Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

♛ Bab 29

MALAM itu, seperti yang dirancang Dato Fauzi, mereka sekeluarga ber-barbeque.

"Humaira nak makan apa? Saya ambilkan," tanya Edirul Fahmi selepas dia dan Izhar selesai sesi membakar.

Izhar, suami kepada Edrina turut berjalan ke arah Edrina.

Adreanne naik segan. Nana dan Edrina tak sudah-sudah mengerling mereka berdua. "Tak apalah. Saya boleh ambil sendiri."

"Jom, kita pergi ambil sama-sama," ajak Edirul Fahmi.

Edirul Fahmi tarik tangan Adreanne. Sampai saja di meja makan, Adreanne rambang mata. Ditelan air liur.

"Edy, tolong ambil pinggan satu boleh ke?" pinta Adreanne. Dalam otak dah merencana apa yang ingin diambil.

Edirul Fahmi kerling Adreanne. "Kan saya dah ambil pinggan ni."

"Itu kan pinggan awak."

"Pinggan kita. Ini pinggan kita berdua, kita kongsi satu pinggan je," terang Edirul Fahmi.

Adreanne ingin menolak tapi melihat anak mata Datin Fatimah melekat pada mereka, tak jadi Adreanne nak menolak.

"Humaira nak yang mana satu?" tanya Edirul Fahmi dengan sebelah tangan memegang penyepit.

"Saya nak udang, sotong, lepastu ayam sikit."

"Humaira alergik udang, kan? Kalau gatal-gatal nanti macam mana?"

"Kalau gatal, makanlah ubat. Eh, kejap! Macam mana awak tahu saya alergik dengan udang?" Adreanne memincing mata. Seingat dia, tak pernah lagi dia memberitahu Edirul Fahmi soal ini.

Edirul Fahmi cuba beriak selamba. "Awaklah yang beritahu saya dulu. Dah lupa?"

Penuh curiga Adreanne pandang Edirul Fahmi. Edirul Fahmi seperti cuba mengelak dari bertemu anak mata dengan dia.

"Tak. Saya tak pernah beritahu awak pun." Kali ini Adreanne yakin.

"Jom duduk. Tu, Nana dah lama tunggu giliran dia." Edirul Fahmi herot bibir ke arah belakang Adreanne.

Toleh saja Adreanne ke belakang, cepat-cepat Edirul Fahmi tarik tangan Adreanne ke ruang tamu. Sofa berangkai dua menjadi tempat mereka berlabuh.

"Edy, awak ingat kan saya pernah beritahu yang saya tak suka awak tipu saya?" soal Adreanne tak puas hati.

Edirul Fahmi yang sedang mengopek kulit udang mula angkat muka. Ditenung anak mata Adreanne dalam-dalam.

"Saya tak tipu awak, Humaira. Memang Humaira pernah beritahu saya dulu. Mungkin awak dah lupa, kot."

Adreanne tak keruan bila Edirul Fahmi tenung dia tak lepas. Tapi, digagahkan diri untuk membalas renungan Edirul Fahmi.

"Sumpah. Saya tak pernah tipu Humaira. Sampai masa nanti mesti Humaira akan ingat. Percayalah cakap saya,"  sambung Edirul Fahmi lagi.

"Okey." Adreanne mengalah.

Edirul Fahmi kembali mengopek udang. Habis saja dibuang semua kulit udang, Edirul Fahmi tolak udang-udang ke arah Adreanne.

"Makanlah. Saya dah buang kulit dia," ujar Edirul Fahmi.

"Semua ke?" Adreanne berkerut dahi. Ada sepuluh ekor udang semuanya.

"Ya. Humaira makanlah."

Serba-salah Adreanne nak ambil udang. Sudahlah Edirul Fahmi yang kopek, alih-alih dia pula yang makan.

"Awak tak makan?"

Edirul Fahmi geleng. Dicapai seekor dan disua ke arah Adreanne. "Hesy, banyak cakaplah Humaira saya ni. Cepat nganga mulut."

------

"MUMMY! Tengok angah, dia tak hormat orang single!" adu Nana.

Datin Fatimah pandang ke arah yang ditunjuk Nana. Tersenyum dia melihat cara Edirul Fahmi melayan Adreanne.

"Dia dah kahwin, biarlah dekat dia," balas Datin Fatimah sekaligus membuatkan muncung Nana semakin ke depan.

Nampak saja kelibat Amani, terus Nana menggamit. "Amani! Sinilah dekat Ashu."

Laju Amani berlari. "Kenapa Ashu?"

"Tu..." Nana tunjuk ke arah Edirul Fahmi. "... Amani pergi kacau Papa Mi. Nanti Ashu upah aiskrim."

Tak tunggu lama, Amani mengikut arahan Nana. Terkedek-kedek dia berlari ke arah Edirul Fahmi dan Adreanne.

Bila kaki berhenti betul-betul di hadapan Adreanne, Amani panjat Adreanne. Sekelip mata dia berada atas riba Adreanne.

"Hesy, Nana ni pun satulah. Kenapa suruh Amani kacau angah? Bukan tak tahu diorang tu suka bergaduh." Datin Fatimah menjegil mata.

"Gaduh-gaduh manja je, mummy. Esok-esok angah balik rumah dia, takda siapa nak kacau dah." Nana sengih.

Edirul Fahmi angkat pinggan sedikit tinggi. Bimbang kalau tangan Amani tertepis pinggan yang berada dalam pegangan dia.

"Amani ni suka hati je duduk atas riba isteri Papa Mi," decit Edirul Fahmi. Tak puas hati sebab Amani suka menganggu momen dia dan Adreanne.

Amani peluk Adreanne. "Isteri Papa Mi, isteri Amani juga!"

Gamat ruang tamu dengan ketawa mereka sekeluarga, kecuali Edirul Fahmi. Bertambah tak puas hati Edirul Fahmi dengar kata-kata Amani.

"Bapa saudara versus anak saudara. Round two," selit Nana.

"Suka hati Amani je cakap awak ni isteri dia, Humaira. Saya yang salam tangan tok kadi pagi semalam, kot." Edirul Fahmi mula mengadu. Muka tak usah cakaplah, memang berkerut tak puas hati.

Amani terkebil-kebil. Diketuk bawah dagu dengan jari telunjuk. "Tok kadi? Tok kadi tu apa, Mama Ra?"

"Hah, tengok. Tok kadi pun Amani tak kenal siapa, ada hati nak mengaku Mama Ra ni isteri Amani," ejek Edirul Fahmi.

Adreanne siku tepi perut Edirul Fahmi. Dijegil mata, menyuruh Edirul Fahmi untuk diam.

Amani tepuk tangan. Penuh bangga muka Amani sekarang.

"Tok kadi tu err... Orang yang kahwinkan kita. Nanti Amani dah besar, Amani tahulah." Adreanne jelas serba-sedikit. Entah Amani faham atau tak, dia sendiri kurang pasti.

Amani cuba untuk menghadam penjelasan Adreanne. Berkerut-kerut dahi Amani.

"Amani tak fahamlah, Mama Ra," tutur Amani. Puas sudah dia cuba untuk faham kata-kata Adreanne, tapi kata-kata Adreanne agak susah untuk dia faham.

Adreanne garu kening. "Tak payah fahamlah. Amani kecil lagi. Nanti dah besar, mesti Amani faham."

"Hmm, okey!"

Amani terpandang Edirul Fahmi yang sedang memotong udang kecil-kecil. Berkerdip mata Amani bila Edirul Fahmi suap udang tadi kepada Adreanne.

"Amani nak juga," pinta Amani.

Tak tunggu Edirul Fahmi balas, Amani membuka mulut.

"Nak apa?" Malas-malas Edirul Fahmi tanya.

Amani tunjuk ke arah udang dalam pinggan Edirul Fahmi. Kemudian, ditunjuk pula ke arah mulutnya yang terbuka.

Walaupun Amani cuma guna bahasa isyarat, Edirul Fahmi tetap mengerti. Disuap juga Amani seperti mana dia menyuap Adreanne.

"Okey, bye Mama Ra! Amani nak pergi dekat mummy pula."

Laju Amani turun dari riba Adreanne. Edirul Fahmi tayang muka redha.

"Kalau aku tahu tadi, dah lama aku suap dia makan," bebel Edirul Fahmi perlahan.

-----

ADREANNE duduk menghadap cermin. Dipakai rutin penjagaan muka seperti biasa. Edirul Fahmi yang memandang dia dari pantulan cermin diendah.

"Humaira, malam ni kita buat deep talk nak tak? Dah lama kita tak ber-deep talk."

Mata Adreanne dan mata Edirul Fahmi bersabung melalui pantulan cermin. Adreanne sekadar mengangguk.

Betul kata Edirul Fahmi, dah lama mereka tak adakan sesi perbincangan yang mendalam. Semenjak pulang dari butik dulu, masing-masing sibuk dengan hal sendiri.

Tiba saja minggu di mana Adreanne mula intern, Puan Aminah melarang mereka untuk berhubung. Kata Puan Aminah, hilang seri pengantin nanti.

Semalam pula, Edirul Fahmi dan Adreanne sama-sama penat dengan majlis sehari suntuk.

"Sepanjang kita deep talk, boleh tak kalau saya nak pegang tangan Humaira?" tanya Edirul Fahmi bila Adreanne dah bersandar di kepala katil.

Adreanne pelik. "Kenapa?"

"Saya tak nak Humaira lari," seloroh Edirul Fahmi.

"Hesy, saya tak pernah lari pun semalam ni, kan?"

"Saya bergurau je. Saya nak pegang tangan Humaira sebab saya nak tatap mata Humaira. Humaira pun boleh tatap mata saya juga. Saya tak nak kita hilang fokus dalam perbincangan kita. Boleh, Humaira?"

Adreanne setuju. Walaupun agak kekok bila Edirul Fahmi duduk bertemu lutut dengan dia, Adreanne cuba untuk biasakan diri.

"Saya mula dulu, boleh?" Sekali lagi Edirul Fahmi minta izin.

"Boleh," pendek Adreanne menjawab.

"Apa perasaan Humaira bila saya lafaz akad nikah semalam?"

Adreanne renung mata Edirul Fahmi. "Saya tak tahu nak describe macam mana perasaan saya semalam, tapi yang saya tahu ada satu rasa yang pelik."

Bercantum kening Eddirul Fahmi. "Maksud Humaira, perasaan yang macam mana tu?"

"Saya rasa ada tanggungjawab berat yang saya dah pikul. Dalam masa yang sama, saya sedih nak tinggal mama dengan papa dekat rumah. Bila papa peluk saya semalam, saya rasa saya bukan milik papa lagi. Saya dah jadi milik awak sepenuhnya, Edy."

Adreanne tolak tepi rasa malu yang menggebu. Lagi pula, dia dan Edirul Fahmi dah berjanji untuk menyelami hati masing-masing.

"Betul, tapi pada saya Humaira tetap kepunyaan papa, kepunyaan keluarga Humaira. Sekalipun saya dah jadi suami Humaira, saya tak boleh nafi yang papa masih ada hak ke atas Humaira dan saya juga tak boleh nak nafikan hak Humaira ke atas mereka," terang Edirul Fahmi. Sesekali diusap lembut belakang tangan Humaira.

Adreanne terdiam. Dia tertarik dengan cara pemikiran Edirul Fahmi.

"Edy, boleh saya tanya dua benda?"

"Ya, tanyalah."

Adreanne tak lepas anak mata dari merenung Edirul Fahmi. "Kenapa awak tak beritahu saya yang awak supervisor saya? Kan kita dah janji takda rahsia."

"Kita pernah berjanji macam tu ke?" tanya Edirul Fahmi. Sambil-sambil itu, Edirul Fahmi cuba mengingat.

Adreanne turut berkerut. "Rasa macam ada..."

"Hmm, tak apalah. Kalau kita pernah berjanji macam tu dulu, saya minta maaf. Kalau kita tak pernah berjanji, kita boleh start berjanji sekarang. Okey?"

Adreanne angguk. "Awak tak jawab lagi soalan saya tadi."

Edirul Fahmi ketawa. "Sabarlah. Saya baru nak jawab ni, sayangku Humaira."

Sebelum Adreanne ulang soalan yang sama, lekas-lekas Edirul Fahmi menyambung.

"Silap saya juga masa tu, saya ingat awak tak kisah sebab tu awak tak tanya. Bila awak marah haritu, saya risau juga kalau-kalau Humaira nak batalkan majlis kahwin kita."

Edirul Fahmi gelak lagi. Memang perkara itulah yang asyik terfikir dek akal masa tu.

"Saya bersyukur sangat sebab Humaira tak bertindak begitu. Sebenarnya, saya baru je nak minta maaf dekat Humaira sebab rahsiakan perkara ni daripada Humaira."

Adreanne pandang Edirul Fahmi dengan pandangan yang sukar ditafsirkan.

"Habis, kenapa awak tak bagitahu saya?" tanya Adreanne tak puas hati. Dahlah dia kena marah haritu.

Edirul Fahmi senyum nipis. Dia tahu Adreanne mula gentar dengan dia lepas kejadian tu. Buktinya, Adreanne dah jarang cakap kasar dengan dia. Cuma sekarang ni, perangai Adreanne yang berubah kasar. Atau lebih tepat lagi, nakal.

"Sayangku Humaira, saya minta maaf sangat sebab marah awak haritu. Saya sakit hati bila Aiman cuba nak test market dengan Humaira. Lepastu bila Aiman tegur pasal cincin Humaira, saya terus pandang jari Humaira. Lagilah saya marah sebab Humaira tak pakai cincin tunang kita. Bila saya mesej Humaira pula, Humaira tak reply langsung mesej saya. Makin sakitlah hati saya ni," luah Edirul Fahmi.

Adreanne dapat rasa tangan dia digenggam erat oleh Edirul Fahmi. Adreanne kerdip mata sekali, tanda dia maafkan Edirul Fahmi.

"Saya pun minta maaf juga pasal tu. Saya betul-betul terlupa nak pakai balik cincin lepas mandi. Biasanya, saya letak cincin dekat meja solek tapi haritu, saya tanggal cincin dekat singki bilik air. Itu yang saya boleh lupa."

Edirul Fahmi usap pipi Adreanne dengan ibu jari. "Tak apalah, janji Humaira tak lupa pakai cincin kahwin kita dah lepasni."

Adreanne sekadar mengangguk. "Edy, saya nak tanya lagi satu soalan boleh ke?"

"Boleh. Humaira nak tanya banyak pun boleh." Edirul Fahmi tayang sengih.

"Betul ke awak tak izinkan saya bawa Gabby pergi rumah awak?"

Edirul Fahmi cebik bibir. "Rumah kita, Humaira. Saya tak pernah tinggal dekat rumah tu sebab saya nak duduk dekat situ sekali dengan Humaira."

"Hesy, yalah. Awak memang tak izinkan saya bawa Gabby ke rumah kita tu ke?" Adreanne betulkan ayat. Perkataan 'rumah kita' ditekan penuh harkat.

"Tak adalah, saya bergurau je tadi. Nanti saya minta Adzim hantarkan Gabby ke rumah kita."

"Betul ni?" Adreanne mula teruja.

"Ya, betullah."

Disebabkan terlampau teruja, Adreanne tak sengaja peluk Edirul Fahmi. Bila Adreanne nak lepas pelukan, Edirul Fahmi menegah.

"Kalau awak lepas, saya tarik balik keizinan saya tadi," ugut Edirul Fahmi.

Terus Adreanne tak jadi tarik tangan. Demi Gabby, dia sanggup!

"Tapi, ada syarat."

Adreanne jauhkan muka dari bahu Edirul Fahmi tetapi masih dalam keadaan mereka berpelukan.

"Apa?" Sepatah Adreanne bertanya.

"Gabby kena duduk luar. Nanti saya belikan sangkar lain untuk dia," ujar Edirul Fahmi.

Adreanne tanpa banyak soal, terus bersetuju. Tak apalah, asalkan dia dan Gabby tak berjauhan.

-----

PULANG saja dari rumah Datin Fatimah petang esoknya, Adreanne menjerit suka bila terpandang kereta Adzim di luar pagar rumah.

Tak tunggu Edirul Fahmi buka pintu pagar, laju dia keluar dari kereta. Adzim yang sedang bersandar di kereta dihampiri.

"Hesy, menyesal aku izinkan Gabby ke sini. Belum apa-apa lagi Humaira dah abaikan aku," rungut Edirul Fahmi seorang diri. Ditekan pedal minyak lalu diparkir kereta ke porch.

Adreanne menjenguk ke dalam kereta Adzim. "Mana Gabby? Along tak bawa dia ke?"

Adzim tayang muka menyampah. "Tu... Dalam sangkar dekat bahagian belakang."

Adreanne buka pintu belakang. Nampak saja sangkar Gabby, terus Adreanne angkat ke laman rumah.

"Tak nak pelawa along masuk ke? Penat-penat along hantar kucing gemuk dia tu, macam tu je dia blah." Adzim memerli.

"Masuklah. Buat macam rumah sendiri," jerit Adreanne yang dah melangkah ke laman rumah.

Adzim melangkah masuk. Berselisih dengan Edirul Fahmi yang baru keluar dari kereta, Adzim menegur.

"Nice tak Edy, kena madu dengan binatang berbulu tu?"

Sambil menekan punat kunci, Edirul Fahmi menjawab. "Nice sangat. Kalau ikut hati aku ni, nak je aku biarkan si Gabby tu dekat rumah mama tapi sebab Humaira comel sangat semalam, terpaksalah aku beralah."

Adzim gelak besar. "Kau sabar sikit. Aku gerenti satu hari nanti, Gabby pun dia tak pandang dah. Aira pandang kau je. Silap-silap tak boleh berenggang sesaat pun."

"Uish, kalau macam tu aku pun suka!" balas Edirul Fahmi.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro