Bab 1
Alarm telefon Airiz memekak sejak tadi. Terpisat-pisat dia bangun. Terus dipandang skrin telefon yang menunjukkan jam 6.45 pagi. Tuala dicapai lalu dia ke bilik air.
Airiz mandi lebih kurang. Tidak sampai lima minit, dia keluar. Sarung baju kemudian, mengerjakan sembahyang subuh.
Hari ni, giliran dia untuk masak. Sarapan pagi, cukup la roti dengan jem. Macamlah dia rajin sangat nak memasak. Nama pun sarapan.
"Riz, kau masak apa? Roti jem lagi ke? Kepala aku dah jammed selang tiga hari duk kunyah roti kau!" Sara menarik kerusi sedikit kasar. Dia melirik memandang Mai yang sedang merapikan blouse yang dipakainya terlebih dahulu sebelum duduk.
Airiz membuka penutup jem. Sambil sebelah kekuda kakinya diletakkan di atas kerusi. Sebijik macam lelaki!
"Roti kau tu dah expired ke belum, Riz? Jangan sampai perut aku ni meragam." Sara memberi amaran.
Airiz memandang Sara kecik besar, kecik besar.
"Woi, selagi tak berkulat, apa ada hal? Bedal sajalah!"
Siap menyapu jem, dia meletakkannya ke atas pinggan. Enam keping cukup. Baki, simpan untuk tiga hari akan datang. Itupun kalau belum berkulat.
Tangannya ditepuk-tepuk. "Dah, makan!"
"Air mana air?" Sara tercekik.
Airiz buka penutup air mineral lalu dihulurkan kepada Sara.
"Air kosong kau bagi aku?" Sara menjegilkan mata.
"Minum dulu! Karang mampus susahkan aku juga." Airiz bergerak ke peti sejuk. Air kotak coklat dikeluarkan.
"Nah, minum ni!" Dia letakkan di atas meja sambil kakinya turut sama naik di atas kerusi serentak dengan punggung dilabuhkan.
Mulutnya mengunyah-ngunyah roti. Diibaratnya piza.
"Riz, hari ni kita ada book dengan special customer. Kau pakai la yang sopan sikit, ya?" Mai menggigit kepingan roti di tangannya sedikit demi sedikit.
Airiz rasa mahu sumbat terus kesemua kepingan roti tu dalam mulut Mai. Lambat betul makan.
"Sopan macam mana lagi?" Airiz rimas. Dia bukannya berseluar pendek ke tempat kerja.
Mai meletakkan roti di tangannya ke atas pinggan.
"Aku dah kenyang. Maksud aku tadi, kau pakailah long sleeve yang ada cut sikit. Then, pakai blouse..."
"Macam kau? Euwww! Geli sial! Babe, aku ni tak reti nak melawa macam kau. Kau buat macam biasa aje. Kau deal dengan customer. And then, kau panggil aku. Pandai-pandailah aku nak meletupkan mak-mak diva tu."
Mai mengangguk. Dia bangun dan terus ke bilik air. Sara dan Airiz saling berpandangan. Malas mereka nak ambil pusing. Pedulikanlah dengan Mai tu. Dah berbuih mulut mereka tegur tapi bukannya nak dengar.
Airiz kunyah kepingan roti kedua. Dia sumbat ke dalam mulut dan minum air sekali gus. Pipinya menggelembung. Dia telan kesemuanya. Dadanya ditumbuk-tumbuk.
"Perut kau tak boleh cerna nanti baru kau tahu!" Sara tidak berkenan.
Airiz mula bergerak ke biliknya. Capai beg galas terus keluar menghidupkan motor.
"Mai, cepatlah! Lewat nanti traffic jammed pula!" laung Airiz.
Sara berdiri di hadapan pintu sambil berpeluk tubuh.
"Riz! Naik la kereta. Kau ni suka betul naik motor. Kau ingat comel ke perempuan naik motor? Terkangkang cegitu kat belakang. Kalau kau nak naik motor, biar aku yang bawa. Kau duduk belakang. Kalau kau tak nak pergi dengan kereta, kita naik skuter. Barulah sopan." Mai menyarung stiletto.
Airiz membeliakkan mata. Setiap pagi pasti mereka bertelagah tentang isu yang sama.
"Terkangkang apa? Patutlah aku tengok kat Malaysia ni, semua perempuan Melayu tak duduk kat belakang kalau naik motor! Tak ada! Tak ada! Kau duduk di belakang!" Airiz mengerling ke arah Sara yang mengulum senyum, menahan tawa.
Mai memuncung. "Turunlah. Aku bawa! Aku tak kira! Aku nak bawa juga!"
"Kepochilah minah ni!" Airiz mengengsotkan punggungnya ke belakang.
"Hehe! Bye, Sara!" Mai melambai-lambaikan tangannya lalu mula bergerak meninggalkan halaman rumah.
Hilang bayang kedua-dua sahabatnya itu, Sara bergerak masuk ke dalam rumah. Pintu dikunci. Waktu kerjanya bermula pada jam 6 petang hingga 2 pagi.
Waktu siang macam ni, dia tidak boleh membuta. Tidak boleh menghasilkan tahi mata. Hidup pada zaman sekarang, meletakkan wang pada aras yang utama.
Kakinya menghala ke dapur. Pesanan kek daripada para pelanggan harus disiapkan dalam kadar segera.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro