aulia menggeleng. Bukan dia tak sudi tetapi Aidit habis bekerja pukul 11 malam. Nak tunggu tutup kafe, sudah tentu akan menginjak ke pukul 12 tengah malam. Dia dah rasa penat satu badan ni...

"Tak apa. Sebelum ni saya okey aje naik teksi. Alah... Kondo saya dekat aje, kan? Tak apalah."

"Kalau Eiman tahu saya biarkan awak naik teksi, sure dia marahkan saya."

Aulia tersenyum.

"Senang cerita, jangan bagi tahu dia."

Akhirnya Aidit mengalah. Tidak mahu mendesak Aulia untuk balik bersamanya nanti. Mungkin wanita itu segan atau mungkin kurang selesa untuk berdua-duaan dengannya pada tengah malam.

"Oh, ya... Hari tu saya dengan Medina dinner kat sini..." beritahu Aulia tetapi bicaranya terhenti seketika apabila Sam menghantar minuman kepadanya.

"Thank you, Sam," ucapnya kepada Sam.

Mata kembali memandang Aidit lalu menyambung bicara yang terhenti tadi.

"Tapi saya tak sempat nak sapa awak dengan Danish sebab saya tengok malam tu pelanggan ramai sangat."

"Setiap malam memang macam tu. Boleh tahan juga kami 'berperang' kat dapur tu," jelas Aidit.

Aulia ketawa kecil.

"Sure kerja kau orang semakin bertambah, kan?"

"Sama aje sebenarnya. Sebab pembantu cef dengan pembantu dapur ramai."

"Oh... I see. Anyways... Selain nak bagi kunci kereta, sebenarnya saya nak tanya awak, awak ada ke tak nombor telefon Benji?"

"Of course ada. Nak ke?"

Aulia mengangguk.

"Awak tunggu kat sini, saya ambil handphone sekejap."

Sekali lagi Aulia mengangguk. Sementara menunggu Aidit, dia menikmati Hazelnut Macchiato yang masih panas itu bersama biskut chocolate chip. Biskut itu memang akan dihidangkan bersama untuk mana-mana minuman yang dikelilingi marshmallow rim di bibir muk. Itu antara signature Brews & Bites Café.

"Okay... Here we go. Ni line dia kat Auckland." Aidit kembali duduk di hadapan Aulia lalu menyerahkan telefon bimbitnya kepada wanita itu.

Tanpa bertangguh, Aulia menyalin nombor telefon Benjamin itu ke dalam Contactnya.

"Alright, done. Thank you, Aidit."

"Tak ada hallah!" Aidit kembali mengambil telefonnya. Hatinya tertanya-tanya, adakah Aulia sudah tahu tentang keputusan Eiman baru-baru ini? Dari riak wajah Aulia, dia tidak dapat mengagak adakah wanita itu tahu ataupun tidak? Kerana wajah itu nampak bersahaja meskipun tidak seceria ketika Eiman masih berada di sini.

"Emmm..." Aidit kelihatan teragak-agak hendak bertanya. Sekejap-sekejap bibirnya terbuka untuk berkata tetapi sekejap kemudian tertutup rapat.

"Ya?" soal Aulia. Dahinya turut berkerut melihat Aidit seperti serba salah itu.

"Awak tak kesah ke Eiman stay kat sana tu?"

Aulia tersenyum lega. Dia ingatkan Aidit hendak memberitahu dia tentang Eiman. Manalah tahu Aidit tahu punca Eiman 'menghilang' itu.

"Okey aje. Sebab tak lama mana pun. Alah... Pasangan yang bercinta dari jarak jauh pun boleh survive, takkanlah dia yang hanya dua bulan kat sana tu saya nak merungut?"

Berubah wajah Aidit. Dua bulan? Bukan dua tahun ke? Dia mula berteka-teki.

"Bukan dia kata nak panjangkan lagi masa dia kat sana ke? Like... Setahun atau dua."

Aulia terkedu dengan soalan Aidit itu. Matanya juga terkebil-kebil memandang Aidit.

"Setahun... Atau dua?"

"Haah. Semalam dia bagi tahu saya. Dia tak bagi tahu awak ke?"

Bibir Aulia bagaikan terkunci rapi. Hanya kepala yang menggeleng perlahan. Jantungnya bagaikan gugur. Semalam Eiman menghubungi Aidit, tapi dia dibiarkan tertanya-tanya sebegini?

"Dia mesej saya semalam. Katanya dia mungkin lama kat Auckland. Saya tanya dia, berapa lama? Dia jawab dalam setahun ke dua tahun. Tak pun tiga tahun." Lancar Aidit memberitahu dengan lanjut.

Bagaikan terhenyak Aulia mendengar pemberitahuan Aidit itu. Kenapa Eiman tidak memberitahu kepadanya? Kenapa berita itu disampaikan kepada Aidit terlebih dahulu?

"Mungkin dia akan bagi tahu awak malam ni kut... Manalah tahu dia cuba nak cari ayat yang sesuai." Aidit cuba menyedapkan hati Aulia. Menyesal pula dia bertanyakan tentang hal Eiman itu kepada Aulia, rupa-rupanya wanita itu belum tahu lagi.

"Awak tahu kenapa dia nak stay lama kat sana?" soal Aulia. Air mata cuba ditahan dari mengalir. Terasa dirinya dibelakangkan dalam hal-hal begini sedangkan dia setia menunggu kepulangan Eiman ke tanah air.

"Dia cuma bagi tahu, ada masalah keluarga kat sana. Entahlah... Saya pun kurang pasti sebenarnya."

"Kafe ni nanti, siapa yang ambil alih kalau Eiman stay kat sana?"

"Benji, tapi Benji pun tak selalu ada kat sini nanti."

Tersandar lemah badan Aulia di kepala kerusi. Perkara yang paling dia takuti, kini benar-benar terjadi.

"I'm sorry, Lia. Saya tak tahu yang awak belum tahu lagi."

"Agaknya dia dah lupakan saya..." kata Aulia perlahan seakan-akan berkata pada diri sendiri tetapi sempat didengari oleh Aidit.

"Takkanlah. Dia sayangkan awak sangat-sangat, Lia. Mustahil dia nak sia-siakan hubungan kau orang ni? Lagipun, kalau dikira minggu ni, baru sebulan dia kat sana. Memang bodohlah kalau dia buat perangai kat sana," sangkal Aidit. Dia sudah lama mengenali Eiman. Selama dia berkawan dengan Benjamin, selama itu juga dia mengenali Eiman. Dia sudah mengenali hati masing-masing.

Andai benar Eiman buat perangai di Auckland sampaikan sanggup melupakan hubungan yang terjalin dengan Aulia, dia rasa mungkin lelaki itu 'dirasuk' agaknya. Atau tak waras dalam membuat keputusan.

"Lia... Nanti awak cuba call dia. Bincang elok-elok," pujuk Aidit saat melihat Aulia hanya diam membisu. Sepasang mata wanita itu juga bergenang dengan air mata.

"Dah seminggu lebih Eiman tak call dan tak balas mesej saya. Saya call pun dia putuskan." Jujur Aulia memberitahu Aidit. Dia tak tahu kepada siapa lagi untuk dia meluahkan rasa hatinya itu.

Dan kenyataan itu membuatkan Aidit terkejut.

"Apa dah jadi dengan dia sebenarnya ni?"

Air mata yang ditahan tadi, kini mengalir setitis demi setitis.

"Saya tak tahu. Dia senyap macam tu aje. Saya call pun, dia rejected. Dia tak pernah tau buat macam ni selama dia kat sini."

Cepat tangan Aidit menarik sehelai dua tisu lalu diberikan kepada Aulia. Melihat air mata yang mengalir di pipi wanita itu membuatkan dia rasa simpati. Baginya, seorang wanita tak akan mudah mengalirkan air mata kalau hanya untuk perkara yang remeh-temeh. Mungkin sudah lama Aulia memendam perasaan itu.

Selepas mengelap air mata, Aulia mencapai dompetnya lalu not dua puluh ringgit dikeluarkan dan diletakkan di atas meja.

"Untuk minuman ni. Saya balik dulu, Aidit."

Bergegas Aulia menyangkutkan tali beg tangan ke bahu seraya berdiri namun ketika kaki hendak melangkah, dia dihalang oleh lelaki itu.

"Kami takkan menerima walau satu sen duit awak, Lia. Itu pesan Eiman. Dan saya berpegang pada kata dia. Please, ambil balik duit ni."

Not dua puluh ringgit itu dihulurkan kembali kepada Aulia. Walau apapun status hubungan Aulia dengan Eiman ketika ini, Aidit tetap berpegang pada kata Eiman agar tidak menerima bayaran daripada wanita itu setiap kali makan di situ.

"Saya juga seorang pelanggan, Aidit. Lagipun sekarang ni saya dah tak tahu siapa saya dalam hati dan juga dalam hidup Eiman. Awak ambil atau tak duit tu, saya tetap tak akan terima kembali. Terima kasih untuk hari ni. Terima kasih juga bagi tahu saya tentang keputusan Eiman tu," sejurus berkata begitu, Aulia melangkah pergi dan Aidit juga tidak menghalangnya dari berlalu pergi.

Setiap derap langkah, diatur dengan rasa kecewa yang bukan sedikit. Fikirannya juga menjadi kosong. Dia hanya terus melangkah tanpa tujuan sehingga dia tidak tahu di mana dia berada ketika ini. Hatinya terasa remuk, hancur. Ibarat gelas kaca yang dihempas ke lantai. Berderai sebegitu.

Mujur telefon bimbitnya berbunyi dan menyedarkan dia ke alam nyata. Tanpa melihat siapa yang menghubungi, panggilan itu terus dijawab.

"Lia... Kau kat mana? Kereta Benji pun aku tak nampak kat basement tadi." Suara Medina kedengaran menyapa.

"Dina..." Hanya nama itu yang teralun di bibir Aulia dengan nada yang bergetar.

"Lia... Kau kenapa? Kau kat mana sekarang ni?" Cemas wanita itu bertanya.

"Entah..." Aulia pandang sekeliling. Melihat di mana dia berada ketika ini. Dia rasa hilang punca, hilang arah...

Dia lemas.

"Hesy... Takkan kau tak tahu kau kat mana?"

"Mungkin aku ada kat sebelah bangunan kafe Eiman."

"Kau tunggu kat sana. Aku ambil kau. Aku dekat-dekat Bukit Damansara ni juga. Tunggu tau! Jangan pergi mana-mana," pesan Medina sebelum menamatkan panggilan.

Lemah badan Aulia bersandar di dinding. Manusia yang lalu-lalang di hadapannya juga tak dihirau. Dia juga sudah tidak kesah jika ada yang mengenalinya namun dia mengharapkan dalam keadaannya begini, tidak ada siapa yang menegur atau menyapanya. Bimbang andai dia tidak mampu melayan dengan baik nanti.

Have I lost you, Eiman? I made you my world, but who am I to you?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro