Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 2

Ibrahim Gazza memujuk Amna Nafisa yang teresak-esak menangis. Diusapnya rambut kanak-kanak itu dengan penuh kasih sayang tetapi tiada tanda-tanda tangisan Amna akan berhenti. Esakan kanak-kanak berumur sembilan tahun itu walaupun perlahan tetapi amat menghibakan. Seperti memendam kelukaan yang sangat parah.

"Sudahlah tu, sayang." Hanya tiga patah perkataan yang mampu Gazza ucapkan. Dia sudah kehilangan kata-kata. Memujuk kanak-kanak kecil itu lebih sukar daripada memujuk pesakit-pesakitnya.

"Tak perlu nak dipujuk budak tu. Soalan senang pun tak boleh nak jawab. Ni belum lagi PPSR. Baru darjah tiga tetapi sudah gagal tiga mata pelajaran."

Suara petir Puan Syatilla menenggelamkan esakan tangis Amna. Tubuh Amna semakin mengecil. Tangisannya serta-merta terhenti tetapi air matanya semakin laju membasahi pipi.

"Mama, sudahlah tu."

"Tengok ni."

Serentak dengan itu beberapa set kertas A4 berwarna putih dicampak oleh Puan Syatilla ke atas lantai tepat di hadapan Gazza.

Mengucap panjang Gazza diperlakukan seperti itu. Dia sudah tiga puluh enam tahun. Seharusnya layak menerima layanan yang baik. Bukannya diperlakukan seperti anak-anak kecil, senang-senang dicampakkan barang walau pun yang mencampakkan itu ibu kandungnya sendiri. Seorang ibu haruslah menunjukkan contoh yang lebih baik.

"Ma, Amna ada. Boleh tak mama bersabar sikit?"

"Macam mana mama nak bersabar? Cuba Ghaz selak kertas peperiksaan Amna tu. Bahasa Inggeris terutamanya. Soalan yang mudah pun tidak boleh dijawab. Goose dan monkey pun tak tahu. Bina ayat lagilah. Dua markah sahaja. Apa ni? Macam mana mama tak naik hantu?"

Puan Syatilla langsung tidak mengendahkan teguran Gazza sebaliknya dia terus-terusan membebel.

Perlahan-lahan Gazza bongkok mengambil kertas peperiksaan yang berselerak di atas lantai. Dia melihat helaian demi helaian. Ya, memang betul apa yang diperkatakan oleh mamanya. Amna banyak melakukan kesilapan tetapi sebagai seorang yang matang, Gazza dapat merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan Amna. Huruf yang Amna tulis banyak yang terbalik. Bukan itu sahaja, ayat yang Amna tulis juga tunggang-langgang.

"Kita kena bantu Amna, ma. Bukannya mengamuk macam ni."

"Mama berhabis beribu ringgit upah private tutor tu apa? Tak bantu lagi ke namanya?" Suara Puan Syatilla semakin kuat. Panas hatinya mendengar tuduhan Gazza.

"Amna masuk bilik, sayang."

Sebelum kata-kata makian yang lebih teruk keluar daripada mulut Puan Syatilla, Gazza menyuruh Amna masuk ke bilik terlebih dahulu. Gazza tidak mahu Amna semakin terluka.

Amna akur. Dia terus berlari naik ke tingkat atas.

"Ghaz beri muka sangat pada budak tu. Nah, tengoklah hasilnya. Belum pernah lagi keturunan kita sebodoh ini."

"Astaghfirullahalazim, ma. Tergamak mama menggunakan perkataan bodoh pada cucu sendiri? Amna tu kan anak Gina."

Kali ini Gazza yang rasa mahu menangis. Sebak hatinya mendengar Amna dicaci. Jika orang lain yang mengata dia boleh terima lagi tetapi ini keluar dari mulut mamanya sendiri. Sungguh dia tidak sangka.

"Sebagai seorang yang bijak pandai, mama sepatutnya tahu Amna ada masalah, jika tidak masakan keputusan peperiksaannya masih lagi sama setelah diajar oleh private tutor."

"Ghaz nak beritahu yang Amna tu lembam? OKU? Begitu?"

Tergeleng-geleng Gazza tidak faham dengan persepsi sempit Puan Syatilla. Bila masa pula dia mengatakan yang Amna itu lembam dan OKU? Bermasalah bukan bermaksud dua sebab tu sahaja. Mungkin juga Amna menghidap tekanan perasaan kerana berjauhan dengan Gina ataupun kerana ketegasan Puan Syatilla.

"Ma, mungkin Amna rindukan Gina dan itu yang menyebabkan dia tertekan."

"Mustahil."

"Dia sembilan tahun, ma. Apa yang mustahilnya? Dia masih lagi anak kecil yang perlukan belaian seorang ibu."

Puan Syatilla mencerlung memandang ke wajah Gazza. Geram betul dia melihat Gazza yang asyik membangkang kata-katanya.

"Mama yang besarkan Amna. Mama tahulah. Budak tu tak hairan pun dengan Gina."

"Inilah masalah mama. Mama sentiasa rasa mama betul. Mama sentiasa rasa mama tahu semuanya tetapi mama salah. Mama buat ramai orang menderita."

"Mama nak keluar."

Gazza terkejut. Sedang elok berbincang, boleh pula Puan Syatilla minta diri. Bukannya mahu menyerap segala nasihat yang diberi mahupun muhasabah diri.

"Ma, kita kena berbincang, ma. Kena cari punca kenapa Amna..."

"Tak perlu berbincang. Mama yang besarkan Ghaz sehingga berjaya, jadi Ghaz rasa layak ke Ghaz mengajar mama?"

"Ma..."

Puan Syatilla tidak langsung menyahut. Dia laju meninggalkan Gazza yang begitu kecewa diperlakukan seperti itu.

PERLAHAN-LAHAN Gazza membuka pintu bilik. Dia mendekati tubuh Amna yang sedang baring telungkup di atas katil. Tubuh itu disentuhnya dengan lembut. Amna segera memberikan tindak balas. Dia berpaling mengadap Gazza. Sebuah senyuman terbit di bibir mungilnya.

"Macam inilah bagus. Kan cantik bila senyum," puji Gazza mengambil hati. Senyuman Amna semakin lebar.

"Amna jangan kecil hati dengan nenek, ya? Nenek tak bermaksud apa-apa."

Amna memandang kosong ke dalam anak mata Gazza. Senyumannya mati.

"Amna bodoh."

"Amna budak bijak."

"Tak. Nenek kata Amna bodoh."

"Kan pak ngah dah cakap jangan ambil hati dengan nenek."

"Sebab itulah mommy pergi belajar jauh-jauh tinggalkan Amna. Sebab Amna bodoh."

Serentak dengan itu, Gazza nampak ada air jernih yang mengalir di penjuru mata Amna.

"Siapa yang kata macam tu?"

Amna menyeka air matanya. Dia duduk.

"Nenek kata."

"Amna... Dengar sini. Hampir setiap hari mommy menangis mengadu dengan pak ngah yang mommy rindukan Amna. Jika mommy bencikan Amna, kenapa mommy kata macam tu?"

Amna mengesot mendekati Gazza.

"Betul ke, pak ngah?"

Wajah kecil itu sudah mulai ceria.

"Betullah. Takkan pak ngah nak tipu pula."

Bersungguh-sungguh Gazza meyakinkan Amna. Sedangkan hakikatnya Gazza sendiri tidak tahu di mana Gina berada. Dia pernah ke Ireland, pergi ke alamat yang Gina berikan tetapi ternyata Gina tidak pernah pun menetap di situ. Gina hanya berbohong dengannya.

"Habis tu, kenapa mommy tak balik? Raya tahun ni pun mommy tak balik."

Bijak sungguh Amna mengajukan soalan sehingga membuatkan otak Gazza ligat bekerja untuk mencari jawapan.

"Mommy sambung belajar di mana?"

"Ireland," pantas Amna memberikan jawapan.

"Ireland tu negeri orang..."

"Orang putih," potong Amna juga laju.

"Bijaknya anak pak ngah ni. Orang putih sambut raya macam kita tak?"

Kali ini Amna diam. Tidak lagi laju memberikan jawapan.

"Kalau Islam mestilah sambut raya."

"Ya, tetapi hari raya bukanlah dianggap satu perayaan besar di sana. Orang Islam di Ireland tak ramai macam di Malaysia, jadi mereka tidak diberi cuti seperti mana kita. Macam mana mommy nak balik raya kalau cuti pun tak ada? Cuba Amna fikir?"

Mata Amna kelihatan bercahaya. Wajahnya berseri-seri.

"Apalah Amna ni. Tu pun tak boleh nak fikir," gelaknya sambil menepuk dahi. Dia kelihatan sangat gembira dan kegembiraan Amna itu membuatkan Gazza sebak tetapi apakan daya, dia tidak boleh berkata benar kepada Amna. Dia tidak boleh memberitahu Amna yang Gina tidak dapat dikesan. Dia juga tidak boleh bercerita tentang sengketa yang berlaku antara Gina dan Puan Syatilla. Amna masih terlalu kecil untuk dibebani dengan masalah seberat itu.

"Lain kali jangan fikir yang bukan-bukan lagi, ya sayang?"

Amna angguk.

"Besok Amna ikut pak ngah, ya? Pak ngah nak bawa Amna ke satu tempat."

"Tempat apa?"

Gazza senyum penuh makna. Dia sudah mengaturkan pertemuan antara Amna dan rakan sekerjanya, Doktor Anjali seorang pakar kanak-kanak di hospital tempatnya bekerja. Dia yakin dengan bantuan Doktor Anjali, masalah Amna akan dapat dikesan.

"Rahsia."

"Naik motor?"

"Nope. Bahaya. Tempat tu sibuk. Kita naik kereta, ya sayang?"

Amna angguk. Wajahnya semakin manis dengan senyuman. Gazza berasa lega. Ditatapnya wajah putih bersih itu dan dia berjanji dalam hati yang dia akan memastikan Amna dibantu.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro