Bab 1
Kuala Lumpur, 2018...
Abang pilih yang mana,
perawan atau janda,
perawan memang menawan,
janda lebih menggoda.
Abang pilih yang mana,
perawan atau janda,
perawan memang cantik,
janda lebih menarik.
Kalau abang pilih perawan,
masih muda masih segelan,
belum disentuh orang...
Belum berpengalaman.
"Yehaaa... Abang pilih yang mana, bang?!" jerit Sayyida Nafisa sambil meliuk lentok mengikut irama lagu.
Bait-bait lirik Perawan atau Janda yang dinyanyikan oleh Elly Mazlein atau Kak Lina Pom Pom di rancangan Gegar Vaganza minggu ketiga dihayatinya dengan penuh perasaan. Gelekan manja Kak Lina Pom Pom menyebabkan punggungnya juga tidak mahu berhenti dari bergerak ke kiri dan ke kanan.
"Come on, Kak Lina. Gelek... Gelek... Gelek Kak Lina, gelek."
Nafisa menambahkan lagi frekuensi suaranya. Bukan itu sahaja, dia juga turut berpusing tiga ratus enam puluh darjah. Kalah gelekan Mas Idayu. Bukan setakat Mas Idayu, raja gelek Indonesia Rhoma Irama pun habis ditapaunya. Dia benar-benar naik seh.
Abang pilih yang mana, Perawan atau Janda
"Perawanlah, bang. Macam saya," sahut Nafisa menjawab nyanyian Elly Mazlien. Punggung ditonggekkan lagi membuat gaya seksi.
"Kalau ayah, ayah pilih janda. Banyak pengalaman. Matang pun matang. Tak adalah tergedik-gedik menari dangdut reggae reggae sampai hangit asam pedas di dapur."
Gelekan Nafisa serta-merta terhenti. Dia berpusing memandang ke pintu dan melihat Encik Nuruddin iaitu ayahnya sedang berdiri sambil tersungging bibir.
"Asam pedas? Hangus? Allah. Angah lupa!" jerit Nafisa histeria. Dia meluru ke dapur. Habis tubuh Encik Nuruddin ditolaknya.
Setibanya di sana, hati Nafisa hancur luluh melihat asam pedas yang baru sekali makan sudah bertukar warna.
"Aduh, perut dahlah lapar!" marah Nafisa rasa nak campak periuk hangus ke dalam tong sampah.
"Kemain dahsyat angah bergelek sampai habis lupa semuanya. Mujur jugalah ayah balik. Kalau tidak tadi entah-entah dah terbakar rumah," tambah Encik Nuruddin lagi menegur.
Bukan rumah yang dirisaukan sangat tetapi nyawa dan keselamatan anaknya itu yang dikesahkan. Rumah boleh dibeli tetapi nyawa anak mana hendak dicari ganti?
Nafisa hanya mampu terdiam. Ni semua salah rancangan Gegar Vaganza yang ditontonnya. Gelekan Kak Lina Pom Pom sangat mempesonakan sampai dia terlupa apa yang sedang dibuat. Kan dah kena bebel.
"Yang tercegat merenung periuk tu kenapa? Baik cepat-cepat basuh. Ni kalau ibu ada memang mengamuk dia tengok periuk Jamie Olivernya hangus," tegur Encik Nuruddin memecahkan lamunan Nafisa.
Nafisa hanya mampu mengeluh. Tu satu lagi masalah. Ibu memang sayang sangat segala periuk belanga dan pinggan mangkuk importnya. Nak tengok ibu jadi hijau, rosakkanlah harta karunnya yang ini. Gerenti tercabut gigi.
Periuk Jamie Oliver warna hitam itu diangkat dengan penuh berhati-hati lalu dibawa ke singki. Sebaik air paip dibuka, bunyi desir kuat memenuhi gegendang telinga.
"Angah rendam dululah ayah periuk ni. Ibu tak kasi sental. Nanti bercalar," kata Nafisa tidak mahu mencari nahas.
"Tolak aje kotoran hangus tu dengan sudip kayu," sambut Encik Nuruddin menunjuk pandai.
Nafisa menurut sahaja arahan Encik Nuruddin dan ternyata lelaki itu betul. Kotoran hangit yang melekat di dasar periuk dapat ditanggalkan dengan senang.
"Wow, dahsyat periuk ni! Patutlah harganya mahal," jerit Nafisa teruja. Ringan rasa kepala.
"Ayah tahu."
"Dah tahu tetapi kenapa ayah bising tadi?" cebik Nafisa marah. Buat kacau emosinya saja.
"Ayah saja buat angah gelabah. Lain kali tolong beringat sikit. Lepas ni tolonglah jadi lebih berhati-hati dan satu lagi, jangan asyik menonton Gegar Vaganza yang telah angah rakamkan berepisod-episod itu. Nanti tak tahulah apa lagi yang hangus."
Tidak jadi Nafisa mahu menyambung rajuk apabila diberikan amaran. Dia hanya menganggukkan kepala.
"Memang hangus ke, ayah?"
Sakinah Nadira atau lebih dikenali sebagai baby dalam kalangan mereka masuk ke dapur. Dia menepuk-nepuk bahu Nafisa.
"Adoi! Sakitlah, baby," marah Nafisa bengang dengan perbuatan Nadira. Tangan tu bukannya kecil. Besar macam sarung tinju Muhamad Ali.
"Apa lagi. Hitam legam jadinya."
Encik Nuruddin memuncungkan bibirnya ke singki.
"Itulah, ayah. Tadi ayah marahkan baby nak cepat balik. Nasib baik tau perut baby ni meragam. Kalau tidak tak tahulah apa jadi dengan angah. Entah-entah dah arwah."
"Caittt."
Nafisa siku perut Nadira. Tak sayang mulut betul!
"Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya," tekan Nadira lagi tidak terkesan dengan perbuatan Nafisa.
Nafisa juihkan bibir. Iyolah. Tak payah nak taksub sangat dengan perut buncit tu.
Encik Nuruddin hanya ketawa melihat gelagat kedua-dua orang permata hatinya. Dia ke depan tanpa berkata apa-apa.
Nafisa sambung mencuci periuk Jamie Oliver di tangan manakala Nadira masih lagi tercegat macam robot. Bukannya nak menolong.
"Angah."
"Apa dia?" soal Nafisa keras. Rasa geram pada Nadira masih ada.
"Angah dah makan?"
Nafisa pandang atas. Menyampah dengan soalan Nadira. Dah sah-sah asam pedas hangus. Nak juga bertanyakan soalan itu.
"Baby ada bungkus lebihan bihun goreng yang tak habis tadi. Kalau angah nak makan ambillah."
"Bihun? Mana? Mana? Angah memang tengah lapar gila ni."
Teruja Nafisa mendengar berita baik itu. Dia tarik balik kata-katanya tadi. Sumpah dia langsung tak menyampah pada Nadira.
"Kat sofa depan. Sampai-sampai tadi tak tahan nak membuang jadi baby letak aje di situ."
Nafisa laju memecut ke ruang tamu. Dia terus mengambil bungkusan bihun goreng yang elok terletak di atas sofa lalu membawanya ke meja makan. Inilah rezeki terpijak. Syukur alhamdulillah.
"Ayah mana?" Nadira datang bertanyakan kepada Nafisa yang langsung tidak menoleh ke kiri dan ke kanan. Lapar sangat gayanya.
"Masuk biliklah. Apa lagi? Sejak ibu ke Perth, ayah mati kutu."
Puan Hatieza iaitu ibu mereka ke Perth untuk menjenguk Safia Nadine kakak sulung mereka yang menyambung pengajiannya di sana.
"Patutnya ayah ikut ibu. Ini tidak. Takut sangat nak tinggalkan kita. Macamlah kita budak kecil lagi," bebel Nafisa dengan mulut yang penuh.
"Memang patutlah ayah risau nak tinggalkan kita, ngah. Tengoklah tadi. Habis hangus asam pedas angah kerjakan."
Nafisa mengeluh. Hesy... Tak habis-habis membangkitkan tentang itu. Cukuplah mengulanginya sekali dua saja.
"Baru sekali, kan?"
"Sekali? Berkali-kalilah. Tak ingat rendang ayam..."
"Tak sampai hangus pun. Baru kering aje kuahnya," pantas Nafisa menepis. Memang ada rendang ayam yang hampir hangit di tangannya tetapi masih lagi boleh diselamatkan dan dimakan. Tak adalah hitam legam macam asam pedas tadi.
"Kari udang galah dulu siapa yang jahanamkan? Angah juga."
Yang ini Nafisa tak berdaya nak lawan. Baru dia teringat dia pernah menghanguskan kari udang galah dua bulan yang lalu.
"Banyak juga makanan yang angah dah jahanamkan, ya," keluh Nafisa baru tersedar betapa cuainya dia.
Nadira tergelak kecil. Tahu pun nak mengaku salah. Ingatkan tadi nak berkeras macam selalu.
"Ya. Sebab itulah ayah tak percaya nak tinggalkan kita."
"Sudahlah. Tak payah nak senaraikan lauk yang angah dah jahanamkan. Sekarang ni angah nak tahu, baby nak tak bihun ni? Kalau tak nak angah nak habiskan."
Topik perbualan diubah. Kalau asyik nak menyebut tentang hangit dan hangus sahaja, sampai bila pun tak habis.
"Tak naklah. Perut tak berapa nak okey lagi ni. Berangin sangat."
Nadira tepuk perut buncitnya. Memang berdentam-berdentum bunyi yang keluar.
"Angah habiskan, ya?"
Nadira menganggukkan kepalanya dan Nafisa pun apa lagi, semakin laju bihun goreng disuapkan ke mulut.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro