Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 12

SAAT kaki menjejak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, hati Aulia semakin berdebar. Malam ini, dia akan terbang ke Auckland, New Zealand. Negara yang dikenali sebagai Negara Kiwi. Dan di situlah juga tempat Eiman berteduh sepanjang hampir tiga tahun ini. Dia tak tahu nak menggambarkan perasaannya saat ini tetapi apa yang pasti, dadanya terasa berdegup sepanjang perjalanan menuju ke KLIA itu.

"Eiman dah tahu Lia nak ke sana?" soal Puan Dahlia setelah orang tua itu keluar dari kereta. Jelas terpancar riak kurang ceria di wajah itu.

"Lia selesaikan kerja kat sana dulu, lepas tu baru Lia bagi tahu Eiman." Sejurus menjawab pertanyaan Puan Dahlia itu, Aulia mendekati Dhani. Cuba mengelak dari terus ditanya tentang Eiman.

"Bang... Biar Lia aje yang bawa," ucap Aulia seraya mencapai penarik bagasi dari tangan Dhani.

"Tak apa. Biar abang aje yang bawa. Apalah sangat duk heret benda alah ni."

Aulia tersenyum nipis seraya membiarkan Dhani mengheret kedua-dua bagasinya.

"Sampai sana nanti, call Eiman terus. Biar dia tahu Lia ada kat sana." Kali ini, Encik Ibrahim pula yang bersuara.

Aulia gigit bibir. Nampaknya, dia tak boleh lari lagi dari menjawab soalan Encik Ibrahim itu pula.

"Ya. Mak dan abah janganlah risau. Lia ke sana bekerja, bukan sekadar bercuti aje."

"Tapi kali ni tempat Lia pergi, jauh. Itu yang mak risau. Kalau Eiman tahu Lia ada kat sana, boleh tengok-tengokkan Lia."

"Ya, nanti Lia bagi tahu dia."

"Jangan risaulah, mak. Mungkin Lia nak surprisekan Si Eiman tu kut. Sebab tu dia tak nak bagi tahu Eiman dulu. Yalah, dah lama tak jumpa, kan?" celah Dhani.

Dan Aulia tersenyum lega, Dhani seolah-olah mengerti perasaannya ketika itu.

"Jangan nanti, Lia pula yang terkejut bila jumpa dia," ujar Puan Dahlia dengan riak yang sama seperti tadi.

"Hesy, awak ni, Dahlia. Ada ke patut kata macam tu? Kata yang baik-baik supaya yang jadi nanti juga yang baik-baik. Kalau awak dah kata macam tu, tu ibarat satu doa. Yang terlukanya nanti, anak awak juga." Tergeleng-geleng kepala Encik Ibrahim. Kesal dengan kata-kata Puan Dahlia sebentar tadi.

Dia sebagai suami faham perasaan Puan Dahlia itu. Tetapi sebagai ayah, dia tidak mahu anaknya terluka apatah lagi kalau melibatkan tentang Eiman. Walaupun hakikatnya, dia juga tertanya-tanya kenapa Eiman perlu berada di Auckland sehingga memakan masa tiga tahun lamanya? Sudahlah sepanjang tempoh itu, Eiman tak pernah balik ke Malaysia walau hanya sekali.

Hairan!

Tetapi sungguhpun berasa begitu, dia hanya diamkan sahaja. Dia tidak mahu masuk campur dalam hal percintaan anak-anak. Aulia sudah dewasa, dia yakin, anaknya tahu berfikir mana yang terbaik untuk diri sendiri.

Kelat senyuman yang meniti di bibir Aulia. Meskipun terkejut dengan kata-kata Puan Dahlia itu tadi tetapi perkara itu memang tak mustahil berlaku.

"Mak dan abah doakan yang terbaik untuk Lia, ya? Kalau tak ada jodoh dengan Eiman pun, doakan Lia dapat jodoh yang baik nanti. Yang lebih kaya dan lebih handsome daripada Eiman." Aulia sengaja berseloroh di hujung katanya agar situasi ketika itu tak terlalu tegang.

Puan Dahlia menjeling tetapi bibir orang tua itu hampir tersenyum.

"Kita risaukan dia, boleh pula dia main-main."

"Kalau betul Lia nak yang lebih kaya dan lebih handsome daripada Eiman, abang ada kawan yang macam tu. Tapi duda anak tiga." Dhani bersuara dengan tawa yang mengekek.

Sebelum tangan Aulia menampar bahu Dhani, tangan Puan Dahlia terlebih dahulu sampai ke bahu lelaki itu.

"Bagus sangatlah tu bagi calon macam tu kat adik."

"Alah, mak... Kalau dah betul jodoh, tak kesah duda atau bujang. Anak-anak dia tu anggap ajelah anak ekspres. Sementara menunggu Aulia berbadan dua."

"Merepeklah abang ni!" Berkali-kali lengan Dhani ditumbuk geram.

"Aduh! Abang cakap betul apa? Kawan abang tu handsome walaupun umur dah masuk empat puluh."

"Malas nak layan dia ni. Patutlah Kak Ulfah kata, bila dah jadi ayah ni, loyar buruk semakin menjadi-jadi."

Semakin kuat tawa Dhani kedengaran. Encik Ibrahim dan Puan Dahlia hanya mampu menggelengkan kepala apatah lagi mereka sudah pun tiba di tempat perkumpulan krew-krew The Toque Blanche.

"Apapun, bila kat sana nanti, jaga diri. Jaga kesihatan. Kali ni lama Lia kat sana. Hati-hati kat negara orang." Itulah pesanan terakhir Puan Dahlia sebelum Aulia masuk ke balai perlepasan.

PERJALANAN yang memakan masa sepuluh jam lebih itu diharungi tanpa sekali pun matanya terlena. Dia cuba memejamkan mata tetapi tak sampai beberapa saat, ia kembali celik. Padahal waktu itu, penumpang yang lain kebanyakannya melelapkan mata termasuklah Tasha yang duduk di sebelahnya.

Dan sepanjang perjalanan itu juga, dia hanya ditemani oleh buku yang berkisarkan tentang Auckland serta beberapa movie dan lagu yang ditayangkan di In-Flight Entertainment (IFE) screen.

"You langsung tak tidur ke, Lia?" soal Tasha ketika mereka hendak melangkah keluar dari pesawat. Sempat juga mereka menghadiahkan senyuman buat pramugari yang bertugas ketika wanita itu mengucapkan selamat datang ke Auckland.

"I tak dapat tidur."

"Sampai hotel nanti, you tidurlah sekejap. Sebelum jalan-jalan. Esok kita dah start shooting."

Aulia diam tanpa menjawab bicara Tasha itu. Di dalam kepalanya sudah merencanakan sesuatu sebaik saja mereka tiba di hotel nanti.

Selesai saja urusan pasport dan kastam, mereka terus menuju ke balai ketibaan dan kelihatan pemandu bas sudah pun sedia menanti mereka bersama bendera kecil yang berlogokan The Toque Blanche.

"Haere mai!" sapa pemandu bas itu ramah kepada krew-krew The Toque Blanche.

"Dia cakap apa sebenarnya tu? Dia cakap Thai, eh?" bisik Tasha dekat dengan telinga Aulia ketika pemandu bas itu berbicara dengan Desmond selaku pengarah dan penerbit The Toque Blanche.

Soalan polos daripada Tasha itu hampir membuatkan Aulia terlepas tawa tetapi cepat-cepat tangannya naik menutup mulut.

"Kita kat Auckland, cik kak oi! Kenapa pula dia nak cakap Thai? Lainlah kalau kita orang Thailand."

Berkerut dahi Tasha.

"Dah tu dia cakap apa sebenarnya?"

"Dia cakap selamat datang dalam bahasa Maori."

Terangguk-angguk wanita itu.

"Itulah... Tak study apa-apa sebelum ke sini," perli Aulia dan Tasha menyambutnya dengan mencebik.

"Cakap Inggeris aje dah cukup," balas Tasha cuba mempertahankan diri sehingga mengundang senyuman di bibir Aulia.

"Siapa-siapa yang nak beli line telefon, follow me." Suara Desmond kedengaran bergema.

Serentak Aulia dan Tasha memandang ke arah Desmond dan kembali memandang sesama sendiri dengan mata yang terbuka besar. Memang itu yang mereka nantikan untuk membeli line telefon agar mereka senang menghubungi keluarga yang nun jauh di Malaysia.

Selesai membeli line telefon, mereka terus menuju ke bas. Kesemua bagasi dan peralatan untuk shooting dimasukkan ke dalam tempat letak bagasi dan krew wanita disuruh untuk naik ke dalam bas terlebih dahulu.

"Ah, tak sabar rasanya nak menerokai bumi Auckland. Cuaca pun best aje," luah Tasha yang kelihatan teruja itu. Apatah lagi bila melihat dedaunan yang mulai luruh dari dahannya. Maklumlah, sudah musim luruh.

Aulia turut mengangguk. Dia juga merasakan yang sama walaupun sebenarnya dia lebih berdebar berbanding teruja.

Sepanjang perjalanan dari Auckland Airport ke Scenic Hotel, sepanjang itu juga bibir Tasha tak henti-henti dari berbicara. Kat sana cantik, kat situ cantik. Apabila ternampak papan tanda arah untuk menuju ke Keith Hay Park, terus tangannya menyiku Aulia yang baru nak melelapkan mata itu.

"Apa?" soal Aulia sedikit terkejut. Baru kini dia rasa mengantuk.

"Keith Hay Park tu I dengar cantik. Best kalau kita picnic kat sana."

Aulia buat muka. Hanya itu yang ingin Tasha beritahu kepadanya? Sehingga sanggup mengejutkannya daripada terlena.

"You ajaklah Desmond ke sana."

"Alah... Kita semualah pergi sebelum balik nanti. Ni musim terakhir kita tau? Dah tak ada dah musim akan datang melainkan ada permintaan lagi."

"I bila-bila masa boleh pergi. Habis shooting nanti, I dah bebas."

Tasha mencebik.

"I menyesal tak ambil cuti. Kalau tak, I stay lama kat sini juga."

"You orang kuat Desmond, mana dia nak lepaskan you cuti sesuka hati." Sengaja Aulia kata begitu, sekadar hendak mengusik Tasha walaupun memang itulah hakikatnya.

"I tak peduli, lepas ni I claim cuti kat dia."

Aulia hanya mampu ketawa. Itulah yang sering Tasha katakan kepadanya tetapi kesudahannya, wanita itu yang mengalah apabila Desmond meminta untuk Tasha bekerja.

"Oh, ya... Did you know yang Desmond nak you jadi pengacara untuk next programme?"

Terangkat kening Aulia seraya kepala menggeleng tanda tidak tahu.

"Mungkin lepas you balik dari bercuti, Desmond bincang dengan you. I pun bersetuju you yang jadi pengacara tapi kalau you tak sanggup, kami tak boleh paksa you."

"Masih berkaitan dengan makanan atau masakan ke?"

"Of course! Look at him!"

Spontan mata Aulia memandang ke hadapan, melihat Desmond yang ketika itu sedang menikmati chocolate bar. Dan kerana itu, tawa Aulia meletus tanpa dapat ditahan.

"He likes all kind of food. Tolak batu dengan kayu aje dia tak makan," ujar Tasha lagi.

"Adoi... Sakit perut gelak. Tapi dia okey, pandai jaga badan walaupun dia suka makan."

"Itulah... Tapi PA dia ni yang tak pandai jaga badan. Dia kurus, tapi kita yang gemuk disebabkan dia. So, you macam mana? Ni kiranya I datang merisiklah."

Aulia mengecilkan mata memandang Tasha, tambahan lagi wanita itu tersenyum-senyum memandangnya.

"I kena tahu program tu untuk apa, memerlukan komitmen yang macam mana? Then, baru I boleh decide. As you know, I masih terikat dengan Sinar Pagi."

Wanita itu menganggukkan kepala tanda mengerti.

"Sekarang ni masih dalam proses perbincangan, bila dah confirm nanti, we'll discuss with you later."

"Sure!"

Ketika Aulia mengalihkan pandangan ke luar tingkap, dia ternampak papan tanda arah yang bertulis Karanghape Road ketika bas mereka berhenti di lampu trafik. Dada yang sedikit tenang tadi kembali berkocak kencang. Dia rasa dirinya sudah semakin dekat dengan Eiman.

Dan ketika lampu trafik bertukar hijau, panjang lehernya memandang ke kiri dan seterusnya ke kanan sebelum bas mereka memasuki kawasan Queen Street.

"You kenapa ni?" soal Tasha sedikit hairan.

"Hah? Tak adalah," dalih Aulia. Badan yang tadi menegak kini disandarkan semula. Cuba berlagak biasa seperti tiada apa yang berlaku.

"Eh, tu bukan Myers Park ke?" Cepat-cepat Aulia menukar bicaranya seraya menunjuk ke arah tingkap.

"Ya ke?" Tasha turut memandang ke arah jari Aulia yang naik menunjuk ke tingkap itu.

"Haah. I nampak University of Otago tadi, it should be close to Myers Park."

"You know what? Mulanya I cadangkan untuk kita tinggal kat Kiwi International Hotel tu tapi Desmond yang tak nak. Yang tu I tahu dekat sangat dah dengan Myers Park. Tapi dah Desmond nak Scenic Hotel, layankan aje. Dah dia yang bayar."

Aulia menyambut kata-kata Tasha itu dengan senyuman. Bukan apa, dia lega apabila Tasha tidak mengungkit kembali tentang perbuatannya tadi sebaliknya wanita itu bercerita tentang Myers Park pula.

Setiba mereka di Scenic Hotel, Desmond memberikan mereka apartmen yang menghadap Auckland Town Hall. Bukan main teruja Tasha. Masuk saja ke dalam apartmen, laju wanita itu menuju ke beranda. Aulia hanya mampu tergeleng-geleng melihat kerenah Tasha itu. Manakala dia pula terus menuju ke bilik bersama kedua-dua bagasinya.

Mata melirik jam di tangan, baru dia perasan, jamnya menunjukkan waktu Malaysia. Seketika kemudian, telefon bimbit diambil dari dalam beg. Mata terus memandang jam yang sudah pun mengikut waktu tempatan di sana.

"Dua lima minit petang," ujarnya perlahan.

Sempat agaknya kalau dia mandi terlebih dahulu dan bersolat sebelum menjejakkan kaki ke kafe Eiman. Ya, dia perlu tenangkan diri sebelum berdepan dengan lelaki itu. Hatinya perlu kuat andai ada sesuatu yang tak diingini berlaku.

Walaupun jauh dalam sudut hatinya mengharapkan sesuatu yang baik, sesuatu yang membuatkan hubungan mereka kembali terjalin erat seperti tiga tahun yang dulu dan mengharapkan agar Eiman pulang ke Malaysia bersamanya.

Tetapi... Adakah itu yang akan terjadi nanti?

Persoalan itu mula menghantuinya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro