Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

Prolog

           Brews & Bites Café, Karangahape Road, Auckland

DIA pandang senyuman itu. Ceria dan nampak bahagia. Bukankah senyuman itu yang selalu dihadiahkan kepadanya suatu ketika dahulu? Kenapa senyuman itu diberikan kepada orang lain?

Saat jemari si dia ingin menyentuh rambut si cantik manis yang terjuntai, dia terus kalihkan wajah. Tidak sanggup melihat adegan itu sepertimana yang selalu lelaki itu lakukan padanya dulu.

Apa sudah terjadi kepada Eiman Benjamin? Kenapa janji manis yang dimeterai dulu, lebur begitu saja? Atau inikah penyebab lelaki itu hilang tanpa khabar berita?

Tiga tahun dia menunggu.

Tiga tahun dia merindu.

Rupa-rupanya ini yang dia terima setelah kesetiaannya dipertaruhkan selama ini. Ah, naifnya dia. Terlalu percaya. Terlalu setia.

Melihat wajah itu gembira dengan kehadiran si cantik manis, hati yang selama ini sabar menanti tiba-tiba berubah rasa. Ada sakit yang mula menyengat dalam hati dan itu menyebabkan keberanian menyapa dirinya.

Langkah diatur untuk mendekati pasangan tersebut. Suasana riuh di kafe itu tak dihiraukan lagi. Dunianya ketika ini hanya ada dia, Eiman dan juga wanita yang berambut panjang paras bahu itu.

Saat sepasang mata Eiman memandang ke arahnya, tiada sebarang riak yang terpamer pada wajah lelaki itu. Sesaat kemudian, Eiman kembali memandang kekasih hati yang berada di sisi. Kaki Aulia terhenti dari melangkah. Dahinya berkerut seribu.

Kenapa Eiman memandangnya sebegitu seolah-olah dirinya bukan siapa-siapa kepada lelaki itu? Seolah-olah Eiman tidak mengenal dirinya ini orang asing?

Sekali lagi dia cuba gagahkan diri untuk melangkah. Tika bibir ingin menyeru nama Eiman, lengannya terasa digenggam sekaligus membuatkan kepalanya ikut sama memandang si empunya tangan itu.

"Eidlan?" serunya terkejut.

"Kau buat apa kat sini?" soal Eidlan Benjamin.

Apakah maksud soalan itu? Adakah dia tak layak berada di situ? Sedangkan dia berhak mendengar penjelasan daripada Eiman.

"Baliklah... This is not your place."

"What?"

"Go home. Jangan datang sini lagi."

Aulia terpinga. Tak sangka dirinya 'dihalau' tanpa mendengar penjelasan daripada Eiman.

"Saya nak jumpa Eiman." Aulia bertegas lagi sambil menikam mata Eidlan. Biar Eidlan tu tahu yang dia tak akan berganjak sebelum dapat bersemuka dengan Eiman.

"Kau dengan dia dah tak ada apa-apa hubungan lagi. Baliklah sebelum aku halau kau keluar."

Terkejut dengan kata-kata Benjamin itu, Aulia memalingkan wajahnya. Air mata yang bergenang cuba ditahan daripada terus mengalir ke pipi. Sampainya hati abang sulung Eiman itu. Kenapa dia diperlakukan sebegini rupa?

Salah siapakah sebenarnya ini? Andai dia puncanya, dia perlu tahu apa kesalahannya. Tetapi kalau Eiman yang menjadi punca, dia ingin tahu apa yang menyebabkan lelaki itu berubah hati? Bukannya dilayan sebegini pada saat dia memerlukan jawapan kepada segala persoalan yang menghantui mindanya siang dan malam.

Bab 1

Brews & Bites Café, Bukit Damansara

AULIA DELISYA menolak pintu Brews & Bites Café dan mata terus terpandang Eiman yang duduk bersandar dengan mata tertutup. Mungkin lelaki itu letih. Dia tersenyum seraya melangkah mendekati.

"Penat, ya?" soalnya setelah duduk di hadapan Eiman.

Perlahan-lahan kelopak mata Eiman terbuka. Tika mata menangkap seraut wajah Aulia, secara tak langsung, bibirnya tersenyum.

"Hari ni ramai yang datang kafe," seloroh Eiman, sambil memicit pelipisnya.

"Biasalah... Tengah gaji, kan?"

Eiman mengangguk lemah.

"You dah makan?"

Aulia menggeleng kepala perlahan. Terus Eiman bangkit berdiri pabila melihat Aulia menggeleng sebegitu.

"You nak makan apa? I will cook for you."

Laju tangan Aulia mencapai lengan Eiman. Cuba menegah lelaki yang sah-sah kepenatan itu.

"Tak apalah. You rehat. Atau kita makan kat tempat lain?" Aulia menolak lembut. Dia kasihan melihat Eiman yang tampak sangat penat.

"Kat sini tak sedap, ya? Atau I masak tak sedap?"

"Hesy... Bukan tak sedaplah!"

Lengan lelaki itu ditampar lembut. Dia tahu Eiman sengaja mengusiknya sebegitu. Makanan yang ada di Brews & Bites Café itu memang sedap-sedap belaka. Cuma dia tak nak susahkan Eiman. Dia tahu waktu Eiman bekerja sudah pun tamat. Diganti pula dengan Cef Aidit yang merangkap kawan baik Eiman sendiri.

"Just tell me, you nak makan apa? I boleh masakkan untuk you even masakan tu tak ada dalam menu."

"Kata tadi penat?"

"I tak kata pun yang I penat," jawab Eiman.

Aulia gigit bibir. Kadang dia malu nak datang ke kafe lelaki itu. Setiap kali ke situ, Eiman akan dahulukan dia dari yang lain. Sudahlah setiap kali makan di situ, dia menikmatinya secara percuma.

"Yang simple-simple aje. You tahu kan taste I macam mana?" Akhirnya dia jawab juga pertanyaan Eiman tadi.

"Rice, noodles or pasta?"

"Fine. If you insist."

"I insist, sayang. Cakaplah?" tanya Eiman lagi, benar-benar bersungguh.

Aulia mengeluh. Kalau dah macam tu...

"Rice," jawab Aulia dengan rasa serba salah sedikit. Dia tahu kafe Eiman itu lebih ke arah sajian masakan Barat berbanding kampung. Tekaknya memang tekak kampung. Masakan Barat hanyalah pilihan kedua.

"Minum?"

"Mineral water pun dah cukup."

"Tak nak Hazelnut Macchiato?"

Aulia menggeleng.

"Tak terasa nak minum yang tu."

Eiman tersenyum.

"Okay. Just give me fifteen minutes."

Aulia perhatikan langkah Eiman sehingga lelaki itu masuk ke ruang dapur. Tak sangka, di sinilah titik pertemuan mereka setahun yang lalu. Ketika itu, dia menjadi pengacara untuk rancangan program Brews in Town.

Program itu memerlukan dia serta krew-krew lain untuk menjelajah ke satu-satu negeri demi mencuba kafe-kafe yang terkenal. Brews & Bites Café adalah antara kafe yang terpilih untuk mereka kunjungi.

Apabila teringat kenangan itu, tak semena-mena terbit senyuman di bibirnya. Dia tak tahu di mana silapnya, saat mata bertentang mata buat kali pertama, kedua-dua mereka gugup waktu itu.

Sehinggakan pengarah rancangan itu kerap kali berkata 'cut'. Padahal ketika itu, sudah hampir setahun dia bergelar pengacara TV. Sepatutnya, tiada istilah gugup dalam dirinya. Tetapi tika berdepan dengan Eiman, jiwa dan fikirannya terus kacau-bilau.

Selepas penggambaran di Brews & Bites Café selesai, Eiman terus memberikan nombor telefon kepadanya. Dia teragak-agak hendak menerima. Kerana dia tahu, andai dia menerima, itu bukan lagi urusan kerja namanya. Sudah bertukar menjadi urusan peribadi.

"I takkan kenakan bayaran if you dine here," ujar Eiman waktu itu. Cuba memancing minatnya untuk menerima nombor telefon lelaki itu.

"Apa kena-mengena nombor telefon you dengan makan kat sini?" Waktu itu juga Aulia seakan-akan bermain tarik tali.

"Yang in charge café ni, I dengan abang I. Manalah tahu you datang sini waktu I off day. Boleh call I dulu."

Aulia tersenyum dan akhirnya, dia ambil juga kertas kecil yang dihulurkan oleh Eiman itu. Dua minggu mereka tak bersua muka, nombor telefon Eiman juga tak dihubungi.

Dia malu sebenarnya hendak memulakan langkah. Tak sangka, takdir menemukan mereka kembali apabila kawan satu rumah dengannya mengajaknya makan malam di Brews & Bites Café.

Eiman waktu itu tak melepaskan peluang. Terus kata nak berkenalan. Malah, lelaki itu tebalkan muka minta nombor telefonnya. Saat itulah, hubungan mereka berdua bertambah baik.

Empat bulan selepas itu, Eiman mencadangkan agar hubungan mereka ke fasa yang seterusnya. Yang lebih serius lagi berbanding sekadar teman biasa. Lalu, dia pun bersetuju tanpa rasa ragu.

Bagi Aulia, Eiman bukan saja lelaki yang baik, malah lelaki itu juga pandai mengambil hatinya dengan pelbagai masakan menarik. Bila merajuk saja, pasti akan dipujuk dengan makanan.

"Mengelamun!" kejut Eiman bersama hidangan di tangan.

Aulia jeling lelaki itu.

"I teringat balik waktu pertama kali kita jumpa. Tak sangka pula kita berdua terkena syndrome gugup."

Meletus tawa Eiman sehingga mengundang perhatian daripada pelanggan yang duduk berhampiran dengan mereka.

"I gugup sebab ditemu bual oleh wanita cantik."

"Bodek!"

Semakin berirama tawa Eiman. Hidangan yang cukup dengan pencuci mulut itu disorongkan dekat dengan Aulia.

"Makanlah."

Sebelah tangan menongkat dagu. Mata tak lari daripada memandang wajah bujur Aulia itu. Cukup cantik. Ditambah lagi bila rambut yang teralun cantik itu diikat tocang satu. Terserlah wajah putih bersih itu di ruang matanya.

Sebelum Aulia mulakan suapan, cepat saja jemarinya menyelitkan rambut depan yang terjuntai itu di belakang telinga wanita itu.

Aulia tersenyum. Suka sangat Eiman menyentuh rambutnya. Malah, lelaki itu lebih suka apabila dia mengikat rambut dari melepaskannya.

"You tak makan ke?" soal Aulia apabila melihat hanya dia yang asyik mengunyah makanan.

"I tak lapar."

"Alah... Kita makan sama-samalah. Tak best kalau I makan sorang-sorang." Aulia sorong pinggan itu sehingga berada di tengah-tengah meja.

"Tak apa. I suka tengok you makan, sayang." Eiman sorong balik pinggan itu ke arah Aulia.

"Makanlah," ujarnya selepas itu.

Aulia akur akhirnya. Eiman memang selalu begitu. Suka tenung dia ketika dia tengah makan. Apalah yang cantiknya bila dia menyuap makanan tu?

"Esok Benji balik ke sini," beritahu Eiman setelah puas memandang wajah Aulia. Berita tentang kepulangan Benjamin ke Malaysia itu diberitahu terus kepada wanita itu.

"For good?"

"I tak pasti. Mungkin tak. Selagi kafe kat Auckland tu tak tutup, dia mungkin akan stay kat sana."

"Dulu bukan you cakap yang kau orang berdua tak ngam dengan your grandparents tu ke?" Seingat Aulia, dulu Eiman pernah memberitahunya yang atuk lelaki itu melayan keluarga Eiman seperti orang asing.

"Memang pun. Benji terbang ke sana pun sebab nak tolong daddy aje. Kalau nak tolong dia, memang taklah." Dingin nada Eiman apabila menyebut 'dia' itu. Dia jadi kurang hormat bila berkata tentang atuk dan neneknya.

"Tapi kiranya, hati Eidlan tu boleh tahan lembut juga sebab sanggup ke sana." Waima baru beberapa kali bersua muka dengan Benjamin, bagi Aulia, layanan lelaki itu terhadapnya agak kasar sedikit. Mungkin itu hanya sifat luaran Benjamin, teka Aulia.

"Jangan panggil dia Eidlan. Dia tak suka."

Aulia mencebik.

"I lagi tak suka nama Benji tu. Nasib baik you guna nama Eiman."

Eiman ketawa kecil.

"Benji tu walaupun kasar, tapi hati dia lebih lembut berbanding I. I bukan tak nak tolong daddy... Cuma I ingat lagi layanan atuk I pada kami semua. Sekarang tengok, daddy juga yang dia cari untuk uruskan kafe di sana."

Ayahnya merupakan seorang mualaf. Berasal dari Auckland, New Zealand. Datang ke Malaysia sekadar untuk bercuti tetapi takdir Ilahi, Abdullah Jayden Brown dipertemukan dengan Puan Elena; ibunya.

Setelah yakin dengan pilihan hati, daddynya itu membuat keputusan untuk memeluk agama Islam namun malangnya, mendapat tentangan hebat daripada orang tua.

Kerana cinta, Encik Jayden sanggup berhijrah ke Malaysia dan menjadikan Puan Elena sebagai suri hati. Ketika anak-anak sudah besar, Encik Jayden membawa mereka untuk berjumpa dengan orang tuanya tetapi layanan yang diberikan dingin sekali. Malah, mereka dilayan seperti orang asing.

"Itulah... Kalau tak lembut, dia takkan sanggup terbang ke sana dan tinggalkan kafe kat sini. Kesian daddy you, mungkin tak menang tangan nak handle kafe kat sana. Rata-rata kawan I yang ke Auckland, mesti singgah ke kafe tu."

Eiman mengangguk perlahan. Sudah bertahun-tahun Brews & Bites Café, Auckland itu beroperasi. Sebelum ayahnya berhijrah ke Malaysia lagi. Kini atuknya sudah tidak betah bekerja di dapur dan mengharapkan ayahnya kembali ke Auckland untuk menguruskan kafe di sana.

Memandangkan kafe di sana sudah bertukar konsep kepada makanan halal, pengunjung juga semakin bertambah lagi-lagi dalam kalangan orang Muslim. Kerana itu, Benjamin sanggup ke sana untuk menolong ayahnya dan dia pula dipertanggungjawabkan untuk menguruskan kafe di sini.

"Daddy setuju untuk balik ke sana pun sebab nak jernihkan hubungan dia dengan my grandparents. Kalau usaha daddy ni tak dihargai juga, I rasa tak payah dah balik ke sana. Buang masa aje."

"Tak apalah... Mungkin sekarang dah okey. Kalau tak okey, takkanlah atuk you benarkan daddy you tukar konsep kafe tu untuk jadi kafe halal."

Eiman jongket bahu.

"It's been four years now... Setiap kali I tanya perkembangan kat sana, daddy kata semua okey. I harap, betul-betul okeylah."

"Eidlan tak kata apa?"

"Benji, sayang. Dengar dek dia nanti, you juga yang terasa hati." Sekali lagi Eiman cuba membetulkan panggilan Aulia itu.

"Apa salahnya kalau I panggil dia Eidlan?" Cebik Aulia. Eidlan tu nama lelaki itu juga, kan? Bukannya nama orang lain.

"Dia tak sukakan kelainan. Sebab kami semua panggil dia Benji."

"Pelik abang you tu." Aulia mencebik untuk sekian kalinya.

Setiap kali dia bersemuka dengan Benjamin, bibirnya pasti tertutup rapat. Malas nak berborak dengan lelaki kasar seperti Benjamin itu.

Eiman hanya mampu tersenyum. Adakalanya memang dia tidak sehaluan dengan Benjamin kerana lelaki itu terlalu bersikap tegas terhadap pekerja-pekerja di bawah mereka. Dia tahulah Benjamin merupakan ketua cef di situ, tetapi biarlah bertolak ansur sedikit.

Tak salah memberikan peluang kedua kepada pekerja andai mereka melakukan kesalahan. Tetapi tidak pada Benjamin. Sekali pekerja itu melakukan kesalahan, pasti akan dibuang kerja terus. Nasib baik Aidit, Danish dan beberapa pembantu dapur masih mampu bertahan di situ.

"Dia tak adalah sepelik mana. Dia particular aje. Anggap dia tu Gordon Ramsay versi Malaysia."

Besar tawa Aulia kedengaran. Terus dia terbayang wajah tukang masak yang terkenal dengan sifat baran dan mulut yang berbisa dengan kata makian itu.

"But definitely muka tak samalah."

"Of course tak sama. We're the most eligible bachelor chefs in town."

Aulia julingkan mata ke atas tanda meluat. Memang tak dinafikan, Eiman dan Benjamin mempunyai wajah yang mampu memukau mana-mana gadis yang memandang.

Kedua-dua mereka juga pernah ditawarkan untuk satu rancangan masakan tetapi Eiman dan Benjamin menolaknya kerana ingin menumpukan perhatian pada kafe mereka.

"Nasib baik I dah tersangkut dengan salah seorangnya," ujar Aulia.

"You tahu tak, I'm happy bila you jumpa I dulu berbanding Benji."

Berkerut dahi Aulia saat Eiman kata begitu.

"Kalau I jumpa Eid... I mean, Benji tu dulu, you rasa I akan jatuh cinta kat dia?" soal Aulia, nada suaranya sedikit ternaik tanda jelik dengan apa yang ingin Eiman katakan.

Eiman angkat bahu.

"Mungkin. Come on... Look at him. He's not just a typical chef. Dia lepasan Le Cordon Bleu. I dengan dia..." Belum sempat Eiman habis berkata-kata, Aulia memangkah laju.

"So what kalau dia lepasan Le Cordon Bleu? You're a Degree holder in Culinary Management, Eiman. What makes him different from you? You dah cukup sempurna di mata I. I don't care about him. I percaya, kalau I jumpa dia dulu pun, hati I masih pilih you," pintas Aulia sehingga membuatkan Eiman terdiam seketika dan beberapa saat kemudian, terbit senyuman di bibir lelaki itu.

"Thanks, sayang."

"Tak payah cakap pasal dia lagi. Kan elok kalau you carikan girlfriend untuk abang you tu. Dia tu dah tua." Setahu Aulia, umur Benjamin nak masuk 33 tahun. Lelaki itu tua 3 tahun berbanding Eiman.

"You tak ada calon yang sesuai ke untuk dia tu?" Kadang Eiman hairan juga dengan Benjamin, lelaki itu jarang dilihat bersama wanita. Jauh sekali nak dengar lelaki itu bercinta.

"Hesy... Tak naklah yang terdiri daripada kawan I. Mereka tu semua nakkan lelaki yang romantis. I tak rasa pun Benji tu romantis. Kasar adalah."

"Tapi hati dia lembut. You sendiri kata tadi kan..." Eiman cuba mempertahankan abangnya itu. Kalau bab mengalah demi adik-adik, Benjaminlah juara.

"Whatever! You doa aje yang dia bawa minah salih dari Auckland tu."

Eiman kembali ketawa. Dia tak tahu Benjamin, tetapi kalau dia, cita rasanya memang nakkan gadis Melayu.

Setelah mengelap bibir dengan tisu, makanan yang hanya berbaki sedikit itu disorong ke tepi. Alhamdulillah, Aulia sudah kenyang. Kalau hari-hari disajikan dengan masakan yang enak sebegini, memang bertambah naik berat badannya.

"Tengok pinggan I, dah nak licin. Thank you, Eiman. Sedap sangat."

"Just come here and I'll cook for you, sayang."

Aulia hanya tersenyum. Malu nak datang hari-hari ke kafe Eiman itu. Seolah-olah dia mengambil kesempatan pula.

"Oh, ya... Menu kafe kat Auckland tu sama ke dengan yang kat sini?"

"I'm not sure. Mungkin tak sebanyak kat sini kut."

"You tak teringin nak ke sana ke?" soal Aulia ingin tahu. Sudah empat tahun keluarga Eiman pulang ke Auckland. Kecuali Benjamin yang baru empat bulan berada di sana.

"You nak ke I tinggalkan you?" Soalan dibalas dengan soalan.

Kening Aulia berkerut. Matanya mengecil memandang lelaki itu.

"Kalau sekejap aje, I think... I can survive."

"Atau I ajak you sekali. Jumpa my parents and adik I," cadang Eiman.

Aulia tak pernah lagi bersua muka dengan orang tuanya. Hanya sekadar memberitahu yang dia sudah ada teman istimewa kepada keluarganya. Bagi Eiman, itu tidak mencukupi apatah lagi dia benar-benar serius dengan hubungan yang terjalin ini.

"Bila?"

"Bila you free? Kalau I, bila-bila masa pun boleh. Kafe ni nanti, Aidit boleh tolong jagakan."

Lama Aulia berfikir. Cuba untuk mengingati jadual kerjanya.

"Rasanya, dua bulan ni I sibuk. Sebab ada shooting iklan lagi. Oh, ya... Hujung bulan ni I ada campaign shoot untuk ZahraZiyaad juga."

Kerjayanya bukan hanya sebagai pengacara TV, tetapi dia juga kerap kali dilamar untuk menjadi model iklan komersial serta memperagakan pakaian daripada pereka-pereka fesyen tempatan.

"Bila-bila masa you free nanti. Kalau betul kita pergi Auckland sama-sama, kita try jalan-jalan kat Myers Park. You kan suka pergi taman. Boleh piknik kat sana sekali."

"Best eh kat sana?"

Eiman berfikir seketika.

"Seingat I, not bad. Tapi kalau orang macam you, mesti suka."

"Insya-Allah... Harap-harap I sampailah ke Auckland nanti."

Eiman tersenyum.

"Dan bila you jumpa parents I nanti, kita bincang terus pasal tunang ke... Kahwin ke?"

Terjeda Aulia apabila Eiman menyebut tentang tunang dan kahwin. Sedangkan baru lapan bulan mereka menyulam kasih. Tidakkah terlalu awal untuk mereka beralih ke fasa yang seterusnya?

"You look... Surprised... Shocked even... Aren't you happy that I want us to be more serious?" Eiman menegur apabila sedar riak wajah Aulia sudah berubah menjadi suram.

"Tak! Bukan tak happy. Cuma you tak rasa ke terlalu awal?" Segera Aulia menidakkan. Bukan dia tak gembira, cuma tempoh setahun perkenalan itu masih terlalu singkat baginya.

Ya, dia sayangkan Eiman dan dia yakin, Eiman juga menyayanginya, tapi biarlah tempoh perkenalan itu lebih lama lagi. Dia tak mahu mereka menyesal pada kemudian hari hanya kerana terlalu gelojoh untuk disatukan.

"I dah 30 tahun, Lia. Walaupun baru lapan bulan kita bercinta tapi kita kenal dah setahun. Bagi I, tu dah cukup lama untuk kita kenal hati budi masing-masing."

Aulia gigit bibir bawah. Pada usia 26 tahun itu, masih terlalu banyak yang perlu dia kecapi. Namun begitu, andai jodohnya datang cepat, dia tahu dia tak mampu nak menolak.

"Sebelum kita bincang dengan parents you, you kena tanya parents I dulu." Akhirnya Aulia memberikan lampu hijau.

Lebar senyuman di bibir Eiman. Jemari Aulia yang berada di atas meja itu dicapai.

"Thanks, sayang. Bila you free nanti, kita balik kampung jumpa parents you."

"Ya-ya aje nak balik kampung. Kat Sungai Buloh aje pun."

Tawa mereka seirama. Gembira hati Eiman saat lamarannya diterima. Tak sabar rasanya ingin berkongsi berita itu dengan Benjamin.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro