Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 13

Nafisa berasa tidak selesa. Sejak tadi dia rasa seperti diekori. Seorang lelaki yang memakai balaclava dan jaket kulit warna hitam sentiasa berada di belakang. Seperti mengekori langkahnya. Apabila dia berhenti, lelaki itu berhenti. Apabila dia berjalan, lelaki itu juga berjalan.

Pintu BLVD house hanya tinggal beberapa tapak saja lagi. Nafisa mempercepatkan langkah. Apabila berjaya masuk ke dalam restoran itu, dia menarik nafas lega.

"Meja sana. Tersorok sikit."

Nafisa dengar ada suara yang berbisik di telinga. Dia menoleh ke belakang.

"Haaa!" jerit Nafisa gamam. Nafasnya sesak. Jantungnya mahu berhenti bergerak.

"Sayalah."

Lelaki berjaket hitam itu menanggalkan balaclavanya.

"Doktor!" jerit Nafisa terkejut. Pasangan Melayu yang duduk di meja berhampiran dengan mereka memandang tajam.

"Opsss," Nafisa menekup mulut. Malu diperhati.

Gazza hanya menyeringai. Dari awal tadi dia memang saja mengikut Nafisa tanpa memperkenalkan diri. Seronok rasanya melihat Nafisa cuak dan menggelabah.

"Kita duduk sana," ajak Gazza sekali lagi menunjukkan meja yang sama.

"Okey," angguk Nafisa tiada pilihan. Pasangan Melayu tadi masih memerhatikan tingkah laku mereka, jadi dia malas mahu membantah.

Gazza mula mendahului tetapi baru dua tapak, Nafisa menahan.

"Nanti kejap. Amna mana?" soalnya garang.

"Ada ke saya cakap nak bawa Amna?" balas Gazza cuba mengingati apa yang ditulisnya semalam.

Nafisa mengeluh. Aduhai. Telahannya salah. Gazza tidak membawa Amna bersama-sama. Ini semua salah Nadira.

"Jomlah kita ke sana." Gazza menggesa. Nafisa tarik muka tetapi tetap mengikut arahan yang diberi.

Sampai di meja yang dimaksudkan, Nafisa menghenyakkan punggungnya di atas kerusi yang ditarik Gazza. Walaupun begitu, ucapan terima kasih tetap dilafazkan.

"Sama-sama," jawab Gazza mengambil tempat.

"Sebenarnya dah berapa lama doktor ikut saya?"

Gazza tergelak. Tak menyempat Nafisa mahu memperkatakan tentang itu. Memang geram sungguh Nafisa kepadanya.

"Lamalah juga. Sempatlah tengok muka awak bertukar colour. Pucat, tak berdarah."

Gazza buat muka selamba. Langsung tak rasa bersalah.

Nafisa muncung. Nak marah lebih-lebih siapalah Gazza dengannya. Nak reda dengan perangai tak semenggah Gazza itu, hati pula rasa sakit.

"Bertutup muka macam penyangak tu kenapa? Takut ada yang nampak? Takut kekasih hati marah nampak doktor keluar dengan saya?"

"Saya merempit. Tak sempat nak buka, Fisa dah muncul."

"I see. Bikers rupanya."

"Bikers kacak," gelak Gazza kelakar dengan kenyataan sendiri.

"Bagus juga saya ambil keputusan merempit. Dapat tengok orang tu tak cukup tanah berjalan tadi."

Nafisa muncung. Tak cukup lagi ke Gazza mempermain-mainkan dirinya tadi? Nak menyindir pula. Jahat sungguh.

"Muncung tu simpan dulu. Jom oder. Apa yang sedap di sini? Saya tak tahu sebab baru first time datang."

Nafisa jongket bahu. Lebih kepada merajuk sebenarnya.

"Entah. Tak pernah datang."

"Habis tu, kenapa pilih tempat ni?"

"Selalu nampak kat Instagram artis-artis datang sini jadi saya cadangkanlah tempat ini. Kot-kotlah boleh jumpa Fattah Amin."

Gazza geleng kepala.

"Peminat Fattah Amin rupa-rupanya. Taste budak-budak baru nak up."

"Eleh... Budak pula dikatanya kita."

Gazza hanya ketawa. Dia malas mahu berjawab lagi. Menu yang berada di tangan ditelaah. Akhirnya Gazza memesan barbecue denver ribs manakala Nafisa memesan fettuccini carbonara.

"Kalau setakat nak makan fettuccini carbonara, kedai mamak depan rumah saya pun ada. Tak payah ke sini," kutuk Gazza memperlekehkan pilihan Nafisa.

"Doktor." Nafisa berbisik. Dia melambai Gazza supaya datang dekat. Gazza patuh.

"Yang sebenarnya sepatah haram pun saya tak faham menu mereka. Saya oder mana yang saya tahu sajalah," tambahnya masih lagi berbisik.

Gazza ketawa. Nafisa juga turut serta. Tertunduk-tunduk dia sehingga dia tidak menyedari Gazza mencuri renung wajahnya.

"I'm single."

"Apa?"

Nafisa terkujat. Tiba-tiba saja Gazza memperkatakan tentang itu. Tak faham!

"Saya beri jawapan pada soalan yang pernah Nafisa tanya dulu. Adakah saya masih tiada hati yang perlu dijaga? The answer is yes. Saya tiada hati yang perlu dijaga. I'm single."

Senyap.

"Buat masa ini saya hanya perlu menjaga hati mama, kakak saya Gina dan Amna. Itu sahaja."

Pipi Nafisa merah. Dia pun tidak faham kenapa begitu penerimaannya. Jawapan Gazza itu seperti membayangkan sesuatu.

Jangan salah sangka, Nafisa. Jangan salah sangka.

"Doktor cakap semalam doktor nak jumpa saya kerana Amna. Boleh saya tahu kenapa?"

Topik perbualan ditukar. Nafisa tidak mahu pertemuan mereka pada malam ini jadi bertambah kekok.

Satu keluhan dilepaskan dalam hati. Gazza rasa kesal dengan reaksi Nafisa. Wanita itu buat endah tak endah sahaja dengan apa yang cuba disampaikan olehnya tadi. Adakah hati Nafisa langsung tidak terusik seperti mana hatinya?

"Saya dah dapat ujian penilaian Amna. Puan Bulan cadangkan agar Amna menghadiri terapi."

Nafisa tidak menyampuk. Dia sudah sedia maklum tentang itu.

"Masalahnya Amna hanya boleh menghadiri sesi terapi pada penggal yang akan datang which is sebulan lagi. Terlalu lambat bagi saya. Jadi saya nak minta pertolongan Nafisa untuk mengajar Amna."

Nafisa serba salah. Permintaan Gazza itu terlalu berat untuk ditunaikan.

"Macam mana? Boleh Fisa bantu Amna?"

Nafisa masih lagi membisu.

"Berat sangat ke permintaan saya ni?"

Nafisa pandang wajah Gazza. Wajah itu sangat mengharap.

"Saya tak berkelayakan untuk mengajar Amna." Akhirnya Nafisa mengambil keputusan untuk menolak.

"Fisa kan bekerja di situ. Tentu Fisa tahu serba sedikit method yang digunakan. "

"Tapi saya bukannya guru yang terlatih. Hanya pekerja biasa."

"Tolonglah saya, Fisa. Saya tak expect sesuatu yang besar. Fisa ajar yang basic saja pun sudah cukup. Sebulan. Bukannya lama."

Nafisa kelu. Gazza betul-betul perlukan pertolongannya sehingga sanggup memujuk rayu mengenepikan egonya sebagai seorang profesional. Nafisa nampak kesungguhan Gazza yang ingin mengubah nasib Amna.

"Baiklah doktor tetapi basic saja, ya?"

Nafisa mengalah. Lagipun hanya sebulan. Tidaklah lama mana untuk dia memikul tanggungjawab berat itu.

Gazza laju mengangguk. Bibirnya mengukirkan senyuman yang paling panjang. Berterima kasih kepada Nafisa kerana sudi membantu.

"Saya takkan lupakan jasa awak kepada saya sampai bila-bila. Saya janji, Fisa."

Doktor tak perlu berjanji kerana suatu hari nanti apabila doktor tahu siapa saya, doktor pasti akan memandang saya sama dengan pandangan bijak pandai yang lain. Mata Nafisa berkaca!

"Awak menangis?"

Nafisa tunduk. Dia mengesat air mata yang bertakung menyesal kerana terlalu emosi.

"Tak ada apalah, doktor. Saya cuma sedih melihat kesungguhan doktor untuk membantu Amna. Beruntung Amna mempunyai bapa saudara sebaik ini," dalih Nafisa melepaskan diri.

"Siapa lagi mahu membantu Amna kalau bukan saya? Emaknya di luar negara."

"Kesungguhan doktor ini mengingatkan saya pada ibu seorang pelajar yang berulang alik dari Temerloh ke Titiwangsa untuk memberikan yang terbaik buat anak disleksianya."

Gazza ternganga. Temerloh dan Kuala Lumpur boleh tahan juga jauhnya.

"Doktor pun kagum, kan? Itulah kasih sayang seorang ibu dan pengorbanannya itu berbaloi kerana sekarang ini anak wanita itu sudah berjaya."

"Ya? Wow!" Gazza tidak terkata.

"Ya. Sokongan orang yang terdekat sangatlah penting. Ianya umpama ubat bius yang doktor berikan kepada saya."

Dahi Gazza berkerut.

"Ubat bius?"

"Ya. Tanpa ubat bius yang doktor berikan, tidak mungkin saya akan tenang menempuhi prosedur membuang tahi lalat yang menyakitkan itu."

Terkekeh-kekeh Gazza gelak. Ada-ada saja Nafisa ni. Boleh pula tahi lalat dijadikan contoh.

"Awak ni, kan. Tadi bergenang air mata. Sekarang bergurau pula."

Nafisa langsung tidak ikut gelak. Dia pelik kata-katanya tadi dianggap lucu.

"Lupakan sajalah tentang itu. Sekarang ni bila doktor mahu saya start mengajar Amna?"

Yang sebenarnya Nafisa terasa hati dengan Gazza yang mentertawakannya. Dia punyalah serius boleh pula Gazza main-main.

"Lusa. Boleh?"

"Sabtu?" Nafisa jeda.

"Siang bolehlah. Malam tak free."

"Kenapa?"

"Ada Gegar Vaganza," jawab Nafisa mengingatkan Gazza tentang rancangan kegemarannya itu.

"Ohhh. Terlupa saya. Fisa sokong siapa?" soal Gazza berminat mahu tahu.

"Last year saya sokong Shidee Data. Untuk musim baru ni pula saya sokong Aishah."

"Aku... Rela hidup denganmu, demi bahagia.. Hanya Tuhan bisa memisahkan kita."

Gazza terus menyanyikan lagu dari kumpulan Data yang bertajuk Permaisuri. Aksi spontan Gazza itu mengejutkan Nafisa. Mana tak terkejut. Gazza menyanyikan lagu itu di tempat terbuka. Malu kut.

Doktor Gazza memang gila!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro