Bab 6
SEMALAM, seharian Eiman tidak menghubungi Aulia. Mesej yang Aulia titipkan semalam juga tak dibalas. Tetapi bila dia tengok 'last seen', seolah-olah mesejnya sudah dibaca. Takkan Eiman lupa nak balas?
Sebelah tangan naik mengurut tengkuk yang keletihan itu. Dia tak tahu kenapa dia susah sangat nak melelapkan mata semalam. Mungkin sebab menanti panggilan daripada Eiman yang tak kunjung tiba itu.
Tanpa dia sedar, sebelah tangan lagi menghubungi nombor telefon Eiman. Seperti semalam juga, telefon Eiman hanya berdering tetapi tak berjawab. Tanpa berputus asa, dia mencuba sekali lagi. Dan kali ini, panggilannya seperti sengaja ditamatkan.
Semakin berlapis-lapis kerutan di dahi Aulia. Tak pernah selama ini, panggilannya ditamatkan walaupun berbalah kata dengan Eiman. Apa sudah terjadi sebenarnya? Takkanlah Eiman demam?
You tak sihat ke, Eiman? - Aulia
Soalan itu dititipkan buat Eiman. Sementara menanti balasan daripada lelaki itu, dia menghidupkan enjin kereta terlebih dahulu. Saat ternampak Eiman 'online', hati yang resah tadi mula ceria. Yakin bahawa Eiman akan membalas mesejnya. Namun keceriaan itu hanya sementara apabila melihat WhatsApp Eiman kembali ke 'last seen'.
"Dia baca aje, tapi tak balas?" Aulia berkata sendiri.
Pelik!
You merajuk dengan I, eh? Sebab I tolak untuk 'berjumpa' dengan parents you tu ke? - Aulia
Tapi I kan dah cakap, semalam I dah ready. You yang tak call I dari semalam. - Aulia
Beberapa mesej dihantar kepada Eiman. Sekadar untuk menjelaskan agar Eiman tak menyalahkannya seratus peratus. Sebenarnya, tak ada sebab pun untuk Eiman merajuk dengannya. Sedangkan, masing-masing sudah bersetuju dan kata sepakat sudah diperolehi. Cuma Eiman sahaja yang tiba-tiba senyap tanpa dia tahu sebabnya.
Just let me know, apa kesalahan I? I akan cuba perbaiki. - Aulia
Bila dah yakin hati tu dah sejuk, call me. I miss you so much! - Aulia
Telefon dimasukkan ke dalam beg dan Aulia sudah bersedia untuk bergerak ke studio Sinar Pagi. Itulah rutinnya setiap pagi Isnin sehingga Rabu. Manakala sepanjang hari Khamis pula, dia ada shooting untuk Brews in Town. Selebihnya, dia melakukan kerja-kerja sambilan seperti shooting iklan atau photoshoot.
Baru-baru ini juga, dia ditawarkan untuk mengacarakan rancangan masakan, cuma dia belum memberikan kata putus lagi. Kerana untuk rancangan itu, dia perlu ke luar negara. Mencari makanan-makanan halal yang disajikan di restoran atau kafe terkenal di luar negara.
Tawaran yang diberikan itu umpama sekali dalam seumur hidup kerana dia bukanlah pengacara popular. Masih baru lagi tetapi sudah diberi peluang besar begini. Andai dia menolak, memang dia akan rugi besar. Kalau dia menerima pula, dia perlu memberikan komitmen yang sangat tinggi.
Apapun, sebelum memberikan kata putus, dia perlu berbincang dengan keluarganya terlebih dahulu. Tidak lupa juga dengan Eiman nanti.
MENJENGUL kepala Aulia saat namanya dipanggil oleh si ibu. Padahal, belum sampai sepuluh minit pun dia tiba di rumah orang tuanya. Dia tersenyum-senyum melihat Puan Dahlia sibuk mengeluarkan bahan-bahan untuk dimasak. Setiap kali balik ke rumah orang tuanya, ada saja yang ingin dimasak oleh Puan Dahlia.
"Puan Dahli nak masak apa ni?" tanya Aulia seraya mendekati si ibu.
Bibir yang dimamah usia itu tersenyum kecil saat Aulia memanggilnya 'Puan Dahlia'.
"Haaa... Sebab itulah mak panggil Lia, Lia nak makan apa sebenarnya ni?"
"Hesy... Mana-mana pun boleh. Yang penting, mak yang masak." Tersengih Aulia memberitahu. Masakan Puan Dahlia memang tiada tolok bandingnya walaupun Eiman seorang cef profesional. Apatah lagi cita rasanya lebih kepada masakan Melayu berbanding masakan Barat yang merupakan menu utama di Brews & Bites Café.
"Dhani dengan Ulfah tak bermalam kat sini. Mereka bermalam kat rumah orang tua Ulfah."
Bulat bibir Aulia membentuk O.
"Hari tu mak Ulfah telefon mak... Dia mengadu Dhani dengan Ulfah jarang bermalam kat sana," adu Puan Dahlia pada si anak. Dia sebagai ibu Dhani rasa bersalah bila besannya mengadu begitu padanya. Seolah-olah dia pula yang monopoli anak dan menantu.
"Oh... Sebab itulah Abang Dhani dengan Kak Ulfah ke sana. Sebab mak dia mengadu kat mak?"
Mengangguk kepala Puan Dahlia.
"Mak yang suruh mereka bermalam kat sana. Bukan apa... Mak risau nanti, mak Ulfah tu kata mak yang hasut anak menantu."
"Hesy... Insya-Allah, tak. Kita fikir yang baik-baik aje. Kak Ulfah sendiri yang berat hati nak ke sana, kan? Kita tak hasut pun." Aulia cuba menyedapkan hati Puan Dahlia. Dia sendiri kurang pasti kenapa Ulfah rasa berat hati hendak bermalam di rumah keluarga sendiri.
"Dengarnya ipar dia tak sukakan dia. Entahlah... Mak pun tak pasti sangat. Bagi mak, Ulfah tu dah cukup baik. Beruntung Dhani dapat isteri macam dia."
Aulia turut mengeyakan. Dia sebagai adik Dhani juga selesa mempunyai kakak ipar seperti Ulfah meskipun baru setahun Dhani dan Ulfah mendirikan rumah tangga.
"Kamu dengan Eiman okey ke?" Tiba-tiba Puan Dahlia bertanyakan soalan itu.
Wajah Aulia sedikit berubah namun cepat-cepat bibirnya mengukir senyuman agar perubahan di wajahnya tidak terlalu ketara.
"Okey aje, mak. Dia busy kat sana."
Hal sebenar cuba disembunyikan walaupun hampir seminggu juga Eiman tak menghubunginya. Yang hairannya, setiap mesej yang dia titipkan hanya dibaca tetapi tak dibalas. Apa masalah Eiman sebenarnya?
Cuma tiga hari kebelakangan ini saja dia tak menitipkan pesanan kerana ingin memberi ruang kepada Eiman. Andai benar lelaki itu sayangkan hubungan mereka, dia berharap agar Eiman memberikan respons dalam masa terdekat ini.
"Jangan nanti, dia menetap kat sana terus," usik Puan Dahlia.
Semakin kelat senyuman di bibir Aulia. Malah hatinya juga tidak senang mendengar usikan si ibu. Apa akan jadi dengan hubungan mereka jika benar Eiman membuat keputusan sebegitu?
"Mak usik aje... Takkanlah dia nak menetap kat sana terus? Kalau betul dia sayangkan Lia, dia takkan buat macam tu," pujuk Puan Dahlia kemudiannya seraya sebelah tangan mengusap lembut lengan Aulia. Dia sedar senyuman si anak tak sampai ke hati. Ada sesuatu yang merisaukan Aulia.
"Itulah... Dia janji lepas balik dari sana nanti, dia nak jumpa mak dengan abah."
"Insya-Allah... Dia akan pegang janji dia. Lia hanya perlu percayakan dia sepertimana dia percayakan Lia yang kat sini."
Mengangguk kepala Aulia. Ya, dia perlu percayakan Eiman. Tak berhubung untuk beberapa hari bukanlah satu masalah besar. Manalah tahu selepas Eiman membaca mesejnya, lelaki itu terlupa nak balas. Apa yang penting, dia perlu berfikiran positif.
"Tu kupaskan bawang besar, bawang putih dengan kunyit hidup. Yang kunyit tu seinci aje," arah Puan Dahlia dan Aulia mengangguk akur.
"Nanti kalau Lia kahwin dengan Eiman tu... Lia kena masak juga untuk suami. Jangan jadikan pekerjaan dia tu sebagai alasan untuk mengelak dari masak. Lainlah kalau dia sendiri yang nak masakkan untuk Lia. Sebab kita sebagai isteri ni, selain kasih sayang yang kita berikan pada dia, air tangan kita juga merupakan salah satu pengikat hubungan."
Berkerut dahi Aulia. Tiba-tiba saja ibunya bercakap tentang kahwin.
"Awalnya cakap pasal kahwin."
"Eh, manalah tahu lepas dia balik dari Auckland tu dia ajak Lia kahwin terus."
"Alah... Setahun dua ni mungkin belum lagi."
"Mak tak kesah kalau Lia nak kahwin tahun ni juga. Daripada berjalan ke sana sini tanpa ikatan. Apatah lagi, Lia tak tinggal dengan mak. Bukan mak tak percayakan anak, cuma nak mengelak dari berlaku yang tak diingini aje."
Sambil tangan mengupas bawang besar, kepala turut mengangguk. Aulia mengerti perasaan Puan Dahlia itu. Hati seorang ibu, sudah pasti ingin menjaga kehormatan si anak.
"Mana yang terbaik nanti, itulah pilihan Lia."
Ikan patin yang belum disiang dibawa ke singki.
"Mak nak masak ikan patin masak tempoyak ni."
"Haaa... Nak, nak, nak! Lama dah tak makan. Bagi pedas-pedas, mak." Teruja Aulia apabila salah satu masakan kegemarannya bakal dimasak oleh Puan Dahlia.
"Eiman pandai ke tak ni makan tempoyak?"
Tersenyum bibir Aulia saat nama Eiman disebut.
"Dia tu, mak... Petai pun dia makan. Tekak dia tu boleh tahan juga Melayunya. Tak macam abang dia."
Sempat lagi dia memerli Benjamin. Pantang betul ada peluang, walaupun musuh ketatnya itu tiada di situ, tapi dia rasa puas juga dapat menyinis sebegini.
"Biasalah tu... Yang betul-betul Melayu pun ada yang tak makan petai, tempoyak ni." Puan Dahlia berseloroh lagi.
"Jadi, sekarang kafe mereka tu memang kawan mereka ajelah yang jaga?"
Kepala Aulia mengangguk.
"Bila mak sebut pasal kawan mereka ni... Lia baru teringat yang kereta abang kepada Eiman tu masih ada kat kondo Lia. Aidit tak datang ambil pun."
Walaupun setiap pagi ketika dia memanaskan enjin kereta, dia turut memanaskan enjin kereta Benjamin. Adakalanya juga dibawa sekitar kawasan kondominiumnya tetapi bukankah Eiman sudah menyuruh Aidit untuk mengambil kereta itu daripadanya?
"Mungkin kawan dia pun sibuk. Yalah... Dulu ada Eiman. Sekarang dah kurang seorang."
"Lia tak kesah kalau kereta tu kereta Eiman tapi masalahnya, kereta tu kereta abang dia. Dahlah Benji tu cerewet. Nanti apa-apa kereta dia, mengamuk tak tentu pasal."
"Nanti senang-senang Lia ajelah yang hantar kereta dia tu ke kafe," usul Puan Dahlia.
Sekali lagi Aulia mengangguk. Hanya itu caranya. Kalau tidak, sampai ke sudah nanti kereta Benjamin parkir di basement kondominium mereka. Semak aje! Sudahlah dia tidak ikhlas menjaga kereta lelaki itu. Bukannya Benjamin tahu nak menghargai jasa dia pun!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro