Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

PROLOG

Prolog 

Paris, 2016...

Menara Eiffel!

Ya, itulah yang sedang Nafisa lihat sekarang. Struktur besi yang berusia ratusan tahun berketinggian tiga ratus dua puluh empat meter itu sedang gagah berdiri di hadapannya.

Menara Eiffel atau dalam bahasa Perancis disebut Tour Eiffel dibina di Champ de Mars di tepi Sungai Seine, Paris. Menara yang pada mulanya mendapat bantahan penduduk sekitarnya sewaktu awal pembinaan kini gah diperkatakan di seluruh dunia.

Jika ditanyakan kepada penduduk Malaysia apa itu Menara Eiffel, pasti mereka akan menjawab menara ini adalah binaan yang sarat dengan cerita-cerita romantiknya. Yang sentiasa menjadi dambaan pasangan yang sedang hangat bercinta untuk dilawati.

"Udah-udahlah tu mendongak ke atas. Karang terkehel tengkuk angah susah pulak along," tegur Nadine mengejutkan Nafisa.

Nafisa tidak menjawab. Dia hanya meleretkan senyuman panjang tetapi pandangannya sudah dialihkan ke tempat lain. Takut juga jika teguran Nadine itu betul. Dalam keadaan cuaca yang sangat sejuk ini apa saja boleh berlaku. Urat saraf dan tulang-temulang berada dalam keadaan amat sensitif lebih-lebih lagi urat saraf orang Malaysia yang tidak biasa dengan cuaca begini.

"Are you speaking english?"

Seorang lelaki kulit hitam yang memakai baju sejuk berwarna kelabu datang menyapa. Di tangannya ada sesuatu yang Nafisa tidak pasti apa. Seperti tali tetapi pendek.

"Yes," jawab Nafisa sepatah. Mungkin lelaki ini pelancong sama seperti mereka yang mahu bertanyakan arah.

"Try this."

Tanpa sempat Nafisa tolak, dengan pantas lelaki berkulit hitam itu menarik tangannya lalu mengikat tali pendek yang dipegang tadi.

"Hey!" jerit Nafisa tidak senang diperlakukan seperti itu.

"Ten euro," kata lelaki kulit hitam itu selamba. Kesepuluh jari-jemarinya diangkat.

"Eh, sesuka hati dia nak ikat orang dengan entah tangkal apa lepas tu minta sepuluh euro! Banyak cantik muka kau," bebel Nadine cuba membantu Nafisa menanggalkan tali yang diikat tadi.

"This is tradition. If you don't respect us, we won't respect you," tambah lelaki berkulit hitam itu memberi amaran seolah-olah faham dengan bebelan marah Nadine.

Nadine terkejut. Dia mula takut. Dengan laju tangannya menyeluk kocek baju sejuk yang dipakai lalu mengunjukkan syiling dua euro kepada lelaki berkulit hitam itu.

"Take this," katanya tidak mahu lagi mengeruhkan keadaan.

"We don't receive coins," tolak lelaki berkulit hitam itu selamba.

Nadine tambah terkejut dan takut. Nafisa pula berbeza emosi. Dia mula berang.

"Kurang ajar punya awang hitam!" tempiknya dengan wajah garang. Dah diberi duit pun tidak bersyukur sedangkan satu sen pun tidak sepatutnya lelaki itu dapat.

"Dahlah tu, angah. Bagi sajalah apa yang dia nak. Dia sebut 'we' bermaksud ada ramai konco-konconya di sini."

Nadine memberi amaran.

"Jangan haraplah angah nak beri, long. Kurang ajar sangat dia ni," bantah Nafisa menolak cadangan Nadine. Memang kepantangnya jika orang main paksa-paksa. Kalau ya pun nak menjual barang, banyak lagi cara lain yang boleh dilakukan.

"Bagi ajelah, angah. Tengok muka dia tu. Lain macam sangat. Entah-entah dia ada senjata. Janganlah degil," pujuk Nadine lagi. Wajahnya seperti mahu menangis.

Geram pula Nafisa melihat ketakutan Nadine. Awang hitam tu makin naik kepalalah nanti.

"Jangan kalah dengan orang jahat macam ni. Dia ingat kita ni pelancong, perempuan pula tu, jadi dia nak ambil kesempatan? Memang taklah. Dasar samseng," tolak Nafisa mentah-mentah.

"Angah..."

"Along diam," bentak Nafisa tegas. Dia melangkah setapak berdiri betul-betul di hadapan lelaki berkulit hitam itu.

"No, I won't pay."

"Hey you!"

Lelaki itu merentap tangan Nafisa dengan kuat.

"Aduh!" jerit Nafisa tidak menyangka akan diperlakukan seperti itu.

"Se perdent ou j'appellerai la police. (Berambus atau saya akan panggil polis).

Seorang lelaki tiba-tiba datang menempik. Dari arah mana lelaki itu muncul, baik Nafisa mahupun Nadine, kedua-dua mereka tidak dapat mengagak. Tahu-tahu saja sudah ada di hadapan mata.

Ajaibnya dengan satu sergahan, lelaki kulit hitam itu terus lari lintang-pukang. Tidak perlu beradu kekuatan langsung.

"Bodoh punya orang. Ingat kuat sangat!" jerit Nafisa melepaskan geram.

"Angah, sudahlah tu."

"Jantan sergah, tak cukup kaki kau lari. Ingatkan hebat sangat," sambung Nafisa lagi tunjuk berani. Dia langsung tidak mengendahkan teguran Nadine.

"Sudahlah tu, angah. Karang dibawanya geng, alamat matilah kita. Jangan berlagak sangat," marah Nadine geram dengan kedegilan Nafisa. Di negara orang pun masih mahu tunjuk keras kepala.

Nafisa muncung. Salahkah dia mahu melepaskan geram kepada orang yang sebegitu? Lagipun dia bukan tunjuk lagak membuta tuli. Ada super hero tinggi dan bertubuh sasa yang sedang berdiri di sebelahnya.

Nafisa menoleh memandang lelaki yang dimaksudkan. Lelaki itu memakai baju sejuk berwarna hitam, snow cap dan mafla yang menutupi separuh muka.

"Thank you," ucapnya baru teringat untuk berbuat demikian.

Lelaki itu tidak menjawab. Hanya berdiri tegak dan merenung wajah Nafisa.

"Dia tak faham bahasa Inggeris kut, angah," kata Nadine membuat andaian sendiri.

"Takkan thank you pun tak faham? Bodoh sangat tu."

"Habis tu, kenapa dia senyap berdiri tegak tak ada reaksi?"

Nafisa terdiam. Masuk akal juga apa yang diperkatakan oleh Nadine itu. Jika faham, masakan tidak menyambut ucapan terima kasih yang diberi tadi?

"Agaknya dia ni tipikal French yang tak nak belajar bahasa Inggeris langsung."

Nafisa meluahkan pendapatnya.

"Yalah tu."

"Jomlah berkenalan. Untung-untung sangkut, boleh menetap terus di sini. Seronok tu."

"Angah ni. Sempat lagi."

Nadine menyiku Nafisa.

"Sakitlah," rengek Nafisa menggosok bahagian pinggangnya yang sakit akibat disiku.

"Along, bagaimana nak menyebut terima kasih dalam French? Angah lupalah," bisiknya geli hati. Namun begitu pandangannya tetap tidak dialihkan daripada lelaki tadi.

Nadine ketawa kecil. Itulah Nafisa. Mudah sangat lupa. Short term memory.

"Merci," ajarnya.

"Kau orang berdua ni okey tak? Tangan awak tadi kena rentap, kan?"

Sebelum sempat Nafisa mengulangi perkataan yang disebutkan oleh Nadine tadi, lelaki yang berdiri di hadapan mereka itu telah terlebih dahulu bersuara.

Nafisa dan Nadine sama-sama berpandangan.

"Apa?" kata mereka hampir serentak.

"Saya orang Malaysialah."

Rahang Nafisa jatuh. Malu. Dia sangat malu.

"Malaysian?"

"Yes. Malaysian," angguk lelaki itu mengeyakan.

"Jadi awak fahamlah apa yang saya cakapkan tadi?"

"Faham," angguk lelaki itu sekali lagi.

"Dah faham kenapa diam? Saja nak malukan kami?" bentak Nafisa melepaskan marah.

"Maafkan adik saya, encik. Suara dia memang semula jadi kuat tetapi dia tidak berniat apa-apa," kata Nadine mengambil hati. Malu betul dia dengan mulut celopar Nafisa.

"Baru first time ke sampai di Paris? Berdua saja?" soal lelaki itu langsung tidak menunjukkan tanda-tanda kecil hati dengan apa yang telah diperkatakan oleh Nafisa tadi.

"Haah. Baru first time. Tak sangka pula awal-awal lagi dah diduga begini," angguk Nadine menjawab dengan baik.

"Di sini jangan tunjuk sangat macam pelancong asing, sikit-sikit nak berselfie. Memang jadi tumpuan scammerlah. Kau orang baru terkena dengan si pengikat gelang. Belum lagi berjumpa dengan kumpulan Romanian gypsy. Mereka ni lagi licik."

Nafisa senyum kelat. Kena setepek. Sejak menjejakkan kaki ke lapangan terbang Charles-de-Gaulle memang berselfie saja kerja mereka. Tak sangka pula perbuatan itu akan mengundang bahaya.

"Romania tu buat apa pula?" soal Nadine mula bimbang.

"Mereka akan datang dekat dan unjuk satu kertas minta tanda tangan kononnya untuk satu petisyen. Jika kau orang melayan dan buat apa yang disuruh, mereka akan minta bayaran."

"Macam Negro tadilah. Saya jawab saja pertanyaan dia terus dia ikat tangan saya dan minta bayaran," sampuk Nafisa mula ramah.

"Ya betul. Mereka memang licik. Mereka akan meminta wang dan melakukan provokasi sehingga kita hilang sabar dan bergaduh dengan mereka. Pada waktu itu akan ada orang lain yang datang mencuri barang-barang berharga tanpa kita sedari."

"Jahat sungguhlah mereka ni," sambut Nadine geram.

"Tak perlu takut. Kalau didekati oleh Romanian gypsy ni, kau orang buat muka garang. Tengoklah lelaki kulit hitam tadi. Sekali sergah terus cabut lari."

Nafisa dan Nadine sama-sama mengangguk.

"Yang penting, jangan sesekali melayan. Jika mereka mengganggu juga jerit voleur kuat-kuat. Banyak kali pun tak apa."

Lelaki tinggi lampai itu terus-terusan memberikan petua.

"Voleur tu apa maksudnya?" soal Nafisa tidak faham.

"Pencuri."

"Ooo..."

"Yang membusukkan nama Paris adalah pendatang. Penduduk tempatan semuanya baik-baik belaka cuma kekangan bahasa yang membuatkan mereka kurang ramah dengan kita."

"Kami bertuah sangat dapat berjumpa dengan encik. Kalau encik tak tolong kami tadi, tak tahulah apa yang berlaku," puji Nafisa berubah nada. Jika tadi dia marahkan lelaki itu kini bersyukur pula.

"Dah kebetulan saya lalu di situ dan nampak apa yang berlaku, takkan saya nak tengok saja. Sesiapa pun akan melakukan perkara yang sama, kan?"

"Encik memang tinggal di Paris?" cungkil Nadine berminat mahu mengetahui tentang lelaki itu.

"Tak... Saya sama macam kau orang. Jalan-jalan melihat bumi ciptaan Tuhan. Orang kata travel ni bukan sekadar mencuci mata tetapi kita belajar so many things about life. Sebab itulah ada pepatah menyatakan of all the books in the world, the best stories are found between the pages of a passport."

Nafisa terpanar. Lelaki ini membuatkan dia terpesona dengan kata-kata yang indah.

"Maafkan saya. Saya rasa saya kena minta diri dulu," sambungnya mengejutkan Nafisa yang masih lagi tidak puas berbual dengan lelaki itu.

"Tak apa, encik. Kami yang perlu minta maaf kerana mengganggu kerja encik."

Nadine mengangguk.

"Semoga jumpa lagi nanti. Assalamualaikum."

Waalaikumussalam, balas Nafisa dalam hati. Dia memerhatikan langkah lelaki itu sehingga hilang dari pandangan matanya.

Entah mengapa ada kesedihan yang menyentuh tangkai hati tatkala melihat susuk tubuh itu pergi.

Siapakah namamu?

Argh... Nafisa mengeluh kesal.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro