♛ Bab 26
"SELAMAT pagi mama, papa." Adreanne tarik kerusi ke belakang seraya dilabuhkan duduk. Roti dan Nutella dicapai.
"Hah, bangun pun anak mama sorang ni. Edy mana? Kenapa tak turun sekali?" soal Puan Aminah hairan. Tercari-cari kelibat Edirul Fahmi.
Biasanya orang baru kahwin ni suka berkepit macam belangkas. Berpisah sekejap pun tak boleh. Rindu katanya. Lain pula apa yang dilihat pada Adreanne. Kalau boleh, lagi jauh lagi Adreanne suka.
Adreanne jungkit bahu. "Entahlah. Tidur lagi kot."
"Aira..." Meleret Puan Aminah panggil.
Kunyahan Adreanne berhenti. Dipanggung muka untuk melihat Puan Aminah. "Kenapa, ma?"
"Jangan pura-pura tak faham. Pergi naik atas sekarang. Panggil Edy turun makan sekali," arah Puan Aminah tegas.
"Pandailah dia nak bangun nanti. Dia dah besarlah, mama. Bukannya budak kecil lagi nak kena layan lebih-lebih," cebik Adreanne.
"Adreanne Humaira binti Ahmad Khuzairi. Bangun sekarang sebelum mama naik angin."
"Yalah-yalah. Orang bangun sekarang. Mama ni suka lebihkan sangat menantu mama tu. Patutnya mama lebihkan orang. Orang yang anak mama," omel Adreanne. Dengan wajah yang masam mencuka, kakinya diatur ke arah tangga. Geram betul!
"Jangan turun selagi suami kamu tak turun bawah. Kalau tak, siap kamu mama ganyang," jerit Puan Aminah dari ruang makan.
Adreanne pekakkan telinga. Laju dia menapak ke bilik.
Ini semua Edirul Fahmi punya fasal! Kalau Edirul Fahmi tak tidur balik lepas solat Subuh tadi, mesti dia tak kena marah.
"Dahlah tu. Awak pun, garang sangat dengan Aira. Budak tu baru nak biasakan diri dia. Nanti lama-lama, tahulah dia nak urus suami dia tu," tegur Encik Khuzairi bila kelibat Adreanne tak lagi kelihatan.
"Abang pun satu, manjakan sangat Aira tu. Itu yang dia keras kepala sampai apa yang kita cakap pun dia tak nak dengar," membebel Puan Aminah.
Pantang ditegur Adreanne, pasti Encik Khuzairi akan berpihak kepada Adreanne. Tahulah Adreanne tu anak perempuan tunggal mereka, tapi sekali-sekala perlu juga ditegur.
"Eh, abang pula yang kena! Betullah apa yang abang cakap, kita tak payah paksa-paksa Aira sangat. Bagi dia belajar sendiri macam mana nak uruskan rumahtangga dia." Encik Khuzairi cuba mengambil hati si isteri kembali.
"Tak ada maknanya dia nak belajar sendiri. Abang sendiri nampak macam mana dia layan Edy selama ni. Nak harapkan dia belajar sendiri, agaknya sampai ke tua perangai degil dia tak hilang."
"Ikut awaklah, Nah. Abang tak kisah awak nak didik Aira, tapi janganlah awak tambah stress dekat dia. Lain pula yang jadi nanti," tutur Encik Khuzairi malas. Kalau dia bertekak sekalipun, tak ada guna. Perempuan kan selalu nak menang.
-----
"BERTUAH punya suami! Nyenyak pula dia tidur." Berang Adreanne bila terlihat Edirul Fahmi yang masih pulas tidur di atas katil.
Adreanne selak gebar yang membaluti tubuh Edirul Fahmi. Tanpa sebarang amaran, Adreanne goyang bahu Edirul Fahmi dengan kasar.
"Edy, bangunlah! Dah lewat ni."
Edirul Fahmi mengeliat kecil sebelum gebar ditarik semula. Adreanne yang melihat tingkah Edirul Fahmi ternganga kecil. Apa yang penat sangat pun dia tak tahu.
"Awak, bangunlah. Mama dah bisinglah dekat bawah." Sekali lagi, Adreanne cuba mengejut.
Sikit pun Edirul Fahmi tak berganjak dari pembaringan.
"Edy, bangunlah! Eii awak ni dah kenapa? Tidur ke mati?"
Dengan amarah yang menyesak dada, gebar ditarik kasar lalu dilempar ke atas katil. Meringkuk badan Edirul Fahmi menahan sejuk.
"Edy, bangunlah cepat! Eii bangunlah! Awak ni tak nak bangun dah kenapa?" Mulut turut sama laju dengan tangan tak sudah-sudah menggoyang bahu Edirul Fahmi.
"Oh, tak cukup kuat eh aku cakap! Satu... Dua... Tiga..."
Adreanne tarik nafas dalam-dalam sebelum...
"Ba... Ngun!!!"
Bingit telinga Edirul Fahmi mendengar Adreanne nyaring menjerit. Tangan Adreanne direntap sekaligus Adreanne jatuh terbaring dalam keadaan memeluk dia.
"Edy, lepaslah! Saya suruh bangunlah, bukan peluk." Adreanne tampar kuat dada Edirul Fahmi. Geram bila Edirul Fahmi makin mengeratkan pelukan di pinggang.
"Shh... Dah alang-alang terjatuh begini, let me hug you for a few minutes," balas Edirul Fahmi. Disembamkan muka di ceruk leher Adreanne.
"Saya tak naklah. Edy lepaslah!" Adreanne cuba meloloskan diri. Sudahlah perut tak habis-habis berdondang sayang. Sekarang ni ditambah pula dengan rama-rama yang mula menguak sayap di dalam dada. Ah, nak melompat jantung dia rasa!
Edirul Fahmi membuka mata sedikit sebelum dia kembali memejam.
"Sekejap je, Humaira. Kejap lagi saya lepaskan awak," gumam Edirul Fahmi dari ceruk leher.
"Edy, please..." Adreanne dah mula merayu. Sesak nafas dia bila Edirul Fahmi makin lama makin menguatkan pelukan.
"Awak ni sayang, dari tadi lagi membebel. Apa bendalah yang awak bebel pagi-pagi buta macam ni?"
"Awaklah. Mengada nak tidur balik. Tak pasal-pasal saya kena brainwash dengan mama tadi. Edy, bangunlah. Semua orang tunggu kita dekat bawah," suruh Adreanne entah untuk kali yang ke berapa.
"Biar jelah diorang tunggu kita. Bukannya diorang tak tahu kita ni pengantin baru. Kasi chancelah sikit," jawab Edirul Fahmi, selamba.
Adreanne mati kutu. Satu je benda ada dalam kepala dia sekarang; hentuk kepala Edirul Fahmi dengan kepala dia.
Pap! Kuat bunyi hentakan kepala. Serentak itu, pinggang Adreanne mula bebas dari pelukan Edirul Fahmi. Kalut-kalut Adreanne berdiri di tepi katil. Bimbang kalau Edirul Fahmi kembali merangkul tubuhnya.
Edirul Fahmi mengaduh. Menggosok dia pada dahi yang mula membenjol. "Aduh, Humaira! Tak cukup dengan lebam di bibir saya, awak tambah pula dengan dahi."
"Siapa suruh awak tak nak dengar cakap saya? Hesy, cepatlah bangun! Kalau awak tak bangun, saya hantuk lagi kepala saya. Awak nak ke?" ugut Adreanne.
Edirul Fahmi mula mengalah. Dipaksa badan untuk bangkit dari pembaringan.
"Ya, saya bangun sekarang. Selagi saya tak bangun, selagi tulah awak tak berhenti membebel."
Edirul Fahmi menuju ke bilik air untuk mencuci muka. Nasib dia dah mandi sebelum solat Subuh. Kalau tak, lagi panjanglah Adreanne membebel.
Tak sempat badan masuk ke dalam bilik air, Edirul Fahmi pusing badan untuk memandang Adreanne. Terbias pada retina mata Adreanne yang sedang tunduk mengemas katil.
"Sayang..." panggil Edirul Fahmi.
Adreanne merengus. "Awak nak apa lagi?"
"Awak pergilah turun dulu. Nanti saya dah siap, saya turun."
Kasihan pula kalau Adreanne terus menunggu dia. Bukan Edirul Fahmi tak dengar perut Adreanne yang berbunyi semasa dia memeluk Adreanne.
"Awak cuci jelah muka tu cepat-cepat. Saya tunggu awak." Tak berkalih, Adreanne menjawab.
"Saya tak sangka awak ni sweet juga, kan? Nak turun pun nak kena saya teman," usik Edirul Fahmi. Dikenyit mata sekali ke arah Adreanne.
Adreanne juling mata ke atas. "Hesy, perasannya! Kalau bukan sebab mama suruh, memang taklah saya nak tunggu awak!"
"Ala Humaira saya ni... malu-malu pula dia. Mengaku jelah Humaira, awak memang tak boleh berenggang dengan saya, kan? Kan kan kan?" Makin galak Edirul Fahmi mengusik. Dia suka lihat muka Adreanne yang jelas menyampah. Lagi Adreanne menyampah, lagi dia suka.
"Awak diamlah Edy! Awak cuci muka tu sekarang sebelum saya sental muka awak dengan berus basuh kain."
Edirul Fahmi ketawa kuat. Ah, bahagianya hidup kalau hari-hari macam ni!
------
"HAI, lambat betul pengantin baru kita ni turun!" Nakal Aryan mengusik.
"Diamlah! Bising je kerja," balas Adreanne geram. Ini lagi seorang, tak habis-habis nak bagi darah dia naik.
Aryan kemam bibir. Nak ketawa tapi awal-awal lagi Edirul Fahmi dah menggeleng. "Opss! Pengantin baru dah marah. Kau ni Aira, tak eloklah marah-marah. Tambah pula kau tu pengantin baru, hilang seri nanti."
"Hesy, tak boleh ke kalau angah makan je bihun goreng tu diam-diam?"
"Tak boleh. Tak tenteram hati ni kalau tak kacau Aira," jawab Aryan, tak nak kalah.
Bertambah cemberut muka Adreanne. Poket doraemon tu wujud tak dalam dunia ni? Kalau wujud, boleh tak dia minta Doraemon hilangkan Aryan dari Bumi?
"Angah, dah-dahlah tu mengusik. Hah Aira, Edy, jemput sarapan. Tak payah kisah pasal angah tu, anggap je dia tak wujud," tegur Encik Khuzairi.
Adreanne senyum mengejek kepada Aryan. Aryan tayang muka menyampah. 'Hek eleh, jealous ah tu.'
Duduk saja Adreanne, terus dicapai roti yang tak sempat dimakan tadi. Dengan senang hati, Adreanne menikmati setiap rasa yang menyentuh lidah.
Puan Aminah berdehem kuat. Masing-masing memandang Puan Aminah dengan pelik, kecuali Adreanne.
"Hah Aira, tak reti nak hidang makanan dekat suami ke?" perli Puan Aminah.
Mencuka muka Adreanne. Roti yang tadi sedap mula terasa tawar. Adreanne pandang Edirul Fahmi.
Edirul Fahmi senyum nipis. Peha Adreanne diusap, memujuk Adreanne. "Tak apalah, mama. Edy tak kisah pun kalau Humaira tak hidang breakfast untuk Edy."
"Mana boleh macam tu, Edy. Aira dah jadi isteri Edy. Dia kena belajar macam mana nak layan suami," tegas Puan Aminah. Disuruh Adreanne untuk menghidang makanan dengan anak mata.
Malas hendak melawan, Adreanne akur. Roti yang siap disapukan jem perisa coklat diletakkan atas piring Edirul Fahmi.
"Humaira, tolong tuang air kopi dekat saya boleh? Saya tak sampailah nak ambil teko tu," perlaha Edirul Fahmi meminta. Risau kalau Puan Aminah dengar.
Adreanne mengherot mulut. "Minum jelah air teh. Aduh, awak ni!"
"Please... Saya tak suka teh." Lagi sekali Edirul Fahmi meminta.
"Hesy, yalah-yalah."
Adreanne capai teko berisi kopi lalu dituang ke dalam cawan Edirul Fahmi. Bila cawan kopi diletak di depan Edirul Fahmi, Edirul Fahmi bersuara perlahan.
"Thank you, sayangku Humaira."
Bibir Aryan mula melorek senyum nakal. Ada sesuatu yang menarik di wajah Edirul Fahmi. Serta-merta idea untuk mengusik muncul dalam benak kepala. Aryan berdehem sekali.
"Edy, adik aku ada buat apa-apa ke dekat kau semalam?" Kura-kura dalam perahu, Aryan buat tak tahu.
Edirul Fahmi angkat muka. "Hah? Kau cakap apa ni, Aryan? Aku tak fahamlah."
"Tepi bibir kau tu..." Mulut Aryan memuncung ke arah bibir Edirul Fahmi.
Edirul Fahmi sentuh bibir dengan jari. Kenapa dengan bibir? Ada air liur basi ke? Macam tak ada apa-apa pun...
"Auch!" Terjerit kecil Edirul Fahmi bila jari tersentuh tempat Adreanne menumbuk semalam.
Seisi meja mula memandang Edirul Fahmi pelik. Masing-masing tertanya mengapa Edirul Fahmi tiba-tiba menjerit.
"Hah, itulah yang aku nak bagitahu kau! Tak sangka ganas juga Aira ni, kan?" usik Aryan.
Adzim kerut dahi. Otak dia tak dapat nak memproses apa yang Aryan maksudkan. "Kau cakap apa ni, ngah?"
"Along tak nampak ke apa yang aku nampak?" Soalan berbalas soalan.
"Apa pula yang kau nampak ni? Eh, ngah! Kau jangan macam-macam..."
"Macam-macam apa pula, along? Cuba kau tengok tepi bibir Edy tu." Aryan juih bibir ke arah tepi bibir Edirul Fahmi yang lebam itu.
Adzim dan Aryan berpandangan sesama sendiri. Bergema ruang makan dengan ketawa jantan mereka berdua.
Adreanne pandang kedua abangnya bersilih ganti. Edirul Fahmi di sebelah turut dipandang. Bertambah pelik bila dia perasan telinga Edirul Fahmi memerah.
"Kenapa ni?" Polos Adreanne bertanya.
"Sayangku Humaira, cuba awak tengok tepi bibir saya ni. Awak tak ingat ke apa yang awak dah buat semalam sampai ada kesan macam ni hmm?" Edirul Fahmi mengusap cuping telinga.
Adreanne menyorot mata seperti yang diarah oleh Edirul Fahmi. Tertunduk malu dia jadinya bila dia dapat menangkap apa yang terjadi.
Mustahil untuk Adreanne lupa apa yang jadi semalam. Masih terasa bersalah kerana menumbuk suami sendiri malam tadi. Bagaimanalah dia boleh tak perasan akan lebam di bibir Edirul Fahmi, kalau tak dah ditutup dengan concealer miliknya.
"Mama, papa, nampaknya tak lama lagi dapatlah mama dengan papa timang cucu," usik Aryan lagi. Adreanne dan Edirul Fahmi yang dah malu-malu kucing langsung tak dihiraukan.
"Hah, apa pulalah yang kamu merepek ni Aryan?" Malas-malas Puan Aminah melayan.
Aryan mencebir. "Mana ada angah merepek, mama. Cuba tengok bibir Edy tu..."
Seraya itu, Puan Aminah menilik wajah Edirul Fahmi. Tersenyum dia apabila dapat mencerna apa yang dimaksudkan Aryan.
"Betul ke apa yang kitorang fikir ni Edy, Aira?" tanya Puan Aminah, tak sabar.
Kalau benarlah bagai diteka, Puan Aminah dan Encik Khuzairilah orang paling bahagia sekarang ni. Belum genap 55 tahun lagi tapi dah bercucu.
"Belum lagilah, mama. Mama dengan papa doakan je yang baik-baik untuk kitorang berdua ya," jawab Edirul Fahmi.
"Tak apalah, mama tak kisah pun. Kalau ada, adalah." Memang benar, Puan Aminah tak pernah berharap soal cucu.
Pada dia, biarlah Adreanne terbuka hati untuk menerima Edirul Fahmi dulu. Biar Adreanne dan Edirul Fahmi sama-sama bersedia untuk menerima kehadiran cahaya mata. Dia sebagai ibu, tak mahu memaksa. Mana yang terbaik untuk anak dan menantu, itu jugalah yang terbaik untuk dia.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro