Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

♛ Bab 42

BUKA saja pintu, terbias sosok Edirul Fahmi yang berdiri di depan pintu dengan tangan yang hampir menyentuh tombol. Adreanne terkedu. Cepat-cepat Adreanne membekukan muka.

"Abang ada benda nak cakap dengan Humaira." Lancar sepotong ayat itu keluar dari ulas bibir Edirul Fahmi.

Adreanne menjeling. "Saya takda benda nak cakap dengan awak."

Panggilan yang digunakan oleh Adreanne buatkan Edirul Fahmi tahu yang Adreanne betul-betul marah pada dia.

"Kita bincang elok-elok, please..." Edirul Fahmi mula merayu. Tangan Adreanne cuba dicapai tapi Adreanne pantas menyilang tangan pada tubuh.

"Nak bincang pasal apa? Pasal awak dah terima cinta Cik Irine? Ke nak bincang bila saya boleh suruh mummy pinangkan Cik Irine untuk awak? Macam tu?" sinis Adreanne.Wajah Edirul Fahmi yang langsung tak berkerdip memandang dia tak dihiraukan.

Bagai ada batu besar yang menghempap dada Edirul Fahmi tatkala mendengar sinisan Adreanne. Sampai begitu sekali Adreanne fikirkan pasal dia dan Irine walhal tak pernah terdetik pun di hati dia untuk mencari calon isteri yang kedua.

"Humaira..." perlahan suara Edirul Fahmi memanggil dalam nada merayu.

"Saya nak turun bawah. Nanti nak makan, pandai-pandailah awak turun sendiri."

Adreanne menolak tubuh Edirul Fahmi ke tepi. Terberlaga bahu Edirul Fahmi dengan bingkai pintu. Sakit. Tapi sakit lagi bila Adreanne anggap dia seperti orang asing.

"Tak kan lah tak ada sekelumit rasa percaya langsung untuk Humara pada abang? Sepanjang kita hidup berdua, pernah tak Humaira nampak abang berbalas mesej dengan perempuan lain? Pernah ke Humaira nampak abang keluar makan dengan perempuan lain selain dari Humaira? Humaira sendiri tahu jawapannya." Bergetar suara Edirul Fahmi menutur setiap kata.

Mati langkah Adreanne yang baru menapak keluar dari muka pintu. Apa yang Edirul Fahmi cakap semuanya tepat. Dia sendiri tahu jawapan untuk setiap soalan Edirul Fahmi adalah "tak pernah". Tapi apa yang jadi siang tadi cukup menggores hati Adreanne.

"Cuba awak cakap dekat saya, isteri mana yang boleh bersangka baik kalau suami sendiri berdua-duaan dengan perempuan lain dalam keadaan macam tu? Lagi-lagi kalau ada blood spot betul-betul dekat bahagian belakang skirt." Tanpa berpaling Adreanne beri jawapan.

"Apa yang jadi tadi langsung tak sama dengan apa yang Humaira fikir. Abang berani bersumpah atas nama Allah, abang tak buat perkara jijik seperti yang Humaira fikirkan," balas Edirul Fahmi. Tangan diangkat seperti berikrar walaupun Adreanne tak melihat.

Adreanne diam. Dikatup mata sekejap untuk menghalang airmata daripada mengalir keluar. Bila dia yakin yang mata dia sudah kering, terus Adreanne berjalan ke arah tangga.

"Sampai hati Humaira tak percayakan abang."

Meruntun jiwa Adreanne mendengar ayat yang diucap oleh Edirul Fahmi. Tak betah terus berada di situ, laju dia melangkah turun. Mujur ahli keluarga Edirul Fahmi yang lain sedang bersantai di ruang bawah.

------

SUASANA makan malam riuh seperti biasa walaupun tiada adegan usik-mengusik mahupun sweet-sweet antara Adreanne dan Edirul Fahmi.

Masuk kali ni, sudah berapa kali Edirul Fahmi menjeling ke arah Adreanne. Tanggungjawab Adreanne untuk melayan dia di meja makan tetap berjalan seperti biasa.

'Abang rindukan Humaira.' Masuk kali ni, entah berapa kali hati dia berbisik rindu pada Adreanne. Adreanne ada di sisi dia. Tapi kenapa dia rasa Adreanne seperti jauh darinya?

Edirul Fahmi mengeluh perlahan. Semoga Tuhan memudahkan urusan dia untuk menjelaskan situasi sebenar kepada Adreanne, doa dia dalam hati.

-----

PANIK. Puas dicari tubuh Adreanne namun tubuh kecil itu tetap tidak kelihatan.

Edirul Fahmi duduk di birai katil. Ligat otak dia berfikir di mana Adreanne menghilangkan diri. Nak kata Adreanne keluar, tak nampak pula kelibat Adreanne turun dari ruang atas semasa dia berada di ruang tamu tadi.

Telefon yang berada di atas meja katil diambil. Kiriman Whatsapp dihantar kepada Adreanne.

Edirul Fahmi
Mana Humaira pergi, sayang?

Beberapa detik menanti, dua tick berwarna kelabu bertukar kepada biru. Hampa. Adreanne langsung tak balas mesej dia.

Sekali lagi, sekeping mesej dihantar.

Edirul Fahmi
Please bagitahu abang Humaira ada dekat mana...

Mesej itu sekali lagi dibaca tetapi tak berbalas. Tanpa menunggu lama, Edirul Fahmi segera mendail nombor telefon Adreanne.

Keluhan  berat dilepaskan apabila panggilan tersebut diputuskan. Tak lama, bunyi tawa mengilai kedengaran dari bilik Nana memandangkan bilik dia dan Nana bersebelahan.

Kata syukur dipanjatkan kepada Tuhan. Panggilan telefon kepada Nana dibuat.

------

"HAH, nak apa telefon Nana malam-malam ni? Buang tabiat ke?" terjah Nana. Pelik bila Edirul Fahmi tiba-tiba menghubungi dia lewat-lewat malam begini.

"Kak Aira ada dengan Nana ke?" Terus Edirul Fahmi menyoal.

"Ada, kenapa? Korang gaduh ke?" Nana serkap jarang.

"Tak gaduhlah, ada masalah sikit je. Nana pass telefon dekat kak Aira, boleh?" Edirul Fahmi buat permintaan.

"Eh, apa pula nak on the phone guna phone Nana! Angah call lah kak Aira sendiri," decit Nana. Bila terasa lengan disiku, Nana menoleh.

"Angah ke?" tanya Adreanne tanpa mengeluarkan suara.

Nana sekadar angguk. Suara Edirul Fahmi yang menerjah gegendang telinga buatkan Nana kembali fokus pada perbualan mereka berdua.

"Angah dah call kak Aira tadi. Dia tak jawab. Tolong angah kali ni je..." Edirul Fahmi merayu.

Tak sampai hati nak menolak, Nana mengalah. "Yalah-yalah. Kejap Nana pass."

Adreanne terpinga-pinga bila Nana tiba-tiba menyua telefon kepada dia. "Kenapa?"

"Angah nak cakap," jawab Nana.

Laju Adreanne menggeleng. Ditolak telefon mendekat ke arah Nana.

"Kak Aira nak tidur. Kak Aira mengantuk," tutur Adreanne seraya merebahkan badan.

"Angah dengar kan kak Aira cakap apa tadi? Dahlah, Nana nak end call ni."

"Eh, nanti dulu! Angah pergi bilik Nana, boleh?" Kalut-kalut Edirul Fahmi bertanya. Cuma satu jalan yang dia ada, pujuk Adreanne malam ni juga.

Dahi Nana berlapis. "Nak buat apa?"

"Nak pujuk kakak ipar Nana lah!"

Malas nak berdebat, terus Nana bersetuju.

"Tapi kan, nanti Nana keluar, boleh?" pinta Edirul Fahmi.

"Okey..."

"Thank you, Nana. Nanti angah belanja kau album NCT."

Mata Nana bersinar. Wah, boleh ushar photocard Jaehyun sampai pitam!

"Janji?" soal Nana.

"Angah janji! Angah dekat depan pintu bilik Nana ni," bisik Edirul Fahmi.

"Tak menyempat!"

"Eh, mestilah! Bini merajuk, kot."

Usai mematikan panggilan telefon, Nana menyentuh bahu Adreanne.

"Kak Aira, Nana turun kejap tau," ujar Nana.

-----

BUNYI kuakan pintu buatkan dahi Adreanne berkerut. Sekejapnya Nana turun.

Terbantut niat Adreanne untuk mencelik mata dengan luas. Haruman perfume Hugo Boss yang menerobos hidung buatkan Adreanne tahu siapa gerangan yang menceroboh masuk.

Edirul Fahmi berbaring mengiring di sebelah Adreanne. Wajah Adreanne ditatap penuh kasih.

"Sampai hati Humaira tak hiraukan abang seharian. Abang mesej, abang call pun Humaira abaikan. Nasib baik Nana tu baik hati nak tolong abang," rungut Edirul Fahmi.

Edirul Fahmi tahu, Adreanne sebenarnya belum tidur. Sempat dia nampak betapa kalutnya Adreanne memejam mata semasa dia masuk tadi.

"Humaira lupa ke dulu kita pernah janji kalau ada benda yang kita tak puas hati, kita nak berbincang elok-elok? Sampai hati Humaira seksa abang macam ni."

Edirul Fahmi angkat perlahan kepala Adreanne lalu diletakkan di atas lengan kanan. Kemas pelukan tangan kanan Edirul Fahmi di pinggang Adreanne.

Adreanne masih berpura-pura tidur.

"Sebenarnya, Irine dah tahu yang kita ni suami isteri. Dia nampak Humaira curi-curi masuk kereta abang lepas kerja. Irine marah-marah dekat abang sebab bagi harapan pada dia. Abang tak sangka yang Irine dah salah faham tentang layanan abang pada dia," jelas Edirul Fahmi dengan tangan yang asyik membelai rambut Adreanne.

Adreanne kaget. Irine tahu? Bila dan macam mana Irine boleh tahu? Tapi dia masih membisu.

"Humaira ingat lagi tak pasal perfume kesukaan abang yang kak Som cerita tu?" tanya Edirul Fahmi walaupun dia tahu Adreanne tak mungkin membalas.

Adreanne mengiyakan dalam hati. Mana mungkin dia lupa kisah minyak wangi tu.

"Irine sangkakan abang ada hati pada dia sebab abang nampak gembira bila dapat minyak wangi tu. Kalau Humaira nak tahu, sebelum ni Irine pernah hadiahkan abang sehelai tali leher. Abang memang dah lama aim nak beli tie tu tapi tak beli-beli. Dan kalau Humaira nak tahu, Irine pernah hadiahkan abang tie yang sama dengan apa yang abang nak. Abang tak pasti mana Irine tahu pasal tie tu sebab seingat abang, abang pernah cerita dekat Naufal je. Abang sendiri tak tahu yang tie tu daripada Irine sampailah dia mengaku tadi. Selama ni abang ingatkan Naufal yang beri pada abang."

Hebatnya Irine. Adreanne sendiri tak tahu apa yang Edirul Fahmi suka melainkan asam pedas.

"Mula-mula abang memang nak halau Irine. Tapi bila dia cakap buruk pasal Humaira, pasal kita, abang jadi marah sangat. Dan sebab tu jugalah abang biarkan Irine luahkan apa yang dia pendam selama ni.

Abang rasa mesti Humaira terdengar jeritan Irine dan apa yang abang balas dekat Irine, kan? Tambah pula masa Humaira buka pintu bilik abang tu, abang tengah bertinggung sebelah Irine dan Irine pula dah terduduk di atas lantai. Dan sebab tu jugalah Humaira salah sangka pada abang. Betul tak?" Edirul Fahmi cuba menerka.

Walaupun Adreanne diam, dia tahu apa yang diterka tepat.

"Abang tak tipu bila abang cakap apa yang Humaira nampak tu tak sama langsung dengan apa yang terjadi. Masa abang tengah explain perkara sebenar dekat Irine, Irine tiba-tiba jatuh terduduk sambil pegang perut dia. Abang cuma risaukan dia tak lebih dari seorang majikan je, Humaira. Sebab tu abang datang dekat dia. Abang risau ada perkara lain yang jadi dan abang pula dipersalahkan nanti.

Along ada cerita dekat abang pasal tompok darah yang Humaira nampak. Jujur abang cakap, abang langsung tak perasan dan tak nampak tompok darah tu. Bila along cakap tadi, barulah abang tahu. Abang rasa mungkin dia period. Abang tak sentuh Irine walau sekejap pun. Kalau Humaira tak percaya, nanti abang minta Irine terangkan dekat Humaira," putus Edirul Fahmi.

Adreanne masih diam. Kalau Irine tahu, maksudnya orang lain pun tahu ke?

"Humaira nak tahu satu rahsia abang tak? Ni rahsia besar dan tak ada siapa yang tahu termasuklah Irine. Oh! Mungkin keluarga Humaira je yang tahu pasal ni," umpan Edirul Fahmi.

Bila Adreanne tetap membisu, dia terus menyingkap rahsia yang tersimpan.

" Dulu... Abang, along dengan angah selalu usik Humaira. Sampai satu hari tu, Humaira menangis lepastu merajuk. Padahal sebelum tu Humaira okey je kena usik."

Adreanne tertanya-tanya. Dulu? Kenapa dengan dulu? Tapi dia tetap mengunci mulut.

"Humaira tinggalkan kitorang lepastu lari jauh-jauh. Masa tu, kitorang buat tak kisah sebab kitorang tahu nanti Humaira mesti balik rumah nenek juga.

Tapi bila dah nak Maghrib pun Humaira tak balik lagi, kitorang mula panik. Lagi panik bila mama dengan papa marah-marah kitorang bertiga. Paling teruk kena marah, along dengan angahlah sebab tak jaga adik diorang yang comel ni."

Edirul Fahmi tunduk mengucup dahi Adreanne. Betapa paniknya dia masa tu, Tuhan je yang tahu.

Adreanne terkedu. Maksudnya, dia dan Edirul Fahmi dah lama kenal?

"Papa masa tu marah sangat. Papa suruh kitorang cari Humaira sampai jumpa dan selagi kitorang tak jumpa Humaira, selagi tulah kitorang tak boleh balik rumah."

Edirul Fahmi berjeda. Mengimbau kenangan yang berlaku 17 tahun lalu. Waktu itu, dia sudah berumur tiga belas tahun manakala Adreanne pula baru berusia lima tahun.

Kenangan yang berlaku di Pahang itu buatkan dia tersenyum sendiri. Pahang, tempat yang menemukan dirinya dengan Adreanne. Dan Pahang juga yang menjadi saksi dia berjaya memujuk Adreanne untuk meneruskan pertunangan mereka.

"Sebabkan kitorang lapar sangat dan tak boleh makan, tak boleh balik rumah selagi tak jumpa Humaira, along cadangkan supaya kitorang cari dekat kawasan berhampiran padang yang kita selalu main. Tapi, abang degil. Abang tak nak dengar cakap along. Abang cakap, abang dah besar. Abang nak cari sayang sorang-sorang. Mengamuklah along sebab abang tak nak ikut cakap dia."

Edirul Fahmi tertawa tatkala teringat akan pergaduhan antara dia dan Adzim.

"Tapi last-last along setuju juga kitorang berpisah sebab fikir dah nak malam. Tak tunggu lama, abang terus lari pergi ladang kelapa sawit atuk walaupun abang tahu bahaya pergi situ senja-senja."

Ladang kelapa sawit Tok Aki yang seluas tiga ekar itu masih segar dalam kotak memori Adreanne. Dari kecil hinggalah sebelum Tok Aki jatuh sakit, sememangnya ladang itulah yang menjadi tempat dia meluangkan masa dengan Tok Aki.

"Abang pun tak tahu kenapa abang boleh pergi ladang sawit tu. Tapi, apa yang abang tahu... hati abang kuat katakan yang sayang ada dekat situ. Apa lagi, abang pun acah-acah hero pergilah dekat situ sorang-sorang. Along dengan angah tak tahu pun yang abang nak pergi situ. Kalau diorang tahu, mesti diorang tak bagi punyalah..."

Edirul Fahmi gelak lagi. Gila. Idea yang gila untuk remaja seperti dia.

"Abang jalan laju-laju dekat ladang atuk tu sebab hari dah nak gelap. Dengan tak bawa lampu suluh, memang suramlah ladang tu. Nasib baik ada cahaya matahari yang warna merah tu teman abang.

Abang jalan sampai dekat parit kecil yang ada dekat ladang sawit atuk tu. Masa tu, abang nampak ada rambut orang tapi abang tak nampaklah pula muka dia."

Diam sekejap. Terbayang seketika bagaimana rasa takut menghantui dia pada waktu itu. Tetapi, dikentalkan juga semangatnya.

"Abang tak fikir lama pun masa tu. Lepas je abang tenangkan diri dan baca ayat kursi, terus abang terjun dalam parit tu sebab masa tu abang cuma fikir pasal Humaira je..." Cerita Edirul Fahmi.

Adreanne membuka mata perlahan-lahan. Didongak muka untuk menatap Edirul Fahmi memandangkan muka dia menghadap dada Edirul Fahmi.

Terukir senyuman nipis tatkala mata dia bersabung dengan mata Adreanne.

"Dan...guess what?" tanya Edirul Fahmi lembut.

Adreanne sekadar menolak dagu ke depan.

"Memang betul Humaira dekat dalam parit tu. Humaira lemas dan masa abang jumpa Humaira, Humaira langsung tak sedarkan diri. Mungkin sebab tertelan air banyak sangat, kot..."

Adreanne simpan senyum. Dia memang tak pandai berenang. Kalau pergi kolam mandi hatta ke air terjun sekalipun, memang dia akan cari tempat yang cetek untuk berendam.

"Abang pun buntu masa tu. Dengan gelabahnya lagi, Allah je yang tahu. Jantung abang ni macam nak melompat keluar daripada badan sebab takut sangat."

Edirul Fahmi ketawa apabila teringatkan insiden yang satu itu.

"Tapi, nasiblah abang ni budak PBSM. So, abang tahulah sikit-sikit nak buat apa kalau nak selamatkan orang lemas."

Adreanne berkerut dahi. Setahu dia, cuma satu je caranya. Tapi tak kan lah kot...

"Hmm dan ya... Sorry but no sorry Adreanne Humaira, I've kissed your lips seventeen years ago," jawab Edirul Fahmi sementelah dia tahu apa yang bermain di benak fikiran Adreanne.

Terbuntang mata Adreanne mendengar. Pantas muka disembamkan ke dada Edirul Fahmi. Mama, first kiss Aira dah kena curi!

"Lepas je CPR, Humaira sedar tapi badan Humaira masih lemah lagi. Abang terus dukung Humaira sampai rumah atuk. Mulanya abang ingat tak nak bagi salam sebab takut atuk marah. Ya lah, dah kiss bibir cucu kesayangan dia, kan? Mestilah atuk mengamuk sakan nanti..."

Edirul Fahmi gelak. Dia ingat lagi bagaimana dia senyap-senyap menyusup naik ke anjung rumah Tok Aki. Puas dijengket kakinya supaya anjung kayu itu tidak menghasilkan bunyi apabila dipijak.

"Tapi rupa-rupanya atuk memang dah ada dekat pangkin bawah rumah. Atuk tunggu kitorang bertiga dari kitorang keluar rumah lagi. Abang pun tak perasan yang atuk ada dekat situ masa abang bawa Humaira naik atas sampailah atuk tegur abang masa abang tengah baringkan Humaira..."

Adreanne diam lagi. Jujur dia katakan, dia langsung tak dapat ingat Edirul Fahmi dan peristiwa yang 17 tahun yang lepas.

"Atuk tak marah pun. Atuk gelakkan abang ada lah. Dia kata, abang ni takut sangat dengan dia. Atuk siap cakap lagi, dia tak marahkan abang pun tapi dia bersyukur sangat sebab abang yang jumpa Humaira masa tu. Kalau orang lain yang jumpa, mungkin sampai hujung hayat dia, dia tak akan dapat jumpa Humaira lagi."

Edirul Fahmi tarik senyum. Tok Aki memang atuk yang baik. Walaupun kadangkala dia naik angin dengan sikap nakal cucu-cucunya, namun sekalipun dia tak pernah angkat tangan.

"Abang cerita lagi pasal abang buat CPR dekat Humaira tu. Takut-takut abang cerita dekat atuk sampai abang rasa nak terkencing masa tu sebab gabra sangat. Atuk pun apa lagi, lagi sakanlah dia gelakkan abang."

Edirul Fahmi menarik nafas sedalam yang boleh. Mungkin dah tiba masa untuk dia 'rahsia' yang satu itu. Kisah lama yang tersimpan rapi antara dia dan ahli keluarga Encik Khuzairi.

"Lepastu atuk tanya abang, abang suka dekat Humaira ke. Abang nafikan. Abang cakap, abang dah anggap Humaira ni macam adik abang je. Sebab tu abang selamatkan Humaira. Tapi, atuk kata abang ni muka budak soleh sangat. Nak tipu dia pun tak pandai. Atuk boleh nampak yang abang memang sukakan cucu kesayangan dia ni. Dah lama dia nampak katanya."

Edirul Fahmi ketawa lagi sekadar menutup rasa gugup yang bersarang di dada.

"Abang pun diam jelah. Malu kot sebab satu-satunya rahsia yang abang simpan, dah pecah. Along dan angah pun tak tahu pasal tu tapi atuk pula yang dapat tangkap. Atuk ada tanya abang, bila abang besar nanti, abang nak kahwin tak dengan cucu kesayangan dia yang nakal ni."

Dia tunduk mencubit pipi Adreanne. Terlepas ketawa dia apabila Adreanne sedaya upaya menolak cubitan dia dalam keadaan kepala masih menunduk.

"Abang pun apa lagi, seronok punya pasal terus mengaku cakap abang nak kahwin dengan sayang bila kita dah besar nanti. Terus atuk naik atas bagitahu dekat nenek, papa dan mama. Katanya, habis je Humaira belajar, terus kahwinkan kita. Semua orang masa tu terkejut beruk bila dengar permintaan atuk. Along dan angah yang baru nak melangkah masuk pun terkaku."

Adreanne kaget. Sungguh, dia memang langsung tak tahu-menahu tentang permintaan Tok Aki.

"Tapi, kenapa Aira tak pernah tahu? Family Aira tak pernah beritahu Aira pun," sampuk Adreanne, tak puas hati.

Edirul Fahmi mengucap kata syukur. Akhirnya, buka pun mulut Adreanne.

"Yang tu abang pun tak tahu kenapa. Mungkin diorang tak nak Humaira terima abang sebab permintaan atuk tapi sebab Humaira memang dah jatuh cinta dengan abang..." jawab Edirul Fahmi.

Adreanne angguk tanda faham.

"Atuk kata, dia tahu apa yang dia buat. Dia cuma nak semua orang tunaikan permintaan dia je. Sampai hujung hayat pun, atuk masih ingatkan kitorang pasal permintaan tu. Kalau Humaira nak tahu, sebelum atuk meninggal, abang ada pergi jumpa atuk dekat rumah nenek." Edirul Fahmi menyambung cerita.

"Atuk minta abang janji dengan dia yang abang akan jaga Humaira baik-baik dan lindungi Humaira walau apa pun yang terjadi. Dan paling penting, kalau satu hari nanti abang dah tak cintakan Humaira... Atuk minta abang pulangkan Humaira dekat papa dan mama dengan cara yang baik. Dia pesan, semua yang jadi ada hikmah tersendiri. Jangan rasa menyesal. Dan jangan pernah salahkan takdir. Kita khalifah, bukan pencipta."

Adreanne sebak. Manik-manik jernih mula menuruni lekuk pipi.

Edirul Fahmi yang belum menyedari titisan airmata Adreanne terus menyambung cerita. Tangan juga tak henti-henti membelai lembut rambut Adreanne.

"Abang janji dengan atuk, InsyaAllah... dengan izin Allah dan dengan rasa cinta abang untuk Humaira yang dah bertapak lama dalam hati abang ni, abang takkan pernah berhenti cintakan Humaira..."

Rasa gusar yang bertandang sewaktu dia memutuskan untuk bercerita tentang peristiwa yang berlalu bertahun lamanya mula hilang sedikit demi sedikit.

Dia rasa tenang. Dia rasa yakin. Mungkin dah tiba masa yang sesuai juga untuk Edirul Fahmi luahkan semua yang terpendam kepada Adreanne.

Selama ini, dia hanya luahkan perasaan sayang dan cinta secara bersahaja walaupun rasa itu telah bertapak lama. Dan hari ini, dia akan rungkaikan semuanya tanpa tanda soal lagi.

"Sayangku Humaira, percayalah... abang tak pernah berhenti cintakan Humaira, sayangkan Humaira sejak 17 tahun yang lepas. Malah, rasa cinta tu makin hari makin kuat. Lagi-lagi bila kita terjumpa balik dekat Baskin Robbins dulu. Masa tu, abang tak percaya yang gadis idaman hati abang yang suka panjat pokok dekat belakang rumah atuk dulu dah besar. Dah tak comot macam dulu lagi," usik Edirul Fahmi.

Laju ibu jari dan jari telunjuk Adreanne mencubit perlahan perut Edirul Fahmi.

Edirul Fahmi ketawa sambil meringis kesakitan sebelum menyambung kembali luahannya.

"Kalau dulu, mungkin kita main kahwin-kahwin sekadar suka-suka. Tapi sekarang, percayalah... abang tak kahwin dengan Humaira untuk seronok-seronok. Abang betul-betul nak berkongsi hidup abang dengan Humaira sampai akhir hayat abang," serius Edirul Fahmi meluah.

Betapa dalam hati dia berharap hari-hari yang mendatang akan lebih bahagia bersama isteri tercinta. Dan rumahtangga mereka akan terus kuat terbina walau badai datang menimpa.

"Adreanne Humaira binti Ahmad Khuzairi," seru Edirul Fahmi. Ditarik nafas dalam-dalam terlebih dulu.

"Humaira adalah cinta abang yang datang tanpa amaran. Humaira dah pegang hati abang sebelum abang menidakkan lagi. Dengan sepenuh rasa cinta dan kasih abang pada Humaira, abang cintakan Humaira sangat-sangat. Tak ada kata dan puisi yang mampu abang karang untuk ceritakan pada Humaira betapa dalamnya cinta abang untuk Humaira," luah Edirul Fahmi lagi.

Adreanne sebak. Menyusup rasa sayang dan cinta untuk suami sendiri.

"Datanglah perempuan secantik Ariana Grande. Datanglah perempuan seseksi Nicky Minaj. Dan datanglah perempuan yang cintakan abang dalam diam seperti Irine sekalipun, abang tetap cintakan Humaira sebab cuma Humaira gadis idaman hati abang sejak 17 tahun yang lalu. Abang sayangkan Humaira sangat-sangat."

Makin mengesak Adreanne menangis. Bahu juga dah menghinggut sakan disebabkan tangisan yang melebat.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro