♛ Bab 7
ADREANNE melangkah ke arah pintu dengan berhati-hati. Lebih baik dia larikan diri sekarang sebelum Edirul Fahmi mengamuk. Perlahan-lahan dia cuba memulas tombol pintu tanpa mengeluarkan sebarang bunyi.
"Tu nak larikan diri la tu," tegur Edirul Fahmi. Pintu yang baru terkuak sedikit cepat-cepat Edirul Fahmi tolak sambil menekan punat kunci. Dia berdiri di depan pintu bilik sambil berpeluk tubuh.
"Eh, kau nak apa lagi ni! Aku nak keluar la." Adreanne mendengus geram. Renungan tajam Edirul Fahmi dia balas dengan berani.
"Awak buat apa dalam bilik ni? Tak takut kena kahwin awal ke?" ulang Edirul Fahmi.
Adreanne menjegil mata. "Kau ingat aku kemaruk sangat ke nak kahwin dengan kau, hah? Aku cuma letakkan baju tu dengan minyak panas je," jawab Adreanne dengan suara yang tertahan-tahan sambil dia menunjuk ke arah sepasang baju dan kain pelikat yang berada di hujung katil.
Edirul Fahmi kerling ke arah yang ditunjukkan oleh Adreanne dengan ekor mata. Bukan dia tak nampak, tapi dia saja nak cari gaduh. Seronok pula bila tengok Adreanne marah-marah macam ni, getus hati kecilnya.
"Mana aunty? Bukan aunty ke yang patut hantar?" sengaja Edirul Fahmi bertanya.
"Eii, banyak tanya la kau ni!" Adreanne angkat kedua-dua belah buku lima yang digenggam di hadapan muka Edirul Fahmi yang beriak mengusik. "Kalau dah aku yang hantar tu mesti mama suruh aku. Suka tanya soalan bodoh la kau ni," sambung Adreanne sambil berpeluk tubuh. Dia palingkan muka ke tepi dengan mulut yang terkumat-kamit mengutuk Edirul Fahmi.
Mana tak geramnya Adreanne kalau Edirul Fahmi seolah-olah sengaja mahu bertanya itu ini padahal dia ni dah tak sabar-sabar nak keluar dari sini. Dalam hati, Adreanne mula gugup sedikit apabila bau shower cream yang dipakai Edirul Fahmi menerjah hidung. Tapi, itu semua tetap tak boleh lawan rasa geram dia dekat Edirul Fahmi.
"Caring juga awak dekat saya, kan? Sampai berani masuk bilik saya tanpa teman. Dah tu siap tutup pintu lagi. Wow, saya speechless," perli Edirul Fahmi.
"Eh, kalau aku tahu kau ada je dalam bilik ni, memang aku tak masuk! Aku letak je pakaian tu dekat luar, biar padan dengan muka kau," balas Adreanne geram. Dia pejam mata sekejap. Nafas ditarik dalam-dalam sebelum dia kembali membuka mata. Wajah Edirul Fahmi yang masih beriak nakal direnung tajam. "Lagi satu, kau tak payahlah nak perasan sangat yang aku ni caring dengan kau. Kalau mama tak suruh, memang aku tak ingin pun nak hadap muka awam kau ni," sambungnya lagi.
Edirul Fahmi tersengih suka. Ah, inilah yang dia mahu! Dia mahu Adreanne marah-marah padanya. Gila, bukan?
"Oh..." Edirul Fahmi berjalan mendekati Adreanne perlahan-lahan. Adreanne yang sedar dengan tingkah Edirul Fahmi pantas mengundurkan kaki ke belakang untuk menambahkan jarak antara sekarang.
"Baik kau stop sekarang. Kalau tak..." Mati kata-kata Adreanne apabila dia jatuh terduduk di atas katil. Oh, shit! Kenapa ada katil pula dekat sini?!
Adreanne keras membatu apabila sepasang tangan kekar Edirul Fahmi melekap di kiri dan kanan tubuhnya. Walaupun masih ada jarak yang tercipta antara mereka, Adreanne dapat dengar dengan jelas setiap helaan nafas Edirul Fahmi. Tambah pula dengan keadaan Edirul Fahmi yang hanya memakai seluar jeans tanpa baju, buatkan dia bertambah gugup. Ya Allah, Engkau selamatkan la aku daripada salah seorang hambaMu yang dah dijangkiti ulat bulu ni, doanya dalam hati.
Kalau Adreanne sedang gugup, Edirul Fahmi pula ralit merenung ke dalam sepasang anak mata berwarna coklat gelap milik Adreanne. Sambil-sambil itu, otak ligat memikirkan helah untuk membalas dendam.
"Puas hati awak sekarang ni?" sergah Edirul Fahmi tiba-tiba. Mata sengaja dicerlung tajam untuk melihat wajah Adreanne yang asyik tunduk menekur lantai. Edirul Fahmi mengetap rapat ulas bibirnya. Walaupun dia kurang pasti sama ada Adreanne mula memerah menahan malu ataupun marah, dia tetap suka tengok Adreanne dalam keadaan begini.
Adreanne tunduk menekur lantai. Tak berani dia nak tengok muka singa jantan kelaparan yang ditayangkan Edirul Fahmi walaupun hatinya rasa teringin sangat nak tengok enam ketul bun yang berada di badan Edirul Fahmi. Ish, gatal kau Adreanne! Tak nak-tak nak pun mata tu nakal, kutuk Adreanne pada diri sendiri.
"Puas hati apa pula kau ni? Aku dah cakap tadi, kau memang suka tanya soalan bodoh lepastu tergantung," jawab Adreanne sambil menahan gugup.
"Oh, soalan bodoh! Cuba cakap, soalan bijak tu macam mana? Awak kan bijak sangat," perli Edirul Fahmi sambil mengurangkan lagi jarak antara mereka. Dia dekatkan sedikit muka ke arah Adreanne.
"Err... jangan dekat la!" Adreanne capai bantal di kepala katil sambil menekap ke tengah badan Edirul Fahmi. Fuh, baru la kurang sikit gabra ni sebab dah tutup buns tu!
"Heh, tahu pun takut."
"Bukan takut. Kau tu apasal tanya soalan sekerat-sekerat!" nafi Adreanne. Alih-alih dia juga yang kalah.
Edirul Fahmi lempar bantal yang ditekap ke badannya ke tepi. "Awak tu la, yang awak letak kuah sambal tu banyak-banyak kenapa? Tak habis-habis nak kenakan saya sampai pedih perut saya sebab sambal udang awak tu pedas sangat," bebel Edirul Fahmi tak puas hati.
Adreanne ketawa kuat. Aduh, muka dah garang tapi membebel macam mak nenek!
"Kenapa gelak, hah? Saya tak buat sketsa Maharaja Lawak tau!"
"Kau ni kan, muka dah macam singa jantan dah. Tapi bila membebel, pergh! Cik Gayah sebelah rumah ni pun kalah walaupun Cik Gayah tu la makcik paling bawang dalam taman ni," jawab Adreanne sambil tangan menampar-nampar permukaan katil di sebelah. Kelakar betul!
"Hah, gelak la lagi! Gelak puas-puas sampai terkeluar semua usus dalam perut awak tu. Lepastu baru awak berhenti gelak." Geram Edirul Fahmi membalas. Sedap mulut Adreanne je samakan dia dengan Cik Gayah tu. Walaupun dia tak kenal dengan Cik Gayah, tapi dengar nama pun dah boleh bayang betapa kepohci-nya Cik Gayah tu.
"Tak-tak, aku tak gelak dah." Adreanne berhenti ketawa. Baik dia berhenti sebelum lagi lama dia kena 'bertapa' dalam bilik tetamu yang mula terasa hangat. "Mana la aku tahu kau tu tak tahan pedas, kau pun bukan nak tanya dulu. Jadi, bukan salah aku sorang dekat sini," sambung Adreanne selamba.
"Awak tahu tak-"
Tak sempat Edirul Fahmi menyudahkan kata, Adreanne cepat-cepat menyampuk.
"Awak tahu tak, awak tahu tak? Eh, mana la aku tahu! Kau ingat aku ni ada kuasa telepathy ke?"
"Eh, sabar sikit boleh tak!" berang Edirul Fahmi.
Adreanne buat muka mengejek.
"Humaira, hari ni saja dah banyak dosa awak buat dekat saya tau! Awak tu nak final, nanti tak tenang jawab baru tahu," perli Edirul Fahmi sedas. Hah, rasakan!
Adreanne ternganga. Alamak, dia main final-final pula! "Padan muka kau. Siapa suruh mengada nak suruh orang letak. Tangan-kaki semua cukup Allah bagi, tapi gedik nak suruh orang letak," tutur Adreanne perlahan.
"Apa awak cakap? Boleh ulang balik tak sebab saya tak dengar la" suruh Edirul Fahmi sengaja, padahal dia dengar je apa yang Adreanne cakap. Bukan jauh sangat pun jarak antara mereka, hanya dua langkah.
"Oh, aku cakap kesian perut kau tak tahan pedas! Makanan pedas ni antara nikmat dunia yang semua orang patut rasa," jawab Adreanne gelabah. Ingatkan Edirul Fahmi tak dengar apa dia cakap tadi, rupanya Edirul Fahmi dengar. Dasar telinga lintah betul.
"Ya la tu, macam la saya tak dengar apa yang awak cakap," balas Edirul Fahmi malas.
"Bagus la kalau kau dengar, lepasni jangan nak mengada suruh aku letak lauk ke apa dah. Aku tak suka dan tak akan suka. Kau tu bukannya siapa-siapa pun."
Edirul Fahmi buat tak dengar dengan ayat terakhir Adreanne. "Oh, saya mengada, kan! Kejap saya tunjukkan macam mana cara yang betul untuk mengada. Meh sini meh..." Riak wajah nakal ditayangkan sambil mulut diherotkan ke tepi. Edirul Fahmi berjalan mendekati Adreanne yang tak ubah seperti cacing kepanasan.
Adreanne gelisah memikirkan apa yang patut dia buat sekarang. Hormon adrenaline yang dirembeskan membuatkan jantungnya berdegup dengan pantas sekali. Sepantas-pantas jantung kau berdegup masa kau kantoi usya muka crush, pantas lagi degupan jantung Adreanne sekarang ini. Okey, hipotesis diterima.
Langkah Edirul Fahmi yang semakin hampir buatkan muka dia pucat lesi. Dengan spontan, 'organ sensitif'Edirul Fahmi ditendang sekali. Apabila Edirul Fahmi jatuh terduduk di atas lantai, Adreanne cepat-cepat memulas tombol pintu dan berlari keluar.
Belum sempat Adreanne masuk ke biliknya, dia bertembung dengan Aryan di tengah jalan. Dapat mereka dengar dengan jelas ketawa Edirul Fahmi yang kuat. Aryan menayangkan muka pelik sambil mata bersilih ganti memandang ke arah Adreanne dan pintu bilik tetamu yang masih terbuka.
"Kenapa dengan Edy tu?" Aryan senyum mengusik. Wajah Adreanne yang mula merah-merah buatkan dia dapat mengagak apa yang terjadi. Adreanne apa lagi, terus saja ditampar kuat bahu Aryan sebelum dia laju berlari ke arah biliknya.
Dum! Kuat bunyi pintu ditutup.
"Amboi, sakan kau ya!" Aryan jenguk muka ke dalam bilik tetamu.
Edirul Fahmi tersengih malu. "Alamak, kantoi pula!"
-----
"MAMA! Mama nak tahu tak?"
Suara Aryan yang terlampau teruja buatkan semua yang berada di meja makan mengangkat kepala. Dari tadi, Puan Aminah ralit berbual dengan Encik Khuzairi manakala mereka yang lain hanya diam menikmati sarapan.
"Tahu apa tu, angah?" Puan Aminah bertanya dengan muka berkerut, hairan sedikit apabila Aryan tampak sangat teruja.
"Semalam kan, angah ada tengok satu drama ni," jawab Aryan meleret. Mata dikerling sekilas ke arah Adreanne dan Edirul Fahmi yang berada bertentangan dengannya.
"Drama? Sejak bila pula kau minat tengok drama ni?" tanya Adzim pula. Pertama kali rasanya dia dengar Aryan bercerita tentang drama yang ditonton walhal sebelum ini, Aryan la orang pertama yang akan cabut lari jika Adreanne ataupun Puan Aminah bercerita tentang drama yang ditonton oleh mereka dua beranak.
Aryan senyum lebar. "Ada la, drama semalam tu best sangat! Tu yang aku pun terjebak 'layan' tu."
Adreanne berpura-pura tak dengar. Dia cuba menelan roti bom yang digoreng oleh Puan Aminah walaupun tawar sekali rasa roti kegemarannya. Edirul Fahmi yang belum dapat memproses apa yang terjadi menyengetkan sedikit kepala ke arah telinga Adreanne.
"Diorang cakap pasal kita ke?" tanya Edirul Fahmi perlahan. Adreanne angkat muka sekejap sebelum kembali menghabiskan saki-baki roti bom di pinggan.
"Erm." Adreanne sekadar berdehem perlahan untuk menjawab soalan Edirul Fahmi.
Dahi Edirul Fahmi berlapis. "Pasal kita? Pasal ap-"
Terhenti kata Edirul Fahmi apabila Aryan tiba-tiba memanggil namanya.
"Kan Edy, kan? Semalam hero tu jatuh terduduk atas lantai sebab kena tendang dengan heroin, lepastu heroin pula lari keluar dari bilik dengan muka merah-merah. Hero pun last-last gelak kuat-kuat sebab rasa terhibur dengan heroin. Betul kan?" giat Aryan bertanya. Tersenyum-senyum Aryan apabila melihat Adreanne yang tersedak dan Edirul Fahmi yang terkedu.
"Err..." buntu Edirul Fahmi nak menjawab. Oh, patut la Aryan tak habis-habis jeling dia dari tadi!
"Apasal pelik sangat scene drama kau ni, ngah?" tanya Adzim yang kurang faham. Semalam rasanya dia tak nampak pula Aryan tercegat di depan televisyen untuk menonton drama.
"Hmm..." Aryan ketuk-ketuk bawah dagu. "...yang tu aku tak boleh jawab sebab jawapan dia ada dekat hero dengan heroin je," sengih Aryan.
Adreanne yang baru reda daripada tersedak mula menendang kaki Aryan di bawah meja. Mata terjegil-jegil ke arah Aryan, tanda memberi amaran supaya Aryan tutup mulut. Aryan jungkit sebelah kening ke atas. Sekeping roti bom yang dicarik disuap ke mulut sebelum dia mula bersuara.
"Ya, Aira? Kenapa tendang-tendang kaki angah ni? Ada nak tambah apa-apa lagi pasal drama semalam?" tanya Aryan sengaja.
Adreanne ketap bibir kuat apabila semua mata muka memandang ke arahnya. Eh, geram betul dia dengan Aryan! "Tu kan drama angah tengok, mana la Aira tau apa yang jadi lepastu."
"Betul ke Aira tak tahu? Sebab kan..." Aryan sengaja membiarkan ayatnya tergantung. Dia mula memandang Edirul Fahmi yang beriak tenang. "...mungkin Edy boleh sambung kot apa scene untuk drama semalam."
"Merepek la kau, Aryan. Kau kan tuan director, kau je yang tahu babak-babak seterusnya," jawab Edirul Fahmi selamba. Lagi dilayan Aryan ni, lagi terjerut dia dibuatnya.
Puan Aminah yang diam sedari tadi mula bersuara. "Mama tak faham la, angah. Kan angah yang tengok drama tu, kenapa kena tanya dekat Edy dengan Aira pula ni?"
"Memang la kena tanya dekat diorang berdua tu sebab hero untuk drama yang angah tengok semalam tu Edy. Heroin dia pula dah tentu-tentu la Aira."
"Cop cop!" Adzim angkat tapak tangan ke depan seperti berikrar. "Aku sumpah tak faham ni, ngah."
"Latar tempat untuk drama tu bilik tetamu yang si Edy ni tidur semalam... dan mungkin, depan bilik tetamu," sambung Aryan.
Adzim tolak kepala Aryan sekali. "Eh, kau ni! Cuba cerita je terus, tak payah-payah nak berkomsas dekat sini," berang Adzim.
Aryan gosok kepala. Aduh, tak pasal-pasal kena tolak kepala! "Mana la aku tahu apasal si Aira ni masuk bilik Edy semalam lepastu si Edy tu pula terpegang-pegang dia punya 'tut' dengan muka berkerut-kerut. Dah tu, sorang tiba-tiba lari keluar dengan muka merah, yang sorang lagi pula terbahak-bahak ketawa dalam bilik."
"Hah?!" terjerit mereka yang berada di ruang makan, kecuali Adreanne yang tunduk bermain dengan jari dan Edirul Fahmi yang tergaru-garu belakang kepala.
"Aira! Kenapa Aira masuk bilik Edy semalam? Dah gatal sangat nak kahwin awal ke sampai masuk bilik anak teruna orang?" garang Encik Khuzairi bertanya. Dia sememangnya malas nak masuk campur dengan cerita merepek Aryan, tapi apabila dengar Adreanne masuk ke bilik Edirul Fahmi, memang baran dia jadinya.
Adreanne menendang kuat kaki Aryan di bawah meja. Ni semua Aryan punya pasal, tak pandai simpan rahsia langsung!
"Eh, mana ada Aira nak kahwin dengan dia! Kan Aira dah cakap, Aira tak nak pun kahwin awal-awal ni," nafi Adreanne keras-keras.
"Habis tu, kenapa Aira masuk bilik Edy semalam?" tanya Encik Khuzairi garang.
"Mama suruh Aira bagi baju dengan minyak angin dekat dia la semalam," jawab Adreanne takut-takut.
Puan Aminah menggeleng kepala. "Ya Allah, Aira! Mama suruh bagi je, tak suruh masuk pun, sayang."
"Masalahnya, Aira dah ketuk pintu tu berpuluh kali dah tapi Edy tak buka pun pintu. Aira ingatkan dia takda dalam bilik, tu yang Aira masuk tu. Kalau Aira tahu dia ada dalam bilik, memang Aira tak masuk," jelas Adreanne panjang lebar.
"Err... betul tu uncle, semalam Edy dalam tandas masa Aira datang tu, itu yang tak buka pintu tu," sokong Edirul Fahmi. Dia juga perlu disalahkan dalam hal ni. Kalau dia kunci pintu semalam, mesti semua ni tak jadi. Tapi, part dia usik Adreanne tu biar la dia dan Adreanne je yang tahu.
"Tak apa la, Edy. Aira ni kalau tak buat uncle dengan aunty sakit kepala, memang bukan Adreanne Humaira la namanya." Encik Khuzairi menghela nafas perlahan. Lega.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro