Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 3

"Mom."

Langkah Gina terhenti tatkala telinganya mendengar panggilan itu. Dadanya berdegup kencang. Suara nyaring dan comel itu sama seperti suara seseorang yang sudah lama tidak ditemuinya. Adakah itu dia?

Perlahan-lahan Gina menoleh ke belakang. Susuk tubuh seorang kanak-kanak perempuan berambut perang muda berumur lingkungan tujuh hingga sembilan tahun tepat berada di hadapannya. Wajah kanak-kanak itu berubah. Pipi yang putih kemerah-merahan jadi semakin merah. Malu kerana tersilap orang.

Gina menarik nafas panjang. Dia juga turut merasai perasaan yang sama dengan kanak-kanak perempuan itu. Malu kerana telahannya salah. Bukan itu sahaja, jauh dalam sudut hati kecilnya ada satu lagi perasaan yang timbul. Perasaan hampa kerana ianya bukan seperti apa yang disangka.

"Sorry," ucap kanak-kanak perempuan itu sopan menyentak lamunan Gina.

Gina senyum.

"It's..."

"Jade."

Sebelum sempat Gina menghabiskan kata-katanya, satu suara kedengaran kuat menerpa ke gegendang telinga. Laju Gina berpaling memandang si empunya suara. Dia lihat ada seorang wanita muda yang berdiri kira-kira dua puluh meter darinya sedang melambai-lambaikan tangan ke arah mereka.

Gina memandang semula ke arah kanak-kanak perempuan itu. Dia mahu menanyakan soalan adakah itu ibunya tetapi belum pun sempat soalan itu diajukan, kanak-kanak perempuan tadi sudah terlebih dahulu berlari menuju ke arah wanita muda yang masih lagi setia melambai-lambaikan tangan. Melihat keterujaan kanak-kanak perempuan bernama Jade itu mendapatkan ibunya, hati Gina sebak.

"Amna."

Tanpa sedar, muncul perkataan pendek itu dari mulutnya. Jika Amna berada di hadapannya sekarang ini pasti Amna akan turut teruja melihat dirinya dan menerpa ke arahnya dengan penuh rasa gembira. Sama seperti apa yang Jade lakukan.

Tetapi itu hanyalah angan-angan yang tidak mungkin akan terjadi. Mana mungkin dia kembali ke pangkuan Amna setelah apa yang berlaku. Mana mungkin dia dibenarkan menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu setelah dia sendiri yang melucutkan jawatan itu.

Amna satu-satunya zuriat yang Gina ada. Amna adalah sumber kekuatan dia bangkit semula daripada kekecewaan yang teramat tetapi di antaranya dengan Amna, ada seseorang yang menjadi batu penghalang.

"Mama."

Ingatan Gina beralih pula ke arah wanita itu. Perasaan sayu dan rindu terhadap Amna tadi serta-merta berubah.

Tubuh Gina bergetar. Dia cepat-cepat menggenggam kedua-dua belah tangannya. Dia juga menarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya dengan panjang, cuba menenangkan diri.

Apabila tubuh tidak lagi bergetar dan jantung sudah kembali normal, Gina menggeleng-gelengkan kepala. Dia melepaskan pandangan nun jauh entah ke mana.

"Selagi dendam tidak dibalas, selagi itulah perasaan marah ini akan senantiasa menguasai diri. Untuk itu biarlah aku berkelana jauh di sini. Ianya lebih baik."

Air mata Gina jatuh satu per satu. Dia memejamkan matanya. Bayang wajah Amna muncul.

"Amna, maafkan mommy."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro