Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 15

Airiz mengambil kesemua berus mekap dan meletakkannya di atas meja. Satu besen kecil yang diletakkan di dalam almari di tepi singki dikeluarkan. Sejumlah air diisi ke dalamnya sebelum dia memicit syampu bayi lalu dikacau rata.

"Bos!" Liyana berlari-lari anak sambil menghulurkan sandwic mayones.

Airiz menoleh seimbas lalu ke arah pekerjanya itu sebelum mencelup berus mekap ke dalam campuran air tadi. Jarinya menggosok-gosok bulu-bulu berus itu pada tapak tangannya.

"Bos nak tak?" pelawa Liyana sambil menolak daun salad yang terjulur keluar dari mulutnya dengan belakang jari.

"Makanlah. Aku dah makan kat rumah tadi."

"Kenapa bos tak suruh saya aje yang buat? Saya selalu tengok bos cuci berus ni sendiri. Benda senang macam ni, bagi aje pekerja macam saya ni buat."

Airiz mengulang langkah yang sama pada kesemua berusnya. Liyana meletakkan kotak berisi sandwic ke tepi meja. Dia mengambil kain yang bersih lalu mengelap berus-berus yang sudah dibersihkan itu.

"Bos!"

"Apa?"

"Tanya sikit. Mai tu siapa?"

Airiz mengerutkan dahi. Masakan gadis itu tidak mengenal majikan sendiri? Airiz mengangkat mukanya memandang Mai yang sedang berpeluk tubuh memerhati dia dan Liyana dari muka pintu.

"Aku ni halimunan ke sampai dia tak nampak aku? Atau Liyana ni dah hilang ingatan hingga tak kenal aku?" Mai melangkah masuk ke dalam bilik pejabat itu lalu membelek wajah Liyana yang kebingungan.

Dari imej yang dirakam oleh CCTV, kelibat Faiz kelihatan sedang memanjang-manjangkan leher ke dalam butik.

"Bos?" Liyana menggerakkan-gerakkan tangannya dengan laju ke hadapan muka Airiz.

"Aku nampaklah tangan kau!"

Airiz melirikkan mata kepada skrin komputer. Mai menyingsing leher baju kurungnya hingga ke siku. Rambutnya yang dibiar lepas bebas disanggul. Dia menolak daun pintu lalu terus ke luar butik.

"Kau nak apa sebenarnya, hah?!"

"Maaflah sebab abang ganggu sayang bekerja. Sebenarnya, abang nak minta maaf. Kalau abang berani cakap dengan mak yang abang dah ada pilihan hati sendiri, semua ni takkan berlaku."

"Tak payah nak bersayang sangatlah!"

"Tapi abang menyesal bila sayang pergi dari hidup abang. Mak pula masih tak boleh terima gadis pilihan hati abang."

"Jadi, apa kaitannya dengan aku?"

"Kita nikah balik? Mak hanya nak cucu aje. Jadi, bila sayang dah mengandung, sayang dah dapat hadiahkan cucu untuk mak, mak takkan marah kalau abang nak menikah lagi satu."

Dada Mai seperti mahu meletup mendengar cadangan gila bekas suaminya itu. Mai membuka pintu butik. Stiletto yang tersusun di atas rak disarungkan ke kakinya.

"Sayang setuju nak jumpa mak?" Faiz senyum manis melihat Mai yang tampak elegan berkasut sebegitu.

Mai melorek senyuman nipis. Dia mendekati Faiz lantas tumit stilettonya memijak kaki Faiz yang hanya berselipar itu.

"Aduh! Aduh! Aduh!" Faiz menjerit kesakitan.

Airiz ketawa besar. Permukaan meja ditepuk-tepuk. Besar tawanya sehingga mengalirkan air mata.

Liyana pelik melihat telatah Airiz.

"Kenapa dengan CCTV, bos? Apa yang kelakar?"

Airiz berhenti ketawa. Dia menggeleng-gelengkan kepala seraya menenangkan diri. Jarinya dipetik. Melihat Faiz, serta-merta dia teringatkan Luke.

"Kau tolong aku nanti, boleh?"

"Tolong apa, bos?"

"Pi cari sim card untuk aku."

"Boleh aje tapi bos nak syarikat Telco mana?"

"Belasah aje!" Airiz membuka dompet. Sekeping not RM50 dikeluarkan.

Liyana mengambil huluran not ringgit tersebut lalu dimasukkan ke dalam poket seluarnya.

"Bos nak saya topupkan sekali ke?"

"Kau topup RM30 terus. Ada balance seposen dua tu, kau bedal ajelah."

"Kalau macam tu, baki saya beli pisang goreng ya, bos?" Liyana menjemurkan kesemua berus yang telah dilap di atas hamparan kertas tisu.

"Suka hati kau la, Liyana!"

Liyana senyum lebar. Barulah senang dia mahu menghubungi Airiz selepas ini. Gadis itu terlalu kedekut hendak memberikan nombor telefon kepada sesiapa meski kepada pekerja sekalipun. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro