BAB 15
Hampir seminggu menginap di hotel, Faiq dan Delisha pulang ke Vila Sentosa. Itu pun sebab papa telefon kerana Nenda Rosnah sudah bising.
Faiq yang tenang memandu memulakan perbualan.
"Agak-agak kena bebel tak dengan nenda?"
Delisha mengeluh.
"Nampak gayanya, macam itulah. Kata papa, nenda tengah tunggu kita. Mesti nak nasihat kitalah tu." Delisha menghela nafas panjang.
Sejak akhir-akhir ni, nenda suka sangat memberi nasihat dan ceramah agama. Agaknya usia tua tak lama nak masuk kubur memang begitu kut? Tahan sajalah demi kasih sayangnya pada Nenda.
"You, kita ke Pavillion? Nanti balik mesti stress. Jom hilangkan stress dulu."
"You ni kenapa tak bagi tahu awal-awal? Dah terlepas jalan tadi. Hurm, kejap I cari jalan pintas." Faiq memusingkan stereng mencari arah jalan.
Delisha memerhati lorong yang dimasuki oleh Faiq. Lorong ni macam tak biasa aje dilalui.
Apa pasal pula dia masuk ke sini? Penuh dengan tong sampah, orang-orang gelandangan dan penagih dadah.
"You? Salah jalan ke?" soal Delisha. Faiq memandang kiri kanan. Dia berdecit.
"Alamak, salah jalanlah. Patutnya jalan satu lagi. Ni tengah cari jalan nak keluar balik. You janganlah risau, I pernah lalu jalan kat sini. Rasanya I masih ingat lagi jalan keluar." Faiq fokus pada pemanduan. Delisha angkat bahu. Dia memang tak berapa tahu jalan KL. Jarang drive.
Muka Delisha berubah kala memandang keluar. Gelinya melihat gelandangan. Kotornya. Boleh hidup dalam persekitaran begini. Tidur sesuka hati di tepi jalan. Ada anak kecil lagi.
"You kata apa tadi? You pernah datang sini? You buat apa? Langgan pelacur?" Tuduh terus tak ada belok-belok Delisha ni. Terkejut Faiq mendengarnya.
"You? Apa, you ingat I ni jantan murah ke? Nak langgan pelacur pula?" Faiq naik angin diterjah begitu. Macamlah dia tak faham perangai Delisha ni macam mana. Dia nak cakap apa dia main lepas aje.
Delisha tersengih.
"Ala, janganlah marah, I gurau aje. You tu ada teruna ke tak ada, I bukan boleh tau. You tipu I pun, I tak tau. Orang perempuan ni lainlah, kan? Lagipun sebelum kita couple, you memang banyak girlfriends..."
"You orang pertama I sentuh, itu pun selepas jadi isteri. Jangan nak mengarut! Kalau I ni jenis pelahap macam tu dah lama I apa-apakan you. Banyak peluang yang I ada..." Faiq nampak masih marah lagi. Delisha merangkul lengan Faiq dan memujuk.
"Ala sayang, garangnya. Janganlah marah, I gurau ajelah. I tahulah you ni macam mana. Saja aje, nak test you." Manja suara Delisha menyejukkan hati yang panas.
"Nak test pun agak-agaklah. Kata-kata bukan boleh tarik balik. You bertuah sebab I cintakan you, kalau tak..."
"Kalau tak apa?"
"I campak you keluarlah. Berkawanlah dengan gelandangan tu," usik Faiq dalam serius.
"You, sampai hati you tau. Kata nak bahagiakan I, ni I gurau sikit pun dah sentap." Muncung mulut Delisha.
"Hah, kan dah adil sama-sama sentap. I pun nak bagi alasan gurau aje. You boleh terima tak?" Faiq sengaja nak seimbangkan ragam mereka. Sekarang ni dia suami, Delisha tak boleh suka hati nak bicara apa. Harus hormat.
"Ala, sorrylah I yang mulakan dulu. Dahlah tu, janganlah marah. You tak handsome kalau marah..." Lengan Faiq dirangkul manja, sehingga senyum kembali terukir.
"Yalah. Hurm, ni kepala I tengah fokus, pening I nak cari jalan keluar ni. Kejap nak buka Waze." Faiq mengerling sekilas ke jalan. Delisha dah berubah air muka.
"Banyaknya gelandangan dan pengemis kat lorong ni. Agaknya sarang dia orang kut?" agak Faiq susah hati.
Delisha menghala pandang keluar. Mimik mukanya geli.
"Eee, you tengoklah tu. Orang-orang tu selamba aje tidur tepi jalan. Kotornya. Yang kutip makanan dalam tong sampah pun ada? Loyanya tekak I. Dia orang ni tak ada rumah ke you? Tengok baju dia orang, mesti busuk lebih pada kambing gurun! Macam belacan." Delisha menunjukkan muka jelik.
Faiq menggelengkan kepala melihatnya. Orang-orang macam ni memang buat malu negara saja kalau pelancong datang.
Ikut hati menyesal lalu di sini. Tak pasal-pasal kena tahan dengan samseng ke, penagih dadah ke nak merompak, naya sudah.
"Dia orang mana ada rumah, kat situlah tempat mereka tidur. Hidup tak ada wawasan, semua nak harapkan belas ihsan orang. Pemalas. Tubuh badan sihat lagi nak bekerja, tapi jadi pengemis," komen Faiq, kesal dengan segelintir sikap manusia yang tak pernah berusaha majukan hidup. Tapi nak diikutkan, tuah manusia tak sama. Ujian manusia ni tak sama. Apa bezanya mereka dan orang gelandangan ini? Mereka pun pemalas dan mahu hidup senang saja. Faiq dan Delisha pun bukannya kerja. Harap harta keluarga saja, tapi berlagaknya bukan main.
Delisha menutup hidungnya seakan-akan bau busuk daripada luar boleh sampai ke dalam kereta. Jijik sekali baginya.
"Eee, ya ke? Orang macam ni menyusahkan sajalah. Biar mampus lagi baik. Pendatang asing yang datang Malaysia pun boleh hidup kaya raya tapi mereka ni langsung tak ada inisiatif nak berusaha. Dasar pemalas, pengotor," komen Delisha lagi tak puas hati. Ikut hati kalau ada kuasa mahu saja dia tembak semuanya. Hidup buat apa kalau tak ada kemajuan. Menyemak mata aje. Amboi, kejam betul bunyinya.
"Fuh, lega sayang. Dah jumpa jalan keluar." Faiq berjaya membawa keretanya keluar dari lorong sempit itu. Satu pelajaran yang mereka dapat hari ini. Sedang mereka sibuk mahu membelanjakan beratus ribu untuk satu hari, ada segelintir manusia yang berhempas pulas untuk mendapatkan sebutir nasi. Tapi mereka tak nampak itu, mereka hanya nampak negatif saja.
Delisha menarik tangannya daripada menutup hidung. Nafasnya dihembus lega.
"Satu pengalaman yang I tak nak alami lagi dah. Pastikan you jangan sesat jalan lagi, okey?"
"Yalah, sayang. Let's go shopping!" Bersorak Delisha kegembiraan.
"Lama sangat tak shopping, sibuk sangat dengan persiapan perkahwinan kita. Puas hati I, perkahwinan kita memang wedding of the year kan, sayang?" Delisha tersenyum girang kerana impiannya ditunaikan oleh Nenda Rosnah. Nak sangat cucu kesayangannya kahwin. Biar berhabis terus. Duit berkepuk tu simpan buat apa.
Faiq menggenggam tangan Delisha.
"Eloklah nenda suruh kita balik, tak payahlah buat parti tu lagi. Dah seminggu, kan? Kawan-kawan kita tu tahu datang nak enjoy saja, yang sponsornya kita ni hah." Faiq pun dah bosan, banyak hal nak fikir lepas ni, pasal tanggungjawab, terutama pasal kerja.
Delisha mengulit lengan Faiq, manja.
"Ala sesekali, lagipun seronok, kan? Lepas ni, maybe kita dah start kerja, tak ada masa nak enjoy dah."
"Yalah, sayang. Tapi cukup-cukuplah. Dah banyak kan kita berhabis, nanti bising nenda you."
Mereka dah sampai ke Pavilion dan sedang mencari parkir. Penuh pula hari ni kena pusing-pusing mencari dulu.
Delisha memerhati penampilan suaminya daripada hujung rambut sampai hujung kaki. Handsome dan bergaya. Tapi di kaki? Erk, pasal apa dia pakai selipar jamban? Potong betul la.
"Eh, you. Apa pasal you pakai selipar jamban? Tersalah pakai ke apa?" Faiq memandang kakinya sekilas. Selipar jamban dia kata? Mahal ni.
"Taklah. Memang I pakai selipar ni." Bersahaja Faiq menjawab sedangkan terlopong Delisha dibuatnya.
"You sengaja pakai selipar ni? Biar betul? Mana sesuai? I nak you tukar kejap lagi dengan kasut lain," arah Delisha.
"Kenapa pula I kena tukar? Apa kena dengan selipar ni? Bagi I tak ada masalah. You yang suka jadikan masalah." Faiq malas nak layankan sangat kehendak Delisha. .
"You jangan malukan I ya, pakai selipar busuk ni. Helo, kita bukan shopping kat pasar malam, tapi Pavillion!" Delisha sekolahkan Faiq. Suka hati ikut kepala dia saja. Mana boleh?
"You, ni bukan selipar yang I pakai pergi toilet. Selipar ni ada brand. Bukan harga murah, takkan I nak letak tanda harga bagi you percaya? Melampau betullah you ni... Dahlah, you tak payah fikir yang bukan-bukanlah, nak jaga standard pun agak-agaklah sikit!" Lagi Faiq buat keras kepala lagi Delisha sakit hati.
"I tak kira, I nak you tukar!" Delisha dah naik darah.
"I selesa pakai selipar ni, apa masalah you ni?"
"Betul you tak nak tukar?"
"Apa pasal I kena tukar? I tak fahamlah dengan you ni..." Faiq tentang pandangan.
"Kalau you masih degil nak pakai selipar busuk ni, kita balik saja. I tak ada mood nak shopping dengan you!" cabar Delisha.
"Lantak you la! I tak fahamlah you ni!" Faiq merengus dan memusingkan stereng pulang ke Vila Sentosa. Gaduh pun gaduhlah, dia peduli apa. Delisha kadang-kadang perfectionist sangat, buat Faiq rimas. Sesekali, dia harus didik Delisha agar menghormati Faiq.
Delisha muncung mulutnya boleh sangkut baju. Sakit betul hatinya Faiq lebih rela tak shopping semata-mata kerana selipar busuk tu.
Faiq mematikan enjin sebaik saja keretanya masuk ke pekarangan Vila Sentosa. Delisha masih cemberut muka.
"Isha, I ni suami you tau. Tak boleh ke you buang sikit degil you, belajar hormat I?" Faiq cuba bawa berbincang.
"I tak minta yang pelik-pelik pun daripada you. I cuma minta you tukar selipar tu kepada kasut yang lebih sesuai dengan penampilan you. Itu pun susah ke? I nak orang pandang kita sebagai perfect match, faham tak?" Delisha merengus dan keluar dari kereta. Pintu kereta dihempas kuat tanda bengang.
Faiq pun turut sama keluar. Ikutkan hal kecil saja, tapi bergaduh bagai langit nak runtuh.
"Hah, tutuplah kuat-kuat. Biar tercabut pintu tu. Sampai melambung kereta ni naik ke langit pun tak apa. You kan banyak duit, kejap lagi boleh beli 50 biji lagi!" Marah Faiq yang turut sama bengang. Delisha mencekakkan pinggang. Pergaduhan mereka bersambung di luar membuatkan sekuriti dan tukang kebun terpinga-pinga memandang. Tapi tak beranilah masuk campur.
"You ingat I heran sangat kereta you ni? Kalau tercabut pintu ni, sejuta pintu pun I boleh gantilah! You yang sengaja sakitkan hati I, you lebih pilih selipar busuk tu daripada isteri you. Sekarang ni, you berkasih sayang saja dengan selipar busuk tu, you jangan cari I!" Kuat suara Delisha bertempik. Faiq mengikuti Delisha dari belakang.
"Hah, eloklah samakan diri tu dengan selipar. Apa, hina sangat diri you tu sampai samakan dengan selipar yang letak kat bawah tapak kaki I aje?" Faiq menabur bara lagi pada pergaduhan. Sambil melangkah masuk rumah mereka bergaduh tanpa peduli mata-mata yang mengikuti.
Nenda Rosnah yang sedang berada di ruang tamu mengikuti pergaduhan suami isteri itu dari luar rumah. Sakan sungguh ingatkan isu apa. Isu selipar jamban pun bergaduh?
"You yang letakkan I lagi hina daripada selipar jamban you yang busuk tu! Malam ni tidur dengan selipar tu, jangan tidur dengan I! Peluklah selipar tu, biar segala virus, kuman, bakteria hinggap dalam badan you! Geli tau tak, jijik!" Delisha membebel lagi. Selipar Crocs yang ditanggal Faiq diambil Delisha lalu dibaling hinggap di belakang suaminya itu.
"Adoi! You, apa ni? You jangan main kasar dengan I ya?" Faiq naik berang. Delisha mencekak pinggangnya. Berapi angin marah keluar melalui hidungnya.
"Buat apa tinggal selipar busuk ni kat luar. You kan nak tidur dengan selipar kesayangan you ni!" Delisha membaling satu lagi. Faiq menyambutnya.
"Tak tahu pula you ni sebenarnya perempuan gila!" balas Faiq sakit hati.
"Perempuan mana tak jadi gila dapat suami perangai buruk macam you!" tengking Delisha kerana sakit hati.
"Ehem ehem!" Deheman Nenda Rosnah mendiamkan suasana. Faiq dan Delisha tersedar. Terpaku.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro