Bab 9
Hari ini Gazza membawa Amna berjumpa dengan Doktor Anjali. Sepatutnya janji temu mereka lambat lagi setelah janji temu sebelum ini dibatalkan tetapi pagi ini dia menerima panggilan daripada Doktor Anjali supaya membawa Amna ke hospital pada pukul lima petang. Gazza apa lagi. Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. Dia laju bersetuju.
Sepanjang proses rawatan berlangsung, Amna telah diminta untuk menjalani beberapa ujian mudah. Gazza tidak langsung mengganggu. Dia hanya bersuara apabila disoal.
"Macam mana, Doktor Anjali?" soal Gazza tidak sabar sebaik ujian berakhir. Doktor Anjali tidak terus memberikan jawapan sebaliknya dia menghulurkan kertas yang telah ditulis.
Referred to: Dyslexsia Associations
Provisional diagnosis: Dyslexic features
Purpose for referral: Premedication and support
Nafas Gazza sesak. Dia memandang Doktor Anjali dengan penuh pengharapan. Mengharapkan agar diagnosis itu salah. Pandangan yang sebelum ini hanya dia yang melihat tetapi kini dia yang memberinya.
"Are you sure?"
Gazza tahu tentang disleksia. Sebagai seorang doktor, adalah mustahil untuk dia tidak tahu tentang itu tetapi untuk dia menerima diagnosis Doktor Anjali amatlah sukar. Dalam keluarganya tiada sesiapa yang mempunyai ciri-ciri disleksia.
"Lihat ini, Doktor Gazza," kata Doktor Anjali fasih berbahasa Melayu sambil menunjukkan tulisan tangan Amna.
Gazza akur. Dia terus melihat ke arah apa yang disuruh.
"Dyslexic children are very likely to leave a few words when copying sentences," terang Doktor Anjali membuat beberapa bulatan di atas kertas.
Gazza nampak dengan jelas apa yang dimaksudkan oleh Doktor Anjali itu. Dia menelan liur.
"Apart from that they also tend to write some letters to the upside down. As an example... The word book, b has written into d."
"I see," angguk Gazza lemah.
"Doktor Gazza, I juga nampak Amna susah untuk mengingati informasi penting seperti phone numbers, parents full name and home address. Usually at this age, most children have memorized this important informations," tambah Doktor Anjali lagi menyesakkan dada Gazza.
"Apa penyebabnya?"
"Biasanya keturunan."
"Tetapi keluarga kami tiada yang bermasalah seperti ini."
Tangkas Gazza menolak. Dia yakin tentang itu. Datuknya seorang guru, neneknya seorang jururawat. Pada zaman dahulu apabila mempunyai kerjaya seperti itu mereka bukanlah calang-calang orang. Hanya yang benar-benar cerdik sahaja akan ke hadapan. Ayahnya pula seorang doktor manakala ibunya seorang bekas pensyarah.
"You silap, Doktor Gazza. Penghidap disleksia bukannya bodoh. Mereka selalu disalah anggap. Mereka juga dikatakan OKU sedangkan hakikatnya tidak."
Gazza terpempan. Tercabar egonya kerana dikritik oleh rakan sekerja sendiri tetapi mengenangkan jasa baik Doktor Anjali yang sanggup meluangkan masa demi Amna, perasaan ego itu dibuang jauh-jauh.
"What should I do?"
"Macam yang I tulis, you should referred her to Dyslexsia Associations. Mereka lebih terlatih dalam menangani masalah ini. I sendiri pun tidak boleh membantu. Kita semua pun tidak boleh membantu. Ini di luar bidang kita, Doktor Gazza. Kita cuma boleh mengenal pasti ciri-ciri disleksia sahaja tetapi tidak mengatasi. I am sorry," terang Doktor Anjali jujur.
Disleksia bukan cabang pendidikannya. Malah ianya juga bukan cabang pendidikan Gazza atau mana-mana doktor pakar di situ jadi Amna perlu dirujuk kepada pihak yang lebih pakar tentang masalah ini.
Gazza melemparkan pandangannya kepada Amna. Kanak-kanak itu membalas dengan senyuman yang membuatkan Gazza sebak. Bagaimana dia harus menerangkan tentang itu kepada Amna? Dapatkah kanak-kanak sekecil Amna memahami apa yang berlaku? Satu hal lagi, bagaimanakah harus dia memberitahu mamanya? Berat betul beban yang sedang dipikul saat ini.
"Doktor Gazza, kanak-kanak disleksia mempunyai IQ yang lebih tinggi daripada kita jika dibantu dengan cara yang betul kerana mereka sangat kreatif dan boleh berfikir di luar kotak."
Gazza hanya mengangguk. Dia terus meminta diri untuk membawa Amna pulang. Sebagai seorang profesional, dia akan mengikut cadangan Doktor Anjali. Dia akan memastikan Amna dibantu. Itu janjinya demi menunaikan tanggungjawab atas anugerah yang telah Allah berikan kepada mereka sekeluarga.
PUKUL sembilan malam Gazza kembali semula ke hospital selepas menghantar Amna pulang kerana dia perlu mengetuai satu pembedahan. Kesibukan bekerja membuatkan masalah Amna lenyap dari fikiran. Begitulah Gazza. Sangat komited pada kerjayanya.
"Doktor."
Langkah Gazza terhenti sewaktu dia melintasi meja jururawat untuk ke biliknya. Dia mengundur ke belakang. Wajah Jihan direnungnya bimbang.
"Awak tak balik lagi?"
Jihan senyum panjang. Dia menggeleng.
"Saya tunggu doktor sebab saya tahu doktor akan datang balik. Saya ada letakkan makanan atas meja doktor."
Makanan? Dahi Gazza berkerut. Gazza makin rasa tidak selesa.
"Ya, saya belikan kek pandan yang doktor suka."
Gazza tergamam. Sampai kek kegemarannya pun Jihan tahu. Ini mesti Jihan ada merisik tentang dirinya di mana-mana. Keterlaluan sangat.
"Terima kasih," ucap Gazza tidak mahu membuang masa. Selepas itu dia laju pergi meninggalkan Jihan yang terkulat-kulat melihat reaksi spontannya.
Sampai saja di bilik, Gazza mengeluarkan telefon pintarnya dari dalam poket seluar. Nombor Nabil didail.
"Helo."
Kedengaran lemah suara Nabil di talian.
Nabil adalah rakan sekerja tetapi mereka jarang berjumpa. Hanya sekali-sekala bertegur sapa apabila bertembung tetapi Nabil sudah dikenalinya lama. Sejak housemanship lagi.
"Kau dah tidur ke?" tanpa mukadimah terus Gazza menghamburkan soalan itu.
"Belum," jawab Nabil masih lagi lemah.
"Habis tu yang lemau semacam ni kenapa?"
"Aku tertidur."
Gazza pening dengan jawapan Nabil. Tadi bilang belum tidur tetapi kini dikhabarkan tertidur. Mengigau agaknya.
"Kau pergilah tidur, Bil. Besok..."
"Eh, eh nanti! Kau telefon aku malam-malam buta ni mesti bersebab," tahan Nabil memotong kata-kata Gazza. Frekuensi suaranya sudah berubah. Lebih bersemangat.
"Malam buta apanya? Baru pukul sembilan sepuluh minit."
Senyap.
"Nabil, kau dengar tak ni?!" jerit Gazza kuat.
"Dengar. Aku tengah nak pastikan betul tak jarum pendek pukul sembilan. Rasa macam dah lama sangat tidur," balas Nabil memberikan alasan mengapa dia senyap.
Gazza ketawa. Kalau ya pun nak tengok jam, janganlah senyap terus. Kan percuma saja kena tengking.
"Aku kat hospital ni," beritahu Gazza tanpa ditanya.
"Ada masalah ke bro, sampai kau cari aku?"
Gazza senang dengan sikap ambil berat Nabil. Sebab itulah jika ada masalah Nabil yang dicari.
"Bukan pasal kerja tapi Amna."
Sunyi.
"Are you listening?"
Geram pula Gazza dengan Nabil. Takkan sambung tidur semula. Orang cakap senyap tak membalas.
"Dengar," sambut Nabil mendengus. Tadi tu bukannya dia tidak mahu menumpukan perhatian tetapi telefonnya jatuh menghempap muka.
"Kenapa dengan Amna?" sambungnya berminat.
"Tadi aku bawa Amna jumpa Doktor Anjali. Dia ada disleksialah."
"Oh, disleksia!" Nabil tenang menerima berita itu.
"Doktor Anjali kata apa lagi?"
"Dia refer Amna ke persatuan disleksia."
Senyap. Nabil membisu kerana mencari kata-kata yang sesuai yang tidak akan menggoreskan hati Gazza. Dia tahu Gazza sedih kerana nada suara Gazza menceritakan perasaannya.
"Ikut sajalah cadangan Doktor Anjali tu. Dia kan lebih pakar tentang ini." Akhirnya Nabil memecahkan kesunyian. Lembut dan teratur.
Gazza mengeluh.
"Fahami dulu apa itu disleksia, Ghaz," tambah Nabil lebih hati-hati.
"Inilah masalahnya."
"Apa masalahnya, Ghaz? Ramai saja pengidap disleksia yang berjaya."
"Aku mungkin boleh faham tapi mama aku tidak."
Suasana hening kembali. Baik Gazza mahupun Nabil kedua-duanya diam membisu.
"Senang macam inilah, kau pergi dulu ke persatuan disleksia tu. Bawa Amna. Mereka pasti akan menjalankan ujian juga. Tak semudah itu mereka mahu menerima Amna sebagai pelajar. Apabila mereka juga mengesahkan perkara yang sama, baru kau beritahu mama kau. Berdoa sajalah Ghaz yang mama kau dapat menerima berita ini dengan hati yang terbuka. Sekurang-kurangnya kau telah melakukan sesuatu untuk anak saudara kau tu."
Gazza menarik nafas dalam-dalam. Tidak semudah itu. Nabil tidak kenal mamanya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro