Bab 6
"Sara, roti sardin empat! Kosong tiga!"
"Beres!" Sara melempar tebaran roti canainya ke udara menarik perhatian para pelanggan. Aksi lagak pro itu membuatkan masing-masing ternganga.
Ralit mereka memerhatikan gerak tangan Sara sehingga tidak sedar pelayan menghantar pesanan kepada mereka.
"Patutlah kedai ni ramai orang!"
"Memanglah! Tengoklah siapa yang tebar roti ni? Awek tu!"
"Huishh! Awek apa? Mak janda! Aku dengar, dia ni dah kahwin! Dah bercerai!"
Sara memekakkan telinga. Sudah terbiasa mendengar lelaki-lelaki pelbagai lapis usia bercerita tentang dirinya.
"Alah, lantaklah mak janda ke apa? Janji, roti yang dia buat ni sedap sampai meleleh air liur!"
Roti sardin yang sudah masak itu diangkat lalu dipotong sebelum diletakkan ke atas pinggan.
"Sudahlah tu! Jangan kerja kat situ lagi. Mana abang nak letak muka ni bila kawan-kawan abang cakap bini kau kerja tebar roti canai? Malu! Malu!" Tergiang-ngiang suara bekas suaminya di cuping telinga Sara.
"Apa dosa saya kerja macam tu? Halal, kan?" balasnya lelah.
Prang! Bunyi gelas jatuh berkecai. Sara tersentak. Ingatan pada lelaki tidak berguna itu dicampak jauh. Sepasang matanya serta-merta beralih. Pak Him si tauke kedai sedang bertumbuk dengan seorang pelanggan.
"Kau nak bagi aku makan air tangan si gemuk ni? Geli! Geli aku! Dengan badan dia yang sebesar tempayan tu, sekali berpeluh habis memercik ke dalam roti!"
"Uwekkk!" Para pelanggan kembang tekak. Seorang demi seorang beransur bangun.
"Mulut kau tu, jaga!" Pak Him cuba menumbuk muka si lancang itu.
"Sabar, Pak Him. Sabar!"
Pandangan Sara dan Pak Him bersabung. Sara menggeleng. Tanda tidak mahu lelaki tua yang panas baran itu meneruskan amuknya.
Ruang kedai menjadi separuh kosong gara-gara pelanggan tadi. Lagi separuh, masih melantak kepingan-kepingan roti canai seperti tiada apa yang berlaku. Pak Him mengutip not-not RM1 yang ditinggalkan oleh para pelanggan di atas meja untuk bayaran yang dipesan oleh mereka.
Kakinya mendekati Sara yang sedang meletakkan kuah kacang dal ke dalam plastik.
"Sabar, Sara. Kau jangan ambil hati dengan kata-kata orang." Pak Him tidak mahu satu-satunya penebar roti canainya itu terasa.
Sara senyum sambil menggeleng.
"Nampak macam Pak Him yang patut lebih bersabar."
Pak Him tertawa senang. "Itulah, kan... Yang dikutuknya engkau. Tapi aku ni yang terasa. Aku ni yang panas."
"Terima kasih, Pak Him." Sara memusingkan ikatan getah pada muncung plastik berisi kuah itu.
"Banyak lagi?" Pak Him membuka tong berisi doh.
"Tak banyak dah. Hampir 200 biji dah terjual."
Pak Him mengangguk-angguk.
"Cucu aku tu demam kat rumah. Tu yang aku cadang nak tutup awal kedai hari ni. Kau bawa balik tiga empat keping roti."
Sara mengagak sendiri. Jam satu pagi macam ni, takkan dia, Airiz dan Mai masih mahu melantak?
"Kau orang muda. Tidurnya lambat. Sambil tengok cerita Korea tu, kau cicahlah roti dengan kuah tu. Nanti, habislah sekeping dua."
Mahu tidak mahu, Sara mengangguk.
"Teruk ke cucu Pak Him tu demam? Dah bawa ke klinik?"
"Dah bawa dah tapi budak macam dia tu, penakut nak mampus! Takut sangat nak makan ubat! Haishhh! Aku ni dahlah kuat marah. Kau tahu? Berasap telinga aku ni tiap kali tengok dia asyik menangis tak nak makan ubat tu."
"Atuk dia garang sangat. Cuba cakap baik-baik. Pujuk dia, tentu dia nak makan."
"Nantilah aku pujuk. Kau tu slow-slow kemas. Kesian anak menantu aku nak jaga abang yang demam tu lagi. Mana nak kejar baby mereka yang asyik melalak meragam! Pening aku dengan mereka."
"Kira, Pak Him!" laung beberapa orang pelanggan.
"Kejap!" Pak Him mencapai kalkulator di atas kaunter. Segera dia bergerak ke meja pelanggan.
Sara mula berkemas. Dia menutup pili gas. Segala peralatan dikumpulkan setempat lalu dibawa ke belakang untuk dicuci.
Untung anak cucu Pak Him. Kuat-kuat membebel orang tua tu pun, sebenarnya dia sayangkan mereka. Aku ni? Ada siapa? Hidup sorang-sorang kat dunia sebatang kara. Sara menitiskan beberapa titik pencuci pinggan ke dalam bekas. Dia memulakan kerja-kerja mencuci.
"Eh, kak! Kenapa tak tinggal aje? Ini kan kerja aku? Kalau kau dah ambil kerja aku, aku ni nak buat apa?"
Fitri bercekak pinggang.
Sara yang sedang duduk mencangkung itu mendongak memandang pelajar lepasan SPM itu.
"Kau lesap. Tu yang kak tolong kau cuci."
"Aku bukan lesap, kak! Aku pergi melabur. Saham amanah dalam tangki najis aku ni berdondang sayang. Tu pasal aku pergi simpan. Kau apa tahu? Dah-dah! Shush! Jangan buat kerja aku."
Sara ketawa kecil.
"Kaya la kau. Asyik melabur saham aje. Nanti, dah kaya jangan lupa akak kau ni."
Remaja itu tersengih-sengih.
"Aku tak lupa kau, kak!"
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro