Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

Seperti yang dijangka, doktor di klinik berdekatan rumah telah merujuk kes Nafisa ke general surgeon di hospital. Setelah perbincangan dibuat, Nafisa mengambil keputusan untuk berjumpa dengan general surgeon keesokan harinya juga memandangkan dia mahu cepat tahu apakah masalah tahi lalatnya yang sakit itu walaupun Nadira tidak dapat turut serta menemaninya disebabkan komitmen kerja.

Encik Nuruddin pula tidak diberitahu tentang berita ini kerana Nafisa tidak mahu ayahnya itu mengambil cuti semata-mata mahu menemaninya di hospital.

Disebabkan oleh itu, tika dan saat ini jantung Nafisa sedang berdegup dengan laju di dalam unit multidisiplin di Pusat Perubatan Prince Court. Ini pengalaman pertamanya datang ke hospital seorang diri. Manalah dia tidak cuak.

Di dalam unit multidisiplin ini ada terdapat empat bilik doktor pakar. Nafisa telah dijadualkan untuk berjumpa dengan Doktor Ibrahim Gazza. Bilik yang mana satu, Nafisa tidak tahu. Yang dia tahu saat ini adalah dia sangat menyesal mengambil keputusan untuk mendapatkan rawatan seorang diri di hospital tanpa ditemani oleh sesiapa.

"Sayyida Nafisa Nuruddin."

Dalam sibuk melayani perasaan gemuruh, Nafisa dengar namanya dipanggil.

"Saya," sahutnya laju.

Nafisa bangun. Dia memandang sekeliling. Eh, siapa pula yang memanggil?! Tak nampak rupa pun, bebelnya dalam hati.

"Sini, cik."

Nafisa laju memandang ke kiri. Dia muka pintu sebuah bilik, dia nampak seorang jururawat berpakaian ungu sedang menggamitnya supaya datang dekat.

Jauh benar. Patutlah tak nampak, bebel Nafisa dalam hati. Dia bergerak ke arah jururawat tersebut.

"Kita ambil berat badan dan tekanan darah dulu, cik."

Nafisa berjeda. Dia pelik. Dia datang ke situ kerana masalah tahi lalat yang sakit. Rasanya tak perlu mengambil tekanan darah pun.

"Saya datang bukan sebab masalah darah tinggi."

Jururawat yang bertugas terus tersengih.

"Prosedur biasa, cik. Memang wajib ambil tekanan darah dan berat badan dahulu sebelum berjumpa dengan doktor."

Merah pipi Nafisa mendengarkan tentang itu. Hesy, kalau dia mengikut saja tadi kan senang. Tak payahlah nak membangkang.

"Maaf."

"Tak apa. Cik duduk situ."

Arah jururawat tersebut. Nafisa mengikut. Dia duduk di atas kerusi yang ditunjuk. Tekanan darahnya diambil. Selepas itu beratnya ditimbang. Sepanjang kedua-dua proses berlangsung, Nafisa hanya diam membisu.

"Cik tunggu semula di sana sehingga nama dipanggil, ya?"

Nafisa akur lagi. Dah tak mahu cakap banyak macam tadi. Kaki diatur ke sofa yang diduduki awal tadi tetapi belum pun sempat punggungnya dilabuhkan, seorang jururawat yang bertanda nama Jihan datang mendekati.

"Cik Sayyida Nafisa, mari ikut saya."

Nafisa menarik nafas panjang. Debaran di dadanya yang sudah pun kendur tiba-tiba datang menyerang tetapi dia tetap juga gagah mengekori langkah Jihan.

Sepanjang perjalanan ke bilik doktor, banyak perkara yang Nafisa fikirkan. Apakah yang akan berlaku jika hasil pemeriksaan menyatakan bahawa dia menghidap penyakit kronik? Bagaimana harus dia memberikan reaksi? Satu demi satu soalan datang silih berganti sehinggakan Nafisa tidak sedar dirinya diperhati.

"Assalamualaikum."

Satu suara garau kedengaran di telinga. Nafisa tersentak. Dia memandang ke depan. Seorang lelaki berkemeja biru sedang tersenyum memandang wajahnya sambil duduk bersandar di kerusi berwarna merah hati. Nafisa memerhatikan sekeliling pula. Dia mahu memastikan di manakah dia berada.

"Saya Doktor Gazza. Silakan duduk."

Oh! Barulah Nafisa tahu dia telah berada di dalam bilik doktor yang akan merawatnya. Tanpa membuang masa lagi, Nafisa melabuhkan punggungnya di atas kerusi di hadapan Gazza.

"Bukan di situ. Macam mana saya nak cek? Jauh sangat."

Nafisa terkejut. Salahkah duduk di situ? Kan lagi dekat mata bertentang mata.

"Sini, cik." Jihan membantu Nafisa yang kebingungan. Kerusi di sisi meja ditunjuk.

"Oh, di situ ya!" sengih Nafisa malu-malu. Dia bingkas bangun lalu menukar tempat.

Gazza yang memerhati hanya tersengih panjang. Dia tahu pesakitnya itu sedang ketakutan. Gelabah semacam saja gayanya. Serba tak kena. Ini mesti kes jarang ke hospital.

"Nak lagu apa?" soal Gazza.

"Haaa..."

Nafisa ternganga. Wajah Gazza direnungnya minta pengesahan kedua.

"Saya suruh pilih lagu. Nak lagu apa?" ulang Gazza lagi membalas renungan mata Nafisa. Cantiknya. Ternganga pun cantik.

"Lagu... Lagu..." Suara Nafisa tersekat-sekat. Dia buntu. Pandangannya dilemparkan ke arah Jihan.

"Jihan layan Hindustan. Tak payah minta pendapat dia," usik Gazza mengerti dengan lirikan mata Nafisa.

Nafisa tertunduk memandang ke lantai. Dia betul-betul tidak faham mengapa perlu diajukan soalan itu? Memanglah soalan itu sangat senang untuk dijawab tetapi dia kaget sehingga gagal memberikan sebarang jawapan.

"Lagu Anuar Zain ada. Lagu Dayang Nurfaizah pun ada. Cepat cakap nak lagu apa," gesa Gazza menunjuk ramah.

Nafisa mengangkat muka.

"Anuar Zain pun bolehlah, doktor," katanya membuat keputusan walaupun sebenarnya dia langsung tidak berminat dengan Anuar Zain. Yang dia minat adalah lagu-lagu rock kapak. Wings, May, Scoin, Spin dan banyak lagi kumpulan yang seangkatan dengan mereka.

"Ermm... Tak naklah. Mengantuk," geleng Gazza tidak bersetuju.

Nafisa mati kutu. Tadi bukan dia ke yang cadangkan lagu penyanyi itu?

"Maaflah, doktor. Saya ni sebenarnya terkejut dengan soalan doktor tadi. Ingatkan doktor nak tanya penyakit saya. Tak sangkalah pula nak suruh pilih lagu. Disebabkan terlalu terkejut otak saya ni blank. Tak boleh fikir," kata Nafisa berterus terang.

Jihan ketawa tetapi cepat-cepat wanita itu mengangkat tangannya tanda maaf.

Gazza senyum. Dia mendekati Nafisa.

"Muzik mampu memberi ketenangan kepada pendengarnya sebab itulah saya suruh awak pilih lagu yang mana awak suka kerana saya tahu awak gementar."

"Tapi macam pelik pula..."

"Doktor memang macam ni. Masa pembedahan pun doktor akan dengar muzik," potong Jihan menyokong Gazza.

"I see," angguk Nafisa faham walaupun jauh dalam sudut hatinya dia masih lagi tidak boleh menerima cara Gazza approach pesakitnya. Bagaimana jika yang gementar itu pak cik dan mak cik tua? Adakah Gazza akan memutarkan lagu juga sebagai penenang? Mengingatkan itu tak semena-mena Nafisa sengih.

"Dari zaman studi dulu saya memang suka dengan muzik. Apa yang saya lakukan perlu ada muzik. Nak belajar ke, nak makan ke waima nak tidur pun kena dengar muzik. Muzik ibarat antibiotik yang memberikan satu semangat kepada saya dalam melakukan sebarang aktiviti. Nasib baiklah semua room-mate saya jenis yang sporting dan faham dengan minat saya. Jika tidak dah lama dah agaknya saya kena pulau," terang Gazza mengingati memori lama. Memori zaman belajar yang begitu menyeronokkan.

Nafisa angguk. Malas nak menjawab lagi. Doktor di hadapannya ini memang satu dalam seribu. Lain dari doktor-doktor yang pernah dijumpainya sebelum ini. Perwatakan doktor yang biasa dia jumpa adalah profesional. Masuk bilik rawatan terus tanya masalah yang dihidapi. Yang ini lain benar.

"Okey. Berbalik kepada soalan saya tadi, cik nak dengar lagu apa?"

Gazza menanyakan soalan itu semula. Dia mencapai tetikus di atas meja.

"Doktor ada lagu Sepohon Kayu tak? Alah lagu nasyid tu."

Gazza ternganga. Main kasar nampaknya gadis manis ini. Tak padan dengan muka pucat lesi. Dalam takut-takut pun boleh mengenakan orang.

"Erk... Nanti saya cek."

"Saya suka dengar lagu tu. Ianya mampu memberi ketenangan dalam sekelip mata. Menginsafkan diri. Betul tak, doktor?" tambah Nafisa lagi mengenakan Gazza.

Tetapi Gazza dapat mengawal perasaannya dengan baik. Dia tenang mencari lagu yang diminta.

"Lagu tu tak adalah dalam simpanan saya." Gazza menyatakan hasil cariannya.

"Apa kata kita dengar lagu ni."

Beberapa saat kemudian sebuah lagu rock kapak berkumandang di udara.

"Gmie Screen. Bila cinta didusta," kata Nafisa teruja. Sejak Gmie Screen menjadi salah satu peserta Gegar Vaganza musim ketiga, Nafisa semakin meminati penyanyi itu."

Gazza senyum segaris. Ingatkan alim sangat. Layan lagu nasyid saja, rupa-rupanya dua kali lima sepuluh. Gila rock kapak.

"Lihat, muzik bukan saja boleh mengubah mood tetapi juga imej seseorang. Daripada gementar ke ceria. Daripada religi ke rock ooo," usik Gazza.

Nafisa tersipu-sipu malu. Dia mengalihkan pandangannya ke arah Jihan.

"Doktor pun peminat rock kapak," beritahu Jihan berbisik. Nafisa hanya menganggukkan kepala. Malunya tadi masih lagi bersisa.

"Jangan pecah lubanglah, Jihan. Malu saya," gurau Gazza. Yang sebenarnya dia tidak kesah langsung dengan kenyataan Jihan itu.

Jihan dan Nafisa sama-sama ketawa.

"Okeylah. Berbalik kepada tujuan asal. Apa masalah cik..." Gazza diam. Dia lupa nama pesakitnya itu. Skrin komputer dijeling.

"Sayyida Nafisa," kata Nafisa sebelum sempat Gazza menyebutnya.

"Cantik nama tu," puji Gazza ikhlas.

"Nama seorang wanita abidah berketurunan Rasulullah. Seorang wanita yang dijamin masuk syurga. Yang air wuduknya dapat menyembuhkan penyakit lumpuh seorang kanak-kanak sehingga kanak-kanak itu boleh berjalan semula. Dirinya dimuliakan oleh Allah S.W.T sehingga ke hujung nyawa. Wafat dalam keadaan berpuasa sewaktu mengerjakan haji. Betul tak?"

Nafisa terkedu. Hebatnya pengetahuan doktor muda ini sehinggakan dapat menceritakan dengan tepat salasilah namanya. Ya, namanya memang diambil sempena nama wanita syurga itu.

"Semoga akhlak saya sebaiknya," doa Nafisa mengharap.

"So nak panggil apa ni? Sayyida? Nafisa? Sayyida Nafisa?"

"Sayyida."

Nafisa membuat permintaan. Dia memang senang jika orang luar memanggilnya dengan nama pertama. Hanya ahli keluarga dan rakan terdekat sahaja yang memanggilnya dengan nama kedua.

"Okey, Fisa. Apa masalah?"

Nama yang tiada dalam senarai jugalah yang Gazza pilih. Nafisa tersenyum simpul tetapi dia tidak mahu membangkang. Nama panggilan tidak penting yang penting sakitnya perlu dirawat.

"Masalah saya adalah ini."

Nafisa menyingkap sedikit selendang yang dipakai di bahagian pelipis kanan lalu menunjukkan tahi lalat yang sakit.

"Kita buang."

Gazza pantas membuat keputusan.

Nafisa terkejut. Doktor apa ni? Laju membuat keputusan dengan hanya menjeling sesaat ke pipinya. Kut ya pun tiliklah pipinya dekat-dekat. Nampaklah sikit usaha nak merawat tu.

"Buang? Semudah itu?" bangkang Nafisa berani.

"Dah sakit. Buang sajalah."

"Doktor cek dulu. Tengok betul-betul. Buat ujian darah untuk mengesan adakah sakit saya ini petanda kanser atau pun tidak. Bukannya terus bagi cadangan macam tu," cadang Nafisa tunjuk pandai.

Gazza hanya tersenyum mendengar cadangan Nafisa. Sebagai seorang doktor, memang sudah acap kali dia menerima pelbagai cadangan dan ajaran daripada pesakit-pesakitnya kerana mereka kekurangan ilmu. Sebenarnya tidak semua penyakit dapat dikesan melalui ujian darah. Seperti kes Nafisa, tahi lalat yang sakit itu perlulah dibuang dan dihantar ke makmal untuk diuji.

"Mole awak tu boleh nampak jelas dari sini. Seketul macam tu. Tak payah tilik pun tak apa."

Nafisa gigit bibir. Ini menyindir ke apa ni. Seketul dikatanya. Geram betul.

"Nak buat sekarang ke?"

Gazza tidak menghiraukan Nafisa sebaliknya dia menggamit Jihan supaya datang dekat.

"Jihan, saya nak buat di bilik depan. Tak perlu OT. Lambat."

"OT la, doktor."

"Semalam pukul sebelas baru saya dapat OT. Takkan nak tahan dia disebabkan oleh kes sekecil ini? Kasihanlah."

"Ambil day carelah, doktor. Buatnya insurans dia tak boleh nak cover outpatient. Lagi kasihan." Jihan tetap tidak membenarkan Gazza menggunakan bilik yang diminta kerana di situ tiada kelengkapan yang lengkap. Siap memberikan hujah tentang insurans lagi untuk menang.

"Okey. Contact day care."

Gazza tidak membantah. Betul kata Jihan. Boleh pula dia terlupa tentang itu. Lain insurans lain coveragenya.

Jihan keluar.

Gazza menaip sesuatu.

Nafisa kebingungan.

"Kiranya memang nak buanglah tahi lalat saya ni?" desak Nafisa mahukan kepastian.

"Yalah. Dah sakit nak buat apa simpan?"

"Kalau dah buang macam mana nak tahu sakit saya ni petanda kanser atau pun tidak, doktor? Saya ada baca di Internet..."

"Sebab itu kita kena buang. Selepas buang kita akan hantar ke lab. Kita akan uji. Ianya dipanggil biopsi," terang Gazza merenung wajah risau Nafisa.

"Oh..."

Panjang Nafisa membalas apabila perkataan biopsi disebut. Dia mula teringat penerangan di Internet yang dibacanya semalam dan rasa yakin itu mula datang.

Gazza tidak mahu berjawab lagi. Fokusnya hanya pada skrin komputer. Dia perlu membuat laporan tentang Nafisa secepat mungkin untuk mempercepatkan proses mendapatkan surat jaminan daripada pihak insurans.

"Nafisa guna insurans sendiri? Company?"

"Insurans sendiri."

Gazza tidak bersuara. Tangannya laju menaip. Beberapa minit kemudian barulah jemarinya berhenti bergerak.

"Okey, Fisa. Insurans akan ambil masa sikit untuk respons. Sementara menunggu ni, Fisa bolehlah pergi mana-mana dulu cuma janganlah pergi jauh sangat, ya? Nanti kami akan call."

Nafisa tidak bereaksi. Mukanya pucat lesi. Waktu ini dia amat memerlukan ibunya.

"Tak perlu takut. Ada ubat bius. Tak sakit pun," pujuk Gazza lembut sebaik melihat wajah muram Nafisa. Dia boleh mengagak kerisauan gadis itu.

"Tak bahaya ke, doktor?"

"Tidak. Kena gigit semut lagi sakit. Percayalah." Gazza meyakinkan Nafisa lagi.

Nafisa hanya tunduk. Dia tiada pilihan yang lain. Walaupun dia sangsi dengan cara penerangan Gazza tetapi entah mengapa dia tetap juga memilih untuk tidak membantah. Semoga keputusannya tepat.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro