Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 10

Hari ini sekali lagi Nafisa pergi ke tempat Cikgu Bulan walaupun ditegah oleh Encik Nuruddin yang bercuti demi untuk menjaganya. Dia rimas dengan perhatian yang diberikan oleh lelaki itu. Semuanya tak boleh. Macamlah besar sangat pembedahan yang telah dijalani sehingga perlu dijaga rapi.

"Kan cikgu dah bilang jangan datang. Berehat saja di rumah," bebel Cikgu Bulan sebaik ternampak Nafisa.

Nafisa mencemik.

"Cikgu ni sama macam ayah. Risau sangat. Fisa okey. Tak sakit langsunglah."

"Betul ke ni dah tak sakit lagi?"

Cikgu Bulan masih tidak yakin dengan jawapan Nafisa.

"Betul. Sakit lagi berak tau," gurau Nafisa mengusik Cikgu Bulan. Serentak dengan itu satu tamparan lembut hinggap di paha kiri.

"Eh, budak ni! Loyar buruk pula dia."

Nafisa ketawa kuat. Seronok mengusik Cikgu Bulan.

"Apa yang boleh Fisa bantu cikgu?" tanya Nafisa sebaik tawanya reda.

"Tak ada apa. Fisa duduk sajalah. Cikgu nak ke bank. Ada urusan sikit."

"Nak ikut."

Nafisa merengek. Dengan Cikgu Bulan malunya memang tiada. Dia telah mengenali wanita itu sejak berumur dua belas tahun lagi.

"Tak payahlah. Kalau nak tolong sangat, apa kata Fisa jagakan tempat ini untuk cikgu. Takut juga cikgu jika balik lambat. Cikgu-cikgu lain sibuk mengajar," cadang Cikgu Bulan.

"Boleh juga," angguk Nafisa terus bersetuju.

"Kalau ada sesiapa yang datang, Fisa call saja cikgu, ya?"

"Baik," angguk Nafisa lagi.

"Okey. Cikgu pergi dulu." Lambai Cikgu Bulan senang hati ada orang yang menggantikannya.

Tidak sampai setengah jam Cikgu Bulan pergi, Nafisa lihat ada kereta yang masuk ke pekarangan banglo menempatkan sekolah kelolaan Cikgu Bulan itu. Dia ke pintu utama yang berjeriji dan memerhatikan saja kereta Range Rover itu berhenti. Seorang lelaki dilihat keluar dan sebaik lelaki itu berpusing, Nafisa terpanar.

"Doktor Gazza!" jeritnya kuat.

Di pihak Gazza pula, dia pelik mendengar namanya disebut. Diamatinya wajah wanita berselendang biru yang berdiri tegak di muka pintu dan sebaik menyedari siapakah gerangan orangnya, Gazza ternganga.

"Sayyida Nafisa?" katanya tidak percaya.

Masing-masing berpandangan dan tergamam. Betul-betul macam cerita Hindustan. Cuma tiada muzik latar sahaja.

"Pak ngah."

Suara nyaring Amna yang entah bila melompat keluar dari kereta mengganggu tayangan filem sebabak itu. Apabila tersedar, baik Nafisa mahupun Gazza, masing-masing melarikan pandangan. Gazza mendapatkan Amna manakala Nafisa fokus membuka pintu jeriji yang menjadi perisai.

"Assalamualaikum," sapa Gazza memimpin tangan Amna.

Nafisa hanya mengangguk. Dia menjawab salam dalam hati.

"Tak jawab salam dosa." Spontan ayat itu keluar dari mulut Gazza. Ayat zaman tok kaduk yang Gazza sendiri sesal mengucapkannya.

"Dah. Dalam hati."

Nafisa menahan tawa.

Berbeza rupanya karakter Gazza apabila berada di luar. Pemalu sangat. Jangan malu-malu kucing sudahlah.

Gazza menarik tangan Amna. Dia mendekati Nafisa tetapi kedudukan mereka dihalang oleh tiga anak tangga.

"Dah baik?" tanya Gazza menunjuk pipi.

"Alhamdulillah," angguk Nafisa senang Gazza tidak lupa tentang itu. Ini menunjukkan keprihatinan Gazza terhadap pesakitnya.

"Boleh saya bantu, doktor?"

"Betul ke ni pejabat persatuan disleksia?"

Nafisa angguk.

"Ini Pusat Perkembangan Kanak-kanak Disleksia cawangan Titiwangsa. Doktor nak jumpa siapa? Kalau nak jumpa pengerusi, dia ada di HQ Ampang."

Gazza menghela nafas panjang. Manalah dia tahu tentang itu. Dengan siapa yang perlu dia berhubung pun dia tidak pasti. Dia hanya Google, mencari pusat disleksia dan cawangan Titiwangsa menjadi pilihan.

"Doktor masuklah dulu," ajak Nafisa kasihan melihat wajah muram Gazza yang kelihatan agak sukar untuk menjawab soalan yang diberi.

Gazza akur. Dia menarik tangan Amna mengajak masuk ke dalam banglo lama yang mempunyai perabot yang sangat minima. Hanya dinding sahaja yang penuh dengan keratan-keratan akhbar dan artikel memaparkan tentang kejayaan bekas-bekas pelajar mahu pun tokoh-tokoh ternama yang menghidap disleksia.

"Albert Einstein."

Terluncur nama itu dari mulut Gazza.

"John F. Kennedy, Steven Spielberg, Steve Jobs, John Lennon, Tom Cruise, Keanu Reeves, Lee Kuan Yew dan ramai tokoh terkenal yang lain adalah penghidap disleksia. Di Malaysia pula kita ada Altimate. Rapper terkenal tu."

Gazza memandang Nafisa.

"Saya dengar tentang Tom Cruise, Steve Jobs dan beberapa nama lagi tetapi Lee Kuan Yew dan Albert Einstein amat mengejutkan."

Nafisa senyum nipis. Dia sudah biasa mendengar ayat yang keluar dari mulut Gazza itu.

"Disleksia adalah kesulitan seseorang dalam membaca dan menulis. Perkataan itu sendiri berasal dari bahasa Yunani. Dys bermaksud kesulitan dan lexis bermaksud huruf atau leksikal. Walaupun begitu, keupayaan intelek mereka masih lagi sama dengan kanak-kanak normal yang lain bahkan akan menjadi lebih bijak lagi jika kena cara didikannya," terang Nafisa tanpa disuruh.

"Pemenang anugerah nobel dan penemu teori relativity. Susah nak percaya Einstein menghidap disleksia. Lee Kuan Yew pula adalah ahli politik yang membangunkan Singapura. Bukan calang-calang cerdiknya tu sehingga dapat membawa Singapura mencapai tahap sekarang."

Gazza geleng kepala kerana masih lagi kagum.

"Kalau doktor nak tahu, sebelum terkenal dulu, tarikh pun Einstein tak berapa nak ingat tetapi beliau sangat bijak menyelesaikan soalan matematik."

Belum sempat Gazza membalas, bunyi barang berterabur kedengaran kuat. Berduet kedua-duanya menoleh ke belakang.

"Amna!" tempik Gazza kuat. Menyirap darahnya melihat mainan lego bersepah di atas lantai.

"I am sorry, pak ngah," ucap Amna terketar-ketar. Wajahnya jelas kelihatan takut.

"Apa Amna bu..."

"It's okay, doktor," potong Nafisa meredakan keadaan. Dia tidak mahu Gazza marahkan Amna disebabkan hal yang sekecil itu.

"Amna nak main lego, ya? Mari kita main sama-sama," sambung Nafisa lagi lalu duduk bersila di hadapan lego yang berterabur.

Amna tidak langsung berganjak. Dia menjeling Gazza.

"Pak ngah, marilah main sekali."

Nafisa mengajak Gazza pula. Dia tahu Amna tidak akan menerima pelawaannya kerana takutkan Gazza.

"Saya tak sangka yang Amna akan usik barang-barang mainan ni tanpa kebenaran," kata Gazza malu. Dia duduk bersila di sebelah Nafisa.

"Bekas lego ni saya tak tutup rapat tadi. Sebab itulah agaknya bila diangkat terus berterabur isinya," tipu Nafisa mahu melegakan hati kedua-dua tetamunya.

"Kalau Amna tak sentuh, lego tu takkan jatuh berterabur walaupun tidak ditutup rapat."

"Amna, marilah main dengan kakak. Tengok pak ngah pun dah duduk sini nak main sekali."

Nafisa tidak menghiraukan Gazza. Amna masih membatu.

"Come, Amna. Pak ngah tak marah pun. Kalau pak ngah marah, takkan pak ngah duduk di sini. Betul tak, pak ngah?"

Nafisa mengenyitkan matanya kepada Gazza memberi isyarat kepada lelaki itu supaya memberi respons dengan soalannya.

"Mari sayang," cepat-cepat Gazza menggamit Amna, dia faham akan kenyitan mata Nafisa.

Amna senyum nipis. Dia mendekati Gazza.

"Duduklah. Takkan nak berdiri," arah Nafisa masih lagi memujuk.

Amna mengikut arahan. Dia duduk di sebelah Gazza.

"Kakak nak bina istana. Amna pulak nak bina apa?" pancing Nafisa ramah.

"Amna nak buat princess."

"Eh, macam mana tu nak buat princess guna lego?" gelak Gazza tidak dapat membayangkan hasilnya. Princess berpetak.

"Boleh kan, Amna? Pak ngah aje yang tak tahu. Apalah pak ngah ni," cebik Nafisa mengejek Gazza. Amna terkekeh-kekeh gelak.

"Eleh... Cer Kakak Nafisa buat. Abang Gazza nak tengok macam mana kejadiannya," cabar Gazza. Berlagak sangat. Biar Nafisa rasa. Ada berani?

"Kakak Nafisa? Siapa tu?"

Tiba-tiba Amna mencelah. Setahunya hanya dia saja yang bernama Nafisa di situ.

"Kakak comel inilah, Nafisa," kata Gazza menjawab soalan Amna seterusnya memperkenalkan Nafisa kepada anak kecil itu.

"Ya, nama kakak Sayyida Nafisa."

"Nama Amna... Amna Nafisa."

"Wah, nama kita samalah! Seppp sikit."

Sorak Nafisa seronok. Sepantas kilat dia mengangkat kelima-lima jari kanannya dan sepantas kilat juga Amna menepuk. Selepas itu kedua-duanya sambung ketawa. Gazza terpanar. Dia memerhatikan gelagat dua Nafisa itu dengan perasaan yang sukar untuk ditafsirkan. Pada saat dia hilang sabar dengan perangai Amna, Nafisa pula melayan Amna dengan baik sehingga Amna kelihatan sangat gembira.

"Kakak, Amna nak buat Princess Elsa."

"Habislah Princess Elsa bekukan istana kakak nanti."

"Ni Princess Elsa Malaysialah. Kat Malaysia mana ada salji."

Nafisa ketawa.

"Bijaknya Amna."

Wajah Amna berubah bangga. Jarang pujian seperti itu diterima.

"Amna tak bodoh kan kakak macam yang nenek selalu kata?"

Tawa Nafisa mati. Dia memandang Gazza yang juga kelihatan terkejut.

"Mana ada orang bodoh dalam dunia ni. Setiap orang mempunyai kelebihan masing-masing."

"Esya pun tak mahu berkawan dengan Amna selepas Amna turun kelas. Dia cakap mama dia tak bagi berkawan dengan budak bodoh." Amna menambah. Hancur luluh hati Nafisa mendengar aduan Amna itu.

Kakak faham sangat, sayang. Kakak faham apa yang Amna rasa, rintih Nafisa dalam hati.

"Amna kena maafkan Esya sebab dia perlu dengar cakap mama dia. Kalau tidak nanti dia jadi anak derhaka."

Amna berjeda seketika.

"Betullah, kakak. Apalah Amna ni," gelak Amna mentertawakan kesilapan sendiri sekaligus menerima nasihat Nafisa.

Nafisa semakin sebak. Mudahnya Amna terpedaya. Betapa luhurnya hati Amna.

"Sudi tak Amna berkawan dengan kakak?" Spontan terkeluar pertanyaan itu dari mulut Nafisa.

Mata Amna bercahaya.

"Sudi."

"Apa lagi... Seppplah macam tadi," jerit Nafisa meraikan ikatan persahabatan yang telah tercipta.

Tangan mereka bercantum.

"Dengan pak ngah tak nak seppp?" sampuk Gazza mengangkat tangannya.

Nafisa terkujat. Mengada-ada pula doktor muda ini.

"Seppp!" Amna menyelamatkan keadaan. Dia menepuk tangan Gazza.

"Okeylah, Amna sambung bina princess. Kakak ada kerja nak buat," suruh Nafisa meminta diri. Entah kenapa dia rasa sangat malu dengan apa yang Gazza lakukan tadi.

Amna angguk. Dia duduk dan menumpukan sepenuh perhatiannya kepada lego di hadapan mata.

"Pak ngah bergurau saja tadi. Janganlah ambil hati."

Nafisa dengar satu bisikan di telinga. Dia terus melompat bangun dek terlalu terkejut.

"Jika beginilah Amna dihormati, saya tidak akan teragak-agak menghantar Amna ke sini," sambung Gazza turut sama bangun.

Nafisa pelik. Apa maksud Gazza?

"Saya tak fahamlah, doktor."

"Boleh kita duduk di sana?" ajak Gazza menunjuk ke arah sofa putih tidak jauh dari mereka.

Nafisa tidak membantah. Dia mendahului Gazza. Apabila kedua-duanya sudah duduk, barulah Gazza bersuara.

"Sebaik Amna dirujuk ke sini, saya rasa sangat sangsi. Sejujurnya saya tidak tahu apa-apa tentang tempat ini tetapi melihat Fisa melayani Amna, saya pasti yang Amna akan dibantu."

"Tiada apa yang telah saya buat, doktor. Saya cuma melihatnya sebagai kanak-kanak yang wajar dilayani."

"Fisa tahu kan Amna tu kanak-kanak disleksia?"

Nafisa melemparkan pandangannya kepada Amna.

"Tahu. Dia mengingatkan saya pada seseorang."

Air mata Nafisa bergenang.

"Pelajar di sini?"

Nafisa angguk.

"Ya. Dia menjejakkan kakinya ke sini pada usia dua belas tahun. Sangat lewat dibandingkan dengan kanak-kanak yang lain."

"Kasihannya," balas Gazza menunjukkan simpati.

"Ya. Sangat kasihan. Bertahun-tahun dia berhempas-pulas berlumba dengan kanak-kanak normal yang lain untuk cemerlang dalam bidang akademik tetapi usahanya itu hanyalah sia-sia. Sehinggalah pada suatu hari ibunya melihat satu artikel di Facebook mengenai disleksia. Dari situlah nasibnya berubah."

Suasana sepi buat beberapa ketika.

"Saya pula tahu wujudnya disleksia tetapi gagal melihat ciri-ciri disleksia dalam diri Amna kerana terlalu sibuk dengan urusan... "

Kata-kata Gazza terhenti di situ. Dia mengeluh kesal.

"Biasalah tu, doktor. Kita sentiasa sibuk dengan urusan dunia sehingga kita terlepas pandang apa yang ada di depan mata."

Hati Gazza pedih tetapi itulah kenyataannya. Semakin kita terbang tinggi, semakin kita hidup sendiri.

"Amna beruntung kerana masalahnya dapat dikesan di peringkat awal. Doktor janganlah risau. Amna pasti akan berjaya."

Gazza renung wajah Nafisa. Apabila mata mereka bertaut, dia nampak ada keikhlasan di situ. Sesungguhnya Nafisa tidak berbohong.

"Jadi sebagai permulaan, apa yang perlu saya buat? Bagaimana saya boleh mendaftarkan Amna di sini?" soal Gazza bersemangat.

"Doktor tunggu sebentar. Saya call pengetua."

Belum sempat Gazza memberikan jawapan balas, Nafisa sudah pun melekapkan telefon pintarnya ke telinga.

Uishhh. Masa bila pula dia dail? Kata Gazza dalam hati pelik dengan tahap kepantasan Nafisa.

"Doktor."

Nafisa memanggil kuat.

"Haaa apa?!" tempik Gazza terkejut kerana disergah.

Nafisa ketawa. Wajah Gazza sangat lucu.

"Pengetua on the way. Dalam sepuluh minit lagi sampailah."

Gazza menarik nafas lega. Sepuluh minit tu tidaklah lama mana. Sempatlah dia menyelesaikan urusan Amna hari ini juga.

"Doktor suka muzik, kan?"

Gazza memandang Nafisa. Tiba-tiba mengubah topik. Pelik!

"You already know the answer."

"Kalau begitu, boleh doktor teka tak lagu ni? Dengar ya?"

Gazza memasang telinga. Dia lihat Nafisa membetulkan duduk, menarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya. Memang betul-betul gaya seorang penyanyi profesional. Mesti sedap suara Nafisa.

"You may say I'm a dreamer... But I'm not the only one."

Berkerut sepuluh dahi Gazza mendengar suara Nafisa. Sumbang. Silap jangkaannya tadi.

"Dah habis ke?"

"Dah. Cepat teka."

"Secoet itu saja?"

Mengarut. Lirik cuma sebaris. Macam mana nak tahu lagu apa yang didendangkan?

"Sikit dahlah. Kata hebat pasal muzik."

"Rentak lagu sumbang. Pitching ke laut. Diction tak betul. Macam mana nak teka?" kritik Gazza meniru gaya Datuk Ramli MS.

"Orang kalau dah hebat tentang muzik, nyanyian sumbang atau rentak ke lautan Hindi sekalipun, hanya dengan sebaris lirik dia pasti akan dapat menjawabnya. Cakap sajalah tak tahu."

Nafisa mengejek. Gazza berada di jajahan takluknya jadi dia berani menunjukkan belang. Jika di hospital, tak bolehlah berkelakuan begini. Percuma saja kena cucuk nanti.

"Okeylah. Saya mengaku kalah. Saya tak tahu lagu apa."

Gazza angkat kedua-dua belah tangan tanda mengalah.

Nafisa senyum menang.

"Nampak tak gambar sebelah Albert Einstein tu?" tunjuknya dengan bibir yang dimuncungkan.

Gazza angguk.

"Itulah John Lennon dari kumpulan The Beatles si pemilik lagu Imagine yang saya nyanyi tadi."

"Yes. I know that song."

"John Lennon adalah penghidap disleksia. Dia menghadapi masalah untuk mengingati lirik lagu gubahan orang lain sehingga menyebabkan dia membuat keputusan untuk mengubah dan menulis lirik lagunya sendiri. Nah, lihat sendiri betapa hebatnya si penghidap disleksia. Mereka berjaya kerana daya imaginasi yang tinggi, amat kreatif dan mampu berfikir dalam pelbagai dimensi. Mereka juga..."

"You may say I'm a dreamer... But I'm not the only one... I hope someday you'll join us... And the world will be as one."

Nafisa terpegun. Kata-katanya hanya terhenti di situ sebaik mendengar dendangan suara Gazza. Tidak disangkanya Gazza mempunyai suara yang sangat merdu.

"Imagine no possessions... I wonder if you can... No need for greed or hunger... A brotherhood of man... Imagine all the people... Sharing all the world... You..."

Gazza berhenti menyanyi. Dia merenung wajah Nafisa yang tidak berkelip memandang ke arahnya.

"Lain kali kena nyanyi sedap macam ni. Mengerti?"

"Haaa..."

Terkulat-kulat Nafisa malu disergah begitu. Dia bangun mencari idea bagaimana mahu mengenakan Gazza tetapi niatnya itu berkubur sebaik mendengar satu suara.

"Assalamualaikum. Maaf kerana menunggu," sapa Cikgu Bulan tercungap-cungap.

Nafisa dan Gazza sama-sama menoleh ke arah si empunya suara.

"Waalaikumussalam."

"Waalaikumussalamwarahmatullahiwabarakatuh," balas Nafisa lebih panjang.

Gazza menoleh memandang ke arah gadis itu. Hesy, nak juga menang. Jawab salam serupa tok syeikh. Siap dengan taranum dan dengungnya sekali.

"Fisa."

"Ya, cikgu."

Macam tadi, kuat Nafisa membalas. Bersemangat sungguh dia. Gazza tergeleng-geleng. Masih keanak-anakan lagi gadis ini rupa-rupanya.

"Cikgu nak berbincang dengan Encik..."

"Gazza," potong Nafisa memberitahu nama tetamu mereka.

"Cikgu nak berbincang dengan Encik Gazza sebentar. Boleh tak Fisa sediakan tempat untuk cikgu jalankan assessment test?" pinta Cikgu Bulan tidak mahu membuang masa.

"Kat mana, cikgu? Di bilik komputer boleh?"

"Mana-mana pun tak apa."

"Baik, cikgu."

Nafisa mengangguk. Dia mengorak langkah ke dapur mentaati suruhan wanita yang sangat dihormatinya itu meninggalkan Gazza yang asyik merenung ke wajahnya tanpa dia sedari.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro