Bab 4
Nafisa bangun. Pinggangnya terasa sakit. Mana taknya, hampir dua jam dia duduk bersimpuh membungkus barangan yang hendak dipos kepada pelanggan. Sebagai personal shopper yang menjual barangan premium seperti beg tangan, pakaian dan kasut yang dibeli di luar negara , dia perlulah memastikan barangan yang dipesan oleh pelanggan dibungkus dengan rapi supaya tidak rosak apabila sampai ke tangan mereka.
Kebanyakan barangan yang ditempah bukannya murah. Ada yang mencecah belasan ribu ringgit, jadi sudah pastilah Nafisa perlu memberi servis yang terbaik, berbaloi dengan wang yang telah dikeluarkan oleh mereka.
Bukan senang untuk Nafisa sampai ke tahap yang dicapainya sekarang. Banyak pengorbanan dan air mata yang telah keluar. Dia pernah ditipu pelanggan yang membatalkan pembelian pada saat-saat akhir. Dia juga pernah dituduh menjual barangan palsu sehingga dia terpaksa membuat laporan polis demi untuk melindungi dirinya dan untuk itu Nafisa tidak mahu mensia-siakan kepercayaan yang telah diberikan oleh pelanggan setianya.
Nafisa melihat jam di dinding. Jam berwarna pink itu menunjukkan pukul sebelas pagi. Masa untuk memasak sudah tiba, jadi dia perlu ke dapur. Sejak ibu tiada, kerja memasak menjadi tanggungjawabnya. Hanya sekali-sekala sahaja ayah turun padang untuk membantu, itu pun pada hari minggu.
Belum pun sempat kaki diatur keluar dari bilik, lagu Ariana Grande feat Nicki Minaj berkumandang di udara. Telefon pintar segera dicapai.
"Ya, ayah. Nak apa?" jawab Nafisa sedikit kuat. Dah nampak macam menengking pun ada.
"Aik, nak telefon anak sendiri pun tak boleh? Sampai menengking-nengking ayah ni."
Encik Nuruddin terkejut mendengar suara Nafisa. Mood macam tak baik saja.
"Bukan macam tu, ayah. Angah bukan menengking. Volume suara tak boleh nak control. Dah rosak," gurau Nafisa memujuk Encik Nuruddin yang terkejut dengan reaksi spontannya tadi.
"Kenapa bad mood?"
Nafisa sengih. Ke situ pula ayahnya melalut. Tak boleh nada suara berubah sikit mulalah fikir yang bukan-bukan.
"Mana ada angah bad mood."
"Tak payah nak kelentong ayah. Cuba cakap apa masalah angah?" tekan Encik Nuruddin mendesak.
Nafisah mengeluh. Degil pula ayah hari ni. Tak mahu percaya apa yang dikatakan olehnya.
"Ya Allah, ayah. Sungguh. Angah tak tipu. Angah baru membungkus dua puluh buah handbag dan lima pasang kasut. Pinggang angah ni macam dah nak tergeliat pun ada. Kaki angah kebas tak rasa. Tiba-tiba ayah call. Mana taknya suara angah terkuat," terang Nafisa sungguh-sungguh mahu Encik Nuruddin percaya.
"Yalah. Yalah. Ayah percaya," gelak Encik Nuruddin, kelakar mendengar penerangan panjang lebar Nafisa. Anaknya yang kedua ini memang begini. Akan bersungguh-sungguh memberikan penerangan jika diasak dan dituduh melakukan sesuatu yang tidak dilakukan olehnya, berbeza sekali dengan anak sulung dan anak bongsu yang akan cepat merajuk apabila diperlakukan sedemikian.
"Sebenarnya ayah call ni sebab nak beritahu angah yang tadi ayah terserempak dengan Cikgu Bulan," sambung Encik Nuruddin menyatakan tujuan utamanya menghubungi Nafisa.
"Really?!" jerit Nafisa seronok. Cikgu Bulan adalah cikgu yang paling disayanginya dalam kalangan cikgu-cikgu yang dia ada. Hubungan mereka telah lama terjalin.
"Ya. Cikgu Bulan rindukan angah."
"Patutlah seminggu dua ni angah asyik teringatkan dia. Sampai termimpi-mimpi."
"Dah tahu teringat kenapa tak pernah terfikir mahu menjenguk Cikgu Bulan? Tak silap ayah dah lima, enam bulan juga kan angah sepi tanpa khabar berita."
Nafisa mengeluh.
Ya. Memang sudah agak lama dia tidak menjenguk wanita itu. Sudah lama dia tidak membantu di sekolah seperti mana yang sering dilakukan olehnya sejak dulu.
"Sekarang sibuk sangatlah, yah. Oder banyak masuk. Mana nak melayan WhatsApp. Nak membuat promosi lagi di Instagram, nak membungkus barang-barang untuk dipos dan nak jadi runner. Tak terkejar angah."
"Kerja takkan pernah habis, sayang. Dalam sibuk mengejar kekayaan carilah waktu untuk menggembirakan hati orang yang tersayang. Percayalah angah akan dapat dua-dua tu sekali, ya?"
Nafisa sebak. Kadangkala dia lupa tentang orang-orang yang banyak berjasa kepadanya. Mujurlah ada ayah yang tidak pernah lupa untuk menasihati. Kerana itulah apabila ditegur mudah saja dia menyanggupi.
"Angah pos semua barang-barang angah tu hari ni. Esok angah dah tak payah pening dan boleh menjenguk Cikgu Bulan dengan tenang."
"Takut tak sempat. Angah nak masak dulu."
"Bab masak tu angah lupakan. Balik kerja nanti ayah tapau untuk kita. Settlekan kerja angah."
"Mana boleh, ayah. Nanti ayah balik penat-penat tak ada makanan pasti ayah akan jadi lebih stres."
Encik Nuruddin menggelengkan kepalanya. Fisa... Fisa. Baik hati seperti selalu. Bertanggungjawab sangat pada keluarga sampai semuanya nak dibuat. Akhirnya kehidupan sosial sendiri pun terganggu.
"Hari ni ayah teringin nak makan roti nan. Sebab tu ayah tak bagi angah masak," tipu Encik Nuruddin menyedapkan hati Nafisa. Jika disebut roti nan pasti Nafisa angkat tangan kerana bukan Nafisa tahu bagaimana mahu menyediakannya.
"Oh, ya ke, yah?"
"Ya. Tak perlu cakap banyak. Angah pergi settlekan kerja angah cepat-cepat," pesan Encik Nuruddin lagi mengingatkan Nafisa.
"Ya, ayah."
Nafisa mengangguk. Senang hati dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh ayahnya.
Selepas talian dimatikan, Nafisa segera menukar pakaian. Dia mahu menyelesaikan kerjanya secepat mungkin. Selepas itu dia mahu pergi ke kedai membeli bahan-bahan untuk membuat kek. Ada buah tangan istimewa yang akan dibawanya untuk berjumpa dengan Cikgu Bulan yang tersayang.
NAFISA menarik nafas lega. Meja makan yang tadinya bersepah sudah dikemaskan. Lantai yang juga comot sudah disapu dan dimop. Hanya menunggu brownies kedutnya masak sahaja. Selepas itu selesailah kerjanya menyiapkan buah tangan buat Cikgu Bulan.
Sebenarnya dia boleh buat kerja senang. Pergi ke kedai kek berdekatan dan memilih kek yang berkenan. Ataupun dia boleh ke supermarket dan membeli apa saja barang yang dihajati tetapi dia tidak mahu. Dia ingin memasak sendiri kek sebagai hadiah kepada mereka. Barulah lebih bermakna.
"Sedapnya bau. Masak apa tu, angah?" Tempikan Nadira mengejutkan Nafisa.
"Kus semangat, baby. Bagilah salam dulu."
Nafisa menjeling Nadira sambil mengurut dadanya yang berdegup kencang.
"Baby dah bagi salam sebelum masuk rumah tadi. Takkan tak dengar."
Nafisa geleng kepala. Dia memang tidak mendengar sebarang bunyi.
"Tak ada pun."
Nadira tidak menghiraukan Nafisa. Dia lebih berminat dengan bau sedap yang dihidunya. Kaki diatur menghampiri ketuhar yang menyala. Dia bongkok mengintai ke dalam.
"Pergh. Makan sedap kita malam ni, angah. Tak sabarnya baby nak rasa. Hilang rasa penat bila balik bau sedap macam ni."
Nafisa senyum segaris. Alamak! Nak buat macam mana ni? Dia hanya masak satu saja brownies. Tidak terfikir langsung untuk membuat lebih.
"Brownies tu buah tangan untuk Cikgu Bulan. Esok angah nak jenguk dia."
Wajah Nadira serta-merta berubah.
"Takkan tak ada sikit pun untuk baby?"
"Tak ada," geleng Nafisa penuh rasa bersalah. Nak bancuh brownies lagi memang taklah. Meja dah kemas. Lantai dah licin berkilat. Tak sanggup dia mahu mengotorkannya untuk kali yang kedua. Sementelah pula bahan-bahan membuat brownies pun tidak mencukupi kerana tadi dia hanya membeli cukup-cukup untuk satu bancuhan saja.
"Sampai hati angah memainkan tekak baby. Sepatutnya buatlah lebih sikit untuk kami. Dalam kitab pun ada tulis, apabila jiran terbau masakan kita, wajib kita beri sedikit makanan buat mereka tau. Inikan pula orang dalam rumah. Dah nampak depan biji mata, wajiblah bagi baby rasa."
Nadira memberikan khutbah panjang lebar melalui persepsinya. Betul atau tidak Nafisa malas mahu membangkang kerana dia tahu dia salah.
"Besok angah buatkan brownies untuk baby, ya? Hari ni angah dah tak larat nak bancuh lagi. Bahan pun tak ada."
Nadira berjeda.
"Bolehlah tapi mesti letak Nutella."
Demandlah pula. Nafisa geleng kepala.
"Nutella mana ada."
"Beli."
"Banyak songeh."
Nadira tersungging bibir. Dia mendekati Nafisa lalu pipi kanan Nafisa diciumnya kasar.
"Aduh."
Tempat yang disentuh Nadira terasa sangat sakit. Nafisa mengusap-usap pipinya.
"Baby kiss saja kut. Takkan sakit?" kata Nadira tidak berpuas hati. Dia tahulah dia lebih besar daripada Nafisa tetapi takkanlah dengan hanya mencium pipi Nafisa akan mendatangkan kecederaan.
"Yang sebenarnya tahi lalat angah di pipi ni dah tiga hari sakit. Tak tahu kenapa. Bila disentuh sama ada kuat atau lembut, angah tetap akan rasa sakit," adu Nafisa menunjuk ke tahi lalat besar di tepi pelipis kanan seterusnya menepis prasangka Nadira.
"Ohhh... Sebelum ni pernah rasa sakit?"
Nafisa geleng.
"Malam ni kita pergi kliniklah. Biar doktor yang cek. Pelik juga tiba-tiba sakit sedangkan sudah lama ada," ajak Nadira mula rasa bimbang. Dia pernah membaca di Internet dulu tanda-tanda kanser kulit tetapi dia tidak mahu memberitahu Nafisa tentang itu.
"Nak cakap apa dengan doktor? Takkan nak cakap tahi lalat angah sakit? Macam kelakarlah."
Nafisa gelak. Ianya agak memalukan.
Nadira langsung tidak ketawa. Dia fokus mencari sesuatu di telefon pintarnya dan selepas menjumpai apa yang dicari, telefon pintar itu diserahkan kepada Nafisa.
"Angah cuba baca ni," arah Nadira dengan wajah serius.
Kalau boleh dia tidak mahu menyusahkan hati Nafisa dengan informasi itu tetapi sikap acuh tak acuh Nafisa apabila diajak ke klinik menyebabkan Nadira terpaksa berterus terang.
Telefon pintar bertukar tangan. Nafisa membaca apa yang tertera di skrin.
Tahi lalat adalah bintik kecil berwarna coklat atau agak kehitaman di atas permukaan kulit yang terbentuk dari pengelompokan sel-sel penghasil zat warna kulit bernama melanosit. Selain berwarna coklat atau agak gelap, warna tahi lalat juga ada yang sama persis dengan warna kulit. Bentuknya ada yang bulat, oval, menonjol, atau datar. Tekstur permukaan tahi lalat juga bervariasi, ada yang halus atau kasar, bahkan beberapa di antaranya ada yang ditumbuhi bulu.
"Aik... Ini pun nak tunjuk angah. Macamlah angah tak tahu."
Cebik Nafisa malas mahu menghabiskan bacaannya. Kalau yang ini sejak kecil lagi dia sudah sedia maklum. Tak perlu sampai nak rujuk pak Google.
"Bacalah sampai habis dulu," tegur Nadira mendesak.
Nafisa malas berbalah. Dia sambung bacaannya.
Tahi lalat ada yang berbahaya dan ada juga yang tidak berbahaya. Tahi lalat berbahaya adalah tahi lalat yang menjadi gejala dari jenis kanser kulit ganas bernama melanoma. Temui doktor jika anda mencurigai perubahan yang terjadi pada tahi lalat di tubuh anda. Untuk mengetahui hal tersebut, doktor perlu melakukan pemeriksaan sampel jaringan tahi lalat yang dicurigai dengan bantuan mikroskop. Method ini disebut sebagai biopsi.
Jika merasa khuatir dengan tahi lalat yang baru muncul atau melihat adanya perubahan pada kondisi tahi lalat lama, misalnya warna dan tepiannya yang tidak merata, ukurannya yang membesar, atau terasa gatal dan sakit segeralah temui doktor untuk menjalani ujian bagi mengelakkan risiko yang lebih serius.
Mata Nafisa bulat. Kakinya serta-merta menggigil. Jantungnya tak boleh ceritalah seperti baru lepas berlari seratus meter. Berdegup dengan laju.
"Takkanlah teruk sampai macam ni sekali, baby?" keluhnya hampir menangis.
"Sebab itulah kita kena cek."
"Tapi doktor di klinik bukannya boleh buat ujian biopsi. Mana ada kelengkapan. Kena ke hospital juga."
Nadira senyum melihat kegelabahan Nafisa.
"Kita perlu juga ke klinik untuk mendapatkan surat rujukan untuk ke hospital. Apabila sudah dapat barulah insurans akan mengeluarkan guarantee letter dan membayar bil rawatan angah."
Nafisa garu kepala yang tidak gatal. Dia tidak faham apa maksud Nadira.
"Apa tu?"
"Angah ikut ajelah cakap baby. Nanti baby akan uruskan yang selebihnya."
Kata Nadira malas mahu berjawab. Walaupun dia tidak ada pengalaman masuk hospital tetapi dia pernah menolong rakan sekerjanya yang sakit. Itu adalah prosedur biasa yang perlu diikuti.
"Baik. Kita pergi klinik berdekatan dengan rumah kita dululah. Kita tengok apa doktor tu kata. Jika dia rujuk angah ke hospital, angah akur," angguk Nafisa bersetuju. Hatinya runsing. Yang lain itu dia tidak mahu fikir. Yang dia tahu dia mahu cepat mendapatkan rawatan dan memastikan sakit yang dialami bukanlah gejala penyakit yang amat ditakuti itu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro