Bab 12
"Mana kau pergi?" Jae masih di taman mini tidak berganjak sejak tadi.
Luke yang baru keluar dari kereta melambung-lambung kunci kereta, menoleh memandang Jae dari sebalik pagar pemisah antara rumah mereka.
"Keluar. Kenapa?"
"Aku tahu kau keluar. Pergi mana?"
Luke pura-pura gelak. "Sejak bila kita ni bincang pasal kau atau aku keluar pergi mana?"
"Lewat kau balik. Kau keluar dengan adik aku?"
Luke mendekati pagar. Dia merenung ke muka Jae.
"Mari sini kau!" Luke lebih kepada mengarah.
"Hmmm..."
"Sinilah!" Luke mendesak.
"Apa?"
"Masa mama kau meninggal, umur Airiz 12 tahun?"
"Ya."
"Then, arwah Ijat daftarkan Airiz tu masuk sekolah asrama sebab masa tu, dia tak sanggup nak tengok kau layan Airiz sebagai pembunuh arwah mama kau, kan?"
Jae mencerlung kurang senang.
"Tak payah nak belok-beloklah, Luke. Kau nak cakap apa sebenarnya ni?"
"Masa Airiz nak exam SPM, arwah Ijat pergi tinggalkan dia buat selama-lamanya?"
"Luke, kau nak cakap apa ni?"
"Sejak dari hari tu, aku dah tak dengar apa-apa lagi tentang adik kau tu. Kau tahu tak betapa aku ni risau dengan dia bila aku expect kau akan terus treat dia macam orang asing? Sedangkan waktu tu, aku tak boleh balik ke Malaysia. Malah, aku bukan orang kaya yang boleh pi beli tiket flight bila-bila masa."
"Aku malas nak bertekak dengan kau!" Jae mahu berjalan masuk ke dalam rumah.
"Bukan Airiz aje yang benci kau, Jae. Kerana persahabatan kita, aku pejamkan mata maafkan khilaf kau. Aku pendam rasa ni sampai hari ni, baru aku luahkan. Kau lupa apa soalan pertama yang aku tanya once aku jejakkan kaki kat airport?"
Jae bungkam.
"Mana Airiz? Mana adik kau? Tu soalan aku. As expected, kau campak dia. Dan aku tumbuk muka kau sampai lebam. Kau lupa?"
Jae masih lagi diam.
"Kau ingat, marah aku habis sampai situ aje? Dari bayi, aku pandang dan tengok dia membesar. Kau senang-senang campak dia. Kalau kau tak nak sayang dia, aku boleh sayang dia bagi pihak Ijat!"
Bibir Jae menggeletar. "Kau benci aku, Luke?"
"Kalau nak kata benci, lebih daripada tu, Jae. Tapi aku hargai kewujudan orang di sekeliling aku. Harapan ayah aku sebelum menutup mata supaya aku dapat sambung belajar sampai ke peringkat PhD. Atas alasan tu, aku tunaikan impian arwah. Tapi atas alasan yang sama, aku kehilangan Airiz."
Jae mengangguk dengan lemah. "Bencilah kalau kau rasa aku ni jahat. Baik kau, baik Airiz, baik semua orang. Bencilah aku. Aku ni jahat. Aku ni kejam. Aku ni tak berhati perut!"
"Kau hanya fikir perasaan kau aje, Jae. Kau tak pernah fikir langsung betapa Airiz rasa bersalah dengan tuduhan kau terhadap dia! Kau tak pernah nak faham perasaan dia!"
Jae berpaling memandang Luke dengan jelik.
"Kau kasihankan sangat dia, kenapa tak kahwin dan jadikan bini kau? Kau bagilah kasih sayang tu kat dia sebanyak mana yang kau nak!"
Luke menggeleng-gelengkan kepalanya.
"Susah bercakap dengan kau. Itulah orang cakap. Jadi pandai tak semestinya bijak. Malaikat takkan tanya soalan matematik tambahan waktu mati nanti tapi tanya amalan kau, Jae."
"Ah, sudah! Ustaz dah datang." Jae mendengus seraya berlalu.
Sara meletakkan beg galasnya di bawah meja kaunter. Dia menyarungkan apron sebelum bergerak ke stesen roti canainya. Fitri dan Pak Him masing-masing mengelap meja. Sebentar lagi, kedai itu akan beroperasi.
Sara mengangkat beberapa papan telur yang hendak dicuci ke dapur. Kesemua telur diletakkan ke dalam besen. Dipicit pencuci pinggan ke dalam besen.
Tangannya mencapai span. Dia mula menggonyoh kotoran-kotoran yang melekat pada telur-telur itu.
"Kau nak aku tolong?" Fitri memasuki dapur.
"Kerja kau dah siap ke?"
"Kak lupa nak cuci telur-telur ni sebelum balik semalam?" Fitri membalas dengan pertanyaan. Dia mencapai bakul lalu mula bergerak ke sebelah kanan Sara.
"Kau cuci, aku bilas."
Pili singki di sebelah kanan dibuka. Telur-telur yang sudah digonyoh mula dibilas. Pantas tangannya meletakkan telur yang sudah bersih ke dalam bakul.
"Maaflah, Ri. Kak dah susahkan kau pula."
"Mengada-ada kau ni, kak. Kalau bukan aku yang tolong kau, macam mana kau nak bersihkan semua ni dalam masa 15 minit? Kau tu kak, lain kali datanglah awal sikit. Kucing kau beranak kat rumah ke sampai kau lewat hari ni?"
"Aku sumbat telur ni dalam mulut kau. Kak sangkut masa buat COD tadi. Tunggu customer sorang tu pulang dari kerja."
Fitri menggeleng-gelengkan kepalanya.
"Kau ni kan, celik mata terus buat kerja ke? Kau tak reti penat ke?"
"Kalau aku kira penat, siapa yang nak bagi aku makan?"
"Apa susah? Kau bukannya ada anak kecik yang kau kena bagi makan. Harapkan tembolok kau sorang. Makan sahajalah apa yang ada. Rumah pun Pak Him dah bagi kau tinggal percuma."
"Kau tu budak lagi. Bila dia cakap tak perlu bayar, kau ingat muka akak kau ni tembok sampai tak reti nak segan? Dah tentulah kak paksa dia terima kak bayar duit sewa rumah tiap-tiap bulan." Laju Sara menggonyoh sehingga habis sepapan demi sepapan telur dikerjakan.
"Dah habis ke telurnya, kak?"
"Haah. Dah habis. Nanti, kak belanja kau roti boom satu!"
Fitri menekup mulut. Gaya hendak termuntah.
"Kau ni kak! Orang cakap terjeluak dah aku duk makan roti kau hari-hari. Belanjalah aku kek. Kau kan jual kek. Apa salahnya belanja adik kau yang handsome ni kek kau yang paling ohsem?"
Sara mengangkat bakul berisi telur-telur ke depan.
"Kau tak bagi tahu kau suka kek akak. Hari tu, kak bawa, kau cakap not bad la apa la. Kak ingat kau tak suka."
Fitri mengambil bakul itu daripada tangan Sara.
"Berat. Mak aku cakap, perempuan jangan angkat barang berat. Bahaya."
Sara mengulum senyum. "Nanti, kak upah kau dengan kek. Kau nak kek apa? Cheese cake? Moist cake? Naked cake? Kau sebut aje."
Fitri meletakkan bakul tersebut di atas meja kecil di tepi periuk-periuk kuah.
"Aku gurau ajelah, kak. Kau kan meniaga. Buat kek, kau pakai modal."
Sara menjongket kening. Dalam akalnya, sudahnya merencana kek apa yang perlu dibawa pada hari esok. Khas untuk anak muda itu.
"Kak, kalau aku tanya, kau jangan marah."
"Hmmm... Kau belum tanya, macam mana aku nak marah?"
Fitri sengih. Dia membelek tubuh Sara yang menampakkan lemak yang menggeleber.
"Kau pandang apa?"
Sara membuntangkan mata. Tangan Fitri menutup mata sebelum meraup muka.
"Pak Him cakaplah kan, kau ni dulu taklah gemuk macam ni. Masa mula-mula dia kenal kau, kau ni kurus. Cantik. Tengoklah kau sekarang ni, umur baru 20 tahun tapi muka dah jadi tua. Sebab kau tak jaga diri. Dah tak cantik. Dah..."
"Dah habis?"
"Kau tu nak bertanya ke nak mengutuk akak kau ni?"
Fitri tergelak dalam rasa takut-takut. Dia membuat muka comel.
"Kau budak-budak lagi. Segan kak nak bercerita."
"Kak ceritalah. Ada lima minit lagi ni sebelum kita bukak kedai."
Pak Him menarik kerusi lalu duduk di hadapan anak muda berdua itu.
"Ada benda yang kita ni simpan untuk diri sendiri. Ada benda kita boleh cerita dan kongsi."
Sara memeluk tubuh sendiri. Dia mencuri pandang ke arah Fitri yang kelihatan sedang mencerna apa yang diperkata oleh lelaki tua itu.
"Mungkin cerita saya ni boleh dijadikan teladan untuk Ri, Pak Him."
"Hah, ceritalah!" Fitri teruja.
Sara menarik nafasnya sedalam-dalamnya.
"Kak ni, Ri memang baru 20 tahun. Tapi pengalaman hidup tu tak reti kenal usia. Akak tak nak cerita kisah-kisah akak kesemuanya. Poin yang kak nak bagi tahu, pasal macam mana kak boleh gemuk macam ni."
"Sara, nanti kau sendiri rasa sakit." Pak Him risau.
Sara senyum nipis.
"Tapi sekurang-kurangnya dapat menyelamatkan orang lain daripada teraniaya macam saya, Pak Him."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro