BAB 14
Nenda Rosnah duduk berhadapan dengan Fakrul dan Fazira serta Dalina dan Daud. Dia mahu membincangkan tentang perkahwinan cucunya yang dah lepas. Wedding of the year seperti mana permintaan Delisha dan Faiq adalah satu pembaziran yang cukup besar. Duit yang habis usah dicerita, Nenda Rosnah membayarkan segala bil dengan tangan terketar-ketar. Padahnya tak campur tangan soal persiapan perkahwinan dan hanya serahkan pada menantu.
"Tak sangka betul, untuk majlis perkahwinan mereka saja, jumlah keseluruhan hampir mencecah setengah juta. Dan yang paling menyakitkan hati aku ni, bahu aku yang kena galas bebannya. Kamu semua buat apa? Hah? Yang kahwin tu anak-anak kamu, apa pasal aku pula yang kena settlekan semuanya? Kau orang fikir aku ni, apa? Bank?" Nenda Rosnah mencekak pinggangnya tak puas hati. Dia akan bebelkan mereka habis-habisan kerana mereka termasuk anak-anak mereka sungguh melampau.
Fakrul, Fazira, Daud dan Dalina tunduk. Mereka pun tak sangka jumlahnya begitu besar tapi sangat berbaloi.
"Mak cik, saya minta maaf bagi pihak lelaki. Kami sebenarnya, ada juga bajet. Cuma tak sebanyak yang kita habis. Saya sekarang ni ada masalah kewangan sikit, mak cik. Memang tak dapat bagi banyak. Dalam RM70 ribu aje, itu pun sehabis mampu aje..." Fakrul menjawab.
Nenda Rosnah mengeluh. Dia tahu syarikat Fakrul memang bermasalah dan dia pun cuba selamatkan, tapi jangan sampai mengambil kesempatan ke atasnya.
"RM70 ribu aje? Dah tahu tak ada duit kenapa membazir? Buat ajelah setakat yang mampu." Fakrul dan Fazira tunduk malu.
Daud menyampuk.
"Mak, yang kahwin tu cucu tunggal mak. Apa salahnya mak berhabis? Mak bukannya tak ada duit?"
"Kau diam, Daud. Kau tu satu sen pun tak keluar belanja, kau nak bisingkan mak ni berkira. Padahal yang kahwin anak tunggal kau! Kau pun tak sedar diri yang kau tu pun bermasalah."
Daud tunduk, segan ditegur di depan semua.
"Mak, mak tahu kan, company Daud bermasalah. Kalau ikutkan hati, memang tak nak susahkan mak. Lagipun, mak juga yang nak Isha kahwin, kan? Padahal Isha tak bersedia pun lagi. Sekarang dah kahwin, mak bebelkan pula. Mak ni, semua tak kena..."
"Mak memang nak mereka kahwin, tapi mak tak sangka kamu semua sanggup aniaya mak sampai macam ni. Kamu ingat mak ni banyak sangat ke duit simpanan? Kalau mak jelaskan semua hutang-piutang kahwin Isha tu, akan susut teruk akaun mak. Business mak pun terjejas tau tak?"
"Mak cik, kami minta maaf. Kami pun tak tahu boleh jadi macam ni..."
Daud mencelah.
"Saya pun minta maaf, mak."
Nenda Rosnah menggelengkan kepala. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
"Dah sampai tahap macam ni kamu masih nak bela anak-anak kamu lagi? Kamu sanggup minta maaf bagi pihak anak kamu. Tapi mana anak-anak kamu? Hah? Kamu tahu tak anak-anak kamu sekarang tengah tambahkan bil yang sedia ada?"
"Apa, mak?" Daud terkejut.
"Mak tak nak cakap banyak, sekarang mak nak kamu semua panggil anak-anak kamu balik. Berhenti berseronok, berhenti enjoy! Dia orang mesti bertanggungjawab atas apa yang dia orang buat. Mak tak nak bagi muka dah sebab dia orang ni dah melampau."
"Baik, mak cik. Kami akan panggil dia orang balik asalkan mak cik sudi tolong kami..." Fakrul memberi jaminan. Dia harus tebalkan muka untuk minta bantuan Nenda Rosnah.
"Fakrul, lepas ni mak cik nak kamu paksa Faiq kerja. Mak cik tak nak tengok dia menganggur. Mak cik nak dia lebih serius dengan tanggungjawab dia. Sementara kita masih ada ni, kita kena bentuk dia. Jangan sampai dah terlewat, baru nak menyesal!"
"Sebelum ni memang saya ada ajak dia, tapi dia tak serius. Datang kerja suka hati, malas buat kerja. Tapi mungkin lepas kahwin ni dia akan berubah. Saya akan suruh Faiq datang bekerja, kalau dia tak mahu, saya akan paksa dia." Fakrul menjawab bagi pihak anaknya.
"Okey, mak cik pegang kata-kata kamu. Mak cik tak nak dengar lagi Faiq buat hal."
"Mak cik janganlah cakap macam tu. Mak cik cuma cari kesilapan anak saya aje, Delisha pun sama juga. Kalau anak saya teruk sangat, kenapa mak cik kahwinkan Isha dengan Faiq?" Fazira tak puas hati, anak yang dimanjai dikutuk begitu.
"Masalahnya kita pun tahu, mereka saling mencintai. Takkan nak pisahkan pula? Ya, mak cik risaukan kedua-duanya sekali. Delisha pun sama. Habis tu, dah nampak tak betul takkan kita nak biar aje? Berdosa kita."
Nenda Rosnah menanggalkan kaca mata berantai mutiara yang menutupi matanya. Agak kabur pandangan. Dia menghembus sedikit pada cermin untuk membuang habuk. Dipakainya semula. Barulah nampak jelas muka anak menantu dan anak saudaranya ini.
"Kita ni patut bersyukur Allah dah beri kita segala nikmat dunia. Nak beli apa, semua kita mampu. Semua kita dapat. Tapi hati kita tetap kosong, sebab di situlah Allah berada. Sebenarnya antara orang kaya dan orang miskin, menjadi orang kaya ujiannya lagi besar berbanding orang miskin. Esok-esok ditanya satu per satu, ke mana harta kita dihabiskan."
"Sekarang ni, kita dah terima akibat daripada perbuatan kita. Kita mula diuji dengan kesusahan akibat pembaziran. Kamu dapat anak-anak yang rosak akhlak kerana salah didikan kamu. Kamu perasan tak, masalah kewangan kamu sekarang ni adalah berpunca daripada anak-anak kamu yang tak bertanggungjawab. Duit semua dibelanjakan ke jalan yang haram. Jadi, di mana keberkatannya?
"Aku sayang cucu-cucu aku sebab tu aku tegur. Kamu kata kamu sayang anak kamu, tapi didikan kamu dah merosakkan mereka."
Dua pasang suami isteri itu mendiamkan diri dan tunduk. Mahu menjawab apa, dikala bab begitu disentuh kerana benar-benar belaka.
"Nampak gayanya, memang susah ubah sikap anak-anak kamu, ya kan? Sebab dah jadi buluh. Dah nasihatkan pun, bagaikan mencurah air ke daun keladi! Kalau begini gayanya harta aku tu, aku tak ingin serah pada cucu-cucu aku. Mahu terseksa aku dalam kubur esok-esok ni digunakan atas tujuan sia-sia!"
"Mak, janganlah macam tu. Kesian anak cucu, kami pun nak teruskan hidup kami juga."
"Sepatutnya, kamu kesiankan mak. Dah tua-tua macam ni pun masih pening kepala fikir pasal anak menantu. Tak cukup syarikat kamu buat hal, anak kamu pun tumpang sekaki menyusahkan mak. Mak dah penat tau nak settle kad kredit dan hutang-piutang yang dibazirkan anak kamu. Mak pun bukannya kaya sangat. Duit mak pun kalau begini gayanya dikikis, boleh habis. Sekarang ni bukannya masa nak habiskan duit lagi dah, kita semua kena berusaha nak bina balik delegasi perniagaan kita yang dah hampir merudum ni."
"Kamu nak tunggu apa lagi baru nak dengar nasihat mak? Nak tunggu sampai kita merempat tepi jalan? Gara-gara sikap anak kamu yang suka membazir tu, kamu boleh bankrap tau tak?"
Nenda Rosnah menghela nafas dalam-dalam. Mencari semula kesabaran.
"Mak ni dah tak lama nak hidup. Mak nak menambah amal baik untuk bekalan dalam kubur. Mak rasa ralat betullah berhabis duit macam tu. Lebih baik mak sedekahkan saja duit mak dapat juga pahala. Pasal hutang-hutang kamu tu, lantaklah. Kamu fikirlah sendiri macam mana nak settlekan!"
Nenda Rosnah yang bangun, dihalang anak-anaknya.
"Mak, janganlah macam tu. Mak tak fikirkan kami ke, kami pun anak-anak mak juga. Janganlah buat kami macam ni."
"Ina yakin, Isha dan Faiq kembali ke pangkal jalan. Cuma kita kena bagi mereka sedikit masa. Lama-lama mereka akan berubahlah." Dalina pula memberikan jawapan positif.
"Betul tu, mak. Daud rasa kita perlu bagi mereka peluang. Cucu-cucu mak tu taklah teruk sangat pun. Cuma mereka masih muda, tak matang lagi. Perlu masa nak berubah." Daud memberikan kepastian dipersetujui oleh Fazira dan Fakrul.
"Baik. Kalau kamu nak mak tolong kamu jelaskan semua bil-bil tu, kamu semua mesti terima syarat mak."
"Apa, mak?" Serentak mereka menyahut.
"Mak tak nak kamu masuk campur urusan mak dengan anak-anak kamu. Mak nak perbetulkan mereka. Apa saja tentang mereka, beri hak pada mak untuk uruskan dan jangan banyak bunyi. Kalau tak, jangan menyesal kalau kita semua merempat di jalan gara-gara sikap mereka yang tak bertanggungjawab. Faham?" Nenda Rosnah menanggalkan kaca matanya sambil memikirkan apa yang terbaik untuk membetulkan keadaan.
"Kenapa you cakap yang bukan-bukan dengan Faiq? Nampak sangat you tu tergila-gilakan bini dia. Kalau you masih cintakan Isha, kenapa you tinggalkan dia dan datang pada I? bukan ke I lagi hebat daripada Isha?" Belum sempat mahu ke tempat parkir Salima sudah mula bertanya dan membebel. Dia meluahkan rasa tidak puas hati mengenai kejadian tadi.
"You janganlah tanya soalan bodoh. I just nak uji Si Faiq aje tadi. Kalau I heran sangat dia dapat Isha, takkan I tinggalkan Isha? Isha tu kita kenal kan macam mana? Keras kepala, mulut laser, suka cari pasal, you ingat Faiq tu boleh bertahan ke dengan Isha? You pun please, janganlah nak semakkan kepala I boleh tak? Bosan I!" Jawapan ini sekadar memujuk hati sahaja. Perangai Delisha itulah yang membezakan Delisha dengan gadis lain. Salima ni terlebih tergedik, manja tak tentu pasal dan suka tanya soalan-soalan bodoh. Itu yang buat dia jauh beza dengan Delisha.
Salima berasa lega mendengarnya. Betul juga tu.
"Haah, kan? Kalau Isha tu perempuan baik, takkan you yang dah bercinta lebih lama pun boleh berubah hati? Ini kan pula Faiq yang baru saja kenal Isha." Salima mencebik.
Delisha memang cantik, tapi harap muka saja boleh pakai. Perangai buruk. Huh, macamlah perangai kau pun baik sangat. Suka benar suluh keburukan orang daripada mengenali diri sendiri.
Itu yang Zainal harapkan agar jodoh Faiq dan Delisha tidak berpanjangan. Entah kenapa, dia yakin sangat yang tiada lelaki yang boleh tahan dengan perangai Delisha. Hanya Zainal saja yang faham Delisha. Dia rasa Delisha memang untuknya cuma Zainal tersasar sedikit dulu. Tapi, perlukah dia berpegang teguh pada impian ini? Hingga lupa membina hidup sendiri buat sementara waktu.
Setelah penggera kereta ditekan, mereka masuk ke dalam perut kereta.
"Isha taklah teruk sangat. Cuma dia seseorang yang sukar difahami. 6 tahun kenal dia pun tak cukup untuk I." Zainal sedikit membela Delisha buatkan Salima tak senang duduk.
"Dahlah you, cakap pasal dia. Macam mana pun perangai Isha tu, yang penting azab you dah lepas. You kan ada I, I bukan macam Isha. I romantik, ambil berat, penyayang, selalu terima you seadanya. I pun cantik, seksi, pandai bergaya. I yakin kita akan bahagia. Delisha dan Faiq, mesti tak panjang jodoh. Yalah, perangai buruk." Mencebik-cebik mulut Salima tanda meluat sangat.
"Tak baiklah you cakap macam tu. Kita harap yang baik-baik sudahlah. Mereka pun dah kahwin, semoga bahagia sajalah." Bunyinya kedengaran terkilan.
"Betul ke you nak kita kahwin dalam masa terdekat?" Salima minta kepastian. Zainal melepas keluhan. Lidah sudah terlajak kata, bukan boleh undur. Mereka kini dalam perjalanan pulang.
Nama saja bercinta tapi jarang juga mereka meluangkan masa bersama setelah habis belajar. Masing-masing sibuk membina karier meneruskan legasi perniagaan keluarga. Kalau Salima tak bersungguh-sungguh datang mencari Zainal di pejabat, mengajak lunch atau dinner, boleh pudar kasih mereka. Tinggal memori. Nak harapkan Zainal, alasannya sibuk-sibuk.
"Dah tu, nak tunggu you tua bangka ke baru kita nak kahwin?" jawab Zainal dengan nada serius, bunyi bergurau. Keliru Salima nak gelak atau apa. Tapi dia sangat gembira kerana lampu hijau sudah diberi. Harap jadi kenyataan.
"Ya ke you? Happynya I. Dah lama tau I tunggu keputusan you ni. I harap lepas ni hubungan kita lebih bermakna lagi. I tak sabar nak jadi isteri you." Salima mula berangan akan majlis perkahwinan mereka. Baju warna apa, tema apa, buat di mana, design baju dan make up dengan siapa. Yang penting mesti lagi meriah daripada Faiq dan Delisha.
"Minggu ni juga keluarga I akan meminang you." Zainal membuat keputusan. Dia tak mahu tunggu dan berharap lagi. Rasa tercabar betul dengan Faiq tadi. Biarlah dia kahwin, puas hati dapat menayang pada Faiq dan Delisha. Walaupun cinta ini dibina atas dasar pengkhianatan namun mereka tetap mampu bahagia.
Hati Salima girang mendengarnya. Rasa mahu melompat saja. Seronok tak terhingga.
"Nanti I akan beritahu famili I yang famili you nak datang merisik." Salima membalasnya. Gembira sangat, hilang rasa curiganya pada Zainal. Dia yakin, Zainal mencintainya seorang saja kini.
Tapi sebenarnya, Zainal selalu saja sibuk memujuk Delisha kembali padanya di belakang Salima. Hanya Salima saja tak tahu. Hukuman Delisha berterusan. Tiada maaf. Keluarlah segala sajak puisi cinta, Delisha sudah jadi beku dek rejaman luka daripada Zainal.
Benarlah, jatuh cinta itu hanya sekali. Cinta yang berikutnya hanya mampu menempel tidak tahu malu seandainya tak mampu menandingi kehebatan orang pertama. Dan, Zainal kini sedang menelan padah menderhakai cinta pertama.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro