Bab 7
Azan isyak berkumandang sejak tadi. Airiz masih lagi terbaring di atas pondok di tepi kubur. Tangannya sudah naik kematu menampar nyamuk. Ringan kakinya hendak ke masjid di kampung itu tetapi melihat pakaiannya umpama lelaki itu, membuatkan niatnya tertangguh. Airiz meraup wajahnya yang lesu. Perutnya yang berkeroncong tidak dihiraukan.
"Maafkan aku, saudara." Satu suara menyapa.
Airiz bangun bersila. Kelibat seorang lelaki tidak kelihatan jelas wajahnya apabila ia membelakangi cahaya lampu.
"Hoi!" jerkah Airiz tidak sengaja. Lelaki bersongkok itu lekas-lekas mengalihkan cahaya lampu yang dihalakan pada muka Airiz.
"Maaf-maaf! Aku tak sengaja." Luke gugup. Wajah yang disangkanya lelaki itu sungguh comel dan kelihatan kebudak-budakan.
Airiz mendengus. Dia mengengsotkan punggung seraya turun dari pondok kayu itu.
"Saudara!" Lelaki berbaju T-shirt dan berkain pelekat itu menyambar lengan Airiz.
"Apa?!" Keras nada Airiz.
"Saudara..."
"Kau ni apa hal? Saudara! Saudara! Aku ada namalah!" Airiz bengang. Dia merentap tangannya daripada terus dipegang.
"Oh, sorry! Sorry! Aku, Luke. Kau?"
Airiz menggumam. "Riz."
"Kau nampak macam orang asing kat sini. Marilah ke rumah abang." Luke mempelawa.
Airiz mengerutkan dahinya. Apa cerita jantan ni berabang-abang pula dengan aku?
"Abang rasa Riz jauh lagi muda. Marilah. Rumah abang tak jauh dari sini."
"Apa hal pula aku nak ikut lelaki macam kau? Stranger!"
Luke memaut bahu Airiz, senang.
"Hei!" Riz menolak badan lelaki itu hingga terjatuh. Terperanjat dia dengan tingkah lelaki itu yang cuba berlagak mesra.
Luke bingung. Tidak faham apa kesalahan yang telah dia lakukan.
"Niat abang ikhlas. Lagipun, dalam gelap macam ni bahaya juga meski kau tu lelaki."
"Lelaki? Huh, aku perempuanlah!"
Luke senyum manis.
"Masalah yang menimpa ramai sekarang ni, kecelaruan identiti. Allah telah berfirman bahawa..."
"Aku tak minta ceramah kau!" Airiz mengetap gigi seraya berlalu.
Luke bangun lalu menapak mengekori Airiz.
"Maafkan abang berkasar tapi abang rasa abang perlu bimbing kau ke jalan yang benar."
"Jalan benar apa pula ni? Kau ingat aku pakai macam ni, aku dah murtad ke?" Airiz membulatkan matanya.
Luke menggosok-gosokkan belakang kepalanya dengan hujung lampu suluh.
"Tak apalah. Abang tumpangkan kau di rumah abang. Lepas kau bersihkan diri, lepas kau makan, kau boleh pergi."
Airiz menjeling kurang senang.
"Kau nak aku bogel kat sini ke apa? Baru kau nak faham bila aku cakap aku ni perempuan?"
"Gila! Apa malang nasib aku jumpa lelaki ni kat sini?" gerutu Airiz seraya bergerak meninggalkan lelaki itu.
"Kau yang dah gila, Airiz!" Suara Jae membuatkan langkah Airiz membeku. Luke pantas berpaling.
"Kau kenal dia, Jae?" Luke terlopong.
Jae mara mendekati Airiz dan melepasi gadis itu.
"Ikut along!"
"Ke mana?" Riz dingin.
"Balik rumah."
Airiz ketawa sinis. "Airiz dah mati. Tak tahu ke?"
"Adik!"
"Airiz?" Luke ternganga. Dia berlari anak. Dia menyuluh lampu menghala ke wajah gadis di hadapan mereka itu.
"Silaulah, bodoh!" Airiz berang sambil merampas lampu suluh itu dari tangan Luke.
"Airiz! Allah, mana kau pergi? Astaghfirullah, aku memang tak cam langsung dengan kau!" Luke terlompat teruja.
Lidah Airiz menyentuh lelangit. Menyampah dengan reaksi Luke yang melebih-lebih.
"Balik!" Jae memaksa.
"Keluarga aku dah mati! Aku dah tak ada sesiapa lagi kat dunia ni!" Tepat pandangannya menentang mata Jae tanpa goyah.
Hampir tamparan daripada Jae mengena ke pipi Airiz. Sempat tangan itu ditangkap oleh Luke.
"Tamparlah aku kalau kau mahu. Adik kau dah mati." Airiz mengherotkan bibirnya seraya pergi. Dia mahu pulang.
Namun, Jae berkeras. Dia mengheret gadis itu dengan paksaan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro