♛ Bab 6
EDIRUL Fahmi masih lagi teragak-agak untuk mencedok lauk yang berada di hadapannya. Otaknya dah buntu mencari jalan macam mana nak habiskan nasi yang banyak di pinggan. Mana mungkin perutnya mampu menghadam nasi yang dicedok sebanyak tiga senduk oleh Adreanne tadi.
"Kenapa kau tak ambil lauk tu? Tengah fikir macam mana nak habiskan nasi tu ke?" perli Adreanne sambil ketawa sinis.
"Hah... errr... errr... boleh tak awak tolong hulurkan bekas nasi tu?" pinta Edirul Fahmi. Tergagap-gagap dia berkata kerana terkejut apabila tiba-tiba disergah.
"Takkan tak cukup lagi kot nasi yang aku cedok tu? Kau ni perut gajah ke makan banyak-banyak?"
"Aira," meleret Encik Khuzairi menegur.
Adreanne tayang muka pasrah. Hah, memang pun! Memang Edirul Fahmi ni 'anak bulan' pun.
"Saya bukan nak tambah nasi, saya cuma nak letak balik nasi ni sebab banyak sangat. Takut nanti saya tak boleh nak habiskan lepastu kena buang. Membazir je," ujar Edirul Fahmi sambil menolak nasi ke dalam mangkuk kaca berwarna putih.
"Boleh tak awak tolong cedokkan sikit sambal udang tu untuk saya?" tanya Edirul Fahmi apabila melihat Adreanne yang sengaja mengambil sambal udang dengan lambat-lambat.
"Hah? Err... boleh-boleh! Sini pinggan tu aku tolong cedokkan."
Terngadah mereka sebentar sebelum masing-masing cuba untuk tidak menghiraukan perubahan drastik yang ditonjolkan oleh Adreanne. Mungkin Adreanne sudah malas mahu bertikam lidah lagi, fikir mereka.
Adreanne sengaja meletakkan kuah sambal dengan banyak ke dalam pinggan Edirul Fahmi. Siapa kata dia dah cair? Awal sangat nak cair pun, kita chill-chill dulu tengok effort Edirul Fahmi.
"Eh, dah cukup dah ni sambal udang yang awak letak!" Edirul Fahmi segera menegah perbuatan Adreanne. Ah, masak! Lepas nasi, lauk pula yang jadi mangsa Adreanne.
"Thanks you, Humaira," bisik Edirul Fahmi perlahan. Adreanne senyum sinis. Huh, thank you ya? Takpa-takpa, kita tengok kejap lagi.
Terkedu Edirul Fahmi dibuatnya sebaik sahaja nasi yang digaul dengan sambal udang ini menyentuh lidah. Mak aii, pedasnya! Dia cuba berpura-pura tenang walaupun lidah terasa bagai sudah dibakar.
"Tambah lagi sambal udang tu, Edy. Sambal udang tu Aira yang masak," pelawa Puan Aminah yang tidak perasan telinga Edirul Fahmi mula memerah.
"Oh, patutlah sedap! Anak dara yang buat rupanya," sengih Edirul Fahmi sambil mata mengerling Adreanne yang sedang tersengih mengejek kepadanya. Patutlah Adreanne senang je nak letakkan lauk tadi, ada muslihat rupanya.
"Kalau aunty yang masak tak sedap ke sambal udang tu?" usik Puan Aminah.
"Eh, kalau aunty yang masak, mesti lagi sedap." Dan yang paling penting, tak seksa macam ni, sambung Edirul Fahmi dalam hati.
"Bagus la kalau Edy suka, dah kahwin nanti boleh la minta Aira masakkan sambal udang ni selalu," balas Puan Aminah.
"InsyaAllah, aunty. Tapi kalau makan sambal selalu sangat, boleh apendiks Edy," gurau Edirul Fahmi. Taubat weh, memang tak la dia nak suruh si Adreanne ni masak sambal bila diorang dah kahwin nanti. Menggelupur dia sebab tak tahan pedas nanti.
------
BERULANG-ALIK Edirul Fahmi ke tandas. Perutnya asyik meragam sejak dari tadi lagi. Dia tersandar lemah ke sofa berangkai dua itu. Nafas dihembus kasar. Dia dah penat nak tawaf tandas. Kaki pun dah rasa lenguh sangat.
"Perut Edy macam mana, meragam lagi ke?" soal Puan Aminah risau. Kasihan dia tengok Edirul Fahmi yang tak sekejap-sekejap berlari ke tandas.
"Dah okey dah sikit ni aunty." Edirul Fahmi membetulkan duduknya sambil tersenyum. Kepala yang mula terasa pening dipicit dengan hujung jari. Ni mesti salah satu kesan sebab makan pedas ni, detik hatinya.
"Edy makan apa je tadi? Aunty rasa Edy ambil sambal udang dengan sayur aje, kan? Lepastu Edy ada makan ikan cencaru belah belakang kalau tak silap aunty." Hairan Puan Aminah dibuatnya. Orang lain tak ada pula yang sakit perut.
"Haah, aunty. Saya makan sambal udang dengan sayur. Ikan cencaru pun ada ambil seekor je tadi. Err, kalau aunty nak tahu, saya tak boleh makan pedas-pedas. Itu yang perut meragam tu," terpaksa Edirul Fahmi jujur. Mula-mula memang dia tak nak bagitahu yang dia tak tahan pedas tapi bila tengok Puan Aminah yang jelas rasa bersalah dan risau buatkan dia terpaksa membuka mulut.
"La... ya ke? Alahai, Edy ni! Kalau ya pun nak jaga hati aunty, jangan la sampai memudaratkan diri sendiri. Tengok sekarang ni, Edy juga yang letih ulang-alik ke tandas." Puan Aminah menggeleng kecil. Mana la hati tuanya tak terpikat dengan Edirul Fahmi.
"Takpa la, aunty. Sikit je ni, nanti-nanti okey la," dalih Edirul Fahmi. Salah dia juga sebab tak tanya dulu sama ada sambal udang tu pedas ke tak. Excited sangat tengok udang tu.
"Sikit apanya Edy kalau sampai kejap-kejap masuk tandas?"
Edirul Fahmi gosok belakang leher. Tak tau nak balas apa lagi dah.
"Dah, Edy pergi rehat dalam bilik tetamu tadi. Malam ni Edy tidur sini dulu sementara nak tunggu perut tu okey," suruh Puan Aminah sambil menepuk perlahan peha Edirul Fahmi. Tak tergamak rasanya dia nak biarkan Edirul Fahmi balik dalam keadaan macam ni.
"Eh, tak payah la aunty! Edy okay je ni kalau nak drive balik. Lagipun, Edy sehelai sepinggang je sebab ingat nak singgah kejap je tadi." Dah la menumpang makan tadi, takkan la nak tumpang tidur pula sekarang ni. Naik segan dia jadinya.
"Dah, tak payah nak segan-segan. Baju Adzim dengan Aryan ada banyak dalam closet, nanti aunty bagi dekat Edy. Sekarang ni, Edy pergi la naik bilik, rehat-rehat ke mandi-mandi dulu sementara aunty pergi ambil baju. Tuala aunty simpan dekat laci bawah sekali kalau Edy nak mandi,," beritahu Puan Aminah panjang lebar.
"Okey, aunty. Edy naik bilik dulu. Selamat malam," pamit Edirul Fahmi.
------
ADREANNE turun ke dapur untuk membasahkan tekak. Sengaja dia turun agak lambat sebab tak nak bertembung dengan Edirul Fahmi.
Bukan Adreanne takut dengan Edirul Fahmi, tapi dia malas nak bersua muka setelah seharian melihat Edirul Fahmi. Bila dia yakin yang Edirul Fahmi dah pulang, baru la Adreanne turun ke dapur.
Usai membasuh gelas yang digunakan, Adreanne mendaki tangga untuk kembali ke bilik. Malam ni ada drama kegemarannya yang akan ditayangkan di Netflix.
"Aira, sini kejap."
Teguran daripada Puan Aminah buatkan Adreanne berpatah balik ke ruang tamu.
"Kenapa mama panggil Aira ni?" tanya Adreanne sambil mata mengerling jam dinding yang tersangkut di atas televisyen. Alamak, lagi 10 minit je lagi!
"Aira tolong bagi baju dengan minyak angin ni dekat Edy kejap. Dia ada dalam bilik tetamu," arah Puan Azizah sambil meletakkan pakaian yang masih berlipat dan sebotol minyak angin di atas tapak tangan Adreanne.
"Bilik tetamu? Dia buat apa dekat situ? Bukan dah balik ke?" Bertubi-tubi soalan yang diajukan Adreanne. Baju dan minyak angin di tangan dipandang pelik.
"Edy tak balik malam ni, mama suruh dia tidur sini."
Adreanne mendengus. Lah, ingatkan bagi 'ubat' sikit tadi terus blah dah. Alih-alih, lain pula yang jadi.
"Yang mama suruh dia tidur sini tu buat apa? Biar je la dia balik," rungut Adreanne tak puas hati.
"Ada pula nak biarkan dia balik macam tu. Risau mama tau." Malas mahu mendengar Adreanne merungut, terus dia menyambung.
"Dah, sekarang ni Aira pergi naik bilik tetamu, bagi semua barang yang mama suruh ni dekat Edy."
Kelibat Puan Aminah yang mula memijak dua anak tangga Adreanne pandang tak puas hati. "Kenapa Aira pula yang kena bagi dekat dia? Mama yang nak sangat dia tidur sini, mama je la yang bagi," bantah Adreanne.
"Kamu je la yang bagi, mama nak kena masuk bilik dah ni. Papa dari tadi panggil mama. Bising papa nanti kalau mama tak naik-naik," jawab Puan Aminah dari atas. Sebenarnya, Encik Khuzairi tak ada pun panggil dia, cuma dia biarkan Adreanne bertanggungjawab dengan apa yang Adreanne dah buat. Firasatnya kuat mengatakan yang ini semua merupakan salah satu rancangan nakal Adreanne.
Nak tak nak, Adreanne melangkah ke bilik tetamu. Tadi kena panggil turun makan, sekarang nak kena bagi baju la minyak la. Apalah nasib dia harini, haih!
------
"WEH, buka la pintu ni! Kau tidur ke mati siot?" jerit Adreanne dari luar bilik. Dah macam Tugu Negara dia tercegat dari tadi.
"Ah, lantak kau la! Aku tak ceroboh privasi kau tau, aku nak kejar drama aku ni."
Adreanne mengambil keputusan untuk masuk ke dalam bilik tetamu. Tak sanggup dah dia nak tunggu Edirul Fahmi buka pintu. Ni pun, dah 10 minit dia terlepas scene awal dramanya.
Tombol pintu cuba dipulas. Dia menghela nafas perlahan. Nasib Edirul Fahmi tak kunci pintu, kalau tak satu hal pula nak kena tercegat lagi depan bilik ni. Adreanne menjenguk sikit ke dalam bilik. Mana tahu tiba-tiba Edirul Fahmi muncul, tak sempat dia nak menyorok nanti.
Apabila yakin Edirul Fahmi tak ada dalam bilik, Adreanne melangkah masuk. Pakaian yang berada di tangan diletakkan di hujung katil. Minyak angin pula diletakkan dalam keadaan berdiri di atas meja katil.
Usai meletakkan barang-barang tersebut, Adreanne terasa seperti ada orang di belakangnya. Masak! Siapa pula ni? Takkan la...
"Awak buat apa tu?" tanya Edirul Fahmi sambil menjengukkan kepala ke belakang Adreanne.
Bahu Adreanne terjungkit ke atas dek terkejut. Nasib baik dia tak melatah tadi. Baru je dia nak toleh muka, wajah Edirul Fahmi betul-betul ada di sebelah mukanya. Tak jadi Adreanne nak toleh.
"Bu- buat apa? M- ma- mana ada aku buat apa-apa. Hah, tak buat apa-apa la."
Edirul Fahmi tahan senyum. Oh, tahu pun gabra! "Kalau tak buat apa-apa, kenapa takut?"
"Mana ada takut la!" nafi Adreanne keras.
"Ya ke tak takut? Kalau tak takut, kenapa tergagap-gagap?" provok Edirul Fahmi lagi.
"Terkejut tau tak kau tiba-tiba muncul. Kau tu, pergi mana hah? Dari tadi aku ketuk pintu, kau tak buka pun."
"Aik, merajuk ke?"
Adreanne ambil botol minyak angin yang berada di hadapannya. Puk! Sekali ketuk je terus terundur Edirul Fahmi ke belakang. "Kau jangan nak merepek boleh tak!"
"Sakit la, Humaira! Awak ni kan tak habis-habis nak cederakan anggota badan saya ni. Awak tahu tak, telinga saya yang dengar awak maki saya babi siang tadi, lepastu perut saya yang awak sakitkan sebab letak kuah sambal-sambal tu banyak, dan sekarang ni, dahi saya ni... awak tahu tak semua ni saya bayar zakat tau? Senang-senang je awak sakitkan," desis Edirul Fahmi tak puas hati.
Edirul Fahmi berjalan ke arah meja solek. Dahi yang diketuk dengan botol minyak angin tadi ditilik di hadapan cermin. Aish, dah benjol! Edirul Fahmi mengerling Adreanne dari dalam cermin. "Nampak ni, benjol dah tau tak!"
Adreanne tayang muka toya. "Bukan salah aku..."
"Habis, awak nak kata salah saya la ni?" Edirul Fahmi menoleh ke belakang. Pinggang dicekak.
"Memang kau pun kan yang salah. Siapa suruh cari gaduh dengan aku?"
Edirul Fahmi mengenggam buku lima. Terketar-ketar buku limanya menahan genggaman yang kuat. "Ya Allah, sabar je la aku dengan budak ni!"
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro