Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 11

"TAK kerja hari ni, Lia?" soal Puan Dahlia ketika melihat Aulia santai berbaring di atas sofa ruang tamu itu. Walaupun si anak selalu pulang ke rumah setiap kali hujung minggu, tetapi adakalanya juga Aulia keluar bekerja.

"Tak. Lagipun malas nak keluar." Bibir menjawab pertanyaan Puan Dahlia itu tetapi mata masih fokus memandang rancangan yang bersiaran di kaca TV.

"Abah mana, mak?" Apabila tersedar kelibat Encik Ibrahim tak kelihatan dari tadi, baru Aulia mendongak memandang si ibu.

"Kawan abah kamu ajak minum," beritahu orang tua itu seraya duduk di hadapan Aulia.

"Mak tak ikut pula?"

"Hesy... Malaslah mak nak ikut. Sikit-sikit cakap pasal ekonomi negara. Sakit kepala mak ni dengar."

Aulia tertawa kecil. Sudah biasa dengan perangai si ayah. Di mana-mana, walaupun di rumah sekalipun, pasti bicara Encik Ibrahim berkisarkan tentang ekonomi. Bukan saja ekonomi negara malah ekonomi dunia. Maklumlah, pensyarah dalam bidang ekonomi, sampai ke rumah atau luar universiti terbawa-bawa.

"Tawaran yang Lia bagi tahu hari tu, dah terima ke belum?" soal Puan Dahlia secara tiba-tiba.

Aulia gigit bibir. Wajah si ibu dilirik sekilas.

"Belum lagi. Lagipun mereka masih dalam perbincangan. Penaja dah ada cuma masih memikirkan bila waktu sesuai untuk melancarkan rancangan tu."

"Lia nak terima atau tak?"

Terdiam Aulia seketika. Memandangkan Brews in Town hanya tinggal beberapa episod saja lagi untuk musim kali ini, membuatkan dia terfikir untuk menerima tawaran rancangan The Toque Blanche itu.

"Mungkin. Lagipun, ni peluang besar untuk Lia lebarkan sayap."

"Mak dengan abah memang tak ada halangan. Lagipun, Lia suka dengan pekerjaan ni. Dhani pun setuju. Jadi, terserah pada Lia untuk terima atau tak."

Lebar senyuman di bibir Aulia. Senang hatinya apabila pekerjaannya mendapat sokongan yang kuat daripada keluarga.

"Eiman pula kata apa?"

Pudar senyuman di bibir Aulia saat nama Eiman disebut oleh orang tua itu. Selepas Eiman bertanya khabar tempoh hari, lelaki itu kembali menghilangkan diri. Tak semena-mena, dia mengeluh dalam diam.

Dia cuba untuk memahami Eiman tetapi sikap lelaki itu membuatkan dia tertanya-tanya apa sebenarnya masalah yang berlaku di Auckland.

"Lia lupa nak bagi tahu mak yang Eiman terpaksa stay kat Auckland selama tiga tahun."

"Hah?" Terkejut Puan Dahlia. Wajah Aulia dipandang tanpa berkelip.

"Ada masalah keluarga kat sana." Tanpa dipinta, Aulia memberitahu sebabnya.

"Takkanlah sampai tiga tahun?" Wajah orang tua itu berkerut.

Aulia hanya menjongket bahu. Dia sendiri pernah mempertikaikan perkara itu tetapi jawapan yang dia perolehi daripada Benjamin juga sama seperti yang Aidit beritahu padanya.

"Hubungan kamu macam mana?"

"Masih sama. Lia pernah tanya kenapa Eiman terpaksa stay lama kat sana sampai macam tu sekali tapi abang Eiman sendiri kata ada masalah keluarga. Jadi, Lia percayakan mereka. Lia tak kesah menunggu, apa yang penting, Eiman setia dan jujur dengan Lia."

"Tiga tahun tu lama, Lia," keluh Puan Dahlia.

Andai benar Eiman pulang ke Malaysia setelah tiga tahun, usia Aulia juga sudah menginjak ke 29 tahun.

"Tak apalah, mak. Lagipun sekarang ni Lia tak bersedia pun nak kahwin." Malas Aulia hendak memanjangkan cerita tentang Eiman sedangkan dia tahu apa yang ada dalam fikiran Puan Dahlia.

"Mak harap Eiman berpegang pada janji. Jangan nanti bila Lia dah setia menunggu, dia pula yang buat hal di sana."

Bibir Aulia hanya mampu tersenyum kelat. Dia juga mengharapkan perkara yang sama. Bahkan, dia juga tidak mahu penantiannya ini menjadi sia-sia.

SETAHUN demi setahun, kehidupan Aulia semakin berubah. Dirinya juga semakin dikenali setelah dia menerima tawaran untuk mengacara The Toque Blanche. Bahkan, dia juga membuat perubahan untuk terus berhijab ketika pertama kali mengacarakan rancangan itu.

Alhamdulillah, rezekinya semakin bertambah. Malah tawaran untuk jadi pengacara dan model iklan juga tak putus-putus. Sungguh, dia bersyukur dengan kehidupannya ketika ini. Bukan mudah untuk dia jadi seperti sekarang. Banyak yang perlu dia korbankan. Tenaga dan juga masa.

Apa yang dia lakukan ini bukan semata-mata untuk meraih populariti tetapi dia mahu dirinya dikenali disebabkan hasil kerjanya. Dan niat untuk terus berhijab juga bukan sebab siapa-siapa tetapi dia rasa, sudah tiba masanya untuk melaksanakan apa yang dituntut. Berhijab bukanlah satu pilihan tetapi ia merupakan satu kewajipan kepada wanita yang beragama Islam sepertinya.

Jika bercakap tentang hubungan cintanya bersama Eiman, dari tahun ke tahun, ia semakin hambar. Adakalanya, mereka tak berhubung sehingga berbulan-bulan lamanya. Jauh sekali hendak berpanggilan video.

Terus-terang dia katakan, dia hampir berputus asa dengan hubungan mereka itu. Malah, apabila orang tuanya bertanya tentang Eiman pun, dia jawab ala kadar sahaja. Tidak ada hati hendak bercerita panjang walaupun sebenarnya, Puan Dahlia seakan-akan dapat menghidu kepincangan hubungan mereka itu.

Dan hari ini, genap dua tahun sebelas bulan Eiman berada di Auckland. Hanya tinggal sebulan saja lagi untuk mencapai ke tiga tahun, seperti yang Eiman janjikan. Tetapi sebelum masa itu tiba, mungkin dia akan terbang ke Auckland terlebih dahulu kerana Auckland merupakan destinasi terakhir untuk rancangan The Toque Blanche setelah tiga musim bersiaran.

Sepanjang dua tahun lebih ini, tipulah kalau dia kata tak ada siapa yang cuba mendekati tetapi kerana hatinya sudah tertulis nama Eiman Benjamin, dia seolah-olah menutup pintu hatinya untuk orang lain. Malah, dia juga seorang yang berpegang pada janji untuk setia menanti sehingga Eiman pulang ke Malaysia seperti yang dikatakan dulu.

Dan sepanjang tempoh 'berpisah' dengan Eiman, ada satu ketika, dia rasa dirinya diperhatikan. Bukan sebab dirinya dikenali tetapi dia rasa dirinya seolah-olah diperhatikan secara sembunyi. Saat dia tersedar dan cuba mencari gerangan yang memerhatikan itu namun tiada siapa yang kelihatan mencurigakan.

Pelik!

Adakah itu hanya sekadar perasaannya sahaja?

"Lia, betul you boleh deal dengan owner Brews & Bites Café tu?" soal Tasha yang menyebabkan bahunya sedikit terangkat.

"Sorry... I buat you terkejut ke?" Jemari Tasha mengusap lembut lengan Aulia.

Laju kepala Aulia menggeleng.

"Tak adalah. Kepala duk fikir tentang lain tadi. Itu yang bila you tanya, rasa macam blur dan terkejut."

Wanita itu tersenyum.

"Pasal Brews & Bites Café tu... You yakin boleh handle seorang diri?" Pertanyaan itu diulangi sekali lagi walaupun sebenarnya mereka baru saja habis berbincang tentang persiapan terakhir untuk ke Auckland.

"Ya, insya-Allah. I kenal owner Brews & Bites Café tu. Macam yang I bagi tahu hari tu, branch mereka ada kat sini juga. Dulu untuk Brews in Town, I pernah interview mereka," jelas Aulia.

Memandangkan orang-orang yang ada di dalam team The Toque Blanche ni berlainan daripada team Brews in Town, jadi mereka kurang pasti tentang perkara itu.

Tasha antara orang yang dipertanggungjawabkan untuk menghubungi restoran atau kafe yang mereka ingin kunjungi tetapi untuk Brews & Bites Café, dia menawarkan diri untuk berbincang sendiri dengan kafe tersebut meskipun hubungannya dengan Eiman ketika ini tak seperti pasangan yang lain.

"So, untuk Brews & Bites ni, I tak masuk campurlah, ya? Sebab hampir kesemua restoran dan kafe yang kita pilih, bersetuju untuk ditemu bual."

Aulia mengangguk penuh yakin.

Lama Tasha memandang Aulia seraya bibir tersungging penuh makna.

"Ada apa-apa ke you dengan owner Brews & Bites Café tu?"

"Hesy... Kalau kat Auckland tak silap I, pemiliknya dah tua. Walaupun yang uruskan kafe tu dah tiga generasi." Aulia cuba menyembunyikan perkara sebenar. Kisah cintanya bersama Eiman memang tak diketahui oleh orang ramai. Hanya keluarga dan kawan terdekat saja yang tahu.

"Tapi kan... As far as I know, Brews & Bites Café kat sini yang jaga orang muda. I mean... Seusia kita inilah. Like early thirties."

"Seusia you! I belum lagi tiga puluh."

Tasha jegilkan mata.

"Next year, darling... Next year. Merasalah nanti umur tiga puluh."

Aulia menjeling wanita itu tetapi akhirnya, bibirnya turut tersenyum. Usia yang sudah meningkat dewasa dan kerana usia itulah juga dirinya kerap kali ditanya tentang perkahwinan.

"Yang tiba-tiba cakap pasal umur ni kenapa?"

"You are the one who started it first."

Terlepas tawa di bibir Aulia.

"But don't worry, Lia... Bila dah umur tiga puluh nanti lagi best," sambung Tasha lagi.

Tergeleng-geleng kepala Aulia seraya melangkah ke meja kerjanya. Dia menoleh ke belakang apabila terasa Tasha turut mengekori.

"Haaa, yang ni kenapa?"

"Dah waktu lunch, kan? Jomlah lunch."

"Lunch kat mana?" soal Aulia terus. Di dalam team The Toque Blanche, Tasha merupakan kawan yang paling dia rapat. Wanita itu menjaga dirinya dengan baik sekali apatah lagi kalau mereka berada di luar negara.

"Brews & Bites Café." Tersenyum-senyum Tasha memberitahu.

"Hesy, tak nak! Baru semalam makan kat situ," dalih Aulia. Cuba mengelak dari makan tengah hari di Brews & Bites Café. Semenjak Eiman membuat keputusan untuk berada di Auckland selama tiga tahun, dia sudah tidak menjejakkan kaki ke Brews & Bites Café.

"Laaa... Makan kat sana, tak ajak pun. I dengar, cef yang bekerja kat Brews & Bites Café tu, boleh tahan orangnya."

Aulia menjongket bahu. Buat-buat tak tahu.

"Entah. Rasa macam biasa aje."

"Yang dulu you interview tu, tak handsome ke?"

"Bolehlah. Dah memang ayah dia orang Auckland, so faham-fahamlah muka macam mana."

"Nak tengok! Video yang you interview dia tu masih ada tak?"

Semakin berkerut dahi Aulia. Nampaknya, Tasha begitu berminat hendak tahu wajah-wajah anak Encik Jayden.

"Video tu dah lama sangat. Nak dekat empat tahun dah. Entah ada ke tak kat dalam YouTube."

"Nanti I sekodeng. Yang mereka tu episod berapa?"

"Ya Allah, Tasha... Kenapa gigih sangat nak tahu ni?"

Lebar senyuman wanita itu.

"Sharon kata adik-beradik Brown tu handsome siot. Dahlah dua-dua still single. Itu yang I curious tu."

"Macam mana dia tahu?" Suatu ketika dulu, mungkin Eiman dan Benjamin dikenali ramai ketika berada di sini tetapi itu dulu. Ketika mereka berada di Malaysia.

"Kan dia baru balik dari Auckland. Dia kata, nak dekat hari-hari dia makan kat kafe mereka tu since dia dah tahu siapa cefnya."

Aulia telan air liur. Tiba-tiba rasa rindunya pada Eiman membuak-buak. Sihatkah lelaki itu? Masih ingatkah Eiman pada janji yang lelaki itu ucapkan padanya?

"Minggu depan dapatlah jumpa mereka. Tapi sebelum tu, I kena bincang dengan owner kafe tu dulu."

"I temankan nanti."

"Tak apalah. I boleh handle sendiri," tolak Aulia. Kedatangannya ke Brews & Bites Café Auckland nanti bukan saja untuk berbincang tetapi ingin melihat sendiri apa yang menyebabkan Eiman terpaksa berada lama di situ.

"Something is fishy here. Ni ke sebab kenapa you nak stay lama kat situ selepas kita habis shooting?" Mengecil mata Tasha memandang wajah Aulia.

Ini kali pertama Aulia ingin berbincang sendiri dengan pemilik kafe dan keputusan wanita itu untuk bercuti lama di Auckland membuatkan lagi dia rasa curiga. Pasti Aulia mengenali pemilik kafe tersebut.

"Hesy... Tak ada ikan-ikanlah kat sini. Lagipun, sepanjang bekerja untuk The Toque Blanche ni, ni kali pertama I cuti panjang. Lagipun, ni musim terakhir TTB. I pun dah dapat approval dari team Sinar Pagi, so why not kalau I teruskan untuk cuti lama kat Auckland tu? Dah alang-alang ke sana."

"Tapi lepas habis shooting, kami terus balik. You aje yang tinggal kat situ."

"Tak kesah. I dah biasa."

"Betul ni? Atau you ada family yang tinggal kat Auckland tu?"

"Something like that. Sebab tu I tak kesah sangat."

"Patutlah..." Riak wajah Tasha bertukar lega. Pada mulanya dia risau jika benar Aulia hendak bercuti di Auckland seorang diri walaupun sebenarnya selepas habis penggambaran nanti, Aulia bukan lagi di bawah tanggungjawab team The Toque Blanche.

Aulia mengeluh dalam diam. Susahnya menyembunyikan perkara sebenar pada orang yang dia mulai rapat. Tetapi untuk berterus-terang, dia rasa belum tiba masanya lagi.

Kerana baginya, ada sesuatu yang pelik berlaku. Sesuatu yang membuatkan dia tertanya-tanya. Bahkan, walaupun jarang berhubung dengan Eiman, dia rasa cara Eiman membalas mesejnya seolah-olah Eiman sudah berubah.

Sikit masa lagi, dia akan tahu perkara sebenar yang terjadi di sana. Dan harapannya cuma satu, tiada apa yang berlaku melainkan yang baik-baik saja.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro