Bab 6
Gazza memejamkan mata sambil bersandar ke kerusi menggunakan sepenuhnya sedikit masa terluang yang dia ada untuk melepaskan lelah. Hari ini Gazza tidak dapat membawa Amna berjumpa dengan Doktor Anjali seperti yang dijanji. Pukul dua nanti dia perlu melakukan satu pembedahan. Sebelah malamnya pula dia ada satu pembedahan lagi.
Gazza tidak risau tentang itu. Sebulan lagi dia akan bercuti selama dua minggu. Dia ada misi yang perlu diselesaikan. Misi mencari Gina.
Gina adalah satu-satunya kakak yang Gazza ada. Gina hanya tua setahun daripadanya. Jika Gazza dilihat sebagai anak yang mentaati kedua-dua orang tuanya, Gina pula dilihat punya sikap yang berbeza.
Gina suka memberontak. Gina suka menimbulkan masalah. Namun begitu, Gina masih lagi mengambil jurusan perubatan seperti mana yang Puan Syatilla mahukan dan menjadi doktor. Gina juga mengahwini lelaki yang dipilih oleh keluarga walaupun jodohnya dengan lelaki itu tidak panjang.
Selepas bercerai, Gina mengalami kemurungan sementelah pula dia diceraikan sewaktu sarat mengandungkan Amna. Tetapi kemurungan Gina tidak lama. Setelah Amna dilahirkan, Gina bangkit semula.
Gazza berasa sangat gembira melihat kebahagiaan Gina tetapi kebahagiaan Gina itu tidak lama setelah Puan Syatilla asyik mendesak Gina untuk menyambung pelajarannya supaya menjadi kebanggaan keluarga seperti mana Gazza. Walaupun sedih mahu meninggalkan Amna, Gina terpaksa juga akur dengan kemahuan ibu mereka. Gina ke Ireland selepas menyambut ulang tahun kelahiran Amna yang keenam dan semenjak itu Gina tidak lagi pulang.
Gazza pernah ke Ireland untuk mencari Gina tetapi dia terkejut apabila Gina tiada di alamat yang diberi. Bagaikan orang gila Gazza mencari Gina di merata tempat. Dia akhirnya pulang ke Malaysia dengan tangan kosong. Seminggu selepas pulang, Gazza menerima e-mel daripada Gina yang dirinya selamat dan minta Gazza berhenti mencarinya.
Gazza puas memujuk dan merayu Gina supaya pulang tetapi Gina tetap dengan pendiriannya. Dia hanya akan pulang setelah hatinya terbuka untuk berbuat demikian.
"Ghaz akan cari Gina sampai dapat," tekad Gazza berjanji pada diri sendiri.
"Sunyi saja bilik ni, doktor."
Gazza terkejut. Dia menjeling ke pintu yang tidak bertutup. Di situ Jihan sedang berdiri sambil tersenyum manis.
"Ada apa, Jihan?" soalnya rasa terganggu. Jihan memang selalu muncul tiba-tiba tanpa mengetuk dahulu pintu biliknya.
"Nak bagi doktor ni."
Tupperware berwarna hijau diletakkan di atas meja.
"Terima kasih."
Gazza buat wajah serius. Langsung tidak menunjukkan reaksi seronok menerima pemberian itu.
"Doktor tak nak tengok ke apa yang saya masak?"
Jihan masih lagi tidak faham bahasa. Dia masih lagi pegun di tepi meja.
"Sekejap lagi saya tengok. Saya sibuk sikit."
"Sibuk sampai lagu pun lupa nak pasang ya, doktor?"
Gazza senyum segaris. Selepas itu pandangannya hanya difokuskan ke skrin komputer.
"Saya keluar dulu ya, doktor? Jangan lupa makan."
Gazza angguk mengeyakan pesanan Jihan. Matanya masih lagi difokuskan ke tempat yang sama.
"Keluar pun."
Kata Gazza lega sebaik Jihan meninggalkannya. Gazza tahu Jihan sukakannya lebih daripada biasa. Layanan yang Jihan berikan tidak seperti layanan yang selayaknya seorang doktor dapat. Gazza tidak suka dengan layanan itu. Hubungan sesama rakan sekerja bukan sesuatu yang diminatinya. Dia mahu mencari wanita yang berada di luar bidang kerjayanya. Barulah pemikiran akan jadi lebih berkembang dan perbualan akan jadi lebih besar. Tak adalah topik yang sama saja dibincangkan apabila berjanji temu.
"Masalah betullah Jihan ni," keluh Gazza. Dia mencapai tetikus, membuka fail muzik dan melihat senarai lagu yang tertera. Lagu XPDC bertajuk Nafisa menarik perhatiannya dan secara tiba-tiba bibirnya menguntumkan senyuman.
Di keheningan malam ini,
aku dihimpit kenangan,
sejarah cinta mengajarku,
sepanjang hari sepanjang malam...
Gazza menutup matanya. Lagu yang berkumandang di udara mengingatkannya kepada pesakit yang mempunyai nama sama dengan tajuk lagu yang sedang didengar. Keletah gadis itu mencuit hati. Gelabah semacam tetapi sebenarnya berani. Jika tidak, masakan percuma saja menyindirnya. Bukan itu saja, Nafisa juga mempertikaikan cara rawatan yang telah diberi. Siap mengajar lagi apa yang perlu dilakukan. Selamba betul.
Tidak semena-mena perasaan untuk berjumpa dengan Nafisa datang membuak-buak. Cepat-cepat Gazza melirik jam di tangan. Sudah pukul dua belas setengah tetapi pihak day care belum lagi menghubunginya. Dia mengangkat gagang telefon di atas meja. Mahu menghubungi Jihan dan menyuruh Jihan mendesak pihak-pihak yang terlibat supaya mempercepatkan proses pembedahan kecil Nafisa kerana dia sudah tidak sabar mahu berjumpa dengan gadis itu buat kali yang kedua.
DARI jauh Nafisa nampak Encik Nuruddin berjalan sambil mata liar memerhati sekeliling. Wajahnya tampak cemas. Inilah yang Nafisa tidak suka. Dia memang tidak mahu menyusahkan hati kedua-dua orang tuanya.
Cukuplah selama ini dia yang menjadi keutamaan keluarga. Ditatang dan dijaga dengan layanan istimewa. Nafisa masih ingat lagi pengorbanan alongnya Safia Nadine yang terpaksa melupakan hasrat ke sekolah berasrama penuh dan masuk ke sekolah harian kerana mahu melindunginya apabila dia melangkah ke sekolah menengah. Jarak umur mereka hanyalah setahun sahaja.
Nafisa juga masih ingat lagi pengorbanan Nadira yang terpaksa menunggu lama di sekolah selepas habis waktu persekolahan kerana ibunya perlu mengambil Nafisa dahulu di Titiwangsa. Kakak dan adiknya itu langsung tidak merungut mahupun cemburu dengan perhatian yang dia terima.
"Eh, mana ayah?" omel Nafisa terkejut melihat bayang Encik Nuruddin tiba-tiba hilang dari pandangan mata. Menyesal pula dia mengelamun dan tidak mendapatkan lelaki itu tadi.
"Angah sakit apa? Kenapa tak beritahu ayah? Kenapa buat keputusan sendiri?"
"Oh, mak kau!"
Nafisa melatah. Terkejut dia apabila melihat ayahnya tiba-tiba muncul dari belakang dan menyergahnya.
"Angah... Angah..."
"Angah apa?!" jerkah Encik Nuruddin kecewa dengan sikap ambil mudah Nafisa. Sakit pening bukannya hal yang boleh dibuat main lagi-lagi apabila dirujuk ke hospital.
"Angah tak ada sakit yang kronik pun cuma tahi lalat angah inilah. Semalam doktor di klinik berhampiran rumah kita tu refer angah ke hospital, jadi angah datanglah sini. Ayah janganlah marah. Angah tengah runsing ni," terang Nafisa takut-takut.
"Macam mana ayah tak marah. Angah di bawah jagaan ayah. Setiap keputusan yang angah ambil perlukan kebenaran ayah terlebih dahulu."
Kali ini suara Encik Nuruddin sudah mula kendur. Banyak mata yang memandang mereka. Malu dia kerana gagal mengawal perasaan.
"Maafkan angah, yah. Angah memang tak sangka doktor nak terus buang. Angah ingatkan kena tetapkan tarikh yang lain."
Encik Nuruddin merenung wajah Nafisa. Wajah itu nampak jujur.
"Sebab itu kita kena berbincang dalam semua perkara kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku."
"Baik, yah. Lepas ni angah akan lebih beringat," janji Nafisa insaf.
"Bayaran macam mana?"
"Insurans."
Encik Nuruddin menarik nafas lega. Pandai pula bab yang ini. Dia tidak kesah insurans mana pun yang Nafisa guna janji Nafisa tidak memandai membayar bil perubatan menggunakan wang simpanan sendiri.
"Macam mana angah tahu cara nak guna insurans? Angah bukannya pernah masuk hospital," duga Encik Nuruddin mengorek rahsia.
"Baby yang ajar."
Encik Nuruddin kerut dahi. Nadira tahu bermakna hanya dia saja yang tidak diberitahu. Bertuah punya anak-anak. Sepakat, seia dan sekata.
"Macam mana baby boleh tahu tapi ayah tak tahu?"
Nafisa senyum tawar tidak tahu bagaimana mahu memberikan jawapan.
"Ibu tahu?"
Nafisa geleng dan cebik.
"Nampaknya ayah kena mengadu dengan ibu. Beritahu tentang sakit angah dan pakatan yang kau orang buat."
"Ayah janganlah beritahu ibu. Please, ayah. Pleaseee," rayu Nafisa minta simpati. Dia kenal benar Puan Hatieza. Ibunya itu pasti akan pulang secepat mungkin. Tidak mahulah jadi begitu kerana dia bukannya sakit teruk.
"Bila doktor nak laser tahi lalat angah tu?"
Belum pun sempat Nafisa menjawab soalan Encik Nuruddin itu, telefon pintarnya berbunyi. Dia pantas menjawab. Panggilan itu datangnya dari unit day care yang meminta Nafisa untuk datang mendapatkan mereka.
"Yah, nurse dah panggil. Dia suruh pergi ke day care di tingkat dua."
"Dah nak buat ke?"
"Mungkin kut."
Nafisa angkat bahu. Dia sendiri kurang pasti tentang itu.
"Okeylah. Jom ke sana. Ayah pun nak jumpa doktor."
Nafisa tidak banyak soal. Dia melangkah ke arah lif yang terletak tidak jauh dari mereka diikuti oleh Encik Nuruddin.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro