Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

Jam menghampiri pukul 5. Mai mengemas barang-barangnya. Sampah yang baru separuh memenuhi bakul sampah, diikat lalu dibuang ke dalam tong sampah di luar butik.

"Auch! Auch!" Mai terlompat-lompat apabila buah tembikai menghempap kakinya. Nasib dia hanya berselipar bunny. Kalau dia berstiletto seperti biasa, naya!

"Sayang?"

Riak Mai berubah. Sepasang matanya memandang tepat ke wajah lelaki itu. Cepat-cepat, dia mahu berlalu.

Faiz bergerak ke hadapan pintu butik. Dia mendepakan tangan. Menghalang wanita itu pergi meninggalkannya.

"Serius ke ni sayang yang abang kenal? Allah! Cantiknya sayang bila pakai mekap dan tidak bertudung macam ni!" Faiz terpegun. Dia mengamati perbezaan wanita itu dulu dan sekarang.

"Sayang dah kurus. Macam mula-mula kita kahwin dulu. Cantik." Mulut lelaki itu memuji.

Mai meluat. "Tepilah!"

Faiz menggeleng-geleng. Melihat tubuh yang gedempol dulu itu sudah cekeding seperti sekarang, hati Faiz kembali tertarik.

"Kalau kurus macam ni, barulah abang tertarik nak dekati sayang. Barulah mak tak bising lambat dapat cucu. Kenapalah abang tak fikir selama ni? Langsung abang tak fikir yang sayang boleh kurus dan cantik bila mekap-mekap macam ni? Kalau mak tengok sayang ni, mesti mak terkejut macam abang. Allah! Cantiklah sayang sekarang ni." Faiz tergelak kecil.

"Kau ni apa hal? Psiko ke apa?" Mai bercekak pinggang dan membeliakkan matanya.

Faiz senyum manis. Jarinya cuba menyentuh rambut Mai yang panjang beralun.

"Kalau sayang sebegini cantik, marahlah abang, makilah abang, abang takkan marah."

"Gila!" Mai menolak badan Faiz. Dia melolos masuk ke dalam butik seraya mengunci pintu.

Faiz tersengih-sengih bagai orang tidak betul. Terbayang Mai yang gemuk dahulu membuatkan dia menyampah. Sengaja dia tidak menyentuh si isteri supaya menantu pilihan si ibu itu dituduh mandul.

"Kalaulah sayang dari dulu kerja di butik macam ni, abang takkan ceraikan sayang. Bodoh kau, Faiz! Bodoh!" Dia sekali lagi cuba mengintai kelibat jandanya itu dari sebalik dinding kaca butik itu. Satu senyuman lebar dilemparkan sebelum dia berlalu.

Lekas-lekas Mai mengambil kunci motor. Bagai lipas kudung, dia menarik pintu besi itu ke bawah lalu memangganya.

Kepalanya ditoleh ke kiri dan ke kanan. Melihat tiada sesiapa, Mai segera bergerak ke tempat parkir motor. Terus pulang ke rumah.

Sara menggoyang-goyangkan badannya seiring dengan lagu yang dinyanyikan. Lebihan kek yang dihasilkan disimpan di dalam peti. Kut Airiz cari alasan tak nak memasak, bolehlah teman serumahnya yang dua orang lagi itu melantak.

Sara terus masuk ke dalam bilik. Dia mengeluarkan tudung untuk digosok. Bunyi enjin motosikal kedengaran memasuki pekarangan rumah. Sara menyarung tudungnya ringkas. Tidak perlu melilit-lilit. Sekejap lagi, dia perlu ke tempat kerja.

"Assalamualaikum!" laung Mai sambil menanggalkan stiletto.

Sara mencapai beg dan keluar dari bilik.

"Pergi kerja?" Mai berbasa-basi.

"Haah. Cari duit la. Riz mana?" Tangan Sara menyambar helmet di atas almari kasut.

"Entah. Lesap macam tu aje tadi."

"Aku blah dululah. Nanti, bos aku bising pula." Sara mengangkat tangan lalu menguak pintu.

Mai menekan lock pada tombol pintu. Helmet di kepalanya ditanggalkan dan diletakkannya di atas almari kasut. Helmet Airiz diletakkan di sebelah.

Bajunya dikibas-kibas. Melekit!

Terbayang raut wajah Faiz tadi, dia menggeletik.

"Jantan bodoh! Dulu kau campak. Macam-macam alasan kau bagi. Pokok pangkalnya, sebab aku gemuk. Sebab tu, kau ceraikan aku!"

Mai memicit tubuhnya yang tidak berlemak.

"Jangan kau berani nak menempel, lemak! Sebab kau, aku hilang kebahagiaan aku!"

Mai mendengus. Terus dia menuju ke bilik. Beg dicampakkan di atas tilam. Dia memusing-musingkan badannya di hadapan cermin. Bayangan matanya melihat tubuh dan pipinya mengembang seperti belon. Tangannya cuba mencubit lemak. Ditarik-tarik isi dagingnya.

"Eee, benci! Kenapa kau gemuk, hah? Arghhh!" Mai menekup kepala seraya menjerit sekuat hati. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro