Bab 10
KALI ini penggambaran Brews in Town berlangsung di Melaka. Negeri yang dikenali sebagai Melaka Negeri Bersejarah atau Negeri Hang Tuah sudah lama tak dikunjungi.
Kali terakhir Aulia ke sana, tiga tahun yang lalu. Sampai saja ke Bandaraya Melaka, matanya tak lepas dari memandang bangunan-bangunan yang ada di situ. Teruja sehingga membuatkan dia terlupa dengan apa yang terjadi pada Isnin lepas.
"Kita terus ke Qasreena Cafe, ya? Lunch pun kat sana aje terus." Suara Encik Kamal selaku pengarah Brews in Town itu kedengaran bergema.
Laju krew yang ada di dalam van menyahut. Mungkin sudah terasa lapar memandangkan perjalanan dari tempat mereka berkumpul tadi sehinggalah sampai ke Bandaraya Melaka memakan masa dua jam lamanya.
Aulia tersenyum. Perutnya masih belum terasa lapar tetapi kalau sudah nak ke Qasreena Café tu, maknanya tugasannya juga bermula.
Telefon bimbit yang sedari tadi berada di tangan dibelek. Dia masih belum memberikan jawapan kepada Eiman untuk terus menunggu atau sebaliknya. Walaupun hakikatnya, dia sudah mempunyai jawapan untuk itu.
Cuma dia mengharapkan agar Eiman lebih berusaha untuk memujuknya namun hampa, tiada satu pun pesanan yang dititipkan oleh lelaki itu.
Aulia mengeluh berat sehingga pembantu pengarah yang duduk di sebelahnya menoleh ke arahnya.
"Beratnya keluhan," usik wanita itu.
Terukir bibir Aulia dengan senyuman.
"Tak adalah."
"You tak setuju kita bermalam kat sini?" teka Cik Sarah.
Segera kepala Aulia menggeleng.
"Hesy... Tak adalah. Dah lama I tak ke sini, kalau bermalam kat sini lagi best."
"Kalau diikutkan pelan asal, memang sehari aje kita kat sini. Tapi memandangkan Calanthe Art tak buka hari ni, terpaksalah kita shooting lagi esok. Nak tukar ke kafe lain macam ralat pula sebab Calanthe Art ni one of the best café kat sini."
Aulia mengangguk. Dia tak kesah sebenarnya, apatah lagi kebetulan dia memang tak bertugas esok untuk photoshoot atau iklan sekalipun.
"Habis aje shooting kat Calanthe Art esok, kita balik," beritahu Cik Sarah.
Ketika Aulia hendak bersuara, tiba-tiba bunyi WhatsApp kedengaran.
"Sekejap ya, Cik Sarah. Mungkin parents I kut."
"Go on. Don't worry about me."
Aulia tersenyum nipis lalu menekan notifikasi yang kelihatan di skrin kecil itu. Saat melihat nama Eiman yang tertera, dadanya terus berdegup kencang.
Dua hari lelaki itu mendiamkan diri dan dia pula, memang tidak mahu memulakan langkah terlebih dahulu. Bagi Aulia, yang membuat keputusan adalah Eiman. Seharusnya Eiman yang memulakan langkah untuk memperbaiki hubungan mereka ini.
Sihat? - Eiman
Lama Aulia memandang mesej itu sebelum membalasnya.
Alhamdulillah, sihat. - Aulia
Sebaik saja jawapan itu dihantar, Aulia melihat Eiman sedang 'typing'. Seolah-olah ingin meneruskan perbualan mereka.
That's good. Today you ada shooting Brews in Town, kan? - Eiman
Yes. Kenapa? - Aulia
Kat mana? - Eiman
Melaka. - Aulia
Please, take care of yourself. Itu saja yang I pinta. - Eiman
Bibir diketap. Membaca kata-kata Eiman itu membuatkan hatinya tersentuh. Mata dipejam seketika. Cuba menghalang air mata daripada mengalir. Seketika kemudian, setelah kelopak mata dibuka, mesej itu dibaca lagi sebelum jarinya kembali menaip.
Apa sebenarnya hubungan kita sekarang ni? - Aulia
Bagi Aulia, dia perlu tahu perasaan Eiman terhadapnya ketika ini. Masih sayangkah lelaki itu terhadapnya atau perasaan itu sudah tiada dan menganggapnya hanya sekadar seorang teman?
I masih sayangkan you. Dan I menganggap yang hubungan kita masih sama seperti sebelum ni. - Eiman
Tell me honestly, berapa lama you perlu stay kat sana? - Aulia
Tiga tahun. - Eiman
Hampir ternganga Aulia dibuatnya. Tiga tahun? Mampukah hubungan mereka bertahan sehingga ke hari itu?
Teruk sangat ke masalah yang ada kat sana sampai you kena stay lama macam tu? - Aulia
Hanya family kami aje yang tahu betapa teruknya. - Eiman
Puas Aulia berfikir, apa sebenarnya masalah yang dihadapi oleh keluarga Eiman tetapi sehingga ke hari ini, dia tak menemui jawapannya.
Tak nak share dengan I? - Aulia
It's complicated. - Eiman
Aulia mengeluh dalam diam. Nampaknya, Eiman tidak mahu berkongsi masalah sebenar yang dihadapi oleh keluarga lelaki itu padanya.
Fine! I'll be waiting for you. Dan I mengharapkan kejujuran daripada you. Kalau you dah tak sayangkan I, let me know. Jangan buat I tertunggu-tunggu. - Aulia
Akhirnya, keputusan dibuat. Memang tak dinafikan, dia masih sayangkan Eiman. Cuma apabila lelaki itu lebih suka mendiamkan diri dan tak berterus-terang kepadanya, membuatkan dia berasa kecewa.
Untuk apa dia jadi kekasih Eiman andai lelaki itu tidak mahu berkongsi suka dan duka bersamanya?
I will, insya-Allah. Thank you for trusting me, sayang. - Eiman
Terbit senyuman di bibir Aulia. Sungguh, dia rindukan Eiman. Sudah lama mereka tak bersua muka. Janji Eiman untuk mengenalkan dia kepada orang tua lelaki itu juga tak kesampaian. Biarlah... Mungkin Eiman terlupa.
Apatah lagi ketika ini, keluarga lelaki itu menghadapi masalah. Tak mengapa, masih panjang lagi perjalanan hubungan mereka. Satu hari nanti, dia pasti akan ketemu juga dengan orang tua Eiman.
I dah sampai ke Qasreena Cafe. Nanti kita borak lagi or maybe Skype? I miss you. - Aulia
Lama Aulia menanti jawapan daripada Eiman. Sampailah mereka keluar dari van itu, Eiman hanya kelihatan 'online'. Ketika dia hendak keluar dari aplikasi WhatsApp itu, barulah nama Eiman kembali kelihatan di ruang chat.
Insya-Allah. I miss you too. - Eiman
Pendek saja jawapan Eiman itu tetapi sudah cukup mengundang senyuman di bibir Aulia. Sebagai kekasih, dia harus menerima hubungan jarak jauh sebegini. Apa yang penting adalah kesetiaan dan kejujuran.
Andai kedua-dua itu dipraktikkan, insya-Allah, hubungan mereka akan kekal sehingga ke akhirnya meskipun terpaksa menunggu selama tiga tahun.
I miss you too?
Dia dah gila agaknya! Kenapa dia seolah-olah memberi harapan kepada Aulia? Kenapa dia tak biarkan saja wanita itu ternanti-nanti tanpa dia ikut campur dalam hal ini?
Cukuplah dengan apa yang dia lakukan tempoh hari. Menyamar sebagai Eiman bukanlah satu keseronokan, malah memberikan tekanan yang bukan sedikit.
Nafas dihembus berat. Badan bersandar di dinding luar kafe manakala mata memandang manusia yang lalu-lalang di sekitar Karangahape Road itu. Hari ini, kafe dibuka seperti biasa.
Dan hari ini juga, dia dipertanggungjawabkan untuk menjaga kafe kerana ketika ini Puan Elena, Encik Jayden dan Ermina berada di hospital untuk mengetahui kondisi terkini tentang Eiman.
Walaupun kebelakangan ini, keadaan Eiman bertambah baik namun adakalanya mengalami perubahan sikap yang mendadak. Tetapi seperti yang dikatakan oleh doktor kepada mereka sekeluarga, perubahan sikap itu kerana Eiman begitu mencuba untuk mengingatkan balik kenangan-kenangan yang terhapus dari kotak memori lelaki itu.
"You look old, bro." Itu kata Eiman setelah lelaki itu mengingati siapa dia beberapa hari yang lalu.
Benjamin hanya mampu tersenyum. Di ingatan Eiman, sudah pasti dia kelihatan muda apatah lagi sepuluh tahun dulunya dia tidak berjambang seperti sekarang ini.
"Aku betul-betul tak kenal Ermina. She looks so matured now."
"She's twenty four now, Man. Dah graduate pun."
Eiman terdiam dan saat lelaki itu memejamkan mata, cepat tangan Benjamin menyentuh bahu si adik.
"Jangan paksa, Man. Perlahan-lahan. Kami akan support kau dari belakang."
Selain mendapatkan khidmat kaunseling untuk Eiman, mereka juga akan setia berada di belakang lelaki itu agar Eiman tahu, walaupun dalam keadaan begitu, keluarga akan sentiasa ada di sisi.
Ingatan Benjamin kembali kepada Aulia. Saat wanita itu berkata hendak berSkype dengannya, dia memang tak mampu menjanjikan apa-apa. Malah, dia terjeda seketika sebelum membalas mesej Aulia tadi.
Bukan apa, andai dia bersetuju, sudah pasti segalanya terbongkar. Sedangkan wajahnya tidak seiras pun dengan Eiman, jauh sekali nak kata serupa.
Mungkin sudah tiba masanya untuk dia kembali bersikap dingin. Menjawab mesej Aulia jika perlu sahaja atau terpaksa mengabaikannya demi kebaikan mereka semua.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro